SEMBANG INTERNET: SOAL JAWAB REVOLVERS887 DENGAN MATAMIN48


1 - revolvers887@live.com: Penglibatan orang melayu dalam komunis adalah untuk memperjuangkan kemerdekaan. Bagaimanapun, adakah mereka terlibat sekali dengan aktiviti jahat komunis seperti kes membunuh polis di bukit kepong?

matamin48@live.com: Jahat adalah kata sifat. Dalam konteks Bukit Kepung boleh dianggap jahat dan boleh juga dianggap baik, terpulang dari sudut mana kita berdiri. Kalau kita berdiri di pihak penjajah sudah pasti kita menganggap ia suatu kejahatan, suatu keganasan. Akan tetapi jika kita berdiri di pihak perjuangan kemerdekaan, tindakan itu adalah sebagai hero. Mungkin ada orang akan mempersoalkan kerana serangan itu dilakukan ke atas polis Melayu.Walaupun mereka orang Melayu, tetapi mereka adalah alat penjajah British untuk mempertahankan kekuasaannya. Jika kita bertolak atas dasar nama Melayu, maka tak perlulah kita melancarkan perjuangan kemerdekaan terhadap British kerana Raja-raja Melayu sendiripun berpihak kepada penjajah British. Walau bagaimanapun dalam serangan Bukit Kepung, pihak Tentera Pembebasan Nasional Malaya tidak berniat untuk membunuh polis Melayu. Serangan itu lebih bertujuan melemahkan kekuatan penjajah British dan membangkitkan semangat perjuangan menentang penjajah. Sebab itulah TPNM telah memberikan jalan selamat kepada polis2 Melayu itu dengan mengeluarkan seruan menyerah diri, tetapi polis2 itu telah melawan mati-matian. Jadi polis2 itu benar2 mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan kaum penjajah.

2 - revolvers887@live.com: Adalah diketahui bahawa komunis merosakkan kemudahan ekonomi British seperti landasan keretapi dan kebun getah milih British semata-mata untuk melumpuhan ekonomi Inggeris. Bagaimanapun dengan aktiviti komunis yang masuk ke kampung dan meminta beras dari rakyat?. Jika tidak diberi rakyat mungkin boleh dibunuh

matamin48@live.com: Mereka yang tidak mahu memberi derma tidak dibunuh. Tiada dosa mereka untuk dibunuh. Jika ada berita yang mengatakan orang tak mahu memberi beras dibunuh, itu adalah berita propaganda. Mereka yang tergolong dalam kategori musuh barulah di bunuh – mereka ialah kaum penjajah dan anjing buruannya (sepai, intelijen). Askar dan polis tak termasuk dalam kategori ini. Hanya ketika mereka bertugas sebagai alat penjajah sahaja (spt ketika mereka melakukan serangan, mengiring kaum penjajah,berkawal untuk kaum panjajah) ketika itulah dianggap sebagai musuh.

3 - revolvers887@live.com: Jika komunis itu baik, mengapa Kiai Salleh di Johor, Cikgu Jantan (anak Datuk Bahaman) dan Pawang Nong (rakan seperjuangan Mat Kilau) membenci komunis, malah mereka sangat dimusuhi oleh komunis.

matamin48@live.com: Tentang Pawang Nong dan Cikgu Jantan saya tak tahu. Jadi saya tak dapat memberi ulasan. Akan tetapi Kiai Salleh adalah alat kaum penjajah. Penjajah British melalui Datok Onn telah mengapi-apikan sentiment perkauman. Datok Onn adalah algojo besar di Batu Pahat yang menghasut Kiai Salleh melakukan pembunuhan ke atas orang Cina di Johor. Pasukan TAJRM telah menangkap Datok Onn. Kerana Datok Onn mengakui kesalahannya secara jujur dan mahu memperbaiki kesalahan, maka Datok Onn dibebaskan. Selepas itu barulah Datok Onn mengarahkan Kiai Salleh supaya memberhentikan serangan ke atas orang Cina. Dan sejak itu barulah hubungan antara kaum di Johor dapat diamankan.

