RASHID MAIDIN MELEPASKAN DIRI DARI PENJARA DENGAN AKAL CERDIK


Di antara kawan-kawan yang bekerja sebagai buruh binaan untuk membina balai polis itu ialah seorang pemuda bernama Yusof yang berasal dari Johor. Dia seorang penoreh getah dan sebelum itu tidak masuk campur hal-hal politik, apatah lagi politik radikal menentang British memperjuangkan kemerdekaan. Tetapi dia pun ditangkap dan ditahan oleh pihak berkuasa penjajah. Tangkap borong juga Operasi Darurat 1948 itu.

Yusof ini rapat dengan saya. Jadi, sempatlah saya menerangkan hal-ehwal politik tanah air, terutama tentang kezaliman penjajah ke atas nusa dan bangsa penjajah penjajah Portugis, Jepun dan British; cerita tentang sejarah perjuangan patriotik menentang penjajah terutama Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor; serta perkembangan politik perjuangan kemerdekaan Malaya dan kekejaman British terhadap para pejuangnya. Saya katakan bahawa kerakusan mengaut harta kekayaan bumi Malaya dan kekerasan menindas rakyatnya, menyebabkan ramai rakyat jelata bangun berjuang untuk menghalau penjajah British itu supaya segera mereka angkat kaki dari bumi tanah air. Dia juga kemudiannya sedar bahawa semua banduan di dalam kem tahanan itu adalah orang politik yang baik, golongan para patriot yang berkorban untuk kemerdekaan, itulah sebabnya penjajah British menangkap dan menahan mereka. Saya terangkan juga bahawa perjuangan bersenjata yang sedang bersemarak di hutan rimba di seluruh pelosok tanah air adalah juga bertujuan untuk memaksa penjajah British keluar dari tanah air dengan segera. Jadi, para gerila itu juga sebahagian dari perjuangan kemerdekaan Malaya.

Lama-kelamaan, semangat kebangsaan dan kemerdekaan mula membara dan menyala berkobar-kobar di dalam jiwa Yusof. Nampaknya dia pun sudah bersedia untuk masuk campur berjuang dan mengangkat senjata demi kemerdekaan. Saya yakin dengan semangat, kewibawaan dan perwatakannya. Yusof akan menjadi anggota gerila yang baik, berani dan berdisiplin di dalam Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Maka saya pun tidak sangsi lagi untuk mengajaknya membebaskan diri dari kem tahanan dan masuk pasukan gerila apabila ada peluang.

Berhampiran dengan tempat kami kerja itu ada sebuah kedai kopi milik orang Cina. Di sekitarnya pula ada seorang penggembala anak Cina berumur dalam lingkungan dua belas tahun. Tiap-tiap hari dia datang menggembala lembunya di situ.

Budak Cina inilah yang menjadi tumpuan saya. Aneh sekali anak Cina penggembala lembu itu. Apakah budak ini ada hubungan dengan unit gerila Tentera Pembebasan Nasional Malaya? Bolehkah dia membantu rancangan saya untuk membebaskan diri? Mula-mula saya panggil budak itu, tetapi dia buat malumalu. Tetapi akhirnya dia datang juga. Saya nyanyikan lagu ‘Internasional’ dalam bahasa Cina supaya dia dengar. Setelah budak itu datang rapat dengan saya, saya memberitahu kepadanya bahawa diri saya ialah Rashid Maidin.

Dalam teka-teki akan keadaan budak itu, tiba-tiba dua hari kemudian, ketika seperti biasa kami sedang bekerja, dia datang membawa sepucuk surat yang ditulis oleh seorang kawan Melayu dari dalam hutan yang bertugas dalam unit ‘massworker’ di kawasan tersebut. Antara kandungan surat itu mencadangkan untuk menyerang hendap anggota polis pengawal kami supaya kami dapat bebas lari. Tetapi saya jawab surat itu dengan mengatakan tidak perlu diserang hendap, saya ada rancangan lain untuk tujuan yang sama. Cuma berikan isyarat, tempat, hari dan waktunya sahaja.

