FAKTA-FAKTA: BAGAIMANA IMPERIALIS BRITISH MENCETUSKAN PEMBUNUHAN BANGSA-BANGSA DI NEGERI SEMBILAN SELEPAS PERANG ANTI-JEPUN

Pasukan gerila anti-Jepun di Negeri Sembilan melancarkan kegiatan berbagai tempat mulai penghujung Januari 1942. Kegiatan-kegiatan pasukan gerila anti-Jepun itu telah mendapat sokongan massa rakyat. Belia-belia Tionghua berlumba-lumba menyertai pasukan gerila anti-Jepun, pasukan bela diri anti-Jepun dan Liga Anti-Jepun. Massa Melayu dan India pun beransur-ansur menyokong perang anti-Jepun secara langsung atau tidak langsung. Para perajurit gerila anti-Jepun yang luka-luka telah dihantar ke hospital kerajaan di Jelebu dan diubati oleh doktor-doktor Melayu dengan telitinya. Selain itu doktor kerajaan juga pernah pergi mengubati komander pasukan gerila di Sungai Rotan, Titi dengan merempuh mara bahaya. Undang Jelebu yang tinggal di Kongkoi juga pernah menyumbangkan sepucuk pistol 0.38 dan sebilah badik kepada tentera kita, bahkan menyatakan dia rela menyumbangkan 2 ekor gajahnya sebagai alat pengangkutan barang-barang tentera kita.

Gerakan anti-Jepun telah mencapai kemajuan besar di Negeri Sembilan pda tahun 1944 hingga 1945. Khususnya pada tahun 1945, kekuatan anti-Jepun di kampung dan pekan orang Tionghua telah diperluas dengan pesat. Kekuatan anti-Jepun di kalangan orang Melayu dan India pun mencapai perkembangan baru. Dengan berpangkalan di kampung-kampung Melayu di Langkap yang terletak dalam hutan Kuala Pilah, parti dan tentera kita selangkah demi selangkah mengembangkan pengaruh ke kampung-kampung Melayu di Parit Tinggi, Jempul, Tanjung Ipoh dan Batu Kikir yang terletak di sekitarnya serta membangkitkan dan menyusun massa di situ.

Pekerjaan kita berkembang lebih pesat lagi di kampung-kampung Melayu di Pertang dan Durian Tipus yang terletak di sempadan Negeri Sembilan – Pahang. Massa Melayu yang menyokong tentera anti-Jepun semakin ramai. Di kampung-kampung Melayu di Kuala Pilah, massa Melayu bersama-sama tentera anti-Jepun merampas gudang beras Jepun di Parit Tinggi, kemudian membahagi-bahagikannya kepada massa. Selain itu pekerjaan kita di kalangan orang Melayu juga berkembang di berbagai tempat di Negeri Sembilan seperti Pantai dan Rahang dekat Seremban serta Mantin, Tampin, Rembau, Johol, Bahau, Rompin dan Batang Melaka. Khasnya, yang patut disebut di sini ialah pada bulan Mei 1945, Ketua Polis Kuala Pilah telah memimpin orang-orangnya memberontak dan menyertai tentera anti-Jepun dengan membawa lebih 80 pucuk senjata api. Bersamaan dengan itu, Tentera Nasional India (INA) yang berkedudukan di Port Dicktion pun telah mengadakan hubungan dengan tentera kita.

Imperialis British takut bukan kepalang akan perkembangan perpaduan semua bangsa negeri kita dalam perjuangan melawan Jepun. Pada bulan Ogos tahun 1945, pegawai perhubungan Pasukan 136 untuk Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel C.H. Fanner datang ke Kuala Pilah dari Seremban bersama-sama tentera kita. (C.H. Fenner kemudiannya menjadi benggolan Cawangan Khas. Setelah itu dia dilantik menjadi Ketua Polis Negara Malaysia yang pertama kerana berjasa dalam kegiatan anti-komunis dan anti-rakyat. Setelah bersara, dia tinggal di Kuala Lumpur dan terus melakukan kegiatan perisikan. Dia meninggal dunia pada tahun 1978). Perisik kawakan itu tidak dapat tidak memuji kerja massa tentera kita amat baik ketika dia melihat di sepanjang jalan dengan mata kepalanya sendiri betapa aktifnya massa kampung Melayu menyokong tentera kita.

Selepas Jepun menyerah diri pada bulan Ogos tahun 1945, Fenner dan pegawai tentera British lainnya pun tergesa-gesa keluar dari hutan dan berkeliaran ke kampung-kampung di Kuala Pilah untuk melakukan kegiatan yang berudang di sebalik batu. Selain daripada bermesyuarat merancangkan komplotan dengan sesetengah anasir golongan atasan, mereka bersembunyi di rumah-rumah anasir golongan atasan pada siang hari, tapi melakukan kegiatan secara leluasa di sebelah malam. Mereka merayau dari kampung ke kampung, mengadakan rapat rahsia dan memainkan taktik adu domba.