4 - revolvers887@live.com: Komunis seperti yang diketahui dipelopori oleh orang Cina. Adakah anda merasakan orang melayu yang masuk komunis ketika itu diperguna-gunakan oleh Cina untuk sama-sama berperang dengan mereka.Adakah melayu dan cina di dalam komunis boleh bekerjasama, adakah komunis-komunis melayu dibenarkan bersolat, tidakkah itu melanggar fahaman komunis?.

matamin48@live.com: Di sini tidak timbul masalah siapa pergunakan siapa. Yang ada hanyalah bagaimana caranya kita untuk mencapai kemerdekaan tanah air daripada cengkaman penjajah. Dalam PKM Cina atau Melayu boleh bekerjasama, kasih mesra antara satu sama lain. Dalam sejarah tanah air kita, ideology komunis yang paling tegas memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Kita tengok, golongan elit pertengahan Melayu bekerjasama dengan kaum penjajah. Golongan inilah yang mengasaskan UMNO. Manakala golongan bawah menentang kaum penjajah. Mereka terkumpul dalam idelogi nasionalis, sosialis, agama dan komunis. Aliran2 inilah yang menentang kaum penjajah dan semua aliran ini ternyata telah bersatu di bawah satu barisan bersatu yang kuat, yang (saya rasa) belum dapat diwujudkan pada sekarang. PKMM dipengaruhi komunis, dipergunakan komunis adalah propaganda penjajah British untuk memburukkan parti nasionalis Melayu itu sahaja.

Di dalam pasukan dianjurkan kebebasan beragama. Masalah agama adalah masalah individu dengan penciptanya. Kita orang Islam boleh melakukan solat, bahkan PKM telah membenarkan Rejimen Ke-10 menggunakan topinya sendiri bertujuan mudah untuk solat. Topi itu berbentuk songkok seperti yang dipakai askar Melayu. Propaganda yang mengatakan komunis memusuhi agama adalah propaganda penjajah semata-mata.

5 - revolvers887@live.com: Seperti yang diketahui bahawa Ibu Zaleha dan Abu Samah yang kedua-duanya mempunyai darah pahlawan Mat Ali dan Datuk Bahaman. Apakah anda merasakan bahawa mereka berjuang untuk kemerdekaan atau berjuang untuk menubuhkan kerajaan komunis?.

matamin48@live.com: Yang penting bagi mereka ialah berjuang untuk kemerdekaan dahulu. Setelah mencapai kemerdekaan, mereka akan adakan sebuah mesyuarat rakyat yang terdiri dari berbagai aliran ini untuk menentukan system apa yang harus digunapakai.

Bagi pejuang kemerdekaan, mereka tiada pilihan lain selain memilih bersama PKM. Kerana hanya PKM satu-satunya melawan penjajah apabila Darurat diisytiharkan.

6 - revolvers887@live.com: Saya pernah mendengar dari cerita orang bahawa komunis suka menembak orang dan menaman musuhnya hidup-hidup. Ini seperti yang terjadi kepada Mat Hussin atau cikgu jantan di Temerloh. Adakah cara seperti ini digunakan oleh komunis untuk menakut-nakutkan orang-orang melayu supaya tidak menentang komunis?

matamin48@live.com: Saya tak pasti apakah cerita yang saudara sampaikan ini benar atau propaganda penjajah. Tapi jika ia benar, bererti anggota kami yang melakukan perbuatan begitu telah melanggar disiplin, bertindak sesuka hati. Jadi saya mengutuk tindakan seumpama itu.

7 - revolvers887@live.com: Di dalam hutan, macam-macam perkara boleh berlaku. Kehidupan komunis tentu sangat memeritkan. Adakah di antara komunis-komunis melayu yang memiliki ilmu kebal, ilmu ghaib dan ilmu-ilmu kependekaran zaman dahulu. Misalnya saya pernah mendengar bahawa Rashid Mahidin,Abu Samah, dan Shamsiah Fakeh memiliki ilmu yang sangat hebat untuk terus berjuang dari dalam hutan. Adakah ini benar, jika benar..bolehkah kiranya anda ceritakan sedikit tentang ini kepada pembaca?.

matamin48@live.com: Setahu saya, mereka tidak memiliki apa-apa ilmu batin. Yang pasti mereka ada semangat memperjuangkan kemerdekaan yang tinggi, tekad juang yang teguh tak tertundukkan.

