Isnin, 31 Ogos 2009

Wawancara dengan Abdullah C.D.

3 ulasan

Sempena Menyambut Kemerdekaan



Abdullah CD adalah seorang tokoh pejuangan kemerdekaan veteran yang ulung. Beliau pernah mendapat pendidikan di Clifford School, Kuala Kangsar. Kerana fikiran beliau yang cerdas terbuka, beliau telah menerima pengaruh progresif dari bangku sekolah lagi, khasnya oleh guru-guru yang demokratik, ahli-ahli KMM dan tokoh veteran revolusi Indonesia tahun 1926 yang tinggal di Malaya (kini Malaysia). Demi cita-cita kemerdekaan tanah air, beliau telah menyertai KMM, PKMM dan PKM. Beliau adalah rakan seperjuangan akrab tokoh nasional yang terkemuka seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamad, Mustapha Hussein dan lain-lain. Pada bulan Mei 1949, beliau telah mengasas dan memimpin Rejimen ke-10, satu-satunya pasukan Melayu yang berjuang melawan penjajah British secara bersenjata untuk kemerdekaan tanah air. Kemudian, pada tahun 1985, beliau dipilih sebagai Pengerusi PKM.

Soalan: Banyak orang, khasnya angkatan baru, sangat ingin mengetahui tentang Bapak secara lebih dekat. Mereka bukan sahaja mahu menambahkan pengetahuan sendiri, bahkan mahu merakamkan perjuangan Bapak dalam lembaran sejarah tanah air. Ada orang mengatakan kisah perjuangan Bapak selama kira-kira setengah abad sudah menjadi legenda, Bapak seorang keramat dan lain-lain.

Abdullah C.D.: (ketawa) Saya bukan keramat, saya manusia biasa saja.

Soalan: Bolehkah Bapak terangkan sedikit tentang latar belakang Bapak?

Abdullah C.D.: Saya anak Perak, lahir di Lambur Kiri, Daerah Parit, pada bulan Oktober 1923. Bapa saya bernama Anjang Abdullah, seorang petani sedang. Dia juga ketua kampung. Emak bernama Halimah, seorang suri rumah tangga. Kami hanya dua beradik, iaitu seorang kakak dan saya sendiri.

Soalan: Kami difahamkan nama Abdullah C.D. bukanlah nama sebenar Bapak, tetapi “nama perjuangan”. Benarkah?

Abdullah C.D.: Benar. Nama lahir atau nama sebenar saya ialah Cik Dat. Tapi, selepas perang, ketika saya terlibat dalam gerakan buruh dan PKMM, kerana keperluan perjuangan, saya menggunakan Abdullah C.D.

Soalan: Bagaimana tentang pendidikan Bapak?

Abdullah C.D.: Mula-mula saya belajar di Sekolah Melayu Lambor, Parit, dan tamat Darjah Lima. Kemudian, saya masuk Sekolah Inggeris Tapah, tapi lepas itu, Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar. Saya sempat belajar Inggeris setakat Darjah 7 saja kerana tercetusnya perang.

Soalan: Benarkah Bapak terlibat dalam gerakan kemerdekaan masa di sekolah lagi?

Abdullah C.D.: Benar.

Soalan: Apakah yang mula-mula mempengaruhi Bapak?

Abdullah C.D.: Bapa saya, guru-guru, dan kegiatan di sekolah setelah berdirinya Kesatuan Melayu Muda (KMM).

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit soal ini?

Abdullah C.D.: Saudara pun tahu, rakyat Perak memang terkenal dengan semangat anti-penjajah. Pengaruh Perang Maharajalela pada tahun 1875 memang mendalam. Sungguhpun perang itu gagal, tapi semangat rakyat terus membara. Awal abad itu, kalau tak silap tahun 1930-an, rakyat Perak nak berontak lagi – di Kuala Kangsar, Parit dan lain-lain tempat. Salah seorang penganjurnya ialah Raja Chulan, keluarga diraja Perak. Pemberontakan ini ditindas oleh British dan ramai orang ditangkap. Tapi Almarhum Sultan Perak ampunkan mereka. Bapa saya salah seorang yang terlibat dalam gerakan ini. Kisah-kisah perjuangan begini selalu bapa saya ceritakan kepada saya.

Soalan: Bagaimana dengan guru-guru Bapak?

Abdullah C.D.: Saya bernasib baik kerana ketika di sekolah Melayu, ada seorang guru, Cikgu Karib namanya, sangat ambil berat terhadap saya. Beliau lulusan Tanjung Malim (Maktab Perguruan Sultan Idris) yang merupakan tempat semaian semangat kebangsaan Melayu. Beliau mengajar saya di sekolah waktu siang. Waktu malam pula, bapa saya hantar saya belajar di rumahnya. Cikgu Karib menanam semangat patriotisme pada diri saya.

Seperkara lagi, semasa di Sekolah Inggeris Clifford, Mr. Lewis, seorang Inggeris yang menjadi guru besar di situ, agak maju juga. Beliau menjelaskan kepada saya tentang keburukan kapitalisme serta menganjurkan supaya saya membaca buku-buku Marx dan belajar falsafah Marxis.

Soalan: Babak ada menyatakan bahawa bapak membaca buku-buku Marx dan belajar falsafah Marxis. Apa pandangan Bapak tentang falsafah Marxis?

Abdullah C.D.: Bagi saya falsafah Marxis itu adalah satu senjata yang terbaik dalam perjuangan untuk kemerdekaan tanah air dan untuk kemajuan masyarakat umat manusia. Kami tidak memandang Marxisme itu sebagai “dogma”, atau pegangan ketat yang kaku dan tidak boleh berubah, tetapi memadukannya sesuai dengan syarat dan keadaan di Malaya.

Akan tetapi, dalam masalah ini, ada orang menganggap kerana kami menggunakan Marxisme, maka kami tidak beragama atau menentang agama. Pandangan seperti ini sebenarnya telah diracuni oleh hasutan penjajah. PKM melaksanakan dasar kebebasan beragama dan menghormati adat istiadat rakyat semua bangsa. Saya dilahirkan sebagai Islam dan dibesarkan dengan didikan Islam. Di mana juga saya berada, pegangan ini tetap tidak berubah.

Soalan: Ada orang Melayu yang menolak PKM kerana menganggap komunis telah keluar dari agama Islam. Apa pandangan Bapak tentang hal ini?

Jawapan: Komunisme adalah musuh kapitalisme. Fikiran antikomunis sebenarnya ditimbulkan oleh penjajah sebagai bapa kapitalisme. Apa yang saya nampak dalam perjuangan orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua iaitu tahun-tahun 45-48, orang Melayu yang progres (kiri) atau yang mahukan kemerdekaan pada umumnya tidak antikomunis, tetapi mereka yang lebih rapat dengan penjajah yang diwakili UMNO yang kuat antikomunis.

Dalam perjuangan besar untuk kemerdekaan tanah air, kaum komunis, nasionalis, dan agama telah bersatu melawan penjajah. Di Malaya PKM dan PKMM bekerjasama sangat rapat. Dr. Burhanuddin seorang tokoh agama yang berpandangan jauh adalah rakan seperjuangan saya yang paling rapat. Front Persatuan Putera-AMCJA merupakan contoh nyata gabungan berbagai kekuatan tersebut. Sebagai taktik dengn penjajah British, PKM tidak tampil ke depan, tetapi ia memainkan peranan terpenting di belakang barisan bersatu tersebut. Hal ini berlaku juga di Indonesia. Mereka telah membentuk front persatuan di atas dasar NASAKOM iaitu nasionalis, sosialis, agama dan komunis.

Dalam perjuangan bersenjata melawan penjajah British kali ini pula ramai tokoh agama yang menyokong perjuangan bersenjata khasnya Rejimen Ke-10, mereka menganggap perajurit Rejimen Ke-10 sebagai jihad untuk memperjuangkan tanah air dan agama.

Soalan: Bagaimanakah penglibatan Bapak dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM)?

Abdullah C.D.: Pengaruh KMM sudah meresap ke Sekolah Clifford kira-kira tahun 1939. Banyak buku dari Indonesia sudah sampai ke tangan kami. Waktu malam kami adakan perbincangan politik secara rahsia. Kami tertarik dengan semboyan “Merdeka” yang dilantangkan oleh KMM. Jadi apabila cawangan KMM ditubuhkan, saya pun menjadi anggotanya. Kemudian, saya dipilih menjadi Setiausaha KMM cawangan Lambur, iaitu kampung halaman saya.