Di bawah pendalangan perisik imperialis British itu, terjadilah peristiwa pembunuhan bangsa-bangsa di Batu Kikir pada bulan Oktober tahun 1945. Pada subuh hari tersebut, perisik imperialis British mengerahkan seorang hantu musuh bangsa Tionghua menyembelih seekor babi, lalu mencampakkannya ke masjid di sebuah kampung dekat Batu Kikir. Berita tersebut segera tersebar secepat kilat. Begitu hari siang, sekumpulan parang panjang dari Juasih pun menyerbu ke sebuah kampung orang Tionghua dekat Batu Kikir, kemudian mereka memarang semua orang tak kira tua, muda, lelaki atau perempuan. Empat orang perajurit Tentera Anti-Jepun yang bertugas menjaga keamanan di situ pun cedera ketika menghalangi tindakan mereka. Hanya setelah keempat-empat perajurit tentera anti-Jepun tersebut terpaksa melepaskan tembakan, barulah kumpulan parang panjang mengundurkan diri. Selepas peristiwa tersebut, tentera British berpura-pura menghantar kereta, kononnya untuk mengangkut kawan-kawan dan massa yang cedera ke hospital Kuala Pilah. Akan tetapi, ketika tiba di pekan Batu Kikir, tentera British sengaja menghentikan kereta itu supaya anggota parang panjang yang terlebih dahulu sudah menunggu di situ dapat naik ke kereta dan menurunkan 4 perajurit tentera anti-Jepun dan sesetengah massa Tionghua lain yang cedera lalu membunuh mereka. Pada hari yang sama, sejumlah orang Melayu aktivis anti-Jepun di Jempul, Parit Tinggi dan lain-lain juga telah dibunuh oleh kumpulan parang panjang. Mayat mereka dicampakkan ke tepi sungai.

Setelah terjadinya peristiwa di Batu Kikir itu, rakyat berbagai lapisan Negeri Sembilan beramai-ramai mengutuk imperialis British yang mencetuskan pembunuhan bangsa-bangsa tersebut. Pejabat Jawatankuasa Wilayah Negeri Sembilan PKM, Markas Besar Rejimen Ke-2 TAJRM, PKMM bahagian Negeri Sembilan serta kesatuan buruh, persatuan tani, Liga Pemuda, persatuan wanita dan lain-lain telah mengadakan sidang tergempar bersama, mengutuk keras jenayah imperialis British tersebut. Setelah sidang itu, mereka mengadakan perhimpunan massa secara berasingan pula untuk mendedahkan komplotan imperialis British dan menyeru rakyat semua bangsa supaya berjuang demi memperkukuh perpaduan. Veteran revolusioner Sutan Djenain telah berpidato di depan perhimpunan massa di Kuala Pilah. Beliau menyeru rakyat semua bangsa supaya bersatu melawan polisi memecahbelahkan perpaduan bangsa-bangsa yang dijalankan imperialis British dan berjuang demi pembebasan nasional. Pidato Sutan Djenain dan wakil Melayu daripada Liga Anti-Jepun telah mendapat sokongan hangat massa rakyat semua bangsa yang menghadiri perhimpunan itu. Banyak kampung dan pekan orang Melayu dan Tionghua yang berjiran berturut-turut menandatangani perjanjian kerukunan bangsa-bangsa. Di samping itu, TAJRM telah menyatakan sikap tegasnya kepada imperialis British bahawa kalau peristiwa tersebut meluas terus, tentera kita akan terpaksa mengambil tindakan membela diri dan segala akibatnya harus ditanggung oleh imperialis British.

Di bawah tekanan kuat massa rakyat serta parti dan tentera kita, komplotan imperialis British yang cuba hendak memperluaskan pembunuhan bangsa-bangsa itu telah gagal. Akan tetapi, imperialis British yang tidak mahu mengaku kalah dengan berang memanggil dan menyoal sesetengah penanggungjawab parti politik dan pertubuhan massa bahkan menahan sesetengah di antara mereka buat masa tertentu. Dengan ini ia cuba mengugut dan menyusah-nyusahkan mereka. Kecanggungan pertunjukannya ini mendedahkan lebih lanjut rupa hodohnya.

---

nota: disalin semula dari buku kecil Keluaran Khas Pejabat Suara Demokrasi Malaya 10.3.1982 yang bertajuk PERJUANGAN PARTI DAN TENTERA KITA MELAWAN KOMPLOTAN PEMBUNUHAN BANGSA-BANGSA MUSUH MENJELANG DAN SELEPAS KEKALAHAN JEPUN.

artikel terdahulu:

1 ulasan:

Serious Shepherd mod

"Pada subuh hari tersebut, perisik imperialis British mengerahkan seorang hantu musuh bangsa Tionghua menyembelih seekor babi, lalu mencampakkannya ke masjid di sebuah kampung dekat Batu Kikir."

Saya baru belek artikel ni jadi saya mungkin tak dapat 'the whole story' tapi pada pendapat saya, tidak mustahil orang Tionghua ni datang dari golongan Nasionalis Kuomintang yang kemudiannya membentuk MCA. Huru-hara dicetuskan supaya tak ada 'Sukarno' di Malaya yang melaungkan merdeka dan menaikkan bendera Malaya.

Reply

Categories

Pengikut