FAKTA-FAKTA: GEROMBOLAN PENYAMUN KUOMINTANG

Pada 8 Disember 1941, tentera penceroboh Jepun secara serentak mendarat di Kota Baru, Kelantan dan Songkla di Thai Selatan. Kedua-dua pasukan Jepun itu seterusnya menyerang ke selatan dari timur dan barat. Tentera penjajah British mengalami kekalahan terus menerus. Hingga pertengahan Februari 1942, seluruh Malaya pun diduduki fasis Jepun.

Ketika pengunduran diri, tentera British telah meninggalkan sejumlah senjata dan peluru di merata tempat. Untuk menduduki Singapura secepat mungkin, tentera Jepun terus mengejar tentera British tanpa membersihkan medan perang. Sebab itu sebahagian senjata dan peluru yang dicampakkan British telah jatuh ke tangan tentera dan rakyat anti-Jepun yang dipimpin PKM dan sebahagian kecilnya jatuh ke tangan massa yang bangkit melawan Jepun secara spontan. Misalnya massa di Pulai Kelantan telah membentuk pasukan bersenjata anti-Jepun yang kemudian menyerta Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya.

Selain itu, sebahagian kecil lagi dipungut oleh penjahat-penjahat. Dengan menggunakan kekacauan ketika itu, penjahat-penjahat tersebut melakukan perompakan di sana sini. Di Pulai, Kelantan, di kawasan Lenggong, Gerik di Perak, serta di kawasan Raub, Pahang, mereka membentuk pasukan yang terdiri daripada lebih 60 orang. Dengan mengibarkan panji-panji membela diri dan melawan Jepun, mereka menutup-nutupi kejahatan mereka yang menjahanamkan rakyat. Sejumlah kecil penduduk di kawasan pedalaman termakan tipu muslihat mereka dan telah menyertai gerombolan penyamun tersebut.

Akan tetapi, gerombolan penyamun itu tidak pernah menyerang tentera Jepun secara inisiatif, melainkan melakukan peras ugut dan menganiayai massa di merata tempat. Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya pernah membuat pekerjaan demi mencegah mereka daripda menganggu massa rakyat dan menarik mereka untuk bersama-sama melawan Jepun. Berkat usaha tentera kita yang tak kenal lelah, beberapa gerombolah penyamun yang bergerak di kawasan tersebut telah menerima pimpinan politik tentera kita dalam batas-batas tertentu. Di bawah didikan dan pengaruh tentera kita, kegiatan mereka yang menjahanamkan rakyat telah berkurang sedikit pada satu ketika dan orang-orang yang tertipu di kalangan mereka juga telah menjadi perajurit anti-Jepun yang sejati.

Akan tetapi, kerana tabiat mereka yang susah hendak diubah dan enggan mematuhi disiplin tentera kita, gerombolan penyamun tersebut telah melepaskan diri dari pimpinan tentera kita secara berturut-turut. Kemudian mereka mendakwa diri sebagai “Tentera Anti-Jepun Hwa Piao” dengan memakai lambang “Kuomintang”. Kerana tentera kita menentang perbuatan mereka yang terus menerus merugikan kepentingan massa, maka sesetengah orang di antara mereka malah memusuhi tentera kita secara terang-terangan.

Tanpa mempedulikan nasihat tentera kita, pasukan penyamun yang bercokol di Pulai, Kelantan telah menyerang pekan Gua Musang mengakibatkan tragedi yang mengerikan dengan melakukan pembakaran, pembunuhan dan perompakan. Kemudian salah satu gerombolan di antaranya telah merampas senjata beberapa kawan tentera anti-Jepun yang bertugas di situ lalu menghalau kawan-kawan itu. Penyamun-penyamun tersebut bukan saja enggan memberhentikan perbuatan yang merugikan kepentingan massa bahkan melakukan perovokasi ke atas tentera kita.

Di samping itu, gerombolan penyamun yang bergerak di Raub itu juga telah melepaskan diri daripada pimpinan tentera kita dan lari ke Kelantan dan bergabung dengan mereka. Ketika hubungan tentera kita dengan mereka sedang menjadi tegang, Crystal, seorang tentera British yang bertugas melakukan sabotaj di garis belakang musuh di Perak telah melarikan diri dari tentera kita lalu bergabung dengan penyamun itu. Dengan hasutan orang Inggeris itu, penyamun-penyamun itu bertambah lebih ganas lagi. Bila diserang balas tentera kita, mereka telah berundur ke kawasan Sungai Pergau. Mereka menindas massa Melayu di sana pula. Atas tuntutan massa Melayu, tentera kita telah menghantar pasukan memburu mereka, ma ka itu mereka pun melarikan diri ke kawasan sempadan Thai. Ketika itu kebetulan Jepun telah menyerah diri. Gerombolan penyamun itu pun muncul di Kota Baharu dan Gerik sebagai apa yang disebut “Tentera Anti-Jepun Hwa Piao”. Imperialis British segera mengiktirafnya.

