KELUHAN SEORANG PEJUANG - DR. NASIR HASHIM

http://www.parti-sosialis.org
10 Mar 10

Hari ini aku cukup bertuah. Dapat menemui kawan lama. Seorang pejuang reformasi. Lama menghilangkan diri. Kami bersalaman dan berpelukan. Bersembang di pinggiran jalan. Antara bahu jalan dan rerumput yang menghijau.

Badannya susut, muka lonjongnya cengkung, dahi makin berkedut dan berkemeja pendek. Jasad sudah dimamah dan dicakup masa. Suaranya bernada rendah. Aku terpaksa menumpukan pendengaran ku di tengah kesibukan jalan raya di pinggir rerumput basah yang menghijau itu. Beberapa kereta menegur kami dengan lengguk nyanyian hon. Mungkin mengenali kami ataupun kami menggangu perjalanan mereka. Wallahualam. Kami mengangkat tangan dan terus bersembang. Ingin mengorek sejarah yang lalu.

Aku menyindir. Kerana sudah lama tak menemuinya. Mungkin dia merajuk panjang, agaknya. Dia tidak mengaku. Terlalu sibuk membawa teksi sewa, katanya. Pejuang-pejuang yang lain pula menjual kain baju dan baju-T. Ada bekerja di gerai-gerai makan dan buah-buahan. Wang lebihan menjadi bekalan untuk perjuangan nanti. Begitu kental semangat mereka.

Dia berkata ada juga yang menjadi ‘blogger’ untuk melepaskan geram. Menghentam semua termasuklah pucuk pimpinan yang baru. Tetap kecewa. Ada yang sudah mencadangkan untuk membina Kuasa Ketiga atau ‘Third Force’. Ada geng yang telah dibuang kerja kerana melibatkan diri dalam reformasi. Masih mencari-cari kerja yang kekal. Ada yang masih terikat dengan kes-kes rayuan mahkamah. Tetap mencari nafkah sekeluarga. Hidup, kais pagi dan petang mencari secebis kehidupan di dalam dunia yang penuh kesempitan dan hasakan. Ramai yang tahu dan ramai pula yang tidak peduli. Kawan ku masih bertahan dengan semangat yang semakin pudar.

Aku bertanya tentang perjuangan. Dia mencebik bibir dan membeliakkan mata yang ketandusan cahaya, lantas memandang ke arah lain. Sebak. Cukup sebak. Mencari sesuatu di bawah capalnya. Menarik nafas panjang. Semangat masih ada, dia berkata dengan perlahan. Sudah tak ramai lagi yang ingin bersama, dia menyambung lagi. Kami bukan ketagihkan habuan dari sesiapa. Sekadar dapat bertemu dan bertukar pandangan. Pada kami perjuangan belum selesai lagi. Aku menghormati pandangan dan kematangannya. Inilah pejuang kami yang telah dipinggirkan dalam arus merebut kuasa dan harta.

Aku ingat lagi laungannya bersama kawan-kawan di jalanraya. Begitu lantang dan sungguh nyaring sedkali. Reformasi…Reformasi…REFORMASI. Menggegarkan jiwa dan raga. Menyentuh hati sanubari yang dahagakan demokrasi dan keadilan. Pernah menggelecek benteng polis dan FRU. Kena belasah, kena terajang, hilang kasut. Hilang kaca mata. Tetap mara ke depan. Kepala berdarah dibalut tuala dan badan terkapai dibalut baju. Komrad lain tetap mara ke depan. Kena belasah lagi dari pelbagai penjuru. Tetap berdegil. Begitulah setiakawan yang menghargai kebebasan.

Sesak nafas terhidu gas kimia. Nyonyot garam dan mandi air mineral sebagai pendinding diri, perisai abadi. Mata tetap dalam kepedihan dan air mata menitis dalam kebutaan. Air kimia membasahi diri, menembusi baju dan menghiris diri. Begitulah sumbangan dan semangat pejuang-pejuang reformasi. Baik lelaki, perempuan, tua, anak muda, berjambul warna warni, berlilitan kepala dan telinga bercincin. Berbilang kaum sebagai satu keluarga yang besar. Semua turun ke padang kerana ingin menegakkan kebenaran dan demokrasi. Gelombang reformasi membanjiri jalanraya dan pilihanraya. Kini kesunyian menghambat perjuangan. Kerana ada yang mengistiharkan bahawasanya perjuangan sudah tamat.

Kawan karib ku ini, ‘slow’ sedikit, mengambil masa menjawab pertanyaan. Aku bertanya samada dia sakit. Dia kata tidak. Aku rasa sebaliknya. Mungkin memandu teksi sepanjang hari meletihkan diri, memakan diri. Maklum sajalah ada mulut-mulut di rumah yang sedang menunggu untuk menikmati bersama sesuap nasi dan ikan kembung rebus. Begitulah nasib seorang pejuang. Bukan semua mengerti dan bukan semua yang peduli tentang liku-liku hidup yang terpaksa diharungi dalam penderitaan dan kesepian.

Yang berjaya leka dan lelan bergelumang dalam kesenangan hingga terlupa bahawa pejuang-pejuang dan kuasa rakyat inilah yang meletakkan mereka ke takhta pemerintahan. Pernahkah mereka ini bertanya tentang kehidupan pejuang-pejuang ini, tentang kebajikan mereka. ‘Shoru’ ada tak. Ada ‘miss’ tak. Ada kerja tak.