8 - revolvers887@live.com: Selepas kemerdekaan mengapakah komunis masih belum mahu meletakkan sejata, sedangakan komunis sendiri mengatakan bahawa perjuangan mereka adalah untuk kemerdekaan.

matamin48@live.com: Soal ini sebenarnya telah saya jelaskan di dalam blog saya. Berlakunya perundingan Baling adalah kerana kami mahu memberhentikan perjuangan bersenjata. Akan tetapi , dalam kata lurus, Tunku mahu perang itu diteruskan.Tunku mahu meneruskan dasar kaum penjajah British dengan mengharuskan kami menyerah diri dan harus dikenakan tahanan. Sebab itu perang tak dapat ditamatkan. Saya rasa elok saudara baca semula posting saya. Bahan2 kenyataan dari PKM yang saya paparkan adalah draf asal, didapati dari arkib Muzium Sejarah kami.

Mengapa PKM tidak boleh menerima syarat menyerah diri? Saudara tentu faham apabila menyerah diri ertinya kita tunduk apa sahaja kepada musuh kita. Tunku terang2 menyebut kami harus di tahan. Kalau kami di dalam ISA kami akan menerima siksaan yang lebih teruk daripada tahanan2 biasa yang kita dengar hari ini. Dalam sejarah, ada anggota kami yang tertangkap dicungkil biji matanya, diselar dengan besi panas, dikenakan kejutan elektrik, dicabut kuku dan macam2 lagi. Ini tak berlaku kepada tahanan ISA hari ini yang sudahpun dianggap zalim.

Yang penting lagi, apabila menyerah diri kami akan dipaksa mengakui perjuangan menentang British itu adalah sebagai ganas dan sebagainya. Ini samalah dengan mengkhianati perjuangan kemerdekaan Malaya. Dan jika PKM rela menyerah diri, sudah pasti saudara tak akan tahu bahawa dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Malaya pernah wujud sebuah pasukan Melayu menentang British. Mereka mewarisi perjuangan datok neneknya Datok Bahaman, Datok Maharajalela dan lain2.

Saudara lihat sahaja Musa Ahmad, bekas Pengerusi PKM. Setelah dia menyerah diri dia dipaksa mencerca perjuangan yang telah diharunginya seumur hidup. Semua orang yang menyerah diri harus mencerca perjuangan yang dilakukan, apa yang diperjuangkan itu adalah salah dan sebagainya. Jika saudara sebagai seorang pejuang, saya rasa saudara juga tak akan menerima syarat sedemikian.

9 - revolvers887@live.com: Ahli regimen ke-10 kebanyakanya tidak berada di Malaysia, malah ada yang mati di bukan negara sendiri setelah berjuang untuk kemerdekaan negara. Apakah pandangan anda tentang sikap kerajaan yang tidak membenarkan komunis pulang ke Malaysia?.

matamin48@live.com: Kerajaan pimpinan BN jelas telah mengingkari perjanjian. Ini menunjukkan mereka tidak ikhlas memberhentikan perang. Jadi tidak hairanlah mengapa perang berlangsung begitu lama tidak dapat ditamatkan. Walau bagaimanapun saya bangga kerana PKM tetap patuh pada perjanjian walaupun kerajaan BN terang2 telah mengkhianatinya. Dari sini terbukti bahawa PKM benar-benar ikhlas.

10 - revolvers887@live.com: Sekiranya diberi peluang untuk memilih samada untuk berjuang dengan komunis atau berjuang dengan pihak berhaluan kanan pada ketika itu, manakah yang anda pilih?.

matamin48@live.com: Pihak berhaluan kanan membela kaum penjajah dan pihak berhaluan kiri menentang penjajah. Bagi seorang patriot democrat sejati tidak ada jalan kanan untuk mereka pilih.

