ZAMAN RAKYAT: TERBENTUKNYA KELAS KAPITALIS BIROKRAT


Pada tahun 1952, imperialis British melantik Tampler sebagai pengarah gerakan perang kontra revolusioner merangkap Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya. Pada waktu itu, imperialis British mengalami kesulitan yang bertindih-tindih kerana komplotannya hendak melakukan perang cepat selesai di bidang ketenteraan telah menderita pukulan.

Untuk mengatasi kesulitan-kesulitannya, imperialis British telah menyusun strategi kontra revolusioner yang menyeluruh termasuk rancangan-rancangan seperti memperhebat serangan tentera, memainkan penipuan politik, mempergiat perompakan ekonomi dan memecah belah perpaduan bangsa-bangsa. Salah satu arahan yang diberi imperialis British kepada Templer berbunyi: harus menggalakkan dan menolong orang-orang Melayu memainkan peranan penuh dalam kehidupan ekonomi Negara kita untuk membetulkan ketidak seimbangan ekonomi pada masa ini. Arahan itu telah dilaksanakan Templer dengan sekuat tenaga setelah dia memegang jawatannya.

Orang Melayu mana yang hendak ditolongnya? Tentulah bukan petani Melayu yang tidak bertanah atau kekurangan tanah dan juga bukan nelayan Melayu yang miskin. Imperialis British bertujuan hendak membentuk satu kelas kapitalis birokrat yang terdiri dari kaum birokrat dan anasir-anasir bangsawan feudal Melayu yang mengabdi pada rejim penjajahannya sebagai satu lagi tiang seri untuk memelihara kepentingan penjajahan imperialis British di bawah syarat-syarat sejarah yang baru.

Untuk melaksanakan arahan tersebut, imperialis British telah mendirikan RIDA pada tahun 1953, kemudian menubuhkan FELDA pada tahun 1956. Selain itu ia telah mengambil langkah-langkah yang sesuai dengan arahan itu bagi mempersiapkan syarat-syarat kebendaan untuk terbentuknya kelas kapitalis birokrat. Jadi jelaslah bahawa DEB yang dijalankan klik Razak dulu dan yang diteruskan oleh Klik Hussein Onn itu berdasarkan arahan yang dibawa Templer dari London. Inilah lanjutan dasar ekonomi colonial. Dengan demikian terbentuklah kelas kapitalis birokrat yang berindukkan benggolan-benggolan utama UMNO, pegawai tinggi tentera dan ansiar-anasir bangsawan feudal di bawah tunjangan kuat imperialis British.

(Suara Revolusi Malaya 27 – 28 Mac 1979)

Categories

Pengikut