Aku bersedih. Kerana rakan seperjuangan tetap terhempit. Aku melontarkan soalan sumbang tentang kawan-kawannya yang menyandang tampuk pemerintahan. Aku sebutkan beberapa nama. Dia tersenyum sinis. Susah nak jumpa mereka lagi, dia berkata dengan nada yang tenang tapi mengetapkan bibirnya. Kami serik naik tangga turun tangga, tetap tak dapat berjumpa pemimpin-pemimpin sakti ini. Walaupun pertemuan itu sudah pun dijanjikan. Mungkin mereka terlalu sibuk. Sangkut entah ke mana. Bukanlah kami meminta bantuan wang. Sekadar ingin bertemu kawan lama, rindu kepada mereka, cuba mendapat nasihat untuk menerokai hidup baru, perjuangan baru. Kami mahu berdikari, bukan meminta-minta seperti pengemis. Tetap hampa. Pertemuan tidak kesampaian. Terpaksa mengharungi lapisan pegawai yang mempunyai agenda yang tersendiri. Muka-muka baru yang mengatur langkah, menenggelami diri dan perjuangan reformasi. Walhal satu masa dulu kita tidak pernah membezakan peribadi, mudah bertemu, berseloka di sepanjang kedai-kedai teh tarik di pinggir jalan dan di celah lorong-lorong yang sempit. Masa tidak pernah menjadi penghalang. Kesemuanya ini hangus begitu saja. Bukan mereka tidak kenal muka-muka kami ini. Bukan kami berkehendakkan projek-projek mewah. Dulu pernah berganding bahu. Sama berjuang. Sama tekad. Masa sudah berlalu. Keadaan sudah berubah. Nampaknya sudah tak ada masa lagi bagi orang-orang macam kita ini. Manisan disedut hampas dibuang. Seperti kacang lupakan kulit. Mengharapkan pagar, pagar makan padi. Perjuangan dikhianati …….. Keluhannya diulangi lagi.

Pernah mereka berjanji hendak bertemu kumpulan reformasi dan NGO. Udahlah datang lambat. Memberi seribu satu sebab yang menonjolkan kehebatan diri. Balik cepat pulak. Tak menghargai pertemuan ini. Macam mana hendak berbincang dalam 20 minit, tentang perjuangan dan tindakan masa depan. Lebih baik tak payah datang. Buat sakit hati aje. Mungkin kawan-kawan reformasi yang memegang jawatan tinggi ini terlalu sibuk merasmikan bangunan, kegiatan dan entah apa lagi. Mungkin kerusi empuk yang diduduki sudah menumpulkan semangat perjuangan. Mungkin percaturan politik membujukkan hipokrasi.

Pada hemat kawan ku ini, kita boleh kira dengan sebelah tangan berapa ramai yang sanggup bersama kami lagi (Aku percaya lebih sedikit dari itu !!!). Seribu satu alasan akan diatur rapi supaya melemahkan semangat perjuangan dan diiringi dengan dialog-dialog yang menjanjikan seribu satu kebuntuan. Semua menjanjikan sesuatu sebelum pilihanraya. Selepas berjaya, hendak mendapatkan appointmen cukup susah sekali. Senyuman, sengihan dan janji manis aje yang boleh diharapkan dari mereka ini. Lepas itu tak dengar berita. Panggilan tak berjawab. Appointmen ditunda-tunda. Aku sudah tua saudara ku (dia berkata) dan di manakah pelapis golongan muda. Hendak petik di atas angin ke. Dia mengulangi keluhannya lagi.

Padanya, pemimpin-pemimpin ini tetap bergerak dan bernafas pada takuk lama. Hala tuju entah kemana, ideology entah kemana dan perjuangan entah kemana. Mengukur kecemerlangan dengan sejumlah sedekah yang diberi. Walhal struktur dalaman dan luaran yang merangsangkan penindasan tetap tidak berubah. Malangnya sekali tindakan memperkasakan rakyat tidak lagi menjadi agenda utama dan makin dikebumikan tanpa liang lahad.

Aku tetap bersemangat. Tetap bersama rakan-rakan seperjuangan. Kembali mengatur langkah-langkah perjuangan. Mencari haluan baru, ideology baru dan kepimpinan baru. Patah tumbuh tetap berganti.

Salut kepada pejuang-pejuang reformasi. Pada hati kami …. kaulah yang sungguh teristimewa sekali. Amin

Ditulis oleh Dr. Nasir setelah bersembang dengan seorang reformis 1998
---
posting asal: Keluhan Seorang Pejuang – Dr. Nasir Hashim

2 ulasan

Tanpa Nama mod

Saya tertarik dengan satu interview The Star dengan bekas perajurit Rejimen ke 10 tahun lalu. Katanya "Sewaktu rakyat dalam kesusahan kita berada di barisan hadapan dan apabila rakyat
sudah senang dan selesa kita akan kembali ke barisan belakang".

Lihatlah betapa besarnya jiwa pejuang ini. Hari ini pula bila pemimpin berada di dalam kesusahan, rakyat berada bersama2 mereka malah sanggup menjadi benteng kepada pemimpin tapi bila pemimpin sudah selesa rakyat di tinggalkan.

Inilah yang terjadi pada hari ini. Mereka2 yang berada di barisan hadapan di saat parti berada dalam kesusahan sekarang ini hanyalah menjadi barua.

mereka2 yang tidak pernah nampak muka pada ketika itu tiba2 muncul disaat kemenangan. Ianya terjadi di dalam Parti2 Pakatan Rakyat pada hari ini.

Warga Miskin Kota

Reply

ya,saya juga merasai dan berkongsi sentimen yg sama...

Reply

Categories

Pengikut