11- revolvers887@live.com: Adakah bukti-bukti yang mengatakan bahawa komunis tidak kejam?. Kerana sedari kecil lagi anak-anak melayu di Malaysia menganggap komunis itu jahat, dan komunis itu cina. Saya sendiri menyedari bahawa terdapat regimen ke-10 yang ditubuhkan oleh Abdullah CD di Temerloh hanya selepas membaca blog saudara. Kerana maklumat begini tidak terdapat dalam buku sejarah yang saya baca di sekolah.

matamin48@live.com: Terus terang saya akui bahawa kaum penjajah British memang amat bijak. Sehingga sekarang bangsa Melayu masih dalam acuan pemikiran penjajah walaupun sudah 52 tahun merdeka. Sentimen kaum, sentiment agama dimainkan untuk “memecah belah dan perintah”. Hasilnya kita dapati sehingga kini perasaan perkauman masih tebal di kalangan kaum2 di Malaya. Ini penghalang kepada pembentukan satu bangsa Malaysia.

Kejam dan jahat sama-sama kata sifat, terpulang kepada kita berdiri di pihak mana. Di atas telah saya sebutkan bahawa Datok Onn telah ditangkap oleh PKM. Jika PKM itu benar2 kejam, mereka telah membunuh Datok Onn. Tapi mereka lepaskan kerana Datok Onn mengakui kesalahan dan bersedia memperbetulkan kesalahan.

Saya mengucapkan terima kasih kerana sudi melayari KINI DAN SILAM. Secara jujur saya katakana bahawa blog KINI DAN SILAM dianggotai oleh sejumlah bekas perajurit Rejimen Ke-10. Saya menjadi salah satu anggotanya. Yang dipaparkan adalah luahan perasaan kami untuk dikongsi dengan semua.

12- revolvers887@live.com: Saya ingin bertanya, apakah penjelasan saudara berkenaan peristiwa di Bukit Kepong?. Mat Indra, salah seorang komunis melayu yang dikatakan mempunyai ilmu yang sangat tinggi, mengapa beliau terlibat sekali. Saya pernah mendengar bahawa beliau diperalatkan oleh komunis cina dalam peristiwa tersebut. Adakah peristiwa tersebut sama seperti yang saya lihat dalam Filem Bukti Kepong arahan Jins Shamsuddin?.

matamin48@live.com: Filem Bukit Kepung tak boleh dikategorikan sebagai filem sejarah. Ia adalah filem propaganda semata-mata. Banyak adegan telah ditokok tambah untuk menggambarkan betapa kejamnya komunis.

Saya kira Mat Indera orang yang benar-benar berpandukan kepada Al-Quran. Beliau berjuang secara sedar. Al-Quran (bagi saya) memiliki sifat revolusioner. Bagi orang yang benar2 menghayatinya merasa sudah tiba masanya untuk bangun menentang kaum penjajah British dengan kekerasan.

Dari segi praktiknya tiada pertentangan antara Islam dan Komunis. Komunis sebagai musuh Islam ditimbulkan oleh kaum penjajah. Sebetulnya system komunis lebih dekat dengan Islam berbanding dengan kapitalis yang diamalkan sekarang. Komunis lawannya kapitalis. Kapitalis adalah system pemerasan dari kaum pemodal ke atas kaum pekerja termasuk system riba. Manakala komunis sebaliknya – menentang pemerasan dan penindasan dan mengambil kira semua orang dalam masyarakat. Jadi mengapa Islam tidak menentang kapitalis sebagaimana mereka menentang komunis? Jawabnya kerana Islam di Malaya telah diresapi dengan propaganda kaum penjajah.


13- revolvers887@live.com: Bolehkan anda ceritakan sedikit pengalaman hidup berjuang di dalam hutan?. Kami di luar ini tidak pernah tahu akan kehidupan komunis di dalam hutan.

matamin48@live.com: Secara ringkasnya memanglah amat susah kehidupan di dalam hutan. Seorang gerilawan sentiasa diancam oleh tentera penjajah, diancam ketiadaan makanan. Ada masa kami hanya mengisi perut dengan pucuk kayu, umbut2 dan buah-buah hutan sahaja. Rejimen Ke-10 pernah merasai tidak makan nasi selama setahun.

Kami selalu diserang. Sebab itu kami terpaksa pasang jerangkap samar. Bila askar kerajaan datang menyerang, mereka terpaksa menempuhi jerangkap samar kami. Jadi jangan salahkan kami jika kaki askar terputus. Selain itu binatang buas juga mengancam kami.

