NASIONALIS, AGAMA, SOSIALIS DAN KOMUNIS DALAM KONGRES ISLAM DI GUNUNG SEMANGGOL

Tidak lama setelah saya balik ke Kuala Lumpur selepas menghadiri persidangan Asia, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menjemput Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Mustapha Hussein dan saya untuk menghadiri pula suatu kongres di Gunung Semanggol, Perak. Beliau mengirim keretanya untuk membawa kami ke sana.

Perjalanan kami diatur oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dengan bantuan penasihatnya, Mustapha Hussein. Sebelum tiba di Gunung Semanggol, kami singgah di beberapa tempat bersejarah yang juga kubu kuat PKMM iaitu Beruas, Air Tawar dan Lumut.

Mengikut sejarah, di Beruas pernah muncul sebuah kerajaan Melayu Islam yang awal. Kerana sejarah nasionalisme inilah, kami singgah di sana. PKMM bahagian Beruas mengadakan rapat umum untuk menyambut kami. Dr. Burhanuddin Al-Helmy dihadiahkan kalungan bunga. Kemudian atas usulan Mustapha Hussein, kalungan bunga itu dilelongkan sebagai cara mengutip derma untuk PKMM. Kami masing-masing membuat ucapan dalam rapat umum itu. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menyampaikan laporannya berkenaan persidangan di New Delhi dan keadaan di Burma. Saya juga memberikan ucapan atas semangat kemerdekaan dan anti-kolonialisme. Satu destinasi lagi yang kami singgah ialah Air Tawar. Di sini tidak jauh dari Bota. Ayah saya pernah mendirikan sebuah rumah dan kami pernah tinggal di situ ketika permulaan Perang Dunia Kedua untuk mengelakkan tangkapan penjajah British. Masa itu sesiapa yang disyaki menjadi anggota KMM akan ditangkap. Dalam masa Perang Dunia Kedua, kawasan Air Tawar, dan kawasan lain di sepanjang Sungai Perak terkenal sebagai kubu kuat gerakan anti-Jepun. Dari Air Tawar kami bermalam di Lumut yang juga mempunyai sejarah nasionalisme Melayu. Bersetentangan dengan Lumut adalah Pulau Pangkor yang pernah mencatat sejarah permulaan penaklukan Inggeris ke atas Perak sehingga membawa kepada Perang Perak kemudiannya. Esoknya barulah kami meneruskan perjalanan ke Gunung Semanggol.

Di Gunung Semanggol, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan para wakil yang berada di situ menyambut ketibaan kami. Kami nampak bendera Merah Putih berbintang 12 – lambang Malaya merdeka – dikibarkan dengan megahnya.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy memberikan ucapan di majlis sambutan itu. Saya juga dijemput memberikan ucapan. Saya menyeru perpaduan di kalangan berbilang kaum berjuang untuk kemerdekaan di atas prinsip PKMM iaitu perpaduan nasionalisme, agama dan sosialisme. Saya sebutkan juga pengalaman India yang dipecahbelahkan oleh penjajah British.

Esoknya barulah diadakan kongres untuk merasmikan penubuhan Hizbul Muslimin. Wakil-wakil dari beberapa tempat memberikan ucapan berapi-api. Isi ucapan adalah mengenai memperjuangkan kemerdekaan tanah air dan menentang kolonialisme dengan mempersatukan tenaga nasionalis, agama dan sosialis. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir seorang ulama, guru agama dan sekali gus seorang nasionalis yang besar dipilih menjadi Ketua Hizbul Muslimin.

Pada kongres itu, saya dicadangkan sebagai Bendahari, tetapi kerana tugas ini amat rumit, maka saya tidak dapat menerimanya. Saya memberitahu bahawa kalau tugas lain saya boleh lakukan, kalau Bendahari kerjanya rumit, saya sudah banyak tugas. Mengikut taksiran saya, cadangan ini datang dari Mustapha Hussein. Beliau ada menyebut bahawa setiap bahagian dalam PKMM semuanya beres soal kewangannya di bawah kelolaan saya. Sebenarnya, kewangan yang kami gunakan untuk perjuangan ialah kewangan dari bahagian buruh. Kesatuan buruh paling banyak membuat sumbangan kewangan untuk perjuangan kemerdekaan.

Walaupun tidak lama masanya (kerana beberapa bulan lepas itu diisytiharkan Undang-undang Darurat), akan tetapi Hizbul Muslimin merupakan sayap bahagian Islam PKMM yang berjaya mempersatukan tenaga dari berbagai-bagai aliran untuk kemerdekaan di atas dasar yang diajukan Dr. Burhanuddin Al-Helmy iaitu nasionalis-agama-sosialis.

Satu hal yang menarik dalam ingatan saya dari kongres itu ialah pertemuan saya dengan wakil dari Pattani, Hj. Mohd. Amin. Beliau banyak berbincang dengan Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin, saya dan lain-lain berkenaan masalah perjuangan kemerdekaan Pattani. Dalam ucapannya pada kongres, Mohd. Amin selain mengucapkan tahniah atas kejayaan kongres, juga menyampaikan laporan berkenaan masalah perjuangan kemerdekaan orang Melayu Pattani.

Dalam ucapan pada kongres itu, saya atas nama Parti Komunis Malaya menyokong sepenuhnya kongres tersebut, menyeru berbagai-bagai aliran dan golongan yang patriotik-demokratik bersatu untuk cita-cita bersama – kemerdekaan tanah air. Selain itu, atas nama PKM saya juga menyokong perjuangan kemerdekaan rakyat Pattani, tetapi atas dasar kemampuan mereka sendiri, bukan secara masuk ke dalam rancangan kolonial British.

Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan, institusi pengajian Islam dan institusi pengajian Inggeris pernah memainkan peranan penting. Daripada dua aliran ini telah lahir ramai tokoh pejuang kemerdekaan yang cemerlang. Dalam masa Perang Dunia Kedua, sejumlah pelajar dari aliran Islam seperti Taharuddin dari Perak, Mat Indra dan Kadir Murei’ih dari Johor, Ibrahim Chik dan Abu Samah dari Pahang, Musa Ahmad dari Pulau Pinang, Asri Hj. Muda dari Kelantan dan banyak lagi telah menyertai perjuangan anti-Jepun ataupun perjuangan anti-British untuk kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua.

Gunung Semanggol merupakan pusat pengajian Islam yang progresif di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Di situ telah lahir ramai tokoh politik Islam yang membawa kepada penubuhan PAS kemudiannya pada tahun 1951.

Menjelang Rejimen Ke-10 berangkat ke kawasan sempadan, saya mengatur hubungan dengan gerakan Islam di Gunung Semanggol melalui seorang pekerja bawah tanah bernama Harun Ibrahim. Sayangnya, dia meninggal dunia tak lama selepas kami bertolak. Pemergian Harun, menyebabkan hubungan saya dengan gerakan Islam di Gunung Semanggol dan dengan Dr. Burhanuddin terputus.

Pada 10 Zulhijah 1384 bersamaan dengan 20 April 1965, saya menubuhkan Parti Persaudaraan Islam Malaya (PAPERI). Penubuhan PAPERI ini juga disebabkan oleh kemajuan perjuangan golongan pelajar Islam di beberapa pusat pengajian Islam di tanah air.

Ada dua ilham yang membawa kepada pembentukan PAPERI iaitu:

Pertama, ilham dari Kongres Persatuan Islam Sedunia yang dilangsungkan di New Delhi, India pada tahun 1947. Dalam kongres itu saya dilantik sebagai Pesuruhjaya untuk Malaya.

Kedua, ilham daripada gerakan Islam yang gigih memperjuangkan kemerdekaan seperti yang dilancarkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan lain-lain.

PAPERI bertujuan meneruskan semangat perjuangan golongan Islam progresif tersebut. Mereka berhubung langsung dengan Markas Besar Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan. Beberapa cawangan kemudian ditubuhkan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain.

Syarat-syarat pembentukan PAPERI pula bukanlah dirancang daripada awal. Selepas gagalnya perundingan Baling pada tahun 1955, bahagian intelijen penjajah British telah memupuk anasir-anasirnya dari kalangan orang Melayu masuk ke tapak-tapak organisasi Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan.

Pernah suatu kali tak berapa lama selepas perundingan Baling, ada beberapa orang datang menemui regu penyusun massa Rejimen Ke-10 di kawasan sempadan. Mereka mengakui diri mereka sebagai “utusan” bagi pihak kerajaan untuk mengadakan perundingan dengan Rejimen Ke-10. Saya memberi jawapan bahawa kalau pihak kerajaan benar-benar mahu berunding, cari sahaja Chen Ping.

Hal itu berlaku berkali-kali, walaupun dijelaskan bahawa perundingan haruslah melalui Chen Ping sendiri sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat. Akhirnya saya merasa ini bukan lagi ‘wakil,’ tetapi adalah muslihat intelijen British. Oleh itu saya memutuskan supaya dia ditahan dan diperiksa.

Hasil dari pemeriksaan didapati bahawa dia benar-benar dihantar oleh pihak Special Branch untuk memujuk kami menyerah diri. Mengambil peluang ini, unit penyusun massa Rejimen Ke-10 yang dipimpin oleh Suti memberikan penerangan terperinci berkenaan matlamat perjuangan Rejimen Ke-10.

Akhirnya ‘wakil’ tersebut memahami perjuangan Rejimen Ke-10 untuk kemerdekaan tanah air. Dia menyatakan perasaan akan membantu perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Kami memberi tugas supaya mengembangkan revolusi di kawasan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand.

Di luar sangkaan kami, beberapa tahun kemudian, di Kelantan mulai berkembang dan terbentuk satu asas regu bawah tanah Rejimen Ke-10. Dari sinilah kami beransur-ansur menyebarkan semula semangat perjuangan PKMM, Hizbul Muslimin dan lain-lain di kalangan orang ramai dan pelajar-pelajar di pusat pengajian Islam di Kelantan.

Perkembangan gerakan di kalangan pelajar pusat pengajian Islam amat menggalakkan sehingga terbentuk syarat menubuhkan PAPERI seperti yang saya sebutkan di atas.

Seorang pengasas PAPERI ialah anggota KMM yang berasal dari Selangor. Beliau ikut serta dalam front persatuan anti-Jepun di bawah anjuran PKM. Dalam masa aman selepas Jepun kalah, dia menyokong gerakan kemerdekaan. Di samping itu, dia juga mengajar di sekolah agama di kawasan Ulu Langat.

LAGU PAPERI

PAPERI, PAPERI, PAPERI
Kitalah patriot Islam yang jaya lagi mulia
Siapa bela rakyat dialah sahabat kita
Siapa musuhi rakyat dialah musuh kita

Oh, bangkit
Bangkitlah umat Islam
Di gunung ganang panji merah berkibar
Di hutan rimba gerila bertapak

Susun barisan maju tak gentar
Maju, maju,
Majulah rebut kemenangan!
---
dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Pertama: ZAMAN PERGERAKAN SEHINGGA 1948, terbitan SIRD, 2005

Categories

Pengikut