BERONTAK RANG MUDA - BIJAK MAHASISWA BERTINDAK!!!


Monday, February 1, 2010
berontak rang muda - bijak mahasiswa bertindak!!!
http://sampahseni.blogspot.com/

Kadang-kadang perubahan datang mendadak, biarpun setidak-tidaknya perubahan telah menampakkan tanda-tandanya - samada diperlekeh atau tak dipedulikan pergerakannya. Enggan menerima hakikat kesementaraan hanya membuktikan kesombongan atau keangkuhan yang bodoh dan membodohkan. Bahawa dalam hukum kesementaraan sejarah, perubahan adalah sesuatu yang tak dapat dielakkan. Runtuhnya komunis Soviet, berakhirnya perang Vietnam, hancurnya Apartheid di Afrika Selatan dan bebasnya Mandela, tumbangnya diktator2 dunia ketiga seperti Jeneral Mohamad Suharto pada Mei 1998, kadang-kadang dilihat berlaku dalam sekelip mata. Kelihatannya begitulah. Tetapi sebenarnya kita dapat membaca gerak mula, riak tanda-tanda arus besar perubahan ini.

Perubahan - untuk baik atau buruk - selalu terkait dengan semangat muda. Usia kemudaan, darah panas, hormon dalam tubuh menumbuhkan tenaga dan kecerdasan fikiran - khayalan, angan-angan, mimpi, cita-cita, hasrat - yang cukup luar biasa. Aku melalui kemudaanku di tengah tahun-tahun 1990an - generasi yang lahir pada penghujung tahun 70 an, membesar dalam tahun-tahun 1980an - dengan kedatangan tivi warna dan siaran-siarannya. Bukanlah bermakna aku telah tua. Tetapi aku cuba mengukur kemudaan pada usia 18-25 tahun sekarang ini.

Anak-anak muda yang lahir pada tahun 1985-1992, yang membesar dalam persekitaran penuh gaya teknologi-teknologi baru dekad 1990an. Anak-anak muda yang menyaksikan peristiwa 1998 dan gerakan reformasi. Anak-anak muda yang menemukan keremajaan mudanya sepanjang dekad pertama abad baru 2000 an. Anak-anak muda ini telah melalui proses perkembangan minda, fikiran dan pemikiran yang cukup maju sekali, akibat segala macam krisis fizikal dan jiwa yang hadir dalam persekitaran pembesarannya. Mereka dengan dasar langit terbuka, "cintakan IT," dalam dunia internet dan teknologi digital, menemukan wajah-wajah baru penerokaan alam fikiran yang cukup luas, seluas hasil carian mesin google.

Ataupun mereka yang mewarisi semangat perjuangan generasi terdahulu - ini hasil pembacaan, pencarian, pembacaan ataupun melalui pengalaman keluarga ataupun orang-orang terdekat mereka. Anak-anak muda yang terdedah dengan gerakan NGO, kesedaran reformasi untuk mendapat nikmat hak-hak dan kemerdekaan yang dirampas, atau perjuangan parti-parti politik dengan agenda perubahan masing-masing.

Bayangkan anak-anak dekad 2000 dan sekarang ini, seusia 2 tahun sudah diperkenalkan dengan permainan video play station. Sekolah rendah dan menengah sudah menggunakan telefon bimbit, komputer, internet hubungan maya mendekatkan jarak yang terpisah kerana batas-batas usia. Teknologi telah merobohkan sempadan perhubungan orang-orang muda hari ini.

Kemudian perhatikan, bagaimana teknologi mengasah tajam minda mereka, meluas pengetahuan, mengaktifkan strategi kewajaran waras gerak dan tindakan. Perhatikan senarai panjang permainan-permainan video, digital, maya di internet. Permainan-permainan strategi bukan seperti generasi aku, permainan video "bricks game", mengatur strategi untuk susunan batu-bata. Permainan sekarang, permainan strategi sebagai pencatur perang, sebagai maha raja dengan pemerintahannya, sebagai mafia. Fantasi dan khayalan yang sebenarnya tidak mudah untuk diterjemah dalam penciptaan alam nyata. Yang ingin aku jelaskan disini, bukanlah permainan digital sebagai fenomena pelarian semata-mata, tetapi permainan digital sebagai manifestasi kesan guna teknologi, yang secara sedar atau tanpa sedar telah mengubah cara dan bentuk berfikir sebahagian besar anak-anak muda hari ini. Ataupun jutaan rangkaian hubungan sosial atau laman-laman maklumat, ensiklopedia, berita, rencana, teks buku-buku, bahan-bahan audio, visual dan video.

Segalanya laju, cepat dan pantas. Pengumpulan pengetahuan dan ilmu - biarpun tidak selengkapnya - mengalir begitu laju sekali masuk ke dalam ingatan anak-anak muda ini. Banyak mitos-mitos dipecahkan - rujukan menjadi tidak mutlak satu sumber, tetapi dengan internet - kekayaan maklumat bebas dikongsi, dicerna dan dinikmati.

