PERJUANGAN PARTI DAN TENTERA KITA MELAWAN KOMPLOTAN PEMBUNUHAN BANGSA-BANGSA MUSUH MENJELANG DAN SELEPAS KEKALAHAN JEPUN

Tidak lama sebelum pecahnya Perang Pasifik pada tahun 1941, parti kita telah mengeluarkan seruan yang khidmat untuk membentuk front persatuan anti-fasis yang luas dan selanjutnya telah mendirikan Liga Anti-Jepun Rakyat Malaya, sebuah organisasi fron persatuan yang berdasarkan massa, untuk menjalankan aktiviti membangkitkan dan menyusun massa rakyat berbagai lapisan semua bangsa di seluruh negara melawan fasis Jepun dan anjing-anjing buruannya serta membela tanah air.

Dengan semakin meningkatnya kontradiksi antara fasis Jepun di satu pihak dan rakyat Malaya di lain pihak, lebih-lebih lagi kontradiksi antara fasis Jepun dan imperialis British, parti kita telah menlancarkan perjuangan yang luas mendesak imperialis British supaya melepaskan polisi anti-komunis dan anti-rakyat mereka, membebaskan semua kader dan anggota parti yang telah dipenjarakan serta mempersenjatai semua anggota parti dan massa revolusioner untuk melawan fasis Jepun. Walaupun demikian, sesuai dengan wataknya yang reaksioner, imperialis British masih berdegil dan enggan menerima tuntutan parti kita . Selepas pecah perang itu, ia hanya membiarkan parti kita bergerak secara terbuka dan menyetujui sebilangan kecil orang yang dihantar parti kita menerima latihan tentera lalu melakukan kegiatan sabotaj di garis belakang musuh. Hanya apabila mereka berada dalam keadaan tercekik oleh buah si malakama ketika fasis Jepun sudah menduduki bahagian utara dan timur Malaya saja, baru imperialis British bersetuju untuk membebaskan 200 orang kader dan anggota parti yang dipenjarakan di berbagai negeri. Menjelang kejatuhan Singapura, ia baru memberi beberapa ratus pucuk senapang patah kepada Tenera Sukarela pimpinan parti kita.Oleh sebab rakyat tidak diikutsertakan dalam perang melawan pencerobohan itu, maka fasis Jepun dengan mudah saja dapat mengalahkan tentera British dan akhirnya 100,000 tentera imperialis British telah bertekuk lutut di hadapan kemaraan musuh pada 15 Februari 1942 di Singapura.

Demi membela tanah air, parti kita di bawah syarat-syarat yang paling sukar dengan gagah berani telah tampil ke depan mengibarkan tinggi-tinggi panji perang nasional dan telah memimpin rakyat berbagai lapisan semua bangsa melancarkan perang anti-fasis yang berkobar-kobar selama lebih 3 tahun. Sebagai kekuatan utama melawan musuh, pada 1 Januari 1942 parti kita telah mendirikan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM), membangun kawasan basis dan daerah gerila yang luas di seluruh negara serta telah memperluaskan fron persatuan anti-fasis untuk meliputi semua kekuatan yang dapat diajak bersatu melawan kaum penceroboh Jepun. Melalui perjuangan yang bersusah payah dan pengorbanan yang sangat berat, parti dan tentera kita serta massa revolusioner yang luas telah berjaya mengikat puluhan tibu tentera penceroboh Jepun di Malaya, membasmi lebih 5,500 orang tentera musuh serta telah membebaskan lelbih separuh daripada kawasan pedesaan dan lebih 1/3 penduduk seluruh negara.

Menjelang akhir perang pada tahun 1945, situasi telah berubah dengan sangat hebat. Barisan parti kita telah diperbesar dengan sangat pesat sehingga mempunyai hampir 8,000 anggota, Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya dengan cepat telah berkembang menjadi sebuah pasukan yang besar dengan kekuatan 10,000 perajurit yang bersenjata serta 50,000 lasykar rakyat. Fron persatuan anti-fasis yang berteraskan persekutuan buruh dan tani telah terbentuk secara luas. Liga Anti-Jepun Rakyat Malaya mempunyai ratusan ribu anggota. Parti dan tentera kita telah bergerak di berbagai tempat di seluruh negara dan dalam batas-batas tertentu telah mendirikan kekuasaan rakyat. Menanjaknya situasi revolusioner dan kekuatan revolusioner di seluruh negara telah amat mencemaskan bukan saja kaum fasis Jepun, tetapi juga telah mencemaskan imperialis British yang mempunyai tipu muslihat tertentu untuk bercokol semula di Malaya.

