SERUAN MERDEKA BERKUMANDANG DI ANGKASA TEMERLOH

Pada bulan April 1948, PETA telah mengadakan kongres kebangsaan selama 3 hari 3 malam di bandar Temerloh dengan dihadiri oleh wakil-wakil berbagai negeri dari seluruh Malaya. Di kemuncaknya, kongres telah memutuskan untuk mengadakan perarakan secara besar-besaran walaupun diharamkan oleh penjajah British. Mencium berita itu, penjajah telah mengarahkan anggota-anggota polisnya dari Betong dan Raub ke Temerloh. Polis-polis itu bersiap sedia dengan benet terhunus dihujung senapang masing-masing untuk menggugat para perwakilan Kongres dan rakyat ramai yang sedang menunggu perarakan dimulakan. Akan tetapi, semangat massa rakyat bukan saja tak tergertak jatuh, sebaliknya kemarahan mereka semakin meluap-luap. Mereka berpekik dengan lantang: “Mesti berarak!” “Jangan takut pada benet!” “Keras lawan keras!” dan lain-lain slogan yang militan.

Pada pukul 10 pagi, perarakan dimulakan dengan dipelopori oleh anggota-anggota PETA, AWAS, PKMM dan Barisan Tani Malaya. Lebih dari 5,000 pemuda dan wanita revolusioner bersama massa rakyat yang luas telah mengambil bahagian dalam perarakan itu. 2 helai bendera dikibarkan dengan megah, satu helai bendera merah putih berbintang 12 (bendera PUTERA-AMCJA dan juga lambang Malaya merdeka) yang melambangkan kesatuan negara kita yang mengandungi 12 buah negeri bahagian), satu helai lagi bendera AWAS yang tersulam dengan gambar Clara Zetkin. Peserta-peserta perarakan menjulang tinggi-tinggi beratus-ratus sepanduk, cogan kata dan slogan-slogan revolusioner yang bertuliskan kata-kata seperti

“MERDEKA!MERDEKA!”,

“SEMUA BANGSA BERSATU LAWAN PENJAJAH BRITISH!”

“PENJAJAH BRITISH NYAHLAH DARI MALAYA!”

danl ain-lain. Di samping itu sorak dan pekikan-pekikan “MERDEKA” berkumandang di angkasa raya dengan tak henti-hentinya.

Merah Putih Berbintang 12
lambang Putera-Amcja. Ia adalah lambang
Malaya Merdeka pertama yang pernah diajukan
kepada dunia - pertama kali dikibarkan sebagai lambang
Malaya merdeka oleh wakil Malaya di Sidang Serantau Asia
di New Delhi tahun 1947.

Liga Pemuda Demokratik pula telah mengirimkan pasukan pancaragamnya untuk mengiringi perarakan itu. Ini menyebabkan barisan perarakan tenggelam dalam semangat tempur yang semakin meluap-luap. Biarpun benet pasukan bersenjata penjajah British berkilat-kilat menunggu di hadapan, mereka terus maju tak gentar!

Apabila barisan perarakan sampai di jalan besar bandar Temerloh, barisan hadapan telah berhadapan dengan sepasukan polis yang diketuai oleh OCPD kulit putih. Walaupun polis-polis itu melodkan (memasukkan peluru) senapang mereka, akan tetapi pemuda-pemuda dan wanita-wanita revolusioner itu merempuh ke depan menjulang tinggi-tinggi panji revolusioner hingga berlakulah pergelutan dengan polis penjajah. Para pemuda dan wanita revolusioner yang sebahagiannya mempunyai senjata tersembunyi di badan masing-masing, bersiap sedia melakukan pertempuran dengan polis sekiranya polis bertindak dengan lebih ganas lagi. Beberapa orang dari mengacu-acukan tinju mereka ke batang hidung OCPD kulit putih yang congkak itu. Seorang pemuda revolusioner menggenggam erat-erat pistolnya dan bersumpah akan menembak mati si bedebah itu sekiranya polis menembak peserta-peserta perarakan. Akhirnya OCPD kulit putih itu dibelasah oleh seorang pemudi revolusioner anggota AWAS dengan tiang bendera sehingga ia jatuh terduduk. Musuh gementar ketakutan lalu undur beberapa langkah. Barisan perarakan mara terus hingga ke padang rapat umum.

Walaupun matahari panas terik di atas kepala tapi, rapat umum itu semakin lama semakin rancak. Ucapan demi ucapan dari tiap-tiap wakil mendapat tepukan yang bergemuruh. Hampir pukul 1.00 tengah hari, barulah rapat umum itu bersurai untuk menunggu malamnya bagi mengadakan pertunjukan pentas yang revolusioner.

Pada malam itu, panggung sandiwara yang dihias dengan slogan-slogan dan sepanduk-sepanduk bermandi cahaya lampu elektrik yang berwarna warni manakala padang pertunjukan penuh sesak dengan penonton dari berbagai kaum. Setelah lagu pembukaan “Tanahair Ku” selesai dimainkan, pengerusi majlis tampil ke pantas membuat ucapan yang berapi-api dan penuh bersemangat dengan mendapat tepukan yang membadai dari para penonton. Semasa pertunjukan itu berjalan, 4 platun askar Gurkha, 2 platun polis dan berpuluh-puluh orang intelijen penjajah ditempatkan di sekeliling padang pertunjukan sementara sejumlah askar lagi ditempatkan di Mentakab sebagai kekuatan rizaf.

Pasukan penjajah yang bersenjata lengkap itu berkali-kali menyerbu ke panggung untuk menghalang dan membubarkan pementasa itu serta memberkas petugas-petugasnya. Akan tetapi, penyerbuan-penyerbuan penjajah itu telah dilawan dengan keras dan gagah berani oleh pasukan pengawal sandiwara sehingga nyaris-nyaris berlaku pertempuran. Akhirnya musuh mendapat hidung panjang lalu berundur dari situ. Pertunjukan itu diteruskan hingga selesai pukul 12 malam dengan mendapat sambutan yang sehangat-hangatnya dari para hadirin.

Massa rakyat mendapat pemberangsangan yang sangat besar dari kongres, perarakan serta pertunjukan itu. Lebih-lebih lagi dalam rapat-rapat umum tersebut, wakil-wakil yang berucap berkali-kali menyebut semangat Bahaman seperti “Darah Bahaman mesti ditebus dari penjajah British”, “Anak Temerloh adalah keturunan Bahaman” dan lain-lain.

Pada 1 Mei 1948, di bandar Mentakab (6 batu dari Temerloh) telah diadakan pula perarakan untuk menyambut Hari Pekerja Antara Bangsa 1 Mei. Pada mulanya penjajah British melarang perarakan itu, akan tetapi, anggota-anggota Liga Pemuda Demokratik, PKMM dan lain-lain organisasi-organisasi yang menganjurkan perarakan itu tidak mempedulikan larangan kaum penjajah dan menjadi pelopor meneruskan perarakan. OCPD kulait putih yang telah dihajar dengan secukupnya beberapa minggu sebelum itu langsung tidak berani turun dari kereta. Perarakan berlangsung tanpa gangguan.

1 ulasan:

Ada gambar bendera AWAS tak?

Reply

Categories

Pengikut