Soalan: Bolehkah Bapak ingat antara buku dari Indonesia yang benar-benar membangkitkan semangat juang Bapak?

Abdullah C.D: Buku-buku itu memang banyak. Saya sudah lupa tajuknya. Salah satu yang saya masih ingat ialah karya Tan Melaka.

Soalan: Siapakah antara tokoh revolusioner Indonesia yang pernah Bapak hubungi?

Abdullah C.D.: Ada beberapa orang. Antaranya Pak Jenain (Sutan Jenain), Alimin, Musso dan Suparto. Pak Jenain banyak membantu KMM dan PKMM. Alimin pernah singgah di Kuala Lumpur sekembalinya dari Moscow selepas perang dan menjelajahi seluruh Malaya mengadakan kursus. Apabila beliau pulang ke Indonesia, beliau hantar pula Suparto ke Kuala Lumpur.

Soalan: Apakah Bapak kenal tokoh kebangsaan waktu itu seperti Ibrahim Yaacob, Mustapha Hussain, Pak Sako dan Ahmad Boestamam?

Abdullah C.D.: Sebelum perang, saya masih lagi budak-budak, umur baru belasan tahun. Tokoh seperti Ibrahim Yaacob, Mustapha dan Ishak (Pak Sako) sudah dewasa. Ibrahim Yaacob saya kenal selaku Presiden KMM saja, tidak kenal secara peribadi. Mustapha dan Pak Sako saya kenal dan mendampingi mereka setelah kami bergerak dalam PKMM selepas perang. Boestamam agak sebaya dengan saya. Beliau lebih tua cuma beberapa tahun saja. Beliau penanggungjawab KMM di Ipoh, selainnya Taiping. Saya sudah rapat dengannya sejak sebelum perang lagi.

Soalan: Bagaimana dengan Dr. Burhanuddin?

Abdullah C.D.: Saya dan Doktor berkenalan sejak tahun 1945 semasa dalam PKMM. Sejak itu, kami sering bergerak ke sana ke mari bersama dan menjadi rakan seperjuangan yang akrab. Beliau dan saya bersama-sama mengetuai rombongan Malaya ke Persidangan Se-Asia di New Delhi, India, pada tahun 1947 untuk menentang kolonialisme.

Soalan: Dengan Pak Rashid Maidin, bagaimana?

Abdullah C.D.: Rashid anak Perak juga, berasal dari sebuah kampung dekat Gopeng, tak jauh dari Lambur. Saya kenal rapat dengannya sejak perang anti-Jepun, dan kami menjadi rakan seperjuangan yang paling akrab sampai hari ini.

Soalan: Ada orang menyatakan Pak Rashid sudah meninggal.

Abdullah C.D.: (ketawa) Itu cuma khabar angin. Beliau masih hidup, bahkan masih sihat dan aktif memimpin. Beliau seorang yang sangat gigih.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan keadaan setelah Jepun menceroboh dan British menyerah diri?

Abdullah C.D.: Keadaan masa itu sangat kemelut. Pokoknya ada dua perkembangan penting dari segi perjuangan rakyat. Pertama, PKM, yang ditubuhkan pada tahun 1930, telah menyusun sebahagian rakyat melancarkan perjuangan. PKM mempunyai pengaruh yang luas di kalangan orang Cina. Di kalangan orang Melayu dan India, tak ada kader, hanya pada penghujung perang, pengaruhnya mula meluas. Untuk melawan Jepun, PKM tubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) dan melancarkan perang gerila. PKM juga bekerjasama dengan British dan mendapatkan sedikit senjata.

Kedua, semasa awal pendudukan Jepun, KMM dibenarkan bergerak secara terbuka. KMM mengambil sikap bekerjasama dengan Jepun untuk melawan British demi kemerdekaan Malaya. Ini sama seperti yang dilakukan Sukarno di Indonesia. Setelah KMM diharamkan pada tahun 1942, Ibrahim Yaacob dan beberapa tokoh lagi menubuhkan Malai Gyu Gun, atau PETA, iaitu sebuah pasukan tentera Melayu yang mengambil kesempatan daripada kemudahan yang diberikan Jepun dengan tujuan mencapai kemerdekaan. Sebelum Ibrahim berundur ke Indonesia, beliau cuba mengatur beberapa orang membawa PETA bergabung dengan pasukan TAJRM untuk sama-sama melawan British. Sayangnya, kerana keadaan berubah, rancangan itu gagal.

Soalan: Mengapa KMM diharamkan pada tahun 1942?

Abdullah C.D: Telah saya jelaskan di atas ialah KMM berjuang untuk kemerdekaan Malaya. Pada tahun 1942, Mustapha Hussein bagi pihak KMM mengajukan tuntutan untuk merdeka kepada pihak Jepun. Saya dan kawan-kawan KMM cawangan Lambor juga ikut menandatangani surat tuntutan tersebut. Kerana itulah pihak Jepun mengharamkan KMM.

Soalan: Apakah yang Bapak lakukan semasa pendudukan Jepun?

Abdullah C.D.: Mula-mula, saya bergerak terus dalam KMM selaku Setiausaha KMM di Lambor. Masa itu, saya sudah ada hubungan dengan pasukan gerila anti-Jepun. Kemudian, apabila Jepun mengharamkan KMM, saya, bersama beberapa orang lagi, masuk gerila TAJRM di Perak. Selain tugas tentera, saya juga melakukan kerja propaganda untuk melawan Jepun.

Soalan: Mengapa Bapak memilih TAJRM?

Abdullah C.D: Setelah KMM diharamkan oleh fasis Jepun, saya dan kawan-kawan sudah hilang organisasi untuk meneruskan perjuangan. Pada masa itu, hanya TAJRM satu-satunya tentera yang melawan fasis Jepun di bawah pimpinan PKM. Tentera British telah cabut lari dan menyerah kalah.

Soalan: Apakah tanggungjawab Bapak dalam Parti Komunis Malaya selepas perang?

Abdullah C.D.: Pada tahun 1946, saya dilantik menjadi Setiausaha Jabatan Kerja Melayu Jawatankuasa Pusat PKM, bertanggungjawab atas kerja Melayu dalam PKM serta gerakan massa Melayu.

Soalan: Bolehkah Bapak jelaskan sedikit tentang gerakan massa Melayu?

Abdullah C.D: Orang Melayu tinggi semangat juangnya. Dalam masa perang dunia kedua, kedua-dua belah tebing Sungai Perak menjadi pangkalan gerakan anti-Jepun yang kuat. Dalam masa aman pula, maksud saya selepas Jepun kalah, mereka menyokong gerakan PKMM sehingga anggota parti itu berjumlah 100,000 orang lebih. Setelah meletusnya darurat, orang Melayu di banyak tempat memanggul senjata melawan penjajah British seperti di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Pahang, Kedah dan lain-lain. Kawasan Temerloh Pahang umpamanya, lebih separuh kawasan desa massa menyokong Rejimen Ke-10 sehingga penjajah British menganggap Temerloh sebagai kawasan Merah.

Soalan: Bagaimana dengan penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)?

Abdullah C.D.: Gerakan kebangsaan di kalangan orang Melayu selepas perang lebih bergelora. Cita-cita kemerdekaan KMM diteruskan oleh PKMM. Kebanyakan penaja PKMM ialah bekas pemimpin dan anggota KMM dulu. Dalam PKMM, terdapat anggota daripada pelbagai aliran – nasionalis, agama, sosialis, komunis. Tapi, tak kira apa alirannya, kami dapat ketepikan perbezaan, dapat bersatu dan bekerjasama. Ini kerana kami adalah kaum patriot yang anti-imperialis, anti-kolonialis dan cintakan kemerdekaan, kebebasan. Kami menubuhkan PKMM pada bulan Oktober 1945 dalam kongres di Ipoh. Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako, saya dan ramai lagi kawan masa itu bertanggungjawab mendirikan parti politik orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan. PKMM berkembang pesat dengan anggota kira-kira 100,000 orang.

Soalan: Bagaimana dengan UMNO?

Abdullah C.D.: UMNO lahir kemudian, iaitu pada bulan Mei 1946. Semboyannya waktu itu bukan “Merdeka”, tapi “Hidup Melayu”.

Soalan: Apakah sikap PKMM terhadap UMNO?

