MAT TAIB IBRAHIM: ANGGOTA API DAN KADER VETERAN REJIMEN KE-10

Mat Taib Ibrahim mempunyai beberapa nama perjuangan iaitu Arif, Dewasa dan Pak Ngah. Beliau dilahirkan pada bulan November 1917 di Kampung Teluk Mengkuang, Mukim Bangau, tetapi membesar di Belangka, Mukim Sanggang daerah Temerloh.

Ayahnya bernama Ibrahim, seorang guru silat dan amat membenci penjajah British. Mat Taib yang menimba pelajaran selama 7 tahun di sekolah Melayu bercita-cita menjadi guru. Tetapi cita-citanya ini ditentang oleh ayahnya kerana menganggap makan gaji dengan orang putih adalah kafir.

Selepas Perang Dunia Kedua, gerakan API marak berkobar di Temerloh meniupkan semangat kemerdekaan. Mat Taib yang memang sudah tebal semangat anti-penjajahnya menerjunkan diri dalam gerakan API di bawah pimpinan Kamarulzaman Teh. Beliau menyertai perhimpunan-perhimpunan API, berlatih berkawad dan lain-lain.

20 Jun 1948, penjajah British melakukan penangakapan besar-besaran ke atas anasir anti-British di Temerloh. Mat Taib berundur ke pinggir hutan bersama sejumlah pemuda pemudi yang lain untuk mengelakkan penangkapan penjajah British.

Awal tahun 1949, beliau meninggalkan isteri dan seorang anaknya yang tersayang untuk menyertai perjuangan bersenjata dalam Rejimen Ke-10. Di dalam pasukan gerila, beliau menghadapi berbagai kesukaran dan susah payah seperti pertempuran, cedera atau korban, kesukaran makanan dan lain-lain. Namun ini tidak melunturkan semanat juangnya. Beliau menganggap mati adalah adat perjuangan.

Pada tahun 1950, beliau ikut serta dalam suatu unit menjalakan propaganda di kalangan massa di Mentakab. Akan tetapi, seorang hantu yang menyeludup di kalangan orang ramai telah menyampaikan maklumat itu kepada kaum penjajah. Rapat yang berlangsung sehingga jam 12 malam itu dikepung oleh musuh. Dalam pertempuran yang sengit itu, 2 orang perajurit gugur di situ juga. Mat Taib bersama seorang ketua regu terselamat, tetapi senapangnya tercicir.

Beliau pernah menjadi utusan seorang diri menghubungkan antara Paya Banir dengan pasukan markas di Kerdau. Beliau pernah tersesat salama 2 hari. Kebetulah beliau bertemu dengan sebuah stor pasukan sesaudara. Beliau menunggu di situ sehingga dapat berhubung semula dengan pasukan. Kemudian, Abdullah C.D. memindahkan beliau ke pejabat percetakan sebagai penulis dan penaip stensels tulisan jawi.

Mat Taib Ibrahim (kanan) bersama Rashid Maidin dan Selamah

Pada tahun 1953, beliau menyertai pasukan Hang Jebat melakukan perjalanan jauh ke kawasan sempadan. Dalam perjalanan selama 1 tahun lebih itu, Mat Taib dan seluruh anggota pasukan menghadapi ujian-ujian yang luar biasa hebatnya, terputus perbekalan, menghadapi kempen kepung basmi dan pengejaran musuh dan lain-lain. Mereka pernah 1 tahun tak makan nasi.

Pada tahun 1954 Pasukan Hang Jebat yang berada di Ulu Kinta menghadapi serangan udara besar-besaran dari penjajah British. Diberitakan diarah sendiri oleh Jeneral Bonn dari udara. Namun bom-bom yang bertan-tan beratnya dan menggegarkan bumi itu tidak pernah melunturkan semangat juang Mat Taib dan kawan-kawan Pasukan Hang Jebat. Begitu juga dengan siaran merayu penyerahan diri yang digugurkan dari kapal terbang tidakpun dapat menundukkan semangat juang mereka.

