LONGMACH REJIMEN KE-10: SAMBUTAN ORANG ASLI CAMERON HIGHLANDS


Sambutan Orang Asli Cameron Highlands

Pada 12 Oktober 1953 kami tiba di Cameron Highlands dan dapat berhubung dengan penanggungjawab Jawatankuasa Parti di situ. Semua perbincangan kami dengan kawan penanggungjawab di situ diterjemahkan oleh kawan Eng Ming Ching. Kebetulan pula kawan penanggungjawab tersebut seorang kader muda dari Rejimen Ke-5 dan sangat menghormati Eng Ming Ching, jadi kemesraan kami lebih bertambah. Mereka memberikan apa saja yang kami perlukan.

Hari pertama kami tiba di situ kami dijamu dengan ubi sop, satu makanan tradisional Orang Asli. Ubi sop ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, rupanya putih, apabila dibakar baunya wangi dan enak dimakan. Di sini juga kali pertama saya melihat satu seksyen perajurit Orang Asli yang lengkap dengan senjata. Mereka adalah anasir maju masyarakat Orang Asli yang menentang penjajah British dan mahu kemerdekaan tanah air.

Sesuai dengan disiplin dan tata tertib Pasukan Tentera Pembebasan, kami mempelajari sedikit adat istiadat Orang Asli yang harus dihormati. Kawan-kawan diingatkan harus ramah tamah dan kasih mesra di samping menghormati adat resam massa.

Sambutan massa Orang Asli terhadap kami sangat mengharukan. Mereka membawa sekoi dan lain-lain hasil tanaman mereka kepada kami, bahkan beberapa buah ladang mereka diserahkan kepada kami. Bekalan kami seratus peratus bersandar pada sokongan Orang Asli.

Akan tetapi, setelah 3 hari tiba di Cameron Highlands, penjajah British melancarkan serangan besar-besaran ke atas kami. Kami tiba pada 12 Oktober 1952, penjajah British melancarkan kempen kepung basmi pada 15 Oktober.

Beberapa sebab penting yang menyebabkan penjajah British mengetahui rancangan kami, antaranya ialah penyerahan diri seorang perajurit bernama Zahari di Raub dan satu lagi kemungkinan besar kumpulan Orang Asli yang kami temui di Ulu Jelai disusupi oleh ejen rahsia penjajah yang dilatih khas.

Di bawah keadaan serangan musuh ini, saya meminta kebenaran pihak penanggungjawab Jawatankuasa Parti di situ untuk melakukan pertempuran melawan kempen kepung basmi. Akan tetapi, melalui Kawan Eng Ming Ching, pihak penanggungjawab Jawatankuasa Parti di situ tidak bersetuju kami melakukan pertempuran, sebaliknya meminta kami berundur ke Gunung Berembun dengan alasan supaya musuh tidak mengetahui Rejimen Ke-10 berada di situ.

Kami dipandu oleh beberapa orang perajurit Orang Asli berputar-putar di Gunung Berembun. Pemandangan di atas gunung itu indah sekali, dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni dan tumbuh-tumbuhannya yang unik, begitu juga pemandangannya indah saujana mata memandang. Tetapi udaranya sejuk sekali. Pohon-pohon diselimuti lumut hijau, udaranya diselimuti dengan kabus, embun perlahan-lahan menitis ke permukaan bumi. Kerana terlalu sejuk, ada kawan beberapa hari mandi sekali saja bahkan ada seorang kawan selama 28 hari hanya mandi sekali sahaja.

Sepanjang masa kami berlindung di Gunung Berembun itu, massa Orang Asli menunjukkan sokongan mereka yang tinggi terhadap kami. Satu rombongan demi satu rombongan Orang Asli menghantar ubi kepada kami.

Orang Asli yang kami temui ini terdiri dari Suku Senoi. Di Pahang terdapat kira-kira 6,500 orang suku Senoi dan sejumlah kecil suku Negrito. Mereka mempunyai kesamaan dengan ras bangsa Negro di Afrika. Ratusan ribu tahun dahulu mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu, mendiami kawasan tanah tinggi, kawasan pergunungan. Ketika berbual, mereka mengatakan bahawa mereka terdiri dari bangsa yang tinggi sebab itu mereka menduduki tempat tinggi.

Di kawasan Bera, Pahang terdapat Orang Asli dari Suku Semelai. Di Pahang terdapat kira-kira 9,000 orang suku Semelai. Mereka mempunyai kesamaan ras dengan orang Melayu hari ini. Beberapa ribu tahun dahulu mereka telah berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dari benua besar Asia. Mereka tinggal di kawasan-kawasan tanah pamah, kawasan sungai- sungai besar dan kawasan pantai.