Abdullah C.D.: Dalam kongres perpaduan bangsa Melayu pada awal 1946, PKMM turut serta bersama UMNO. Pendek kata, kita nak kerjasama untuk menghalau British dan mencapai kemerdekaan. Tapi masa itu, saya masih ingat, sudah timbul perdebatan besar atas isu “Non” dan “Ko”. Kami dalam PKMM ambil sikap “Non”, yakni tidak bekerjasama dengan penjajah British, mesti terus berjuang untuk kemerdekaan.

Tapi, pemimpin UMNO ambil sikap “Ko”, iaitu bekerjasama dengan British. Mereka mengecam PKMM dan mengejek-ngejek semboyan “Merdeka”.

Kerana itu, PKMM ambil keputusan keluar daripada UMNO, dan terus membentuk gabungan pertubuhan-pertubuhan Melayu, lebih 60 buah semuanya, dalam Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA.

PUTERA kemudian bergabung dengan AMCJA. Gabungan PUTERA-AMCJA ini merupakan barisan bersatu anti-British berbilang kaum yang paling luas memperjuangkan kemerdekaan. Kami telah mengemukakan Perlembagaan Rakyat untuk menggantikan perlembagaan Melayu Union. Tapi British menolaknya dengan keras.

Soalan: Ada orang mengatakan PKMM tidak menentang Malayan Union. Benarkah?

Abdullah C.D.: Sebenarnya, sistem “Union” atau “Kesatuan” lebih baik daripada “federation” atau “Persekutuan”. Sistem persekutuan bagi negara kita meneruskan semangat kenegerian, kurang semangat kebangsaan yang menyeluruh. Dari segi ini, PKMM bersetuju dengan konsep “Union” pada prinsipnya. Tapi, “Malayan Union” ciptaan British, lain tujuannya. Ia bertujuan merampas kuasa raja-raja dan langsung tidak menyentuh soal kemerdekaan Malaya. Oleh itu, PKMM menentangnya bersama-sama dengan UMNO dan lain-lain pertubuhan waktu itu. Kerana tentangan menyeluruh inilah, rancangan Malayan Union British gagal.

Soalan: Apakah peranan Bapak dalam PKMM?

Abdullah C.D.: Dalam kongres kedua PKMM di Melaka, saya dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat dan juga Biro Politiknya. Dr. Burhanuddin menjadi Yang Dipertua, Ishak Naib Yang Dipertua. Saya juga bertanggungjawab atas pergerakan buruh Melayu dan kemudian menyatukannya dalam PMFTU yang berbilang kaum. Bersama Doktor, Rashid Maidin dan lain-lain, saya juga selalu berulang-alik ke Gunung Semanggol. Di sana, terdapat tokoh-tokoh agama yang penting dan berpengaruh, seperti Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, mudir Maahad El-Ehya Assyarif. Tokoh-tokoh agama ini menubuhkan Parti Hizbul Muslimin yang bekerjasama dengan PKMM dan bergabung dalam PUTERA.

Soalan: Apakah tindakan yang diambil Bapak apabila British umumkan Darurat?

Abdullah C.D.: Gerakan PUTERA-AMCJA mendapat sambutan begitu luas daripada rakyat. Mogok dan hartal yang kami lancarkan cukup berkesan. Semangat “Merdeka” berkobar-kobar. Perpaduan kaum juga baik. Ini menyebabkan British sangat takut, lalu bertindak menindasnya.

Doktor, Boestamam dan saya telah mengadakan perbincangan khas di Kuala Lumpur dan mengambil keputusan, iaitu saya dan Boestamam membawa sejumlah kawan masuk hutan bergerila, Doktor dan kawan-kawan lain bergerak di bawah tanah. Boestamam telah menetapkan rancangannya untuk mendirikan pangkalan di Tanjung Malim dengan anak buahnya berjumlah kira-kira 60 orang. Tapi, Boestamam kena tangkap. Lepas itu, beliau dipenjarakan selama tujuh tahun. Saya juga kena tangkap di Ulu Dong, Pahang, tapi mujurlah, saya dapat melepaskan diri. Doktor bergerak di Singapura, tapi kena tangkap dan dipenjarakan kerana memimpin perjuangan orang Melayu dalam kes Natrah di Singapura pada akhir 1950. Rashid Maidin juga kena tangkap di rumahnya di Sungai Manik. Beliau dipenjarakan di Melaka, tapi dapat melepaskan diri lalu masuk hutan bergerila.

Ramai ahli PKMM masuk hutan bersama saya. Ramai juga yang tinggal di luar dan tak berparti telah masuk UMNO – seperti Mustapha Hussain, Hasnul Hadi dan ramai lagi, termasuk tokoh-tokoh penting UMNO selepas merdeka. Pada tahun 1950, UMNO Pahang telah mengemukakan semboyan merdeka. Kemudian kawan-kawan PKMM yang menyertai UMNO telah mengobarkan semboyan merdeka di dalam parti itu sehingga akhirnya telah mengubah semboyan UMNO dari “Hidup Melayu” menjadi “Merdeka”. Setelah Boestamam dan Doktor dibebaskan, mereka menubuhkan Partai Rakyat yang dipimpin oleh Boestamam. Doktor pula memimpin PAS. Semua ini telah tercatat dalam sejarah.

Soalan: Bolehkah ceritakan lebih sedikit bagaimana Bapak melepaskan diri daripada penangkapan penjajah?

Abdullah C. D.: Kami tiba di sebuah rumah di Ulu Dong hari hampir gelap. Belasan pemuda progresif datang bertemu dengan saya dan meminta hendak melihat bom tangan. Saya buka kep dan beri kepada mereka melihatnya dengan sepuas hati.

Kira-kira pukul 9.00 malam, tiba-tiba kami diserbu polis. Pada saat-saat yang genting itu, saya teringat akan bom tangan. Akan tetapi, saya berfikir pula kalau bom tangan itu dibuang, tentu para pemuda itu akan terkena. Jadi saya tidak membuangnya. Saya, Ah Tai dan pemuda-pemuda itu ditangkap, 14 orang semuanya, kalau tak salah ingat. Saya dan Ah Tai dibelenggu dengan satu gari, saya tangan kiri, manakala Ah Tai tangan kanan. Pemuda-pemuda itu diikat dengan tali. Kami digiring keluar dari rumah itu. Sejumlah dokumen yang saya bawa bersama dan bom tangan saya dirampas mereka. Saya masih ingat tarikh peristiwa itu ialah pada 10 Julai 1948.

Di depan saya dan Ah Tai ialah OCPD Raub, dan di belakang pula, OCPD Lipis. Kedua-duanya berbangsa Inggeris. Sambil mengancung pistol ke belakang kami, OCPD Lipis memberi amaran: “Jangan lari, nanti saya tembak”. Saya berbisik dengan Ah Tai bertekad mahu melucutkan gari itu walau tangan putus sekalipun. Sekali gus, saya merentap kuat-kuat gari di tangan. Alhamdulillah, gari segera terlucut. Saya memberitahu Ah Tai. Kami serentak menerkam dan memukul OCPD yang berjalan di depan sehingga ia terjatuh, kemudian lari dengan pantas.

Beberapa saat kemudian, polis-polis itu menembak ke arah kami. Saya dan Ah Tai segera berpecah, mengambil hala masing-masing. Saya masuk ke dalam kebun pisang dan menanggalkan baju saya yang berwarna putih sambil merangkak keluar dari situ. Polis penjajah menumpukan tembakan mereka ke arah baju tersebut.

Ah Tai yang lari membawa gari di tangan, mahir dengan keadaan di situ. Manakala saya pula meraba dalam dua kegelapan, pertama kegelapan malam dan kedua kegelapan kerana tak tahu sedikit pun keadaan sekitar di situ. Beberapa jam mengharungi kegelapan malam, akhirnya, saya nampak cahaya api berkelip-kelip.

Alhamdulillah, sekali lagi, saya terlepas daripada bahaya. Tuan rumah itu penyokong PKMM. Dia memberikan saya makanan, dan pada malam itu juga, membawa saya bertemu dengan seorang anasir cergas Tionghua di kawasan itu. Esoknya, barulah saya bertemu semula dengan Ah Tai.

