CERITA SURIANI ABDULLAH KETIKA DALAM PENJARA FASIS JEPUN

Pada suatu hari, ketika menjadi Setiausaha Kawasan Tanjung Tualang, saya jatuh sakit kerana banyak hari berturut-turut bekerja sampai jauh malam. Sungguhpun begitu, kerana banyak kerja yang harus cepat diselesaikan, saya kobarkan semangat keluar ke kampung dan ke tepi bandar. Sewaktu pulang, saya merasa badan terlalu lemah, lalu meminta kawan-kawan bermalam di rumah massa yang terletak di hujung kampung. Untuk ke tempat penginapan masih jauh lagi. (telah saya ceritakan dalam bab 3). Rumah itu sudah tidak dihuni lagi, dindingnya ada yang dah terkoyak. Beberapa orang petugas penyusun massa dari regu kami balik ke rumah masing-masing; yang bermalam di rumah itu ialah saya, seorang pengawal peribadi, seorang "siao kui" dan seorang anasir cergas wanita.

Kebetulan pada malam itu askar fasis Jepun masuk kampung menjalankan pembersihan, menggeledah setiap rumah, menangkap massa dan sebagainya. Pada pagi itu, 28 Januari 1945 askar Jepun tiba di rumah tumpangan kami. Malangnya, pada masa giliran anasir cergas itu berkawal, dia tertidur. Askar Jepun menyerbu ke rumah. Begitu mengetahui Jepun datang, pengawal saya melakukan perlawanan yang gagah berani. Beliau terkorban dalam pertempuran. Saya yang sedang sakit segera bangun dan menerobos keluar melalui dinding belakang. Akan tetapi, beberapa orang askar Jepun yang sudah menunggu di situ menerkam. Saya jatuh ke tanah. Saya cuba melepaskan tembakan. Dua kali saya memetik picu, pistol revolver saya tidak meletup. Beberapa orang askar Jepun menindih belakang saya. Kerana terasa sangat marah, saya memaki mereka. Askar-askar Jepun itu menginjak-injak belakang saya dengan kasut dan menahan saya. Anasir cergas dan seorang "siao kui" tadi juga ditangkap bersama saya. Kami digiring ke dalam trak tentera Jepun. Saya lihat di dalamnya sudah terdapat sejumlah massa yang ditangkap, penuh sebuah trak tentera. Kami di bawa ke Ipoh.

Saya dan dua orang wanita lagi dikurung dalam satu sel. Pagi esoknya, pegawai Jepun mulai menjalankan soal siasat menanyakan bermacam-macam, soal organisasi anti-Jepun dan lain-lain. Tapi saya hanya jawab tak tahu sahaja. Soal siasat begini diadakan hampir setiap hari. Ada kalanya kerana merasa muak dengan pertanyaan mereka, saya tidak mahu menjawab. Pegawai Jepun marah dan menyeksa saya dengan teruknya. Mereka membakar badan saya dengan puntung rokok dan lain-lain. Saya selalu dipukul dan dipijak dengan kasut bot sehingga muntah bercampur darah.

Kemudian saya dikurung secara perseorangan. Tapi sel-sel yang menjadi jiran saya semuanya massa rakyat tempatan. Bila masa luang saya menyanyi lagu-lagu patriotik, lagu-lagu yang mengobarkan semangat dengan sekuat-kuatnya supaya orang lain dapat mendengar. Ada masa saya melantangkan semboyan-semboyan dan berucap secara ringkas seperti "Saudara-saudari harus tegap pendirian! Kemenangan akhir milik kita!" Dan lain-lain lagi. Pernah beberapa kali, ketika saya sedang bernyanyi kuat-kuat dan berucap kepada tahanan yang lain, askar Jepun menjirus air panas ke arah saya. Tapi saya melompat ke sana sini mengelakkan terkena air panas tersebut.

Pernah sekali saya mengukir tukul sabit, lambang PKM, di dinding bilik sel. Apabila askar Jepun nampak, dia sangat marah. Mereka merampas barang-barang saya, sehinggakan sepit rambut pun tidak dibenarkan berada di sisi saya. Mereka memberikan mangkuk kayu menggantikan mangkuk tembikar saya. Selain bimbang saya menggunakan benda itu untuk melukis dan menulis, juga bimbang saya gunakan untuk bunuh diri.

Setelah beberapa lama di penjara, fasis Jepun mencuba mengelabui mata saya dengan bermacam-macam teori karut marut. Dengan muka manis, pegawai Jepun memberitahu bahawa tentera Jepun datang ke sini untuk membantu rakyat di sini membebaskan diri dari penjajah British dalam rangka “Kemakmuran Asia Raya” Kerajaan Jepun. Katanya, kita sama-sama orang Asia. Pegawai itu menunjukkan kehandalan tentera Jepun dan betapa lemah dan tak bergunanya tentera British. Pernah pegawai itu bertanya bagaimana kesannya setelah tentera fasis Jepun membakar habis sebuah kampung dekat Ipoh yang bertujuan untuk menakut-nakutkan massa rakyat. Saya jawab, cara kejam ini akan lebih membangkitkan amarah orang ramai. Selain itu pegawai Jepun membawa pengkhianat untuk memujuk saya. Seorang pengkhianat cuba memberi nasihat dengan mengatakan: "Mengapa kamu terlalu keras kepala, orang yang lebih tinggi dari awak telah bekerjasama dengan tentera Jepun. Demi keselamatan, tiada jalan lain selain bekerjasama dengan tentera Jepun." Setelah dimaki oleh saya, pengkhianat itu berundur, gagal tanpa hasil.

