WARGA LUBUK KAWAH: GAGAH BERANI DAN PINTAR, TAK TAKUT TALI GANTUNG PENJAJAH

Massa revolusioner Lubuk Kawah telah mewarisi tradisi mulia perjuangan Datok Bahaman, rela bergalang tanah daripada bertekuk lutut kepada kaum penjajah. Mereka gagah berani dan pintar dihadapan musuh serta mempunyai semangat pengorbanan yang tinggi, tak takut menghadapi seksaan dan tali gantungan musuh. Dua contoh yang menarik boleh dipaparkan di sini.

Suatu pagi waktu subuh, setelah Undang-undang Darurat diisytiharkan, satu kompeni askar penjajah telah datang mengepung rumah-rumah orang ramai di kampung itu, memaksa warga turun dari rumah dan berbaris untuk diperiksa. Dalam peristiwa itu, seorang pemuda revolusioner anggota PKMM telah ditangkap lalu hendak digiring ke penjara. Dalam saat-saat mencemaskan itu, pemuda tersebut berpura-pura hendak buang air besar dan meminta kebenaran dari seorang pegawai di situ. Dengan dikawal ketat-ketat oleh beberapa orang askar ia pergi ke tandas dalam sungai. Tiba di tandas, ia perlahan-lahan turun dalam air lalu menyelam dan segera melepaskan diri dengan selamatnya. Setelah lama menunggu di luar tandas, askar-askar itu merasa curiga lalu menyerbu ke dalam tandas yang kosong itu. Barulah mereka tahu bahawa mereka telah diperdayakan.

Setelah berjaya melepaskan diri, pemuda revolusioner tadi berusaha menghubungi pasukan gerila. Akhirnya dia telah diterima menjadi perajurit Rejimen Ke-10.

Seorang lagi pemuda revolusioner bernama Omar, anggota PKMM yang menjadi anasir cergas Rejimen Ke-10 telah ditangkap kaum penjajah dan dikenakan hukuman gantung. Kali pertama ia telah ditangkap bersama bapanya dan dipenjarakan selama 1 tahun. Setelah dibebaskan, bapanya tidak dibenarkan lagi tinggal di Lubuk Kawah. Sungguhpun begitu Omar dibenarkan menetap di Lubuk Kawah dengan syarat ia tidak lagi menyokong komunis atau Rejimen Ke-10.

Tetapi Omar tetap bersemangat berkobar-kobar dan menjalankan berbagai tugas revolusi. Suatu kali, tentera upahan penjajah telah menyerbu kampung. Mereka telah menjumpai barang-barang yang Omar belikan untuk Rejimen Ke-10 yang belum sempat diserahkan. Omar ditangkap untuk kedua kalinya dan dibawa ke penjara.

Di dalam penjara, Omar dikenakan bermacam-macam seksaan termasuk menggunakan karan elektrik. Akan tetapi tekadnya teguh tak tertundukkan. Akhirnya kaum penjajah telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas patriot Omar di Raub.

Omar adalah seorang patriot dan pahlawan kemerdekaan!

1 ulasan:

Memang tiada siapa yang boleh menafikan keberanian anak - anak Lubuk Kawah. Biarpun taruhannya adalah nyawa, mereka sambut dengan tangan yang terbuka.
Malangnya ada golongan yang cuba menutup perjuangan, tetapi yakin anak cucu Semantan tetap tidak pudar jiwanya.
Al Fatihah untuk pejuang terdahulu.

Reply

Categories

Pengikut