Kemudiannya, kami diberitahu oleh organisasi di Ulu Dong bahawa penangkapan itu dilakukan oleh dua pasukan polis dari Lipis dan Raub, kira-kira satu platun, dalam lingkungan 30 orang. Seorang anasir kontra-revolusi telah mengkhianati kami dengan membuat laporan kepada polis. Kemudian, atas desakan massa revolusioner, pasukan lasykar rakyat telah menembak mati pengkhianat yang mengabdi diri kepada penjajah itu.

Soalan: Bercakap tentang sejarah, kami mendapat tahu Bapak sangat ambil berat pengkajian sejarah tanah air dan telah menghasilkan beberapa buah tulisan tentang sejarah tersebut. Sebagai seorang ahli sejarah, bolehkah Bapak berikan sedikit pandangan mengenai masalah ini?

Abdullah C.D.: Saya bukan ahli sejarah, cuma peminat atau pencinta sejarah saja. Bahan-bahan yang ada pada saya pun terbatas. Cuma, saya rasa, sebagai ahli perjuangan, kita bukan saja perlu menguasai teori revolusioner dan gerakan praktikal dengan baik, tapi juga mesti mahir dengan sejarah. Tanah air kita mempunyai sejarah yang lama. Bangsa kita mempunyai tamadun yang tua lagi kaya-raya. Kita mengkaji sejarah untuk memahami hukum-hukumnya, menegakkan kesinambungannya, mengenal kawan dan lawan. Memahami masalah perjuangan kelas, mewarisi tradisi rakyat yang berani berjuang melawan penindasan sejak zaman-berzaman. Kita tak boleh memotong-motong sejarah. Di samping menegakkan kesinambungan sejarah, kita juga perlu meneliti perkembangan dan perubahan di atas dasar kesinambungan tadi. Perspektif begini, saya rasa, perlu kita gunakan untuk memahami dan memecahkan pelbagai masalah negara kita, misalnya, bagaimana masyarakat berbilang kaum terbentuk dan lain-lain.

Kita berjuang untuk mewujudkan masyarakat yang adil pada hari depan. Tanpa menguasai masa lampau dan masa kini, bagaimanakah kita boleh membina hari depan? Tentu tak mungkin. Yang perlu kita lakukan ialah menafsirkan semula sejarah tanah air secara objektif serta melengkapkan fakta sejarah.

Saya perhatikan tidak sedikit cerdik pandai kita hari ini tekun berusaha untuk melengkapkan sejarah tanah air kita, baik zaman peradaban mahupun zaman prasejarah, serta membetulkan penyelewengan sejarah yang dilakukan oleh sejarahwan kolonial. Ini sangat perlu dan sangat baik. Pengkajian dan penemuan di Kota Tampan, Perak, yang dilakukan oleh rombongan pengkaji Universiti Sains Malaysia mempunyai erti yang sangat besar bagi menegakkan zaman prasejarah negara kita di atas dasar ilmiah yang lebih kukuh. Saya ucapkan syabas kepada para sarjana dan lain-lain yang terlibat.

Soalan: Setahu kami, nama Bapak dan Rejimen ke-10 sama seperti darah dengan daging, tak terpisahkan kerana Bapak telah memimpinnya dari dulu hingga sekarang. Bolehkah Bapak ceritakan sedikit peranan Bapak dalam memimpin pasukan pahlawan ini?

Abdullah C.D.: Memang saya diberi tugas oleh PKM untuk mendirikan dan memimpin Rejimen ke-10, tapi bukan saya seorang saja yang memikul tugas berat ini. Masih ada beberapa orang lagi pemimpin Melayu bersama-sama saya membangun Rejimen ke-10 menjadi sebuah pasukan perkasa yang disegani kawan dan lawan.

Rejimen ke-10 ditubuhkan pada 21 Mei 1949, kira-kira 4 bulan setelah Tentera Pembebasan Nasional Malaya didirikan. Tulang belakangnya terdiri daripada anggota PKMM. Semasa penubuhannya, kekuatan induk Rejimen ke-10 berada di Temerloh, Pahang. Namun begitu, pelbagai unit dan pasukan Melayu di lain-lain negeri juga berada di bawah riayah Rejimen ke-10. Rejimen ke-10 telah melancarkan banyak pertempuran dan membuat sumbangan besar kepada usaha kemerdekaan tanah air. Pada tahun 1953, pasukan induk Rejimen ke-10 telah beredar dari Pahang menuju ke kawasan sempadan Malaya-Thai dan telah mendirikan pangkalan barunya di situ. Kalau kita bercakap tentang kesinambungan sejarah, boleh kita katakan bahawa perjuangan TPNM dan Rejimen ke-10 mencerminkan kesinambungan ini. Ini merupakan kesinambungan dan sekali gus juga perkembangan daripada perang patriotik dan perang tani orang Melayu dulu di bawah syarat-syarat sejarah yang baru.

Soalan: Apakah pertempuran penting yang Bapak sendiri pimpin secara langsung? Apakah benar Bapak pernah cedera dalam pertempuran?

Abdullah C.D.: Antara pertempuran penting yang saya pimpin secara langsung ialah pertempuran Jalan Chonur, Jerangsang, Ulu Teka, Damak, Gong, Estet Tekal dan lain-lain. Saya juga memandu peredaran Rejimen ke-10 dari Temerloh ke kawasan sempadan. Saya pernah tercedera terkena bom tangan askar British.

Soalan: Menurut pandangan Bapak, apakah peranan penting perang gerila dalam usaha mencapai kemerdekaan?

Abdullah C.D.: Kita tak boleh membesar-besarkannya, tapi kita tak patut juga memperkecil-kecilkannya, atau lebih-lebih lagi, menafikannya. Kita boleh bayangkan begini: Penjajah British begitu ganas, ia mengerahkan lebih 400,000 kekuatannya di negara kita waktu itu. Negara kita kecil, penduduknya kira-kira lima juta saja.

Apakah British bersedia memberikan kemerdekaan begitu saja sekiranya tiada perjuangan gigih rakyat dalam semua bentuk, baik bersenjata mahupun bukan bersenjata? Rasa saya, tak mungkin.

Kami di front gerila telah membuat pengorbanan yang tidak sedikit. Ramai pahlawan dan serikandi telah terkorban dalam perjuangan melawan British. Dari tahun 1948 hingga 1954, kami telah bertempur lebih 19,100 kali, seramai lebih 26,000 tentera penjajah mati atau luka-luka. Kerugian besar British dalam bidang ketenteraan ini memperhebatkan krisisnya dalam bidang ekonomi dan politik.

Di front bukan bersenjata pula, parti patriotik lainnya seperti PAS, Partai Rakyat, Partai Buruh Malaya dan kekuatan patriotik dalam UMNO memperhebatkan perjuangan kemerdekaan. Kedua-dua front ini, secara langsung atau tidak langsung, saling melengkapi, saling mengenakan tekanan ke atas British.

Saya tidak mengatakan perjuangan bersenjata saja yang memaksa British mengakui kemerdekaan. Tapi, sesiapa yang bersikap adil dan objektif dalam menilai sejarah, saya rasa sudah pasti akan mengakui peranan penting perang gerila ini. Bahkan Tunku Abdul Rahman sendiri dalam Rundingan Baling pada tahun 1955 dulu pernah mengakui sumbangan penting perang gerila ini untuk mencapai kemerdekaan.

Soalan: Bapak mengatakan perang gerila anti-British itu dilancarkan untuk mencapai kemerdekaan. Tapi, ada orang bertanya: Sekarang sudah lama merdeka, apa sebab terus berperang? Mengapa tidak berdamai?

Abdullah C.D.: Masalah perang dan damai ini amat kusut. Kalau saudara tengok dalam catatan sejarah, pada akhir 1957, setelah Malaya merdeka, PKM sekali lagi mengemukakan usul untuk menamatkan perang dan mewujudkan perdamaian dalam negeri. Tapi, perang kolonial warisan penjajah British itu diteruskan oleh pihak kerajaan.

Soalan: Maksud Bapak, PKM berperang kerana membela diri, kerana terpaksa?

Abdullah C.D.: Begitulah. PKM terpaksa membela diri, membela demokrasi dan kepentingan rakyat, maka PKM melancarkan perang adil untuk menghadapi perang tidak adil warisan penjajah itu. Di samping itu, PKM juga melancarkan gerakan massa dan perjuangan bentuk lainnya. Sungguhpun begitu, PKM bersedia untuk menamatkan perang ini di bawah syarat-syarat yang adil dan munasabah, dan, bersama-sama dengan pelbagai kekuatan patriotik-demokratik lainnya, berjuang dengan cara damai dan demokratik.

