TEMERLOH DILANDA GELOMBANG REVOLUSIONER


Temerloh telahpun terkenal dengan Perang Bahaman, perang orang Melayu menentang penjajah British yang paling lama dan paling luas sekilnya yang pernah berlaku di negara kita. Secara lahirnya perang itu telah gagal. Akan tetapi perang itu telah mencambahkan benih patriotism revolusioner. Ditilik secara keseluruhan perjuangan rakyat negara kita, Perang Bahaman sebetulnya belum selesai. Dari masa ke masa, dari tahap ke tahap, kita saksikan putera puteri Sungai Pahang sentiasa bangkit silih berganti meneruskan cita-cita angkatan terdahulu untuk sebuah masyarakat yang benar-benar merdeka, bebas, adil dan saksama untuk seluruh rakyat.

Dalam tahun-tahun 30-40 an, rakyat kedua belah tebing Sungai Pahang telah menyaksikan kebangkitan baru perjuangan untuk kemerdekaan yang dipelopori KMM (Kesatuan Melayu Muda).

Dalam masa pendudukan fasis Jepun, rakyat Temerloh khususnya kaum tani menyambut seruan PKM dan dengan antusias memberikan sokongan dan dukungan yang sehangat-hangatnya kepada TAJRM. Banyak kampung telah menjadi pangkalan gerila Anti-Jepun.

Pada masa aman (selepas Jepun kalah dan menjelang darurat) Temerloh telah menjadi salah satu pusat yang penting pergerakan revolusioner di Malaya. Pengaruh PKM berkembang dengan pesat dan meluas di Temerloh hingga dapat saling berkoordinasai dengan organisasi-organisasi revolusioner dan anti-penjajah di sana. Pejabat PKM yang didirikan secara terbuka waktu itu di Kuala Lumpur telah dikunjungi dengan tak putus-putus oleh massa rakyat berbagai bangsa dari seluruh pelusuk tanah air termasuk rakyat revolusioner bangsa Melayu dari Temerloh.

Di bawah dorongan situasi revolusioner, ramai pemuda-pemuda Melayu Temerloh menceburkan diri menjadi Angota Liga Pemuda Demokratik yang dipimpin oleh PKM. Di samping itu terdapat juga organisasi-organisasi revolusioner yang patriotik-demokratik yang bekerjasama dengan PKM seperti PKMM, API, AWAS, Barisan Tani Malaya dan kemudian PETA telah didirikan satu demi satu dengan Temerloh sebagai salah sebuah pusat perkembangan yang sangat penting. Pemuda pemudi bahkan orang-orang dewasa Melayu dengan aktif menerjunkan diri dalam pergerakan-pergerakan tersebut. Bandar Temerloh telah menjadi tumpuan tokoh-tokoh progresif dan patriotik dari seluruh pelusuk tanah air.

Di mana-mana sahaja suara revolusioner bergema; salam perjuangan seperti MERDEKA yang dijawab dengan DARAH, AWAS dan lain-lain sentiasa kedengaran baik di bandar-bandar mahupun di kampung-kampung. Di merata tempat di daerah Temerloh telah didirikan cawangan-cawangan pergerakan revolusioner seperti mukim-mukim Perak, Songsang, Sanggang, Bangau, Kuala Krau, dan lain-lain. Antara organisasi-organisasi ini, API lah yang paling aktif. Anggota-anggotanya yang berpakaian seragam putih dan bersongkok di upacara rasmi itu sering berkejar ke sana sini untuk membangkit dan menyusun orang ramai. Apabila API diharamkan, pemimpin-pemimpin dan anggotanya mendirikan PETA dan kegiatan-kegiatannya terus berkembang di Temerloh.

Organisasi-organisasi revolusioner tersebut telah menjalin hubungan yang erat antara satu sama lain dan dengan massa rakyat tempatan. Mereka saling bertukar-tukar maklumat, saling menyampaikan keputusan-keputusan parti, mengadakan mesyuarat-mesyuarat bersama untuk saling belajar dan bertukar-tukar pengalaman dan lain-lain. Mereka telah mendirikan syarikat-syarikat kerjasama, syarikat kerja gotong royong dalam masalah ekonomi serta telah melaksanakan kerja-kerja kebajikan seperti memperbaiki jalan jalan, memperbaiki atau mendirikan madrasah atau suratu-surau, membantu orang ramai yang ditimpa kemalangan dan lain-lain.

Di beberapa kampung organisasi-organisasi revolusioner tersebut telah mendirikan balai rakyat yang memainkan peranan sebagai tempat perhimpunan bagi mesyuarat-mesyuarat dan perbincangan-perbincangan serta sebagai tumpuan hubungan antara sebuah kampung dengan kampung yan g lain dan antara sebuah organisasi dengan organisasi yang lain. Selain itu, balai rakyat ini juga telah menjadi tempat mempelajari teori-teori revolusi.

Di samping itu, grup-grup propaganda juga didirikan. Pemuda-pemudi Melayu telah bergabung atau berkoordinasi dengan pemuda-pemuda Cina. Mereka pergi ke merata kampung , pekan atau bandar membantu menyelesaikan pertentangan-pertentangan antara bangsa-bangsa dan menyatupadukan bangsa-bangsa. Mereka juga mementaskan berbagai pertunjukan seperti sandiwara, tarian, nyanyian dan lain-lain serta membuat ucapan-ucapan dan aktiviti-aktiviti revolusioner lainnya yang anti-penjajah dan anti kelas pemeras. Massa rakyat luas dari berbagai bangsa telah memberikan sambutan dan pujian yang hangat serta menghulurkan derma dalam bentuk wang, bahan-bahan makanan, alat-alat kelengkapan dan lain-lain sebagai menyatakan sokongan dan dukungan mereka kepada pergerakan revolusioner.

Kesedaran revolusioner ini telah disemai oleh Perang Bahaman dan dibajai dan disirami oleh perjuangan KMM, PKMM, PKM, API (kemudian PETA), AWAS dan Barisan Tani Malaya. Bibit-bibit ini telah melahirkan Rejimen Ke-10 TPNM, berjuang merebut kemerdekaan dengan darah dan jiwa raga setelah penjajah British mengisytiharkan Undnag-undang Darurat pada tahun 1948.

Categories

Pengikut