1. PADA KETIKA FASIS JEPUN MENCEROBOH MALAYA


Artikel ini dicatat dari rakaman kursus Ibu Suriani Abdullah sempena majlis memperingati 30 tahun Perang Pembebasan Nasional Anti-Jepun. Kursus ini disampaikan oleh beliau kepada seluruh komander dan Perajurit Rejimen Ke-10 pada bulan Disember 1971. Kerana artikel ini agak panjang, kami akan siarkan dalam beberapa bahagian secara berasingan.


MEMPERINGATI ULANG TAHUN KE-30 PERANG PEMBEBASAN NASIONAL ANTI-JEPUN

Kawan-kawan pimpinan yang dihormati,
Kawan-kawan sekalian yang dikasihi.

Dalam rangka aktiviti memperingati ulang tahun ke-30 Perang Pembebasan Nasional Anti-Jepun kali ini, kita akan mengadakan satu pembelajaran yang penting iaitu belajar Rencana Pengarang SRM yang berjudul MEMPERINGATI ULANG TAHUN KE-30 PERANG PEMBEBASAN NASIONAL ANTI-JEPUN.

Kali ini Parti telah mengeluarkan satu pemberitahuan parti menyeru kita supaya mengobarkan tradisi perjuangan mulia parti dan rakyat negeri kita dan belajar pengalaman yang berharga daripada Perang Pembebasan Nasional Anti-Jepun. Maka semasa kita belajar daripada Rencana Pengarang SRM ini, kita akan dapat banyak pelajaran-pelajaran yang penting daripadanya.

Pelajaran kali ini akan dibahagikan kepada beberapa bahagian yang penting:

1) Pada Ketika Fasis Jepun Menceroboh Malaya
2) Kejayaan Parti Kita Dalam Masa Perang Anti-Jepun
3) Erti Besar Perang Anti-Jepun
4) Pengalaman Sejarah Dan Tradisi Perjuangan Mulia Parti Kita

Bahagian Pertama: Pada Ketika Fasis Jepun Menceroboh Malaya

Fasis Jepun menceroboh Malaya pada 8 Disember tahun 1941. Pada masa itu, Fasis Jepun telah mencetuskan Perang Pasifik dengan serentak melancarkan serangan kilat terhadap Pelabuhan Mutiara di Kepulauan Hawai, AS dan juga menceroboh Filipina, Thailand dan lain-lain.

Pada subuh-subuh lagi, tentera Jepun telah mendarat di pantai dekat Kota Baharu, Kelantan di bahagian timur laut Malaya. Di samping itu, kaum fasis Jepun juga mengerahkan tentera udaranya untuk mengebom Singapura secara besar-besaran. Fasis Jepun mencerobohi Malaya pada 8. 12. 1941. Akan tetapi, tak sampai satu bulan, Kuala Lumpur telah jatuh ke tangan Jepun iaitu pada 5 Januari. Sebabnya tentera-tentera British tidak melakukan perlawanan, hanya terus berundur saja. Pada 31 Januari, Tambak Johor telah diledakkan oleh pihak British sendiri dan Singapura juga tidak dapat bertahan sampai setengah bulan. Pada 15 Februari, tentera British seramai 150 ribu telah mengangkat bendera putih menyerah diri kepada fasis Jepun. Ertinya selama 72 hari sahaja seluruh Malaya telah jatuh ke dalam tangan kaum fasis Jepun. Maka Lanun Jepun telah menduduki Malaya.

Pada masa itu, kaum imperialis British bertolak daripada naluri ertinya sikap asalnya anti-komunis dan anti-rakyat. Mereka tak mahu membangkitkan rakyat untuk melakukan perlawanan terhadap fasis Jepun, mereka tak mahu mempersenjatai rakyat bahkan parti kita berkali-kali memberikan cadangan supaya mengerahkan massa rakyat, bersama-sama dengan kerajaan British untuk melawan pencerobohan Jepun, tetapi kerajaan British langsung tak mahu menerima cadangan daripada parti kita, bahkan tak mahu melepaskan beratus-ratus orang komunis dan massa revolusioner di dalam penjara. Pada masa itu kawan-kawan kita yang tertangkap di dalam penjara tidak dapat dilepaskan dan tak dapatlah mereka memainkan peranan untuk anti-fasis Jepun.

Tetapi parti kita terus-menerus berunding, akhirnya barulah mereka dapat dilepaskan. Hampir 200 orang tahanan politik yang dilepaskan itu mencampuri sekolah latihan 101 yang dikelolakan oleh pihak berkuasa tentera British. Tempoh latihan kira-kira 10 hari, dan kawan-kawan mendapat sedikit senjata dari tentera British.

Pada ketika fasis Jepun melakukan pencerobohan ke atas Malaya, parti kita telah mengeluarkan seruan tempur menyeru rakyat supaya segera bertindak mengangkat senjata untuk melancarkan perang gerila. Dengan demikian, di berbagai-bagai tempat telah didirikan pasukan gerila seperti kawalan kampung, di desa-desa dan lain-lain. Mereka telah menggunakan senapang patah, menggunakan parang, menggunakan tombak dan lain-lain untuk menghadapi pencerobohan Jepun.