Soalan: Ada orang menuduh PKM dan TPNM sebagai “pengganas”. Apa komen Bapak?

Abdullah C.D.: Tuduhan ini sebenarnya propaganda yang dilemparkan oleh penjajah British kepada pejuang yang menentang kekuasaan dan kepentingannya. Pahlawan anti-penjajah dahulu seperti Maharajalela, Tok Sagor, Datuk Bahaman dan Tok Janggut semuanya dicap “penderhaka” oleh British. Yamtuan Raja Haji, yang melawan Belanda, dicap sebagai “lanun”. Ini tidak menghairankan.

Bahkan hari ini, pejuang Palestin juga dicap “pengganas” oleh imperialis Amerika dan Zionis Israel. Begitu juga, pejuang kulit hitam di Afrika Selatan. Pada hal, seluruh dunia tahu bahawa pengganas yang sebenar ialah kaum Zionis Israel dan kaum rasis Afrika Selatan yang kedua-duanya ditunjangi oleh imperialis Amerika itu sendiri.

Anggota PKM dan TPNM adalah kaum patriot, pejuang kemerdekaan dan kebebasan, bukannya pengganas. Penjajah British sengaja menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam untuk memburuk-burukkan kami serta memperelokkan dirinya.

Soalan: Satu lagi Bapak, ada pula tuduhan kononnya tokoh-tokoh Melayu dalam PKM hanya “alat” dan “hiasan” saja. Mereka kata PKM “parti Cina” dan anti-Melayu.

Abdullah C.D.: Sebuah parti tak perlu ada hiasan. Program dan dasar-dasarnya serta praktiknya dalam perjuangan, itulah ukurannya. Kenyataan dasar PKM dengan jelas mengakui bahawa orang Melayu adalah pengasas masyarakat bertamadun negara kita, sejarahnya paling lama, dan orang Melayu pernah membuat sumbangan besar dalam melawan penjajahan. PKM menganjurkan harus menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dalam politik, ekonomi dan kebudayaan.

Di samping itu juga, perlu menghormati kedudukan penting kaum Cina, India dan kaum minoriti. Dasar begini, sesuai dengan kenyataan masyarakat negara kita. Terhadap agama, PKM menghormati kebebasan beragama rakyat dan hak mereka untuk mengamalkan kegiatan agama. Terhadap agama Islam, PKM mengakuinya sebagai agama rasmi negara kita.

Satu perkara lagi ialah soal raja-raja. Raja-raja adalah lambang ketuanan Melayu serta lambang perpaduan rakyat berbilang kaum. Baginda adalah raja berperlembagaan. Dalam sejarah, terdapat ramai juga raja berdiri di pihak rakyat melawan penjajah dan membela tanah air. Hari ini, raja mempunyai peranan yang istimewa dalam masyarakat berbilang kaum. PKM menyokong sistem raja berperlembagaan ini.

Tentang bahasa Melayu, atau bahasa Malaysia, PKM menyokong penggunaannya secara meluas dalam negara dan masyarakat, bahkan sebagai bahasa pengantar untuk hubungan antarabangsa.

PKM juga menyokong tanah simpanan (rizab) Melayu, menyokong kebudayaan Melayu sebagai bentuk utama kebudayaan negara dan lain-lain lagi.

Semua perkara tadi menyangkut kepentingan asasi orang Melayu. Kalau tokoh-tokoh Melayu dalam PKM hanya alat atau PKM anti-Melayu, apakah dasar-dasarnya dan tindakannya boleh sedemikian rupa?

Soalan: Kami mendapat tahu yang bapa pernah terkena racun. Apakah boleh ceritakan sedikit tentang masalah ini?

Jawapan: Benar, saya beberapa kali terkena racun, tapi keracunan yang saya alami pada tahun 1975 itu kesannya sangat ketara. Saya jatuh pengsan, tak boleh bercakap, bergerak pun tak boleh. Suriani juga terkena racun, tapi kesannya tidak begitu berat dan dapat segera diubati. Dalam masa saya ditimpa kemalangan itu, Surianilah yang menanggung semua kerja saya di samping tugas beliau sendiri.

Berkat perhatian kawan-kawan pimpinan Jawatankuasa Pusat, pimpinan-pimpinan Rejimen Ke-10 termasuk Suriani dan seluruh kawan-kawan serta dengan izin Allah, kesihatan saya beransur-ansur dapat dipulihkan. Selama setahun saya dirawat di pasukan sesaudara iaitu Organ Pasukan Khas. Kemudian barulah kembali ke Rejimen Ke-10. Kini di dalam usia 80 tahun lebih, saya masih hidup sihat.

Soalan: Pada tahun 1981, Bapak telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya atau PKMRM. Kenapa?

Abdullah C.D.: PKMRM ditubuhkan dengan tujuan meneruskan cita-cita PKMM yang belum selesai itu. Sungguhpun kemerdekaan negara sudah wujud, tapi tugas mengisi kemerdekaan sangat berat dan rumit. Seperti PKMM dahulu, PKMRM berjuang untuk menyatupadukan orang Melayu daripada pelbagai aliran ideologi – nasionalis, agama, sosialis dan komunis dalam satu wadah yang bersatu demi mewujudkan demokrasi, hak asasi manusia, keadilan masyarakat dan perpaduan nasional. PKMRM juga berusaha bekerjasama dengan pelbagai parti dan pertubuhan lain, baik Melayu mahupun bukan Melayu, dan membentuk barisan bersatu yang luas bagi mencapai matlamat di atas.

Soalan: Bolehkah Bapak terangkan bagaimana Bapak dipilih menjadi Ketua PKMRM?

Abdullah C.D.: Sebenarnya, saya sendiri keberatan memegang jawatan ini, tapi kawan-kawan mendesak. Kata mereka, sebagai anggota pucuk pimpinan PKMM yang asal, saya dapat memainkan peranan sebagai lambang perpaduan golongan nasionalis, agama, sosialis dan komunis, serta sebagai jambatan bagi menghubungkan pejuang angkatan lama dengan yang baru. Menurut mereka, saya ada kewibawaan untuk meneruskan cita-cita PKMM dulu di bawah syarat sejarah sekarang.

Sebenarnya, penilaian kawan-kawan serta harapan mereka terhadap saya terlalu tinggi. Tugas yang begini berat tidak boleh dipikul oleh satu orang saja, ia perlu satu team atau satu pasukan. Saya cuma memikul tugas ini setakat yang saya mampu dan mengharapkan kawan-kawan lain bersama saya sanggup membenarkan saya melepaskan tugas ini dan mereka sendiri pula memegangnya.

Soalan: Apa sebab PKM memilih Bapak sebagai Pengerusi PKM sedangkan Bapak juga adalah Pengerusi atau Ketua PKMRM?

Abdullah C.D.: Memang ada kawan-kawan bertanya tentang masalah ini. Ramai kawan berpendapat pemilihan seorang tokoh Melayu menjadi pucuk pimpinan PKM memang selaras dengan sejarah dan perkembangan masyarakat negara kita serta dengan tuntutan orang ramai. Pendapat ini tepat. PKM menyedari keperluan ini dari dulu lagi.

Kami kawan-kawan angkatan lama dalam PKM, baik Melayu, mahupun bukan Melayu, ada kebaikan dan kekurangan masing-masing. Masing-masing ada pengalaman dan kecekapan dalam kerja memimpin. Mungkin kawan-kawan pimpinan yang lain dalam PKM merasakan pucuk pimpinan PKM paling sesuai disandang oleh saya, kerana itu, saya dipilih.

PKMRM pula meneruskan cita-cita PKMM, yang merupakan pewaris kepada KMM. Dalam sejarah, PKMM bekerjasama dengan PKM. Rejimen ke-10 pula merupakan kesinambungan PKMM, dan kemudian, lahirlah PKMRM. Dengan lain perkataan, perjuangan kaum patriot Melayu dalam KMM dulu diteruskan dalam PKMM, kemudian, sebahagian pokoknya dalam Rejimen ke-10, dan selanjutnya, dalam PKMRM. Adanya golongan komunis dalam PKMRM memang selaras dengan perkembangan sejarah ini.

