CERITA SURIANI BERKENAAN PENYAMUN KUOMINTANG

Dalam masa pendudukan fasis Jepun, terdapat 100 orang lebih gerombolan penyamun bersenjata yang menggelar dirinya sebagai Pasukan Kuomintang Chiang Kai Shek menduduki kampung-kampung Melayu di sekitar lembah Sungai Perak. Mereka masuk ke kampung-kampung merompak harta benda orang ramai, memaksa orang ramai memberikan bekalan makanan dan mata benda kepada mereka. Setiap hari, mereka makan, minum dan berfoya-foya; mereka juga sentiasa menyeksa dan memukul orang kampung, mencabul kaum wanita dan mengambil anak isteri orang. Menyelesaikan masalah keganasan penyamun demi membela kepentingan orang ramai dan memelihara keselamatan kampung-kampung telah menjadi satu tugas penting Jawatankuasa Kawasan ketika itu. Setelah Naib Setiausaha Jawatankuasa Negeri Chung Ai-ke bersama anggota-anggota Jawatankuasa Kawasan mengadakan perbincangan dan pengkajian secara teliti serta melalui pertemuan banyak pihak dan membuat pengaturan-pengaturan yang sewajarnya, beliau membuat keputusan untuk memberhentikan kegiatan keganasan penyamun itu dengan cara berunding.

Apabila saya mengetahui Ai-ke akan pergi berunding dengan puak penyamun itu, saya meminta izin kepadanya untuk ikut sama dalam regunya. Entah mengapa saya merasa ingin melihat bagaimana rupanya puak penyamun yang sangat ditakuti massa itu. Permintaan saya dipersetujui dengan cara saya menyamar sebagai setiausaha Ai Ke. Beliau membawa saya dan pengawalnya ke suatu tempat yang dijanjikan untuk mengadakan perundingan dengan puak penyamun.

Chung Ai-ke pandai menghadapi penyamun. Dengan gayanya yang tersendiri dia mengemukakan syarat-syarat kepada penyamun. Puak-puak penyamun itu tunduk mengalah di hadapannya. Antara syarat-syarat yang dikemukakannya ialah tidak membenarkan mereka masuk kampung merompak, mengutip cukai atau derma atau meminta harta benda massa. Semua belanja makan dan lain-lain untuk mereka akan ditanggung oleh pihak Tentera Anti-Jepun. Tapi mereka haruslah membenarkan pihak Tentera Anti-Jepun menghantar seorang Wakil Parti duduk di pasukan mereka. Kepala penyamun itu terpaksa menerima syarat-syarat tersebut kerana takutkan kekuatan dan kewibawaan Tentera Anti-Jepun. Setelah berunding, setiap bulan kader Melayu Abdullah C.D. yang bertanggungjawab memimpin lasykar rakyat di kawasan itu membawa satu guni (guni beras) wang untuk kegunaan mereka.

Pada mulanya, puak penyamun itu mematuhi syarat-syarat yang diberikan, tetapi kemudiannya, mereka membelakangi perjanjian, merompak harta benda orang ramai dan mencabul kepentingan orang ramai. Akhirnya pihak Tentera Anti-Jepun terpaksa mengambil tindakan menyelesaikan mereka secara kekerasan, sebahagian besar daripada mereka itu telah dihapuskan, manakala sisa-sisanya melarikan diri ke tempat lain.

Categories

Pengikut