Pada ketika itu juga parti kita telah mengambil kesempatan itu bergerak secara terbuka di Singapura, secara terbuka mengeluarkan seruan-seruan menggerakkan massa, mengerah massa dan menyusun massa ke dalam front persatuan anti-Jepun. Kita juga membentuk, mendirikan pasukan sukarela. Front Persatuan Anti-Jepun membentuk Jawatankuasa Kerahan Umum. Jawatankuasa Kerahan Umum ini ialah dibentuk oleh rakyat Singapura berbagai-bagai lapisan, tetapi yang sebenarnya dipegang dan dikontrol oleh kawan-kawan kita, khasnya masa itu kita mengemukakan seorang wakil iaitu Kawan Ling Chiang Shek. Kawan Ling Chiang-Shek ialah anggota JKP yang baru dilepaskan dari pada penjara British. Dia memainkan peranan penting dalam Jawatankuasa Kerahan Umum dan dia juga sebagai ketua pasukan gerila Singapura. Maka setiap hari Kawan Ling Chiang Shek telah mengeluarkan seruan-seruan, ucapan-ucapan, dan ucapan-ucapan Kawan Ling Chiang Shek juga disiarkan di dalam surat khabar. Pada masa itu surat khabar-surat khabar di Singapura telah banyak menyiarkan ucapan-ucapan wakil parti kita, pengaruh parti dan prestij parti sangat-sangat tinggi di kalangan massa di Singapura. Orang ramai menceburkan diri ke dalam tentera Sukarela jumlahnya ramai, lebih kurang beberapa ribu orang. Di bawah pimpinan Kawan Ling Chiang Shek mereka telah melakukan pertempuran-pertempuran yang gagah perwira. Dan selama ini dari ibu negara Malaya terus sampai Singapura tentera British jarang sangat melakukan perlawanan ke atas pencerobohan fasis Jepun. Maka kali ini di Singapura, di bawah pimpinan Kawan Ling Chiang Shek tentera sukarela telah melakukan satu kali pertempuran yang hebat di Bukit Timah. Ini sangat-sangat memberikan pemberangsangan kepada massa rakyat dan menggemparkan musuh. Pertempuran itu, buat kali yang pertama tentera sukarela telah menawan tentera fasis Jepun, kerana selama ini tak pernah juga tentera British dapat menangkap atau menawan seorang tentera Jepun pun. Dalam pertempuran itu kita telah beberapa kali melancarkan serangan terhadap tentera fasis Jepun. Setelah melakukan beberapa kali pertempuran yang hebat itu, pada 15 Februari tentera British pun seluruhnya menyerah diri. Dengan itu seluruh Malaya telah jatuh ke dalam tangan kaum fasis Jepun.

Setelah kaum fasis Jepun memijakkan kakinya ke atas tanah air kita, tentera Jepun telah melakukan kekejaman yang sangat-sangat mengerikan ke atas rakyat Malaya. Fasis Jepun telah melaksanakan dasar 3 habis iaitu bakar habis, bunuh habis, rompak habis. Mereka mengebom Singapura dan tempat-tempat yang lain, mengebom penduduk-penduduk yang tak berdosa. Umpamanya di Pulau Pinang, dalam 1 hari sahaja 5 ribu orang ramai telah mati dan luka. Fasis Jepun juga melakukan tindakan yang sangat-sangat biadab seperti binatang umpamanya, pegawai tentera Jepun sendiri telah mempelopori memakan daging manusia dan telah memupuk tabiat kebinatangan tentera-tentera Jepun. Mereka membunuh rakyat yang tak berdosa secara besar-besaran, umpamanya di Singapura dalam masa beberapa hari sahaja telah membunuh seramai 100 ribu orang dan di tempat-tempat yang lain juga telah melakukan banyak kali pembunuhan secara besar-besaran.

Selainnya, fasis Jepun juga telah melakukan bermacam-macam penyeksaan ke atas rakyat Malaya (Ini kita boleh dengar daripada SRM, fasal-fasal tentang kekejaman fasis Jepun). Fasis Jepun juga memaksa, menangkap orang ramai, menculik orang ramai pergi ke Thailand membuat jalan kereta api ke Burma. Jalan itu dinamakan Jalan Kereta api Maut. Seramai 150 ribu orang telah diculik untuk membina jalan kereta api ini, di antaranya 80 ribu orang bangsa India dan yang mati tak dapat balik 100 ribu orang, di antaranya 60 ribu orang bangsa India.

Akan tetapi semua kekejaman fasis Jepun itu telah membangkitkan dendam kesumat massa rakyat. Massa rakyat telah bangkit berjuang, menyusun diri di bawah pimpinan PKM, melakukan pertempuran-pertempuran, perjuangan-perjuangan yang hebat kepada musuh.

---
bersambung dengan: (2) Kejayaan Parti Kita Dalam Masa Perang Anti-Jepun

Siapa Suriani Abdullah? Sila lihat :

2 ulasan

Serious Shepherd mod

Mintak tolong betulkan ejaan 2941 kepada 1941.

Bertahun-tahun saya tidak faham kenapa askar Jepun begitu ganas tetapi rakyat biasa Jepun memang baik lagi mesra. Bila Amerika menceroboh bumi Iraq baru saya faham dan dapat membuat banyak persamaan antara kedua-dua pencerobohan tersebut, seperti media Amerika berkata kepada rakyatnya yang tentera Amerika hendak membebaskan Iraq dari kekejaman Saddam. Pastinya media Jepun berkata kepada rakyatnya yang tentera Jepun hendak membebaskan Asia Tenggara dari penjajahan kuasa Barat.

Reply

terima kasih pembetulan dari Serious Shepherd

Reply

Categories

Pengikut