KAMPUNG BELUM MANGSA KEKEJAMAN INGGERIS


Di ulu Sungai Perak pernah wujud sebuah perkampungan yang didirikan di atas titik peluh dan keringat penghuninya yang dikenali sebagai Kampung Belum. Hari ini kampung ini sudah tidak wujud lagi dan kawasan perkampungan ini sudah menjadi hutan belantara. Ini adalah salah satu kekejaman penjajah Inggeris ke atas rakyat negara kita.

Selain Kampung Belum, terdapat juga sebuah kampung yang terletak di kawasan sempadan sebelah Thailand yang dikenali sebagai Kampung Hala. Kampung ini juga mengalami nasib yang sama dengan Kampung Belum. Penduduknya dihalau keluar ke Dusun Nyor yang kini berada di daerah Chendek, Narathiwat.

Berikut adalah sedikit catatan dari Abdullah C.D. berkenaan Kampung Belum.

Kampung Belum Mangsa Kekejaman Inggeris

Kami tiba di Kampung Belum pada 22 September 1954. Kampung Belum sudah tiada penghuni lagi, tapi kesan-kesan rumah yang dibakar dan pokok-pokok buah-buahan yang ditebang oleh askar penjajah masih kelihatan. Massa Kampung Belum dihalau secara paksa oleh penjajah ke Grik.

Kampung Belum dipercayai wujud kira-kira 100 tahun sebelum ia dimusnahkan. Dalam masa Perang Dunia Kedua, Kampung Belum pernah didatangi puak penyamun Kuomintang. Satu kompeni TAJRM dihantar dari Tapah ke Gua Musang untuk menghalau puak penyamun. Kompeni tersebut terus menghalau penyamun Kuomintang hingga ke Kampung Belum dan mendirikan basis di situ. Akibatnya, puak-puak penyamun itu terus lari ke Betong, wilayah Thailand. Sejak itu Kampung Belum menjadi basis gerakan kemerdekaan untuk kemerdekaan Malaya dari penjajah British. Ketua Kompeni TAJRM yang memimpin di Kampung Belum bernama Lao Ma. Kerana sumbangan besar kompeni tersebut menghapuskan puak-puak penyamun Kuomintang, penjajah British pernah menjemput Ketua Kompeni Lao Ma menyertai perarakan menyambut kemenangan perang di London pada tahun 1945. Lao Ma bukan sahaja pandai bahasa Tionghua, tetapi juga boleh bercakap dalam bahasa Inggeris, Melayu dan bahasa Orang Asli.

Seperti kampung-kampung lain, Kampung Belum juga dilanda semangat kebangsaan untuk kemerdekaan yang dibangkitkan PKMM, PKM dan lain-lain selepas Perang Dunia Kedua. Apabila penjajah British mengisytiharkan Darurat, Kampung Belum sekali lagi menjadi basis Perang Anti-British. Lao Ma sekali lagi memimpin kompeninya bergerak menyusun massa di Kampung Belum. Pak Long, seorang perajurit dari Kelantan ditugaskan dalam kompeni tersebut untuk menyusun orang Melayu di situ. Mereka sebenarnya telah mendirikan Republik Belum.

Untuk menindas perjuangan massa dan membasmi pasukan TPNM, penjajah British telah melaksanakan dasar kejam ke atas rakyat. Pada 7 Februari 1952, 9 buah kapal terbang penjajah melakukan pengeboman di kawasan Kampung Belum. Ini disusuli dengan menggugurkan sejumlah besar askar penjajah Inggeris. Sementara itu, kira-kira 500 - 600 askar dikerahkan menyerang Kampung Belum dari berbagai penjuru. Massa rakyat Kampung Belum digiring keluar manakala seluruh Kampung Belum dibinasakan. Semua harta massa dimusnahkan termasuklah rumah, pokok buah-buahan, binatang ternakan dan lain-lain.

Untuk mengenang jasa dan sumbangan Kampung Belum kepada perjuangan kemerdekaan dan sambutan mereka kepada pasukan TPNM dan PKM, seorang kawan yang pernah bertugas di Kampung Belum telah menuliskan sebuah tulisan bertajuk KAMPUNG BELUM. Tulisan tersebut diterbitkan oleh pejabat penerbitan Rejimen Ke-10 sempadan Perak - Kelantan pada tahun 1959 dalam tulisan Jawi dan cetakan stensels.

3 ulasan

Terima Kasih berkenaan paparan sejarah begini.Saya cadangkan supaya disertakan dengan peta kedudukan Kampong Belum dari Google atau Lakaran. Begitu juga artikel lain supaya ada petanya.

Reply
Tanpa Nama mod

Salam,

Saya adalah blogger Sosialis Hijau. Saya mohon pada tuan untuk keluarkan link saya dari blog tuan kerana blog saya telah di ceroboh. Bukan saya yang menulis blog bermula pada 22/3/10. Saya mohon sangat2 jasa baik tuan keluarkan blog saya dengan segera.

Sila hubungi saya di 019-4342479 untuk apa2 pertanyaan.

Terima kasih

Reply

Assalamualaikum wbt.

Saya sebenarnya mempunyai satu soalan yang terbuku di hati saya. Soalannya, mengapakah PKM masih menjalankan aktiviti subversif dengan menyerang anggota keselamatan setelah Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957. Paling tragis, permulaan insurgensi 1968-1989 bermula dengan serangan hendap PKM ke atas Pasukan Polis Hutan di Kroh/Betong pada 17 Jun 1968 yang mengakibatkan 16 orang anggota polis mati dibunuh oleh PKM. Sedangkan ketika peristiwa itu berlaku selepas 11 tahun Malaysia merdeka. Ayah saya merupakan seorang anggota Renjer di dalam Angkatan Tentera Malaysia terpaksa berjuang dan bertempur dengan PKM bermula selepas beliau tamat latihan rekrut pada tahun 1973 hingga 1989. Pelbagai kisah duka telah dikongsi oleh ayah saya semasa perkhidmatan beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia termasuk kisah-kisah sahabatnya yang terkorban akibat diserang oleh PKM. Dari situ telah menimbulkan persoalan mengapa PKM melancarkan perang gerila ke atas kepentingan Malaysia walaupun telah merdeka? Mohon pencerahan daripada Tuan. Terima kasih.

Reply

Categories

Pengikut