KISAH BENAR: MATI HIDUP SEMULA

Pada suatu hari, ketika luka-luka saya belum sembuh sempurna lagi, tiba-tiba Nordin memandu Platun 2 sampai ke tempat kami berehat. Nordin datang bergegas-gegas membuat laporan kepada saya.

Mengikutnya: Ali (Ah Poi) bersama Razak dari Platun 2 menjalankan tugas utusan menghubungi berbagai unit yang bergerak di Pahang Selatan dan Temerloh. Akan tetapi sampai di tengah jalan, mereka terkena periuk api musuh yang dipasang di kepala sebatang titi ketika mereka menyeberangi anak sungai kecil. Katanya, Ali telah terkorban. Senapang, havershek dan barang-barang Ali yang dibawanya diserahkan kepada saya.

Mengikut laporan Razak, apabila terkena periuk api, Ali tak sedarkan diri. Dia membersihkan darah yang mengalir membasahi tubuh Ali dan berusaha untuk menyedarkannya semula. Akan tetapi sudah puas diusahakan, Ali tidak juga sedar. Kerana itu dia membuat kesimpulan Ali telah terkorban.

Kerana seorang diri, dia tak dapat berbuat apa-apa. Sebelum meninggalkan Ali, Razak memasang kain getah atap, tikar dan kelambu untuk Ali. Setelah mengambil barang-barang dan senapang, dia meninggalkan Ali dengan penuh sedih. Dia segera mencari hubungan dengan Platun 2 untuk membuat laporan.

Mendengar laporan itu, saya memerintahkan mereka segera pergi tengok Ali dan mengebumikannya secara baik. Sekali-kali tak boleh dibiarkan begitu saja.

Besoknya, saya mengatur Nordin mencari Ali sambil mendengar berita daripada massa di kampung. Kemudian mereka pergi ke tempat kejadian tersebut, tetapi tak bertemu apa-apa, bahkan kain getah dan kelambu yang dipasangnya juga sudah tiada. Kejadian ini menyebabkan muncul pula satu tanda tanya baru yang perlu mendapat jawapan.

Pada suatu hari, kira-kira seminggu selepas kejadian itu, tiba-tiba di depan pengawal (guard) kami terdapat satu lembaga entah "hantu atau manusia" yang amat mencurigakan. Perajurit yang berkawal melaporkan keadaan tersebut. Saya dan kawan-kawan lain berkejar ke depan.

Agak lama juga kami memerhatikan keadaan itu. Semakin lama semakin dekat lembaga itu merayap-rayap ke depan pengawal. Apabila dekat, saya dapat cam bahawa itu adalah Ali. Saya segera menerkam dan memeluknya. Nordin dan kawan-kawan lain menjadi tercengang kaku tak dapat berkata apa-apa. Masing-masing mengalirkan air mata kerana terharu dan pilu. Itulah satu detik mengharukan yang tak dapat dilukiskan.

Kemudian kami sama-sama memapah Ali ke dangau. Kami membentangkan tikar dan mencuci luka-lukanya. Lukanya agak parah, seluruh bahagian depan dari kepala hingga ke betis terkena serpihan peluru bom atau serpihan batu-batu. Mujur mata tidak tercedera. Kami mencungkil keluar batu-batu dari badannya satu persatu.

Selepas itu barulah kami menceritakan keadaan masing-masing. Ali menceritakan kisahnya seorang diri berjuang untuk menghubungi semula kawan-kawan. Ali menceritakan, apabila dia sedar, darah membasahi sekujur badan. Dia merasa sakit-sakit, dibukanya mata didapati sedang berada dalam kelambu. Dia mengangkat tangan menyingsing kelambu, didapatinya dia seorang diri saja di situ. Semua barang termasuk senapang sudah tiada. Dia berfikir tentu Razak menganggapnya telah mati dan meneruskan tugasnya.

Ali mempunyai banyak pengalaman. Walaupun seorang diri dan cedera pula, dia menggunakan kepandaiannya untuk menyelesaikan kesulitan. Dia berfikir, walau bagaimanapun dia mesti mencari hubungan semula dengan pasukan. Dirabanya di dalam saku, ada sebuah pemetik api. Perlahan-lahan dia ke sungai mengambil air dan menghidupkan api. Direbusnya air itu untuk mencuci luka dan minum.

Bila rasa ada tenaga sedikit, dia mengemaskan kain getah dan kelambu lalu perlahan-lahan berjalan mencari hubungan. Perjalanannya menempuhi kawasan paya yang luas dan bahaya. Sungguhpun begitu dia mahir kawasan itu. Selepas melintasi paya dia menuju ke kampung mencari makanan. Kerana kampung itu (Kampung Paya Kerinau) telah dimusnahkan musuh, tidak ada makanan lagi. Mujur juga dia bertemu beberapa biji pisang dapat mengalas perut. Seminggu berjuang seorang diri, barulah dia bertemu dengan kami. Saya masih ingat lagi peristiwa Ali terkena periuk api itu pada 12. 9. 1950.

Selepas itu Nordin memimpin satu regu pergi mencari periuk api musuh. Mereka berjaya mengambil banyak periuk api.

Sedikit Perkenalan Tentang Ah Poi

Ah Poi atau digelar jolokan Ali seorang kawan Tionghua yang lebih suka bergaul dengan orang Melayu. Dia ditugaskan sebagai utusan.

Keistimewaan Ah Poi ialah pandai berjalan dalam hutan dan juga bergaul rapat dengan Orang Asli. Kerana keahliannya, saya telah menghantarnya untuk mencari Musa Ahmad yang terputus hubungan dengan pasukan dalam Peristiwa Padang Piol pada penghujung tahun 1949. Ah Poi telah berjaya menghubungi semula Musa dan kawan-kawan lain yang berpecah itu.

Pada tahun 1950, ketika Ah Poi dan seorang kawan Melayu menjalankan tugas utusan telah terpijak sebiji periuk api musuh. Selepas itu kawan-kawan memberikan jolokan "mati hidup semula" kepada Ah Poi dan ada kawan menulis puisi tentang peristiwa tersebut.

Ah Poi dengan semangat yang tinggi melawan sakit luka yang parah kerana terkena bom meneruskan perjalanan mencari hubungan dengan pasukan. Selama seminggu berjuang seorang diri dalam keadaan yang begitu sukar, barulah dia dapat berhubung dengan kami.
Selepas itu, dia ditugaskan berkhidmat dalam regu pimpinan Abu Samah. Dia gugur dalam satu pertempuran dengan tentera penjajah British.

--- dipetik dari Memoir Abdullah C.D (II)- Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10

Categories

Pengikut