Badan pimpinan PKMRM bukan seorang, dan bukan di hutan saja. Ia terdiri daripada satu kolektif golongan nasionalis, agama, sosialis dan komunis, masing-masing mempunyai hak untuk menentukan dasar PKMRM. Memang antara kami, kadang-kadang terdapat perbezaan pendapat. Ini perkara biasa. Prinsip dan cara kami ialah berbincang dan mencari titik-titik persamaan melalui musyawarah dan permuafakatan, akhirnya, mencapai kata bulat tentang dasar dan pelaksanaannya.

PKMRM juga bukan parti atas kertas. Ia ada perlembagaan dan programnya sendiri, ada susunan organisasinya sendiri, ada cawangan-cawangannya di pelbagai tempat di tanah air. Sebagai parti bawah tanah, sudah tentu organisasinya serta keanggotaannya tidak sebesar parti yang terbuka dan halal. Lagipun, PKMRM baru berumur tujuh tahun lebih saja pada masa itu. Tapi, saya percaya ia mempunyai pengaruh tertentu dalam arena politik nasional hari ini.

Memang PKMRM ada kelemahan dan kekurangan. Ini kami telah baiki dari semasa ke semasa. Sesiapa saja yang ada pendapat atau ingin mengkritik, menegur kami, kami sambut dengan hangat.

Soalan: Apakah pendapat Bapak tentang peranan orang Melayu?

Abdullah C.D.: Kita perlu melihatnya dari dua segi, iaitu segi sejarah dan masa sekarang. Dari segi sejarah, orang Melayu telah membangunkan satu tamadun yang besar di Alam Melayu. Dan apabila tamadun ini diruntuhkan dengan kejatuhan Kerajaan Melaka, orang Melayu bangkit silih berganti melawan penjajah. Orang Melayu pandai berperang, namun mereka kalah. Ini bukan kerana mereka kurang semangat berjuang, tetapi kerana mereka dibatasi oleh syarat-syarat sejarah. Pendek kata, orang Melayu adalah satu bangsa yang berani, yang tidak tunduk pada penjajahan, penindasan dan kezaliman. Sekarang, dalam arena politik tanah air kita, orang Melayu memainkan peranan yang amat penting dan menentukan, lebih-lebih lagi dengan pertambahan pesat kaum buruh dan kaum terpelajar Melayu.

Soalan: Bagaimana soal perpaduan orang Melayu dan bukan Melayu?

Abdullah C.D.: Orang Melayu telah menjalin hubungan persahabatan dengan orang Cina, India, Arab dan lain-lain sejak 2000 tahun dulu lagi. Lebih-lebih lagi, sejak Kerajaan Melaka, hubungan ini menjadi lebih erat. Setelah orang Cina dan India menetap di Malaya dan sama-sama membangun tanah air kita dan membelanya, orang Melayu beransur-ansur menerima mereka. Perpecahan berlaku kerana dasar pecah dan perintah penjajah.

Tapi sekarang, orang Melayu dan bukan Melayu semakin sedar yang mereka mempunyai kepentingan bersama. Pelbagai parti dan pertubuhan patriotik-demokratik juga ambil berat memupuk perpaduan antara kaum. Cadangan mereka supaya ditubuhkan Majlis Perundingan Kebangsaan Tentang Hubungan Antara Kaum memang munasabah. Pokoknya, pelbagai kaum mesti saling belajar, saling membantu dan saling memahami. Sekarang, ramai orang Cina, India dan lain-lain sudah menguasai bahasa Melayu serta memahami kebudayaan dan adat resam Melayu. Selain itu, semakin ramai pula anak-anak Melayu yang belajar bahasa Cina. Ini satu perkembangan yang sihat.

Soalan: Soalan kami yang terakhir, apa pendapat Bapak tentang barisan bersatu?

Abdullah C.D.: Ada sedikit orang, apabila saja disebut barisan bersatu, mereka akan segera memberikan cap yang ia front komunis dan mesti dijauhi atau ditentang. Orang ini lupa bahawa Barisan Nasional yang berkuasa sekarang ini pun terbentuk atas dasar barisan bersatu juga. Yang berbeza ialah isinya.

Yang kita perlukan ialah barisan bersatu yang demokratik, di mana pelbagai parti, pertubuhan dan orang perseorangan yang patriotik-demokratik berpadu tenaga, menggabung kekuatan dan bekerjasama atas dasar satu program bersama yang diterima oleh semua pihak.

Parti politik Melayu yang awal seperti KMM, PKMM, kemudian Partai Rakyat di bawah pimpinan Boestamam, dan PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin juga terbentuk atas dasar gabungan kekuatan patriotik demokratik pelbagai aliran khasnya nasionalis, sosialis dan agama.

Nota: temubual ini dibuat pada tahun 1989 oleh wartawan majalah Suluh Rakyat.

Ahad, 30 Ogos 2009

Wawancara dengan Rashid Maidin

4 ulasan

sempena menyambut kemerdekaan





Bapak Rashid Maidin adalah seorang pejuang kemerdekaan ulung yang berasal daripada kaum buruh. Pada akhir tahun 1930-an, beliau melibatkan diri dalam perjuangan menentang penjajah British, dan kemudian, fasis Jepun demi kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat. Pada tahun 1955, beliau telah ikut serta dalam Rundingan Baling yang berlangsung antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan berperintahan sendiri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Hari ini, beliau tetap dengan gigih berjuang demi kebebasan, demokrasi, keadilan masyarakat serta perdamaian dalam negeri yang diidam-idamkan rakyat tanah air kita.




Soalan: Bilakah Bapak dilahirkan?

Rashid Maidin: Saya dilahirkan pada bulan Oktober tahun 1917.






Soalan: Kalau begitu, Bapak lebih tua daripada Bapak Abdullah C.D.
Rashid Maidin: Ya, Abdullah C.D. atau Cik Dat enam tahun lebih muda daripada saya. Beliau dan saya adalah rakan seperjuangan yang paling akrab sejak akhir Perang Anti-Jepun hingga sekarang.

Soalan: Apakah rahsia kesihatan Bapak? Daripada wajah Bapak, Bapak kelihatan belasan tahun lebih muda. Bolehkah Bapak ceritakan secara terperinci untuk pengetahuan generasi muda?

Rashid Maidin: (ketawa) Sebenarnya, tak ada sebarang rahsia. Menurut pengalaman saya, pertama-tama, kita mesti mempunyai semangat yang optimis untuk menjayakan cita-cita hidup kita berjuang untuk rakyat dan tanah air. Ini paling penting. Selain itu, saya sentiasa amalkan latihan gerak badan, bersukan, termasuk berjalan kaki dan latihan taichi qigong. Tambahan pula, alam sekeliling di hutan rimba yang hijau ini begitu menyegarkan. Udaranya bersih dan nyaman, tak ada hingar-bingar dan debu-debu, seperti di kota.

Soalan: Kami juga dapat tahu Bapak seorang penggemar muzik.

Rashid Maidin: Ya, muzik, khasnya muzik asli, memang saya minati sejak kecil lagi.

Soalan: Ada orang mengatakan Bapak seorang penggesek biola.

Rashid Maidin: (ketawa) Oh, itu indah khabar dari rupa. Saya sudah lama gantung biola saya.

Soalan: Seperti tercatat dalam sejarah, Bapak salah seorang anggota perwakilan Parti Komunis Malaya dalam Rundingan Baling pada bulan Disember 1955.

Rashid Maidin: Ya, kami bertiga, iaitu Chen Ping, Chen Tien dan saya, telah menghadiri perundingan tersebut bagi pihak PKM.

Soalan: Apakah tujuan perundingan itu?

Rashid Maidin: Tujuannya adalah untuk mencari jalan bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British serta menamatkan perang yang dilancarkan penjajah British yang bermula pada 20 Jun 1948.

Soalan: Bagaimanakah sikap orang ramai pada masa itu terhadap perwakilan PKM?

Rashid Maidin: Orang ramai sangat menginginkan kemerdekaan. Apabila rombongan kami keluar dari hutan di Kelian Intan dan dibawa dengan kereta ke Baling, di sepanjang jalan, orang ramai tak putus-putus mengalu-alukan kami. Di Baling, puluhan ribu massa rakyat menunggu ketibaan kami dan menyambut kami dengan pekikan “Merdeka”. Tempat penginapan kami di Baling dipagari kerawat berduri dan orang ramai tak dibenarkan masuk. Jadi, mereka berasak-asak di luar, ingin melihat kami dan bersalaman dengan kami. Kami juga dengar mereka panggil nama kami. Pendek kata, orang ramai, baik Melayu mahupun bukan Melayu, menganggap kami sebagai pejuang kemerdekaan. Suasana hangat itu begitu mengesankan dalam ingatan saya sampailah ke hari ini.