Rasa gembira tidaklah terperikan. Setelah segala urusan dan keputusan dipersetujui dengan pasukan gerila, barulah saya beritahu Yusof bahawa hari esoknya kita akan bertindak. Untuk membebaskan diri tidaklah payah, kerana Sarjan Pak Mi agak yakin dan percaya kepada kami, kadang-kadang ke tandas pun tidak dikawal. Tetapi, di antara anggota polis pengawal kami itu ada seorang yang cukup pro-penjajah British. Dia mungkin akan menimbulkan masalah.

Pada hari yang telah ditentukan, ketika kami, Sarjan Pak Mi dan anak buahnya seperti biasa sedang makan tengah hari bersama, saya berpura-pura sakit perut dan mengadu kepadanya lalu minta izin pergi ke tandas. Demikian juga halnya dengan Yusof tadi. Maka kami pun dibenarkan untuk pergi ke tandas yang terletak kira-kira 70 hingga 80 meter dari tempat kerja. Saya minta Pak Mi iring kawal kami. Tetapi dia menjawab, “Tak payahlah.” Saya katakan pula, “Nanti salah Pak Mi.” Pak Mi menjawab lagi, “Ah! Kerbau balau tak ada.”

Saya membawa sebatang tukul dan Yusof sebatang besi alat kerja, itulah senjata untuk memukul jika ada anggota polis yang ikut mengiring dan mengawal kami. Tetapi nasib baiklah tiada seorang pun yang ikut mengiring. Kami berpura-pura pergi ke tandas kemudian melencong ke arah kedai kopi Cina dan memutuskan talian telefon di situ. Kami bergegas lari ke dalam sebuah kebun getah, ada tiga orang pula di situ sedang membuat kerja-kerja ukur. Besar kemungkinan mereka kenal saya sebagai seorang banduan yang melepaskan diri. Mereka bertiga lari lintang-pukang. Saya jerit jangan lari. Kami pun mahu beredar dari sini. Namun mereka bertiga terus lari tanpa menoleh ke belakang lagi. Tinggal segala peralatan dan bekalan makan minum mereka. Tentu mereka pergi lapor akan kejadian itu.

Dari situ kami berjalan beberapa langkah dan ternampak satu bendera merah yang sedang berkibar ditiup angin. Kami pun berlari ke arah bendera itu. Ada satu seksyen gerila. Mungkin dari Rejimen ke-4 Tentera Pembebasan Nasional Malaya, kira-kira dua belas orang semuanya, sedang menunggu di situ. Kami berjaya bergabung dengan unit ‘massworker’ dan bertemu dengan seorang anggota perajurit Melayu, berasal dari Melaka, yang menulis surat tempoh hari. Mereka menjemput saya dan Yusof minum kopi terlebih dahulu. Saya kata, “Jangan! Kita dekat sangat dengan sekumpulan polis. Nanti dikejarnya kita. Susah dan bahaya jadinya. Kita bukan ada banyak kekuatan.” Ketua seksyen mengatur barisan untuk beredar, siap mengawal sebelah kiri dan siap di sebelah kanan; beberapa orang di hadapan dan beberapa pula di belakang. Jadi keselamatan saya dan Yusof dijaga dengan rapi oleh mereka, baik ketika berjalan mahu pun berhenti berehat. Selang sepuluh minit kemudian kedengaranlah bunyi tembakan yang tidak putus-putus dari arah tempat kerja tersebut. Mungkin Pak Mi dan orang-orangnya baru sedar.

Saya berbanyak-banyak terima kasih kepada budak Cina penggembala yang berjiwa revolusioner ini, yang saya tak ingat namanya tetapi terpahat kukuh jasanya untuk melepaskan saya dari penjara. Begitu juga saya berterima kasih kepada kawan Melayu dari Melaka itu dan juga pasukan gerila Rejimen Ke-4 yang memberikan kerjasama kepada saya.

