TENTANG REJIMEN-REJIMEN TENTERA ANTI JEPUN RAKYAT MALAYA


Sekarang kita tunjukkan pengalaman konkrit dari setiap rejimen Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya.

Pertamanya Rejimen Pertama. Rejimen Pertama didirikan pada 1 hari bulan Januari tahun 1942. Pada mulanya 15 orang kawan daripada Sekolah 101 dari Singapura. Mereka datang ke Selangor dengan setiap orang membawa selaras pistol point 3.2 saja. 3 orang barulah dapat memiliki selaras tomygun. Setiap orang ada sedozen bom tangan dan sejumlah ubat ledak. Apabila mereka tiba di Selangor, bersama-sama dengan kawan-kawan di Selangor, jumlahnya 50-60 orang telah membentuk Rejimen Pertama.

Rejimen Ke-2 ialah kawan-kawan dari Perak, jumlahnya 28 orang. Setelah mereka keluar dari Sekolah 101, mereka pada mulanya nak balik ke Perak, tetapi tak dapat, tinggal di Negeri Sembilan. Kumpulan ini mempunyai senjata lebih sedikit, iaitu setiap orang mempunyai 2 laras pistol, tomygun pun lebih sikit. Mereka tinggal di Negeri Sembilan telah membentuk Rejimen Ke-2 pada pertengahan bulan Januari.

Rejimen Ke-3. Kawan-kawan ini semuanya 40 orang lebih. Orangnya datang dari Kuala Lumpur dan Pahang. Setelah mereka meninggalkan Sekolah 101, mereka telah dihantar masuk dan tinggal di Johor Utara, kemudian telah membentuk Rejimen Ke-3 di Johor Utara (termasuk juga Melaka).

Rejimen Ke-4 ialah kawan-kawan dari Singapura dan Johor. Setelah mereka menerima latihan di Sekolah 101 dan baru saja dihantar masuk ke Malaya tinggal di Johor Selatan, Tambak Johor telah diledakkan. Jumlah orangnya 60 orang lebih. Merekalah membentuk Rejimen Ke-4.

Kawan-kawan, 4 kumpulan kawan yang tadi ialah murid-murid dari Sekolah 101, sekolah militeri. Dan lagi pada saat itu latihannya sangat rendah. Masanya hanya seminggu atau 10 hari sahaja. Tetapi telah memberikan teladan tepat kepada kita. Di sana kawan-kawan kita semua tak tahu soal senapang, soal perjuangan bersenjata. Maka sedikit sebanyak pengetahuan itu juga memberi bantuan kepada kita. Inilah mula-mula membentuk 4 rejimen.

Rejimen Ke-5 didirikan oleh State Komiti sendiri iaitu State Komiti di Perak. Pada masa itu kawan-kawan yang berlatih di Singapura itu telah tinggal di Negeri Sembilan, tak dapat balik. Maka organisasi Parti Perak sendiri telah mendirikan satu pasukan. Kerana di Perak organisasi Parti agak kuat sedikit dan mempunyai anggota Parti beberapa ratus orang dan mereka mengambil senjata-senjata daripada massa yang ditinggalkan oleh tentera British dahulu. Pada 15 hari bulan 2, kompeni yang pertama telah didirikan di Bidor. Kawan Chen Ping pada masa itu menjadi Komisaris pasukan kompeni itu. Kemudian sampai bulan 5 atau 6, pada tahun 1942 barulah dirasmikan menjadi Rejimen Ke-5.

Rejimen Ke-6 pada mulanya ialah pasukan tempatan. Mereka tidak mempunyai senjata. Sewaktu gard hanya menggunakan parang sahaja. Kemudian pasukan tempatan ini telah berkembang. Sampai bulan Ogos tahun 1943 telah dirasmikan menjadi Rejimen Ke-6.