Pada penghujung 1954, Pasukan Hang Jebat tiba di kawasan sempadan dengan jayanya. Di kawasan sempadan, Mat Taib berkhidmat dalam regu penerbitan, menerbitkan berbagai jenis buku dan risalah propaganda. Pada tahun 1969, apabila pasukan menggunakan wayarles, Mat Taib ditambah pula dengan tugas sebagai penterjemah kod wayaless. Kerja ini dilakukannya sehinggalah Rejimen Ke-10 dibubarkan selepas penandatanganan persetujuan damai 3 pihak di Hadyai pada tahun 1989.

Mat Taib yang lebih popular di kalangan kawan-kawan berbagai peringkat dengan panggilan Pak Ngah mempunyai langgam yang jujur dan kasih mesra dengan kawan-kawan. Beliau dapat bergaul rapat dengan berbagai peringkat perajurit dalam pasukan. Sebagai Naib Ketua Kompeni dan bertanggungjawab dalam Platun II (Platun Nyala), beliau selalu bertukar-tukar fikiran, menyelami perasaan suka duka setiap perajurit.

Sebagai seorang kader veteran, beliau sememangnya dianggap sebagai orang yang berpengalaman dan khazanah berharga pasukan. Namun ini tidak pula menyebabkan beliau tinggi hidung. Beliau merasa dirinya sebagai seiji sekeru di dalam sebuah jentera, sentiasa mendengar pendapat secara merendah hati dengan kawan-kawan. Justeru itu beliau dihormati oleh setiap perajurit.

Pada tahun 1988, Pasukan induk Rejimen Ke-10 atau disebut juga sebagai Kompeni Ke-21 menghadapi serangan besar-besaran dari Tentera Thai dibiayai sepenuh oleh Kerajaan Malaysia. Markas Besar Rejimen Ke-10 telah mengambil taktik berundur ke kawasan pergunungan di kawasan Chenet untuk mengelakkan pertempuran secara lansung. Ketika mencari kayu untuk membuat tempat kediaman di kaki sebuah gunung, beliau sekali lagi tersesat selama 22 hari. Selama 22 hari tersebut, beliau hanya mengalas perut dengan pucuk kayu dan umbut-umbut sahaja sehinggalah beliau ditemui oleh regu khas yang mencari sejak kehilangan beliau.

Ketika ditanya apa pendapatnya tentang 40 tahun lebih perjuangan bersenjata, beliau menjawab “saya merasa mulia kerana dapat menyumbangkan sedikit tenaga dalam perjuangan untuk kemerdekaan tanah air, menghalau penjajah British dari Malaya”.

Selepas perdamaian ditandatangani, beliau pulang ke kampung halamannya di Temerloh. Di kampung, beliau dijaga oleh anak-anaknya. Di beritakan bahawa setelah pulang ke kampung halamannya, beliau minta masuk ke sekolah pondok untuk mengisi hari tuanya dengan ilmu agama. Akan tetapi, pihak SB selalu datang mencarinya di pondok menyebabkan suasana aman dan tenang di pondok terganggu. Untuk memberikan suasana aman kepada pelajar lain, beliau terpaksa memberhentikan hajat yang murni itu.

Beliau meninggal di tanah tumpah darahnya Temerloh. Alfatihah

---

Catatan: tidak diketahui tarikh pemergiah Mat Taib. Kepada sesiapa yang tahu, sila catatkan di sini untuk dikongsi bersama.

---
baca juga:



1 ulasan:

Pak Ngah Arif, salah seorang kawan Rejimen Ke-10 yang teguh berjuang, rela mati di pangkal banir daripada menjadi penjilat sepatu kaum penjajah.

Di dalam pasukan beliau juga adalah guru yang mengajar kami membasmi buta huruf, mengajar kami erti sebenarnya perjuangan kemerdekaan.

Beliau juga seorang jagoh silat dalam pasukan. Selalu mempersembahkan seni silatnya di depan kawan-kawan.

Sumbangan beliau untuk tanah air abadi dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara kita

Alfatihah .....

Reply

Categories

Pengikut