Sungguhpun begitu ada juga masa yang agak bagus, ketika tentera kerajaan tidak menyerang
kami kerana mereka tidak dapat mengesan di mana kami berada. Mengambil peluang ini PKM mengadakan gerakan belajar berbagai mata pelajaran. Umumnya anggota Rejimen Ke-10 terdiri dari anak2 buruh dan tani, kebanyakannya buta huruf. Akan tetapi, mengambil peluang ini, mereka sunguh2 belajar sehingga kesemua anggota Rejimen Ke-10 boleh membaca dan menulis, ringkasnya tak ada yang buta huruf.

perajurit Rejimen Ke-10 sedang belajar untuk
mempertingkatkan taraf bahasa Melayu.
Putih sebelah kiri bahagian atas adalah "akhbar dinding" yang merupakan pendapat para perajurit.
- gambar 1980-an

14- revolvers887@live.com: Secara jujur, adakah komunis dan askar melayu saling bermusuhan, sedangkan regimen ke-10 ini adalah melayu. Adakah anda berbunuh sesame sendiri. Mat Kilau dan rakan-rakanya sanggup melarikan diri ke Terengganu kerana tidak sanggup menentang tentera sultan Ahmad sewaktu perang pahang meletus dahulu. Adakah perkara itu juga dilakukan oleh komunis.

matamin48@live.com: Perkara ini pernah berlaku juga kepada Rejimen Ke-10. Setelah pilihanraya pertama, menjelang perundingan baling. Rejimen Ke-10 berundur dari Weang ke kawasan Yala semata-mata untuk mengelakkan pertempuran dengan askar Melayu. Perkara ini berlaku sehingga tahun 1963.

Sudahpun menjadi adat perang, siapa yang menyerang, maka dialah musuh. Akan tetapi secara umumnya askar dan polis Melayu bukanlah musuh kami sesungguhnya.

15- revolvers887@live.com: Saya tidak faham, apakah bezanya komunis cina, komunis melayu, dan regimen ke-10.

matamin48@live.com: Rejimen Ke-10 dianggap sebagai komunis Melayu. Di dalamnya terdiri dari berbagai aliran kiri Melayu khususnya dari PKMM, API, AWAS, Barisan Tani Malaya dan Kesatuan Buruh Melayu. Mereka bergabung menjadi Rejimen Ke-10. Adalah lebih tepat jika disebut Rejimen Ke-10 adalah gabungan berbagai aliran kiri Melayu nasionalis, sosialis, agama dan komunis.

16- revolvers887@live.com: Adakah anda yakin bahawa orang cina yang masuk komunis ketika itu benar-benar inginkan kemerdekaan?. Sedangkan mereka masih berkiblatkan negara asal mereka.

matamin48@live.com: Saya yakin mereka mahu benar2 untuk kemerdekaan Malaya. Mereka telah menumpukan taat setia mereka kepada Malaya. Tak timbul masalah Malaya akan berada di bawah jajahan China jika telah mencapai kemerdekaan. PKM juga tidak akan menjadi parti tunggal yang memerintah Malaya kerana bersama PKM masih ada PKMM dan lain2.

17- revolvers887@live.com: Chin Peng ingin pulang ke Malaysia, apakah pandangan anda.

matamin48@live.com: Sepatutnya ikut persetujuan yang telah ditandatangani. Jika dalam perjanjian itu melarang Chen Ping pulang, maka sewajarlah Chen Ping tidak dibenarkan pulang.


9 ulasan

Kenapa Komunis dikatakan pejuang kemerdekaan?? pejuang2 komunis juga disifatkan seperti seorang nasinalis sebenar..sedangkan komunis ni hanya satu fahaman ciptaan orang bukan Islam..kita sebagai orang Islam sepatutnya berpegang pada ajaran Islam dan kitab suci al-Quran..bukannya berpandukan ideologi ciptaan seorang manusia yang lemah dan tidak sempurna itu..

Reply

Lama tak jengok tulisan Mat Amin ni.Blog lama dulu dah tutupke?