Rejimen Ke-7, mereka dirasmikan pada pertengahan tahun 1944, tapi yang sebenarnya awal-awal lagi mereka telah banyak bertempur. Mereka ialah tentera (pasukan) tempatan iaitu di Pahang Timur dan di Terengganu. Apabila kita membaca buku Panji Merah Menggulung Pantai Timur maka kita tahulah seluruh sejarah pertempuran mereka. Mereka banyak bertempur dan banyak merampas senjata musuh serta pernah juga membunuh pegawai tinggi tentera Jepun dan askar-askar Jepun. Periuk-periuk api yang mereka guna di sana telah memainkan peranan besar di dalam pertempuran-pertempuran.

Rejimen Ke-8 dirasmikan pada masa Jepun nak menyerah diri. Tetapi mereka juga bertempur lebih awal lagi. Rejimen Ke-8 ini istimewanya ialah gunakan senapang kayu. Pada mulanya mereka tak cukup senapang, apabila membuat kerja maka mereka senantiasa gunakan senapang kayu dan pistol kayu.

Pada masa Perang Anti-Jepun, ejen dalam selimut Lai Te masih belum terbongkar lagi. Dia yang mula-mula menjadi perisik imperialis British kemudian telah menjadi perisik Jepun. Ia dengan seribu satu daya cuba hendak meniadakan perjuangan bersenjata. Dia selalu menganjurkan supaya perjuangan kaum buruh dan perusahaan industri dititikberatkan. Dia juga menganjurkan supaya senjata-senjata pasukan gerila disorokkan dan pasukan-pasukan dipencarkan menjadi gerup-gerup kecil lalu bergerak di tengah-tengah massa dengan dalih konon untuk menggerakkan massa. Akan tetapi, kerana kawan-kawan seluruh Parti melaksanakan sepenuhnya garis perjuangan bersenjata yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat Parti dan menggenggam kejat-kejat senapang maka kejahatan serigala musuh itu telah gagal. Di bawah pimpinan Parti kita, rakyat negeri kita telah mencapai kemenangan besar dalam perang anti-Jepun. Kepemimpinan Parti kita, rakyat negeri kita telah mencapai kemenangan besar dalam perang anti-Jepun. Tetapi Parti kita belum dapat meningkatan praktik dalam masa itu. Belum sedar sepenuhnya akan keharusan Parti Revolusi Demokratik Baru negeri kita untuk menempuhi jalan mengepung kota dari desa dan merebut kekuasaan politik dengan kekuatan bersenjata. Dan juga belum dapat memecahkan secara tegas masalah tentang tenaga penggerak revolusi negeri kita. Oleh kerana itu setelah fasis Jepun menyerah diri, Parti kita telah tertipu oleh musuh sehingga melaksanakan garis revisionis yang dianjurkan ejen dalam selimut Lai Te yang melepaskan perjuangan bersenjata, akibatnya buah hasil kemenangan telah terkubur. Ini telah menjelaskan bagaimana Parti kita telah ditipu oleh pengkhianat Lai Te. Kerana pada masa itu kita belum lagi sedar tentang soal desa kepong kota dan senapang rebut kuasa. Dan juga kita kurang faham lagi tenaga penggerak revolusi. Lai Te berkata, bangsa Tionghua dan bangsa India ialah bangsa pendatang, maka mereka adalah kaum perantau tetapi bangsa Melayu adalah bumiputera. Dia berkata, kalau kita mencapai kemenangan dalam perang anti-Jepun, kekuatan antara berbagai-bagai bangsa tak seimbang. Maka tak dapatlah mempertahankan perjuangan bersenjata. Kita telah tertipu oleh tipu helah musuh. Maka pengalaman baik dari segi positif mahupun segi negatif telah menginsafkan kita sedalam-dalamnya tentang teramat pentingnya memegang senapang.