Nah, kita sedang menyaksikan kemunculan generasi mutan, hasil perkembangan teknologi semasa di Malaysia. Anak-anak muda yang melihat teknologi bukan hanya sebagai alat atau perkakas semata-mata. Tetapi teknologi buat generasi mutan ini adalah sebahagian daripada anatomi kewujudan tubuh mereka. Teknologi telah mengubah cara hubungan hidup mereka.

Kita semua sedang berhadapan dengan generasi ini. Generasi yang sempat menyaksikan, mendengar, terkesan trauma atau euphoria pada peristiwa reformasi 1998; pada perkembangan parti-parti politik Barisan Alternatif dan hari ini Pakatan Rakyat; pada pergeseran nilai, cita-cita tentang keadaan hidup dan penghidupan suatu masa depan yang dihasratkan oleh dua unsur kuasa yang sedang berlawanan; Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Pergeseran kuasa pada perubahan dari atas, dengan maksud menguasai kerajaan dan institusi-institusinya sedang berlaku di antara PR dan gerombolan BN. PR membawa harapan baru dan gerombolan BN mempertahan kekuasaan yang telah dinikmati selama lebih 50 tahun.

Pergeseran kuasa PR dan BN ini menghasilkan krisis-krisis politik yang memberi kesan terhadap hidup dan penghidupan anak-anak muda hari ini. Kesan yang juga dapat dilihat dan dirasai oleh keluarga anak-anak muda ini juga.

Ramai anak-anak muda seusia 18-25 ini sedang berada di institusi pengajian tinggi, mereka sedang menuntut dan belajar. Malangnya generasi muda - mutan dengan teknologi sebagai bahagian anatomi tubuh mereka - ini tidak menemukan cita-cita, angan-angan di universiti atau ipt - swasta dan lebih-lebih lagi awam. Ataupun pemikiran mereka telah terlalu maju ke hadapan hinggakan sistem, institusi atau aturan yang ada sekarang tidak dapat menampung gelora hasrat yang mereka bawakan.

Benar, dalam mana-mana generasipun tidak semua yang mudah berubah daripada tatacara hidup yang dipaksakan - atau aturan hidup lama yang menekan dan cita-cita aturan hidup baru yang memerdekakan. Ramai juga anak-anak muda yang terbantut fikiran dan pemikiran mereka -angkara program-program kongkongan yang dijalankan penguasa untuk mengawal dan mengekang pertumbuhan kemudaan mereka. Ia boleh dilakukan. Tetapi ianya tidak akan bertahan lama. Memang menjadi adat orang muda melawan arus. Lantas lahirlah wira-wira dengan heroisme romantika yang menjadikan mereka hidup segar dan bermakna sebagai seorang manusia berguna. [Meskipun kemudaan atau perubahan tidak seharusnya bermakna menjadi wira-wira dengan tindakan-tindakan yang heroik - suatu tindakan kecil yang kurang dramanya juga boleh mengubah sesuatu hal jika dilakukan dengan tindakan bersama jutaan jiwa dan tenaga. Ataupun perubahan tidak sepatutnya hanya dikaitkan dengan anak muda kerana ada juga dalam hal-hal tertentu, perubahan lahir dalam semangat dan gerak tindakan orang-orang tua.]

Tetapi begitulah orang muda. Apatah lagi jika mereka mahasiswa - dengan semudah bantuan internet, pencarian rujukan sejarah gerakan-gerakan mahasiswa terdahulu, di dalam dan di merata sejagat menjadi begitu mudah. Pembelajaran tidak hanya pada teks atau gambar pada helai kertas buku yang dicetak. Pembelajaran didapatkan pada pengalaman audio video digital dan realiti alam maya - interaksi - dengar - lihat - sentuh - fikir - gerak balas. Pendemokrasian sedang berjalan. Pencerahan sedang berlaku.

Mahasiswa anak-anak muda ini, bukan ahli-ahli politik atau politikus rakus - yang hadir wujud mencari peluang memangsa dalam PR, lebih-lebih lagi umum sedia maklum dalam BN. Mereka sedang menuntut ilmu di menara gading. Namun mereka mula sedar bahawa keadaan pembelajaran dan pendidikan di universiti dan ipt hanyalah seperti menuntut di gubuk pondok buruk, yang bumbungnya bocor dan gurunya hanyalah dirinya sendiri berserta alam kelilingnya, malam sebelum tidur dilagukan angan-angan bintang-bintang di langit terlalu jauh capainya. Ini kerana para pendidik atau kununnya ahli akademik juga ramai yang sudah terbantut, selesa dengan sistem pembodohan yang mengurung fikiran kepada satu jalur 'kekangkungan' pemikiran kuasa rakus yang ada. Mereka bukan lagi guru, sebaliknya jurutera sosial yang tugasnya bereksperimen cuba mereka bentuk manusia menjadi seperti mesin komputer yang digerakkan dengan kemutlakan satu jenis perisian program kehidupan sahaja - BN cara hidupku, yang lainnya adalah kesesatan dan penyelewengan yang tidak benar dan menipu belaka.