Penyamun yang berkeliaran di sekitar Gerik dan Lenggong, Perak juga terus menerus menganiayai massa Melayu di kawasan tersebut setelah mereka melepaskan diri daripada tentera pimpinan tentera kita.

Pada tahun 1943 atau tahun 1944, mereka diserang tentera Jepun. Dengan dalih orang Melayu telah mengkhianati mereka, mereka membalas dendam ke atas sebuah kampung Melayu di Chepo. Mereka membunuh semua lelaki di kampung itu dan menghina banyak wanita di siatu. Fasis Jepun pun memfitnah tentera kita yang melakukan kejahatan itu dan membuat persiapan membangkitkan pergaduhan bangsa-bangsa. Tentera kita tampil berbagai cara termasuk menyebarkan risalah, mendedahkan duduk perkaranya dan menyatakan bahawa peristiwa tersebut tidak ada kena mengena dengan tentera kita.

Gerombolan penyamun yang bergerak di Parit melepaskan diri daripada pimpinan tentera kita menjelang kekalahan Jepun. Tapi mereka sengaja memakai uniform tentera kita dan menginjak-injak kepala massa Melayu di sekitar Sungai Manik – Telok Anson. Fasis Jepun juga membangkitkan penyembelihan bangsa-bangsa dengan menggunakan kegiatan jahat mereka itu.

Setelah imperialis British menjajah semula negara kita, “Tentera Anti-Jepun Hwa Piao” telah dibubarkan. Bekas anggota-anggotanya pun berhimpun dalam 2 kumpulan. Satu kumpulan kira-kira 100 orang di sekitar Gerik dan Keruh dan satu kumpulan lagi kira-kira 30 - 40 orang di kawasan Betong, Selatan Thai. Ketika itu mereka sudah mengadakan hubungan sulit secara rasmi dengan pemerintah Chiang Kai-Shek melalui Lau Pak Kuan, anggota Jawatankausa Penyelia Pusat Kuomintang, Tiongkok (kemudian dia menjadi benggolan MCA, Perak). Pada tahun 1947, Klik Chiang Kai-Shek yang berambisi hendak menggunakan kedua-dua gerombolan itu untuk melakukan kegiatan yang tersembunyi, parti kita telah berjaya mendapatkan surat kepujian dan surat tauliah yang dikeluarkan pemerintah Chiang Kai – Shek kepada gerombolan tersebut serta benggolannya. Kedua-dua benggolan itu melakukan perompakan dan penculikan serta menyerang gerakan demokratik di kawasan sempadan Perak Utara – Thai dan mencuba hendak membunuh tokoh-tokoh demokratik yang progresif.

Dari akhir bulan Mei hingga awal bulan Jun 1948, Mac Donald, Pesuruhjaya Tinggi imperialis British untuk Asia Tenggara terburu-buru ke Nanking untuk berunding dengan Chiang Kai Shek dan mencapai persetujuan anti-komunis. Sekembalinya ke Singapura dari Nanking, dia pun membuat ucapan dengan ganasnya melalui radio. Seterusnya, imperialis British pun menguatkuasakan Undang-undang Darurat di seluruh Malaya. Atas perintah pemerintah Chiang Kai Shek, gerombolan penyamun yang berada di Perak itu telah menyertai pasukan polis khas imperis dan menjadi alat imperialis British dalam menyerang tentera kita. Di bawah hentaman tentera kita, gerombolan itu menderita kerugian terus menerus dan kekuatannya semakin merosot, akhirnya mereka lesap dengan begitu sahaja.
Kumpulan penyamun di Betong, (Selatan Thai) itu terus bercokol di dalam hutan. Pada bulan Julai 1950, atas tuntutan massa Betong, tentera kita menyerang khemah mereka dan memberikan pukulan yang menewaskan ke atas mereka.
---
Siaran Suara Revolusi Malaya 16 – 17 Mei 1981

Categories

Pengikut