Sekarang kita belajar pengalaman yang ketiga. Mestilah bersandar pada massa. Tepat sebagaimana yang diajarkan oleh guru agung Kawan Mao bahawa sumbangan paling kaya dari kekuatan perang terletak di kalangan massa rakyat. Perang revolusioner adalah perang massa. Perang itu dapat dilakukan hanya dengan mengerahkan massa dan hanya dengan bersandar kepada massa. Ketika itu, rakyat luas semua bangsa yang telah bersatu dan berorganisasi merupakan satu kekuatan yang tak terkalahkan. Justeru kerana mendapat sokongan kuat dari massa rakyat amnya dan massa di kawasan pedesaan khasnya barulah Parti kita dan tentera anti-Jepun rakyat dapat mengatasi seribu satu kesulitan dan bertalu-talu menghancurkan serangan musuh. Hubungan erat bagaikan isi dengan kuku antara Parti kita dengan rakyat luas ialah kerana kita mempunyai garis dan program yang pada pokoknya tepat dan kerana kita senasib, sepenanggungan dengan massa dan telah melakukan pekerjaan dengan teliti dan tak kenal susah payah di kalangan massa.

Kawan-kawan, pada masa itu memang kita mencapai hasil-hasil yang sangat baik di lapangan ini, iaitu kerja di kalangan massa. Terutamanya separuh pedesaan telah dikuasai oleh kita dan telah disusun serta dipengaruhi oleh kita. Tapak-tapak ormas juga diperluas dan kukuh atau satu pertiga penduduk seluruh Malaya telah dipengaruhi oleh kita. Semua bandar-bandar, baik bandar-bandar kecil mahupun bandar-bandar sederhana bahkan setengah-setengah bandar besar juga dapat dikuasai oleh kita. Dengan ini, kita telah dapat sokongan yang kuat daripada massa dari segi ekonomi mahupun di segi makanan. Pada pertengahan tahun 1944, di sesetengah negeri ada yang boleh tahan dan ada perbaikan di segi kehidupan kerana perjuangan massa. Pada masa itu, kita juga ada lima puluh ribu lasykar rakyat di sekeliling Parti kita. Maka inilah sumber kekuatan, sumber tenaga. Oleh sebab itu tentera kita dengan pesatnya berkembang sampai 10,000 orang. Yang terbukanya ada 4,000 dan yang sulitnya pula ada hampir 5-6,000 orang. Pada masa itu kita melatih kader-kader massa gunakan sekolah rakyat kerana kerja telah berkembang dengan pesatnya maka memerlukan mendidik ramai kader maka adakan latihan-latihan dan kursus-kursus di dalam sekolah rakyat. Sekolah rakyat tak lama, latihannya kadang-kadang sampai 3 hari sahaja telah dilepaskan, kemudian mereka bekerja. Pada masa itu pekerjaan di kalangan kaum tani juga ada perkembangan yang baru. Di seluruh Malaya, khasnya di Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, sudah ada mulai menyusun massa kaum tani. Umpamanya di sepanjang Sungai Perak, hampir 51 kawasan sana seperti kawasan bebas. Bendera tentera kita berkibar-kibar di atas motobot yang boleh membawa 100 orang itu berulang-alik di dalam Sungai Perak. Rapat-rapat umum massa kaum tani di kampung-kampung kadang-kadang diadakan sampai 3 hari 3 malam. Di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kawan-kawan kita juga menyusun massa di sana dan menghantar salah seorang State Komiti telah bersandar kepada kawasan inilah untuk menjalankan tugas-tugas mereka. Pasukan kita juga bebas di kalangan kawasan-kawasan Melayu. Kita bukan sahaja menyusun massa-massa kaum tani, bahkan kita dapat juga memenangi setengah-setengah orang-orang atasan, seperti penghulu-penghulu bahkan sultan-sultan kita juga ada buat kerja terhadap mereka. Dan setengah-setengah Sultan juga mempunyai hubungan yang erat dengan kita. Inilah 3 pengalaman sejarah.

selesai.

artikel terdahulu:




Categories

Pengikut