Soalan: Bagaimanakah sikap perwakilan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu masa itu?

Rashid Maidin: Perwakilan mereka disertai oleh Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, David Marshall dan juga Abdul Hamid Jumat. Sungguhpun perundingan itu perundingan damai, malangnya sikap mereka sangat keras, bahkan bermusuhan. Kami diberi kata dua, iaitu sama ada menyerah diri atau dihapuskan. Kami tentu tidak boleh terima kata dua sedemikian.

Soalan: Apakah sikap PKM dalam perundingan itu?

Rashid Maidin: PKM mahu menamatkan perang, tapi biarlah dengan syarat adil dan munasabah. PKM menegaskan soal menyerah diri tidak timbul kerana kami bukan pengganas, tapi pejuang kemerdekaan. Yang kami lawan bukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, tapi pemerintah penjajah British. PKM juga menyokong rombongan Tunku pergi ke London berunding dengan British untuk kemerdekaan. Tunku mengakui peranan penting perang gerila yang kami lancarkan dalam mencapai kemerdekaan Malaya, dan beliau berjanji untuk menemui kami lagi setelah kembali dari London. Sayangnya, ini tidak berlaku. Sebaliknya, Kerajaan Tunku menerima syarat-syarat penjajah British dan meneruskan perang warisan penjajah itu ke atas kami.

Soalan: Apakah ini sebab utama perang itu berubah menjadi perang dalam negeri?

Rashid Maidin: Ya.

Soalan: Berbalik kepada latar belakang Bapak, bolehkah Bapak ceritakan sedikit tentang keluarga Bapak?

Rashid Maidin: Saya lahir dalam keluarga miskin di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak. Datuk dan nenek saya berasal dari Rawa, Sumatera. Mereka berhijrah ke Perak pada akhir abad ke-19. Adik-beradik saya lapan orang, tujuh lelaki dan satu perempuan. Saya anak yang paling tua.

Soalan: Benarkah Yang Berhormat Encik Yusuf Maidin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi kawasan Sungai Manik, itu adik Bapak?

Rashid Maidin: Benar. Ketika dia di sekolah vokesyenal, saya membantu belanja persekolahannya.


Soalan: Bagaimanakah persekolahan Bapak sendiri?

Rashid Maidin: Saya belajar di Sekolah Melayu Gunung Panjang, Gopeng, dan lulus darjah 5. Pada sebelah petang, saya belajar agama di madrasah Kampung Gunung Mesah. Kerana ibu bapa saya miskin, lepas tamat sekolah Melayu pada tahun 1928, saya pun terpaksa mencari kerja.


Soalan: Tapi Bapak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Bilakah Bapak belajar?

Rashid Maidin: Boleh sikit-sikit. Sebenarnya, walaupun terpaksa berhenti sekolah, tapi minat untuk terus belajar tetap mendalam. Ketika berumur 12 tahun, saya ke Tapah bekerja dengan bapa saudara saya. Sambil bekerja, saya belajar bahasa Inggeris waktu malam dengan seorang mubaligh yang menyebar agama Kristian di kalangan Orang Asli. Dengan bantuannya, saya juga ambil kursus gaya pos dengan sebuah sekolah di Jakarta. Kemudian, pada tahun 1938, ketika saya bekerja di Kampar, saya teruskan lagi belajar Inggeris di sekolah malam selama hampir dua tahun lagi. Selain itu, saya tambah dengan belajar sendiri.

Soalan: Bapak pernah menjadi buruh mahir. Benarkah?

Rashid Maidin: Benar. Masa di Tapah, ketika berumur 16 tahun, saya menjadi magang di stesyen janakuasa elektrik milik Perancis. Lepas setahun, saya lulus dengan memperoleh Sijil Kelas 2 dan dibayar upah $30 sebulan. Kemudian, saya bekerja pula di Kampar dengan Talam Mines Company Limited. Di sana, pada tahun 1938, saya ambil ujian Electrical Chargeman dan dapat Sijil Kelas 1. Saya pun dibayar upah $60 sebulan, manakala buruh biasa mendapat upah 75 sen sehari. Upah saya lebih sedikit kerana saya ada sijil dan tahu bahasa Inggeris.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit bagaimana Bapak mula terlibat dalam politik?

Rashid Maidin: Sebagai anak Perak, semangat anti-British memang sudah tersemai kerana pengaruh Perang Maharajalela. Pengaruh ini meresapi diri saya sejak kecil lagi. Setelah bersekolah, saya pun ada membaca buku-buku tentang perang ini. Saya menceburkan diri dalam kegiatan berorganisasi mulai tahun 1937, iaitu dengan menjadi anggota Persatuan Drebar-Drebar Melayu Perak. Pada tahun 1939, ketika bekerja di Tanjung Tualang, saya menjadi ahli kesatuan sekerja Kinta Mining Workers Association. Di situlah, saya mendapat didikan secara langsung daripada seorang kader bawah tanah PKM yang bernama Lai Raifel atau Lai Fook yang bekerja sebagai buruh bersama saya. Melaluinya, saya dapat membaca pelbagai jenis buku politik. Kesedaran kelas saya beransur-ansur meningkat, dan saya diterima menjadi anggota PKM pada penghujung tahun 1941. Raifel dan saya juga berusaha untuk menyusun kaum buruh Melayu dalam kesatuan sekerja, tapi usaha ini terhenti apabila meletusnya perang.

Soalan: Apakah kegiatan Bapak semasa Jepun menduduki Malaya?

Rashid Maidin: Semasa pendudukan Jepun, saya terus bekerja di lombong kapal korek Tanjung Tualang, yang telah beralih ke tangan Jepun. Terhadap fasis Jepun, saya ambil sikap talam dan muka. Secara rahsia, saya buat kerja propaganda di kalangan kaum buruh, mendedahkan kezaliman fasis Jepun serta mendidik kaum buruh tentang perjuangan kelas dan Parti Komunis. Kegiatan itu bertujuan berkoordinasi dengan perang gerila yang dilancarkan oleh Tentera Anti-Jepun. Untuk memperbaiki kehidupan kaum buruh, yang sangat buruk waktu itu, kami membuat pakatan mengambil bijih di lombong waktu tengah malam dan menjualnya kepada pemborong gelap. Ini dapat menambah pendapatan kaum buruh sekali ganda.

Soalan: Bolehkah Bapak terangkan sedikit keadaan setelah Jepun menyerah diri?

Rashid Maidin: Masalah pokok masa itu bagi orang ramai ialah kelaparan. Untuk mengatasi masalah ini, PKM telah melancarkan gerakan menentang kelaparan yang diikut serta oleh berpuluh ribu orang ramai. PKM mengemukakan beberapa tuntutan kepada British: (1) Beri wang $10 seorang untuk menggantikan wang Jepun yang sudah tidak laku lagi; (2) Segera beri kerja kepada kaum penganggur; (3) Ubati orang sakit; (4) Segera hantar makanan ke Malaya dan berikannya kepada orang ramai. Saya campur gerakan ini di Ipoh. Di sana, di bawah anjuran Parti, kami mengadakan kegiatan masak nasi kawah untuk orang ramai yang lapar. Ini dapat membantu masalah orang ramai dalam batas tertentu, tapi British sangat marah. Mereka menghantar seorang pegawai tinggi dari Kuala Lumpur ke sana untuk mengugut kami. Kata pegawai itu, dia datang tidak membawa makanan, tapi bawa senapang dan meriam. Kebiadaban British ini mengobarkan lagi gerakan anti-kelaparan yang terus menjalar ke lain-lain tempat.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit hubungan Bapak dengan Bapak Abdullah C.D.?

