LONGMACH REJIMEN 10:PEJABAT SEMENTARA DI PERAK

Pejabat Sementara di Perak

Selepas tamat kempen kepung basmi di Cameron Highlands, kami meneruskan perjalanan ke Perak. Pada penghujung bulan Februari 1954, kami tiba di pejabat Setiausaha Jawatankuasa Parti Negeri Perak di kawasan Sungai Raya. Kami mendapat sambutan yang hangat oleh kawan-kawan di situ. Rashid Maidin dan beberapa orang kawan Rejimen Ke-10 bersamanya juga menyambut kedatangan kami.


buku-buku dan risalah terbitan Rejimen Ke-10


Markas Besar Rejimen Ke-10 dan Eng Ming Ching mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Jawatankuasa Negeri Parti di situ. Eng Ming Ching disamping menterjemahkan fikiran saya, Rashid dan Musa dari bahasa Inggeris ke bahasa Tionghua juga memberikan cadangan-cadangan yang berfaedah untuk kami. Eng Ming Ching pernah menjadi wakil Parti dalam Kompeni Teladan di Rejimen Ke-5 pada masa Perang Anti-Jepun dan pernah menjadi wakil PKM Perak dalam masa aman. Kawan penanggungjawab itu pula seorang kader yang kenal beliau dan sangat menghormati Eng Ming Ching. Jadi semua perbincangan berjalan dengan lancar. Mereka memberikan apa saja yang kami perlukan.

Penanggungjawab Jawatankuasa Parti menyerahkan sepucuk mauser buatan Jerman kepada saya. Dia memberitahu "Mauser ini dihadiahkan oleh Kawan Chen Ping khas untuk Kawan Abdullah C.D." Keistimewaan senjata ini ialah kecil saiznya tapi kuat daya tembaknya dan gagangnya boleh dipanjangkan menjadi senapang panjang.

Ketika itu hubungan utusan ke utara sudah lama terputus. Oleh kerana itu, kami mendirikan pejabat sementara di Perak.

Setelah beberapa hari di pejabat penanggungjawab Jawatankuasa Parti Rejimen Ke-5, kami bertolak ke Ulu Kinta dengan dipandu oleh Orang Asli. Rashid Maidin dan beberapa kawan Melayu bersamanya juga bergabung bersama Pasukan Hang Jebat. Pada pertengahan April kami tiba di Ulu Kinta.

Orang Asli membawa kami ke suatu kawasan yang terdapat gua batu besar di kaki Gunung Kerbau. Di kawasan sekitarnya terdapat ladang Orang Asli. Gua batu ini juga sangat unik, ada tanda-tanda pernah didatangi pengunjung pada masa lampau. Di tepi gua tersebut mengalir anak air yang boleh digunakan untuk makan dan minum.

Beberapa hari kami berkhemah di sekitar gua batu itu, penanggungjawab Jawatankuasa Parti Negeri Perak tersebut datang berbincang lagi dengan kami. Dalam perbincangan kali ini kami menetapkan beberapa rancangan sementara iaitu: Mendirikan pejabat penerbitan untuk menerbitkan AKHBAR PERAK dan MAJALAH TENTERA; menghantar regu penyusun massa Melayu bergabung dengan pasukan Tionghua dan India menyusun massa di kawasan Sungai Siput. Sementara itu saya sendiri membuat keputusan untuk mengambil sedikit waktu mengadakan penyelidikan di kalangan Orang Asli. Di bawah ini saya terangkan satu persatu beberapa perkara di atas.

Pejabat Penerbitan

Pejabat penerbitan ini didirikan di suatu tempat kira-kira 40 minit berjalan kaki daripada gua batu yang saya sebutkan di atas, dipimpin oleh Rashid Maidin dan Musa Ahmad. Kemudian setelah selesai melakukan kerja penyelidikan di kalangan Orang Asli, saya bergabung semula dengan pasukan untuk sama-sama memimpin kerja penerbitan dan seluruh pekerjaan pasukan.

Kawan-kawan yang terlibat langsung dalam kerja penerbitan ini ialah Darus, Samsiah, Aida, Nasir, Agus, Napi dan Pak Ngah. Akhbar-akhbar ini dihantar kepada penanggungjawab Jawatankuasa Parti Rejimen Ke-5 untuk diedarkan ke berbagai tempat. Masa itu, walaupun penjajah British dengan ketat mengawal hubungan kami dengan massa, akan tetapi kami dapat membeli akhbar Inggeris untuk mendapatkan maklumat-maklumat. Kerja penerbitan ini diteruskan sehinggalah musuh melancarkan serangan udara besar-besaran di Ulu Kinta.

bersambung
---
dipetik dari: Memoir Abdullah C.D (II)- Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10

lihat juga:


Categories

Pengikut