Berdepan dengan keadaan demikian, fasis Jepun dan imperialis British secara berasingan telah membuat komplotan yang keji dan menimbulkan arus balik kontra revolusi. Mereka dengan licik telah mempergunakan cirri-ciri istimewa masyarakat negara kita yang berbilang bangsa untuk menimbulkan permusuhan bangsa-bangsa. Oleh sebab itu, menjelang akhir perang dan sejurus selepas itu, bentrokan bangsa-bangsa telah meletus susul menyusul akibat komplotan fasis Jepun dan imperialis British. Di satu pihak, fasis Jepun yang sebelum itu berpura-pura memperagakan diri sebagai “pelindung orang Melayu” tapi sedang menghadapi kemusnahannya, telah menjalankan propaganda hasutan secara besar-besaran, memfitnah bahawa orang Tionghua menghina orang Melayu dan agama Islam dengan menyembelih babi dan mencampakkan ke dalam masjid dan lain-lain serta menuduh “Bintang Tiga” iaitu tentera kita melakukan keganasan dan membunuh orang Melayu. Di lain pihak, imperialis British yang berambisi untuk menguasai semula Malaya, menjelang akhir perang dan selepas itu telah mengarahkan Pasukan 136 dan kemudian tentera rasminya untuk menjalankan berbagai aktiviti menentang parti dan tentera kita serta merancang pembunuhan bangsa-bangsa.

Menjelang kekalahan Jepun, berbagai pasukan tentera kita telah beredar dari pangkalan-pangkalan di desa di berbagai negeri untuk masuk ke pekan dan bandar di sesetengah negeri bagi menguasai keadaan di sana. Mengambil kesempatan itu, imperialis British telah mengirim perisik-perisik mereka ke kawasan-kawasan desa untuk menghasut orang Melayu menentang parti dan tentera kita serta orang Tionghua. Berdasarkan latar belakang inilah fasis Jepun dan imperialis British dengan aktif telah mempersenjatai dan memperalat kumpulan-kumpulan parang panjang untuk mengamuk dan mengadakan penyembelihan bangsa-bangsa serta menyerang tentera kita. Anggota-anggota kumpulan perang panjang itu terkeliru tentang siapa kawan, siapa lawan, menyalah anggap orang Tionghua sebagai musuh, manakala musuh sebenar ialah fasis Jepun dan imperialis British, mereka terima sebagai sahabat bahkan rela menjadi alat mereka.

Dalam masa Perang Anti-Jepun, tentera kita telah menggunakan lambang “Bintang Tiga” sebagai mencerminkan perpaduan antara tiga bangsa utama negara kita (Melayu, Tionghua dan India) dalam perjuangan melawan pencerobohan Jepun. Dalam perang, memang tak terelakkan pembunuhan berlaku antara kedua pihak yang berperang. Tentera kita telah melakukan banyak kali pertempuran dan telah melakukan pembasmian ke atas ejen-ejen musuh. Mereka yang dibunuh atau dicederakan bukanlah massa rakyat yang tak berdosa tetapi adalah kaum penceroboh Jepun dan talibarut – talibarut musuh, kebanyakannya orang Tionghua yang menggunung dosanya. Apabila anggota-anggota parang panjang yang didalangi musuh itu mengamuk membunuh massa rakyat dan menyerang tentera kita, tidak dapat tidak tentera kita terpaksa melakukan perlawanan balas yang tegas untuk membela diri dan melindungi massa rakyat supaya dapat mengurangkan pengorbanan yang lebih besar.

Dalam perang itu, tentera fasis Jepun dan anjing buruan-anjing buruannya telah melakukan kekejaman-kekejaman yang tak terperikan ke atas massa rakyat semua bangsa dengan melaksanakan polisi “tiga habis” (bunuh habis, rompak habis dan bakar habis) dan kemudian memperalatkan kumpulan-kumpulan parang panjang untuk melakukan keganasan-keganasan berdarah. Sementara itu, imperialis British telah memeras dan menindas dengan kejam massa rakyat semua bangsa negara kita sebelumnya, pada akhir perang telah membuat sama seperti fasis Jepun dengan menghasut permusuhan bangsa-bangsa dan mendalangi penyembelihan bangsa-bangsa. Akan tetapi, untuk menutupi tangan mereka yang berlumuran darah itu serta untuk memencilkan parti dan tentera kita daripada massa rakyat khasnya massa Melayu, kedua-dua musuh itu dengan kejinya telah membuat fitnahan secara besar-besaran konon “Bintang Tiga” telah mengamuk, mengganas dan membunuh orang-orang Melayu. Kerana meluas dan mendalamnya propaganda musuh,maka di kalangan orang ramai hari ini, tidak sedikit yang masih tertipu oleh propaganda tersebut.

---

bersambung dengan: Datok Onn dan Kiai Salleh Dalangi Peristiwa Pembunuhan Bangsa-bangsa di Johor
---

nota: disalin semula dari buku kecil Keluaran Khas Pejabat Suara Demokrasi Malaya 10.3.1982 yang bertajuk PERJUANGAN PARTI DAN TENTERA KITA MELAWAN KOMPLOTAN PEMBUNUHAN BANGSA-BANGSA MUSUH MENJELANG DAN SELEPAS KEKALAHAN JEPUN.


2 ulasan

Tanpa Nama mod

apa peranan kuomintang masa ini?

Reply
Tanpa Nama mod

gerak gaya bahasa macam indon je korang nie

Reply

Categories

Pengikut