Kekejaman fasis Jepun sudah diketahui umum. Oleh itu apabila ditangkap, saya hanya bersedia untuk berkorban pada bila-bila masa. Di dalam penjara yang sunyi sepi, saya selalu teringat kepada kawan-kawan pimpinan saya khasnya Ai Ke dan Chen Ping; teringat kepada kawan-kawan yang telah korban dan kawan-kawan seperjuangan yang sedang bertempur bermandi darah melawan fasis Jepun. Bila teringat mereka, saya menggenggam tangan kuat-kuat dan melafaz keazaman dalam hati: "Kawan-kawan, teruskan perjuangan hingga akhir, aku akan teguh tak berganjak biar mati sekalipun". Lebih-lebih lagi saya tidak lupa kepada semangat pengorbanan Lai Raifel. Surat terakhir beliau seolah-olah berdengung-dengung di telinga. Saya berazam mesti mencontohi beliau dan mengikut jejak langkah beliau. Peristiwa-peristiwa ini sering timbul berulang kali dalam diri saya menyebabkan saya merasa lebih yakin dapat memperteguh pendirian berhadapan dengan fasis Jepun yang ganas itu.

Layanan dalam penjara memang sangat buruk. Tidak ada selimut dan kain untuk tidur, tidur di atas simen menyebabkan saya diserang penyakit romatism. Mandi tanpa sabun, tak ada kain baju untuk bersalin, tidak ada berus gigi, saya mengambil sedikit daun untuk menggosok gigi, makanan tak berzat, jarang-jarang dapat sedikit ikan kering, itupun kira mujur.

Seksaan physical dan deraan jiwa dalam penjara, menyebabkan saya bukan saja mendapat penyakit romatism seumur hidup dan sakit dada tetapi juga dua perubahan pada tubuh saya. Kerana terkejut, perjalanan haid saya terhenti. Pernah saya diinjek oleh doktor penjara kerana demam, tapi selepas itu ingatan saya menjadi sangat lemah. Saya ragu-ragu apakah fasis Jepun sengaja injek ubat supaya hilang ingatan agar rahsia saya dapat dicungkil. Kedua-dua gejala tersebut beransur-ansur dipulihkan selepas keluar dari penjara.

Pengawal penjara kami kadang-kadang askar Jepun dan kadang-kadang Hei Ho saja. Hei Ho ini pokoknya orang Melayu, tidak bengis seperti askar Jepun. Mereka ada sedikit belas kasihan kepada tahanan. Oleh itu setiap kali Hei Ho datang, saya selalu mengambil kesempatan untuk memberikan penerangan kepadanya. Mereka juga simpati kepada saya. Pada waktu malam mereka curi-curi hantar sedikit makanan kepada saya. Ada sejenis roti diperbuat dari jagung sangat enak rasanya, mereka selalu menghantarnya kepada saya. Setiap kali mereka menghantar nasi, saya meminta mereka berikan sebahagian nasi saya untuk tahanan-tahanan lain yang kuat makan. Seorang Hei Ho yang agak rapat dengan saya pernah menunjukkan satu resit yang membuktikan dia pernah memberi derma kepada organisasi anti-Jepun. Mereka tahu Jepun akan kalah masa akan datang, sebab itu mereka perlu cari bukti untuk menunjukkan mereka ada hubungan atau menyokong perjuangan anti-Jepun.

Pencerobohan fasis Jepun telah membangkitkan perjuangan besar rakyat berbagai lapisan. Perang Anti-Jepun marak berkobar-kobar laksana api membakar padang lalang. Fasis Jepun akhirnya telah terjerumus ke dalam rawa-rawa perang yang tak bertepi. Pada 15 Ogos, kerajaan Jepun telah mengumumkan penyerahan diri.

Hari itu, seorang pegawai Jepun datang membuka pintu bilik kami dan memberitahu: "Kerajaan Jepun telah mengumumkan penyerahan diri. Sekarang kamu semua dibebaskan". Mendengar pengakuan itu, saya merasa besar hati, ingin melompat-lompat dan berteriak-teriak sepuas hati rasanya. Saya segera keluar mencari kereta untuk balik ke Tanjung Tualang. Sepanjang perjalanan, saya nampak Tentera Anti-Jepun telah berkawal di sana sini. Ada juga pasukan yang memeriksa saya. Saya memberitahu mereka bahawa saya baru keluar dari penjara.

Di Tanjung Tualang suasananya telah berada di kemuncak kehangatan. Orang ramai berhimpun menyambut kemenangan Perang Anti-Jepun. Bendera PKM dan TAJRM berkibaran megah di sana sini ditiup angin. Saya yang baru keluar dari penjara dikerumuni kawan-kawan dan massa rakyat. Mereka yang kenal rapat memeluk dan mencium saya tanda kesyukuran. Saya merasa sangat bangga dan bertuah, seolah-olah baru tiba ke sebuah dunia yang serba baru.

Ketika saya menceritakan kisah dalam tahanan fasis Jepun, Abdullah C.D. memberitahu bahawa masa itu dia yang memimpin pasukan lasykar rakyat Lambor, juga mendengar berita tentang saya kena tangkap dari anggota Hei Ho. Hei Ho itu mengatakan "Wanita itu sangat berani". Abdullah C.D. memberitahu lagi bahawa: “kemudian ketika kita berada dalam pasukan propaganda di Teronoh, bekas Hei Ho itu datang. Sambil menunjukkan jarinya kepada awak, dia berkata: ’Inilah orangnya yang sangat berani dalam penjara’".
---
dipetik dari Memoir Suriani Abdullah: Setengah Abad Dalam Perjuangan, terbitan SIRD, 2006

lihat juga:

Categories

Pengikut