Saya sokong Indera Segara. Kita tentang kapitalis dan kita tentang nasionalis dan kita juga tentang komunis. Sistem selain sistem Islam perlu ditolak tidak kira walau bagaimana hampir pun ia dengan Islam.

Saya terbaca dalam buku2 shamsiah fakeh,abdullah CD dan Rashid maidin, bahawa para 'pejuang' ini didoktrinkan dengan ajaran komunis semasa dalam hutan.Mungkin ramai antara mereka yang dah terpengaruh dengan ajaran2 ini sehingga merasakan komunis inilah sistem terbaik, walaupun jelas pemikirannya banyak yang tidak secocok dengan Islam. Islam menganjurkan keadilan dan mengutamakan rakyat tetapi tidak sampai memiliknegarakan semua industri.Islam mengajurkan kerja keras dan membenarkan pemilikan harta tetapi turut mewajibkan zakat dan sedekah. Pendekya, Islam mengajak jalan pertengahan...

Walaupun begitu saya masih rasa simpati dengan perjuang2 ini yang pada awalnya adalah pejuang sejati untuk anak bangsanya. Penjelasan tentang Islam perlu dibawa kepada pejuang2 ini supaya mereka kembali faham tentang Islam (SEKIRANYA mereka dah terpesong fahamannya).

Reply

Cikgu Jantan/Pendekar Hussin yang disebutkan ialah anak Datuk Bahaman. Sila baca pada link2 di bawah:

http://tinyurl.com/y8ejsos

http://tinyurl.com/ycm2oxt

http://tinyurl.com/ybrm6ov

Reply

saya nk tanya mat amin
bil tentera manakah yg lbh ramai dlm keseluruhan PKM; melatu atau cina?
kalau boleh sila berikan dlm bentuk angka

Reply

hum..

Malangnya dikala para "pejuang didoktorin dgn kominis, kita dan anak anak kita juga didoktorin oleh fahaman nasionalis di sekolah, tv n suratkhabar.Dah tentu pendoktorin nasionalisitu ditaja oleh penjajah british yg mengurniakan kemerdekaan.

Lebih memalukan dari pejuang2 komunis tuh.

Kalau ikut kali kali abumirza..wajib lah simpati jugak dgn nasib kita sendiri mungkin sudah terpengaruh jauh dgn fahaman nasionalis.

Bagi wa,

Islam cocok utk semua dan islam tak menghalang pembezaan pendapat.Anda mungkin condong nasionalis,sosialis atau lis lis apa pon.Namun jalan islam tetap luas dan muat untuk anda duduk bersama.

Reply

Saudara Indera Segara dan AbuMirza

Menyebut Islam itu memang mudah. Akan tetapi amalan dan ujian keimanan itu tidak seperti yang terbit dari mulut.

Masalahnya ketika negara di bawah jajahan British, ketika raja2 dikuasai British, ketika rakyat di tindas oleh British di manakah tok2 lebai, tok2 alim di Malaya ketika itu yang bangun berjuang?

Ketika British menjajah, mereka ikut British, ketika Jepun datang,ikut Jepun, dan bila British kembali, ikut British pula. Bila British menindas perjuangan kemerdekaan, mereka pula keluarkan fatwa itu dan ini untuk membela kepentingan penjajah. Islam apa ini?

Islam hari ini duit rakyat nak pergi haji pun dikebas.

Tahukan saudara Pusat Kasino di Genting Highland dipunyai oleh seorang tok "Haji"

Kalau Islam pada serban, Islam mencari duit, aku tak akan sanjung.

Reply

ye benar..
saya akui namun itu semua tentu ada hikmah disebaliknya..
kita sebagai orang Islam wajib percaya kepada qada' dan qadar..
saudara hati@merah x percaya pada qada' dan qadar? sesungguhnya ia salah satu daripada rukun iman..
komunis bukan jalan penyelesaian kepada konflik @ permasalahan ini.. semua fahaman seperti nasionalis, komunis dan sosialis itu hanya datang daripada fkiran manusia yang tidak lari dari melakukan kesilapan..
Rasul kita Nabi Muhammad telah meninggalkan al-Quran dan Sunnahnya buat panduan kita sebagai umat Islam di akhir zaman ini..
namun saya tidaklah menidakkan perjuangan orang2 sebelum ini..
cuma apa yang saya lihat di sini seolah2 seperti ketaksuban kepada fahaman yang hanya bersifat duniawi..sesungguhanya kita orang Islam perlu selalu berdoa dan memohon perlindungan kepada Allah..saya harap ulasan saya ini tidak dianggap sebagai perdebatan..anggapalah ia sebagai perbincangan di dalam sebuah usrah..wassalam.

