LONGMACH REJIMEN KE-10: PERISTIWA DI SUNGAI JELAI

Peristiwa di Sungai Jelai

Pada 13 September, kami meneruskan perjalanan dari Markas Besar Rejimen Ke-11 di Pahang Utara, menuju Cameron Highlands. Kerana perbekalan sangat terbatas, kami terpaksa menjadikan kacang kuning dan pisang kering sebagai makanan utama. Untuk tambahan, kami mencari sayur-sayuran liar, berburu binatang dan menangkap ikan. Kira-kira 2 minggu berjalan, kami tiba di Sungai Jelai. Kami dapat menembak seekor seladang. Untuk menguruskan rezeki itu, saya memerintahkan pasukan berehat di situ. Semua kawan membuat kerja daging, menyiang dan menyalainya sehingga kering.

Akan tetapi sekonyong-konyong sekumpulan 28 orang Orang Asli memudiki sungai dengan beberapa buah rakit. Untuk menjaga rahsia Pasukan Hang Jebat supaya tidak terlalu cepat diketahui oleh penjajah British, maka saya mengatur kawan memujuk Orang Asli itu tinggal bersama-sama kami untuk beberapa hari.

Sikap Orang Asli itu sangat baik, akan tetapi mereka was-was apakah kami ini pasukan Tentera Pembebasan atau askar Melayu kerana kami memakai songkok. Tentera Pembebasan yang biasa mereka temu memakai topi berbucu lima dengan sebiji bintang merah di depannya. Kerana itu pada tengah malam itu, mereka secara diam-diam melarikan diri tanpa disedari oleh pengawal kami. Yang menghairankan ialah semua Orang Asli itu tak terkecuali dengan anak-anak kecil dapat melarikan diri tanpa bunyi sedikit pun. Tahu-tahu pagi besoknya tempat tidur mereka telah kosong. Kerana itulah kami terpaksa meneruskan perjalanan. Daging yang sudah kering kami bawa untuk dijadikan bekalan, manakala sebahagian lagi yang belum kering terpaksa ditinggalkan.

bersambung

---
dipetik dari: Memoir Abdullah C.D (II)- Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10

lihat juga:

Categories

Pengikut