Selang lima hari selepas kami melepaskan diri, datanglah kapal terbang penjajah British yang dilengkapkan dengan alat pembesar suara menyiarkan seruan supaya saya menyerah diri. Siaran tersebut juga memburuk dan menakut-nakutkan saya dengan mengatakan bahawa saya ini akan dianggap sebagai daging busuk dan tidak akan diterima oleh kawan-kawan PKM dan Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Tidak kurang juga beribu-ribu risalah yang ditandatangani oleh seorang pegawai British di Melaka, digugurkan di Melaka dan di Negeri Sembilan memujuk saya menyerah diri. Saya pun dapat risalah itu dan membacanya. Isi risalah itu ialah, “Awak baliklah keluar. Kami tahu kehendak awak. Awak hanyalah daging busuk kepada PKM.”

Saya minta kertas dari kawan-kawan pengiring, saya lalu menulis surat jawapan terhadap desakan dan hasutan yang ditimpakan ke atas saya. Saya tidak mengepos atau menggunakan utusan untuk menghantar surat jawapan itu. Saya tinggalkan surat jawapan itu pada tempat yang pasti diketemui oleh kakitangan penjajah British. Selang beberapa hari, saya dapat berita tentera menceritakan bahawa saya telah meninggalkan surat. Perkara ini bukan sahaja menjadi buah mulut di kalangan pasukan askar penjajah, bahkan juga menjadi desas-desus orang ramai. Kalau tidak salah ingatan saya, kandungan surat saya itu ialah “Tamatkan darurat dengan segera. Awak menimbulkan keadaan porak peranda dan kesengsaraan kepada rakyat Malaya. Awak, penjajah Britishlah yang perlu balik ke negeri kamu.”

Sememang begitulah yang berlaku: kampung Melayu dan pendudukan Cina semuanya dikosongkan. Pokok buah-buahan ditinggalkan untuk makanan tupai sahaja. Tanaman padi ditinggal lalu dibakar oleh British. Rakyat dipaksa berpindah sehelai sepinggang membawa periuk buruk, dipaksa pula tinggal di dalam kem-kem penempatan yang di kurung. Perintah berkurung setiap malam. Pergerakan siang terbatas. Tiada kemerdekaan, tiada kebebasan, banyak kesengsaraan -  itulah musibah pendudukan kembali penjajahan British di Malaya. Orang Cina lebih berat penderitaan mereka. Keluarga pecah belah akibat dasar penindasan British itu. Ada yang sempat lari ke hutan masuk gerila Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Ada yang dihalau dan dihantar secara paksa ke China. Ada yang meringkuk dalam kem-kem tahanan, dan ramai yang meringkuk di dalam kampung-kampung baru yang dipagar kawat berduri cukup dengan senterinya.

Bukan setakat mengosong, membakar rumah dan memusnah kampung-kampung, tindak-tanduk askar-askar di bawah kuasa pimpinan penjajah British itu juga kejam dan zalim sifatnya. Ramai rakyat yang dibunuh dan kepalanya dipotong dan digantung di tepi-tepi jalan raya. Saya sendiri melihatnya dalam perjalanan saya dari Melaka ke Pahang. Sengsara hati saya dibuatnya dan saya hanya dapat menggelengkan kepala sahaja.

Dikatakan pula saya ini daging busuk! Sebaliknya, saya disambut sangat mesra sekali oleh unit ‘massworker’ dan dibawa beredar dari satu tempat ke satu tempat untuk menemui kawan-kawan, hinggalah ke peringkat jawatankuasa pusat. Ke mana saya pergi, semangat setia kawan jelas sekali dirasakan. Kira-kira setahun kemudian barulah saya sampai ke Kerdau, Pahang untuk bergabung semula dengan Rejimen Ke-10 dan Abdullah C.D.. Manakala Yusof saya tinggalkan di Melaka kerana mengikut rancangan dia hendak pergi ke Johor bergerila di sana, kerana dia orang Johor. Di Johor ketika itu pun ramai juga gerila Melayu yang diketuai oleh Mat Indera. Saya pun bersetuju dengan perancangannya itu.

---
dipetik dari Memoir Rashid Maidin: Dari Buruh Kepada Perjuangan Bersenjata

lihat juga:

Categories

Pengikut