Reply

Salam, saya ingin menjawab persoalan tentang Cikgu Jantan dan Pawang Nong setelah sekian lama saya cuba mencari punca konflik mereka dengan pihak komunis dalam sejarah bertulis dan lisan dari pelbagai pihak.

Zaman Pawang Nong adalah pawang di raja pahang masa zaman Sultan Abu Bakar, Pahang.

PAWANG NONG TAIB BIN SIANTAN.
Sejak pemberontakan Wan Ahmad ke atas abang tirinya Wan Mutakhir untuk merebut takhta raja lagi dia telah mendapatkan sokongan Imperial British, sehingga seluroh keturunannya telah menjadi antek penjajah British.

Pawang Nong berkhidmat utk raja, raja pulak boneka British. semasa Jepun semestinya Pawang Nong melawan Jepun dan melawan komunis selepas British kembali ke Malaya. Tengok gambar pada link di bawah. No 6 Pawang Nong dapat award dari British kerana menentang komunis.

http://1.bp.blogspot.com/-jEGeEz4MVbY/U_QqYgFZmLI/AAAAAAAAVFI/LK7ygiVlh3o/s1600/makam%2Bpawang%2Bnong%2B1.jpg


CIKGU JANTAN BIN DATOK INDRA SETIA PAHLAWAN BAHAMAN @ MAT HUSSIN BIN ABD RAHMAN

Cikgu Jantan dikatakan juga salah seorang pejuang KMM (Kesatuan Melayu Muda) yang diketuai Ibrahim Yaacob berasal dari Kg. Kertau, Chenor. KMM menyokong dasar "Dari Asia untuk Orang Asia" yang diterapkan Tentera Jepun ketika itu dan berjanji akan memberikan kemerdekaan penuh serentak dengan Indonesia, namun ia bercanggah dengan dasar Malayan People's Anti Japanese (MPAJA). MPAJA adalah gabungan Bintang Tiga, PKM (Anti Penjajah) dengan Force 136 (Askar Melayu yang berkhidmat menjaga kepentingan Imperialis British) untuk melawan penjajahan Jepun yang sedang menghadapi perang dengan Amerika dalam Perang Dunia Ke-2. Walaubagaimanapun, misi kedua-duanya antara PKM dan KMM adalah sama untuk merebut kemerdekaan.

KRONOLOGI CIKGU JANTAN & DATUK SAYA.

Datuk saya Ismail Haji Ali juga bapa saudara Pak Suti anggota Rejimen ke 10 belajar bersilat dengan Cikgu Jantan tahun 1939.

Ismail Hj. Ali belajar silat dan menjadi jurulatih silat Cikgu Jantan Selama 7 tahun.

Cikgu Jantan hilang tanpa khabar berita pada tahun 1945 selepas rumahnya di Kg. Durian Tawar, Jalan Triang di serang Bintang Tiga dan beliau tertangkap.

Tahun 1981 Cikgu Jantan kembali ke Temerloh menghadiri majlis cucu pertamanya bertunang dan melawat murid murid silatnya di Kg. Raja, Songsang, Temerloh (dekat Kg. Lubok Kawah). Kemudian Cikgu Jantan hilang lagi tanpa khabar berita. tidak lagi sesiapa tahu di mana beliau tinggal selepas muncul pada tahun 1981.

gambar gambarnya pada tahun 1981 dan sekeping gambar semasa 1918 masih disimpan rapi oleh keluarga saya.

Reply

terima kasih atas perkongsian ini. puas saya mencari artikel ini. saya sedang mengumpul semula semua data dan info tentang cikgu jantan, cikgu ismail dan dll guru guru silat kami untuk di buat kajian dan bahan sejarah.

Reply

Categories

Pengikut