Jurutera-jurutera sosial ini lupa bahawa, fikiran dan pengetahuan - hasil hubungan komputer, teknologi digital - anak-anak muda mahasiswa ini telah melangkaui keilmuan kejuruteraan sosial 'guru-guru tipu' itu.

Makanya bila aku membaca berita tentang pergerakan mahasiswa hari ini (klik sini). Semangat, keberanian dan kecerdesan tindakan mereka memberikan aku harapan, perubahan akan tetap berjalan biarpun dalam keadaan cabaran-cabaran krisis yang telah, sedang dan akan berlaku sepanjang kita melalui dekad pertama 2000an yang telah berlalu, dan sepuluh tahun akan datang pada tahun 2020.

Krisis politik Perak, krisis Pakatan, krisis dalam BN, krisis dalam pentadbiran kerajaan, krisis dalam sistem pendidikan, krisis dalam universiti, krisis ekonomi - kekayaan yang makin mengecil mahu direbut oleh sesama gerombolan perompak yang makin membesar, krisis hasil pergelutan kuasa-kuasa yang mahu membebas merdeka atau mahu memenjara mengurung, krisis institusi - rasuah, pecah amanah dan penyelewengan kuasa; krisis nilai, budaya, agama, moral yang diingin buatkan dengan pergeseran terhadap nilai wang - ekonomi duit yang semakin hari menjadi nilai 'penentu' kepada hampir segala-galanya. Krisis antara kulit dan isi. Krisis antara jujur telus pertanggungjawaban dan dusta pura-pura penipuan. Krisis antara yang benar dan yang salah.

Krisis yang mungkin menimpa Selangor, kebarangkalian krisis hasil lompatan ahli-ahli parlimen PR (yang terjual) nanti, krisis kehakiman, perbicaraan dan tidak mustahul pemenjaraan semula Anwar Ibrahim. Ribuan krisis-krisis sejagat dan krisis-krisis setempat.

Krisis amat baik. Untuk seniman mungkin ia menjadi ilham berkarya. Untuk para pengarang baik untuk menulis. Untuk para peniaga baik untuk membuat untung. Untuk para opurtunis, baik untuk menangguk di air yang keruh. Untuk para ahli akademik intelektual ia baik sebagai bahan kajian dan penulisan ilmiah. Untuk para sejarawan ia baik untuk merekod pergerakan perjalanan sejarah manusia yang penuh warna-warninya. Untuk para penguasa baik untuk mencerminkan diri - jadi sedar berubah atau diubah.

Tetapi bagi para mahasiswa anak-anak muda sekarang ini, krisis akan menjadi medan percaturan pemikiran, pengetahuan atau perancangan strategi mereka (ramai di kalangan mereka yang telah melalui latihan kecerdasan strategi bertahun-tahun lamanya hasil tabiat yang didapatkan dalam mainan strategik maya dan digital). Krisis menjadikan pengalaman meluah, menyata, merealisasikan hasrat mereka. Krisis buat anak muda mahasiswa adalah permainan, percubaan, uji kaji yang cukup menarik sekali.

Ini kerana para mahasiswa hari ini menjadi kayu ukur atau penentu arah kehidupan masa depan - yang boleh menjadi lebih baik atau tambah memburuk lagi. Mereka - anak-anak muda mahasiswa hari ini akan menjadi penggerak perubahan dari bawah, mengalir bersama hasrat, cita-cita dan derita masyarakat - kerana mereka juga sebahagian daripada masyarakat yang tidak boleh dipandang sambil lewa hanya kerana usia kemudaan atau pengajian di universiti yang belum tamat lagi.

Perkembangan sepanjang minggu lepas menyaksikan anak-anak muda mahasiswa mula bergerak membantah undi Elektronik, merebut hak mereka yang dirampas. Kita dapat melihat kemarahan orang muda, kita dapat meneka ketajaman fikiran mereka, kita tahu mereka sedang mengumpul pengalaman, melaksana pengetahuan, kita mahu mereka akan tambah teguh mengharungi hari-hari mendatang, yang boleh saja menjadi milik mereka - bukan selamanya milik gerombolan perompak yang cuba untuk jadi kekal melawan hukum kesementaraan.

Kita sedang memerhatikan gerak sejarah baru, anak-anak muda mahasiswa ini bertindak untuk menciptakan suatu dunia baru yang adil demokratik dengan setiap manusia menikmati hak-hak paling asasnya untuk hidup merdeka, bebas daripada perhambaan sistem keserakahan kuasa. Syabas anak muda!

Dicatat oleh rahmat haron di 12:11 AM
Label: Auku, E-undi, elektronik, mahasiswa menggugat
---
dipetik dari http://sampahseni.blogspot.com/

Categories

Pengikut