Orang Asli memiliki sejarah perjuangan yang luhur. Dalam masa Perang Bahaman menentang campur tangan British yang hendak menguasai negeri Pahang, Orang Asli memberikan sokongan kuat kepada pasukan Datok Bahaman. Dalam masa Perang Anti-Jepun, Orang Asli menyokong PKM dan TAJRM melancarkan perang melawan Jepun dan kemudiannya menyokong Rejimen Ke-10 atau pasukan TPNM melancarkan perjuangan bersenjata menentang penjajah British.

Walaupun berada dalam situasi perang, tetapi minat saya terhadap Alam Melayu dan masyarakat di Tanah Melayu tak pernah luput. Pada tahun 1948, sebelum berdirinya Rejimen Ke-10, saya pernah memimpin Platun 1 bergerak di Jerantut. Di suatu kawasan di Pulau Tawar, kami menemukan gua batu yang amat unik. Di dalamnya terdapat sumber air dan benda-benda batu yang menarik. Melihat kesan-kesan di situ, saya mempercayai bahawa gua tersebut pernah menjadi kediaman manusia Zaman Batu kira-kira 4, 5 ribu tahun dahulu. Walau bagaimanapun, keadaan di sekitarnya sudah berubah, terdapat kawasan menanam padi yang menunjukkan sudah ada perkembangan pertanian. Di kawasan belakang gua yang bersambung dengan hutan terdapat kumpulan Orang Asli.

Berbalik kepada kempen kepung basmi di Cameron Highlands. Penjajah British menyerang dengan ganasnya. Dari atas gunung, kami nampak kapal-kapal terbang di bawah menggugurkan bom, menembak mesingan, roket dan sebagainya di kawasan hutan dan kawasan ladang Orang Asli. Suasana hutan rimba yang aman dan nyaman itu telah digenangi dengan bunyi letupan bom, roket dan mesingan yang memecahkan anak telinga. Di samping itu, penjajah British melalui alat pembesar suara melaungkan seruan-seruan untuk melunturkan semangat juang kami. Tindakan ini disertakan pula dengan menggugurkan siaran-siaran dari udara.

Kawan penanggungjawab Jawatankuasa Parti Cameron Highlands telah menghantar satu regu campuran terdiri dari 1 platun kawan-kawan Tionghua dan 1 seksyen perajurit Orang Asli melakukan imbusying ke atas musuh. Regu tersebut melancarkan pertempuran yang hebat, menewaskan sejumlah musuh dan merampas sejumlah senjata. Akan tetapi, musuh terus memperhebatkan serangannya dan menambah bilangan askar. Sasaran utamanya tetap mahu membasmi Rejimen Ke-10.

Memandangkan serangan musuh ini akan memakan masa yang berpanjangan, maka sekali lagi saya bagi pihak Rejimen Ke-10 berbincang dengan Eng Ming Ching untuk mengemukakan cadangan kepada penanggungjawab Jawatankuasa Parti di situ agar membenarkan Pasukan Hang Jebat melakukan pertempuran. Kerana musuh terus meningkatkan kempen serangannya, pihak penanggungjawab Jawatankuasa Parti di situ akhirnya bersetuju Pasukan Hang Jebat melakukan pertempuran.

Saya menyusun satu regu dipimpin Abu Samah dan Rosli untuk melancarkan serangan balas ke atas askar penjajah. Regu tersebut berjaya mencari satu medan imbusying di Sungai Sekam, Cameron Highlands. Kekuatan musuh terdiri dari 160 orang Pasukan Golden British, digembar-gemburkan sebagai "tak pernah kalah dan pernah menegakkan jasa besar dalam Perang Dunia Kedua".

Pertempuran berlaku pada 28 Januari 1954. Apabila bahagian depan dari barisan musuh yang panjang itu mengikuti Sungai Sekam memasuki perangkap serang hendap, perajurit-perajurit yang gagah berani yang sedang menanti di atas tebing segera mencurahkan tembakan hebat ke atas musuh. Regu tersebut berhasil menewaskan 40 orang askar British dan berundur dengan selamat. Esoknya satu hari suntuk helikopter penjajah mengangkut askarnya yang mati atau cedera ke pekan Tapah, Perak.

Yang pentingnya, selepas serangan tersebut, penjajah segera menamatkan kempen kepung basminya yang telah berjalan 3 bulan lebih.

bersambung
---
dipetik dari: Memoir Abdullah C.D (II)- Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10

lihat juga:

2 ulasan

Tanpa Nama mod

disinilah baru saya jumpa catatan mengenai sumbangan kaum orang asli bersama berjuang melawan penjajahan.
Diharap mendapat perhatian dan pengiktirafan Profesor Universiti ...

semantan
march 2010

Reply
Tanpa Nama mod

Setuju dengan semantan,

Sebelum ini aku tak pernah jumpa catatan yang menyebut Orang Asli berjuang untuk kemerdekaan tanah air.

Dol

Reply

Categories

Pengikut