RTM TERIMA ARAHAN LISAN: SIARKAN HANYA HUJAH RASMI


Chen Shaua Fui | Jan 08, 2010 11:48:30 pm
http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=10540


Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima arahan lisan agar berhati-hati ketika melaporkan berita pembakaran gereja yang dicetuskan lontaran bom petrol. RTM diarahkan supaya hanya memetik "hujah rasmi", malah dengan jelas dinyatakan agar tidak menyiarkan gambar gereja yang dibakar sebaik-baiknya.

"Sekiranya gambaran tersebut terpaksa disiarkan, maka dinasihatkan agar digunakan long shot atau gambaran sepintas lalu," MerdekaReview dimaklumkan sedemikian.

Sumber maklumat dalaman dari RTM memberitahu MerdekaReview, RTM menerima arahan agar berwaspada ketika melaporkan isu pembakaran gereja. Antara arahan yang diberikan termasuklah tidak melaporkan isu ini secara terperinci, malah hanya boleh memetik hujah rasmi.

Buletin bahasa Inggeris dan Mandarin TV2 hanya melaporkan hujah rasmi, dan langsung tidak memberi ruang kepada kenyataan pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam buletin bahasa Inggeri TV2 yang disiarkan pada jam 7 petang, hanya hujah Perdana Menteri Najib Abdul Razak, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein, Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Rais Yatim dilaporkan dalam isu pembakaran gereja.

Selain itu, dalam buletin selama 30 minit ini, gambaran pembakaran gereja hanya muncul untuk beberapa saat, agak menepati arahan "sepintas lalu".

Sementara itu, buletin Mandarin yang disiarkan pada jam 8 malam pula hanya memetik hujah Najib, Hishammuddin Hussein dan Musa Hassan.

MerdekaReview cuba menghubungi Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Heng Seai Kie untuk maklumat selanjutnya, namun beliau gagal dihubungi sehingga laporan ini dihabiskan.



RTM pernah menerima arahan dari atasan ketika melaporkan isu-isu tertentu. Misalnya, pada 15 Mei 2009, setelah Rais Yatim menyandang jawatan ini, beliau pernah berkata akan mengambil tindakan ke atas blogger yang melanggar peraturan, malah satu notis yang menyenaraikan "tujuh isu yang dilarang dibincangkan dalam siaran", ditampalkan di studio.

Antara isunya, politik (politik pembangkang), seks, isu perkauman, isu bahasa, isu agama, Kesultanan (Raja-Raja Melayu & DYMM Yang Dipertuan Agong) dan isu moral (politik semasa).

Sebanyak tiga gereja diserang, iaitu Metro Tabernacle A/G di Kuala Lumpur, Church of the Assumption yang berdekatan dengan hospital Assunta dan Life Chapel di Seksyen 17 Petaling Jaya pada awal pagi ini. Salah sebuah daripadanya terbakar, dan pihak polis telah mengenalpasti dua orang suspek setakat ini.

Isu penggunaan kalimah "Allah" menjadi hangat setelah Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 memutuskan bahawa mingguan Herald Katolik boleh menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitannya. Kontroversi ini bertambah hangat berikutan beberapa demonstrasi yang diadakan, sebelum tercetusnya keganasan yang berlaku pada pagi ini.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

Categories

Pengikut