Rashid Maidin: Masa pendudukan Jepun, Abdullah C.D. masuk pasukan gerila. Saya berkenalan dengannya pada penghujung perang anti-Jepun apabila beliau keluar dari hutan. Kemudian, setelah Jepun kalah, kami bersama-sama bekerja dalam pasukan propaganda PKM yang beribu pejabat di Ipoh. (Pasukan propaganda itu diketuai oleh Eng Min Chin, sebelum beliau mendirikan rumah tangga dengan Abdullah C.D. lebih 45 tahun yang lalu. Beliau memeluk agama Islam; nama Islamnya Suriani binti Abdullah.) Waktu itu, kerana komplotan Jepun dan British, timbul situasi pergaduhan kaum antara Melayu dan Cina. Kami berdua ditugaskan bergerak ke merata tempat untuk mendamaikan pergaduhan tersebut. Pada tahun 1946, kami berdua ditugaskan pula ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan kerja Melayu di kalangan pelbagai lapisan masyarakat, khasnya kaum buruh. Selain itu, kami juga bekerja di akhbar Pelita Malaya dan Suluh Malaya. Di Kuala Lumpur, kami tinggal bersama di sebuah rumah sewa. Ke mana-mana saja kami pergi, kami sering bersama.


Soalan: Kami tahu Bapak pernah ke London selepas perang.

Rashid Maidin: Ya, saya ikut serta dalam rombongan tiga orang mewakili PKM menghadiri persidangan parti-parti komunis empayar British pada tahun 1947 di London. Persidangan ini dihadiri oleh wakil parti komunis dari tanah jajahan dan bekas tanah jajahan British seperti Burma, Ceylon (Sri Lanka), India, Australia, Kanada, Kuba serta negeri-negeri Timur Tengah. Persidangan itu membahas masalah gerakan pembebasan dan mengeluarkan perisytiharan menuntut kemerdekaan bagi tanah-tanah jajahan.


Soalan: Ada apa-apa peristiwa menarik di persidangan itu?

Rashid Maidin: Ada beberapa peristiwa sampingan yang boleh saya sebut di sini. Pertama, dalam perjalanan ke London, kami singgah di India selama dua hari sebagai tamu Parti Komunis India, yang ketika itu dipimpin oleh P.O. Joshi. Di London pula, rombongan kami diberi penghormatan tinggi sebagai pahlawan anti-Jepun oleh persidangan itu. Kami juga dapat berkenalan dengan pemimpin parti-parti sekawan dari pelbagai negeri. Sampai sekarang, kami masih berkirim salam dan bertanya khabar.

Selain itu, ketika di London, dengan tak disangka-sangka, Tunku Abdul Rahman, yang sedang belajar undang-undang di England, telah mengutus surat kepada rombongan kami. Antara kandungan surat itu, Tunku meminta maaf kerana tidak dapat hadir sebagai pemerhati di persidangan parti-parti komunis itu. Beliau juga menyatakan harapan agar sidang itu memperoleh kejayaan. Bekas Residen British di Selangor pula menulis surat kepada saya meminta saya melapangkan masa untuk menemuinya. Mungkin, bagi British pada masa itu, kenyataan bahawa orang Melayu mencampuri gerakan Parti Komunis adalah satu hal yang besar.


Soalan: Apakah tanggapan Bapak terhadap peristiwa itu?

Rashid Maidin: Saya rasa ini menunjukkan PKM dihormati oleh pelbagai pihak di dalam dan di luar negeri.

Soalan: Bagaimanakah sambutan orang ramai, khasnya orang Melayu, terhadap PKM waktu itu?

Rashid Maidin: Sambutan orang ramai memang baik. Saya beri satu contoh. Setelah berdirinya PKMM, saya mula berkenalan dan bekerjasama dengan tokoh Melayu lainnya seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam dan Pak Sako. Sekembalinya kami dari London, saya bersama Dr. Burhanuddin, yang juga baru pulang daripada Persidangan Se-Asia di New Delhi, telah menjelajah ke seluruh pelosok tanah air untuk menerangkan perjuangan anti-penjajah – saya atas nama PKM, dan beliau atas nama PKMM. Kami mulakan lawatan kami dari Melaka terus hingga ke Perlis, kemudian berputar dan pergi lagi sampai ke Kelantan. Rapat umum yang kami adakan dihadiri oleh puluhan ribu orang. Di setiap negeri yang kami kunjungi, kami diberi sambutan yang luar biasa hangatnya oleh orang Melayu dan kaum lain.

Soalan: Kami difahamkan Bapak pernah ditangkap penjajah British dan dipenjarakan. Bagaimanakah hal sebenarnya?

Rashid Maidin: Saya ditangkap kira-kira sebulan selepas Darurat diisytiharkan, iaitu pada bulan Julai 1948 di Labu Kubung, Sungai Manik, Perak. Mula-mula, saya dipenjarakan di Taiping selama enam bulan. Selepas itu, saya, bersama-sama kira-kira 50 orang tahanan lain, termasuk Ustaz Abubakar Al-Bakir, Cikgu Sabrun dan lain-lain anggota PKMM, digiring ke Pulau Jerejak. Dari Taiping ke Pulau Jerejak, kami digari beramai-ramai, 10 hingga 12 orang dengan seutas rantai panjang. Di kem tahanan Pulau Jerejak, ada kira-kira 500 orang tahanan pelbagai kaum. Di sana, kami tubuhkan jawatankuasa mogok menentang peraturan penjajah British yang tidak membenarkan kami beli barang makanan dari luar atau terimanya dari rumah.

Soalan: Apakah tuduhan yang dikenakan ke atas Bapak?

Rashid Maidin: Saya dituduh sebagai komunis. Ramai pak haji, ustaz, guru dan lain-lain semuanya dituduh sebagai komunis. Ketua Intelijen British yang menyoal siasat saya mengatakan saya akan ditahan bertahun-tahun. Saya tanya: “Sebab apa dan apa buktinya?” Dia membuka fail catatannya dan memetik ucapan-ucapan saya dalam rapat umum di mana saya pernah berkata: “Selagi ada penjajah British di Malaya, kita akan berjuang terus.”

Setelah satu setengah tahun di Pulau Jerejak, saya dibawa pula ke Pulau Tanjung Beruas, Melaka. Penjara Tanjung Beruas lebih besar, mengandungi 1000 orang lebih tahanan, yang ditempatkan dalam blok-blok. Bagi satu-satu blok, terdapat 200 hingga 300 orang. Saya dimasukkan dalam Blok K bersama Cik Muda dari Terengganu, Cikgu Hamid dari Kelantan, Ustaz Yahya Nasim dari Selangor dan lain-lain anggota PKMM. Saya dipilih oleh kawan-kawan sebagai “Presiden Blok K”. Pak Sako dan Boestamam juga dipenjarakan di Tanjung Beruas, tapi ditempatkan dalam blok yang lain. Saya acap kali berjumpa dan berbincang dengan mereka di penjara itu.

Soalan: Bagaimanakah keadaan di penjara Tanjung Beruas?

Rashid Maidin: Pada mulanya, keadaan di sana lebih buruk daripada Pulau Jerejak. Misalnya, kami dipaksa angkut najis sendiri setiap pagi dan cuci jamban. Ini benar-benar menyebabkan kami marah. Setelah seminggu di sana, saya dan kawan-kawan bentuk satu jawatankuasa untuk melancarkan mogok lapar. Tuntutan kami ialah: (1) Berhentikan angkut najis sendiri, (2) Benarkan kami dirikan madrasah. Setelah tiga hari mogok, penjajah British mengalah dan menerima tuntutan kami. Selain itu, kami juga diberi kemudahan lain, termasuk bermain badminton waktu malam serta dapat membaca akhbar Straits Times. Tapi akhbar Utusan Melayu tidak dibenarkan.

Soalan: Kami dapat tahu Bapak dapat lepaskan diri daripada penjara itu. Ini benar-benar satu keajaiban!

Rashid Maidin: (ketawa) Bukan, ini bukan satu keajaiban. Sebenarnya, setelah dua tahun di Tanjung Beruas, muncul satu perkembangan baru. Kerana ekonomi British merosot akibat perang yang dilancarkannya terhadap Parti Komunis Malaya dan Tentera Pembebasan Nasional Malaya, ia pun menggunakan tahanan seperti kami menjadi buruh murah untuk membangun balai polis dan lain-lain. Dari Tanjung Beruas, 12 orang tahanan, termasuk saya, telah dipilih menjadi buruh untuk membangun sebuah balai polis di Caruk Batang, Jasin, Melaka. Kami diberi upah $1 sehari dan tinggal di berek polis yang dipagari kerawat berduri. Kerana saya mahir dengan soal elektrik, jurutera binaan di situ banyak bersandar pada saya. Pelan bangunan balai polis yang hendak dibina itu pun diserahkan kepada saya, manakala dia sendiri kadang-kadang datang, kadang-kadang tidak.

Yang menjaga kami ialah beberapa orang polis Melayu, dengan diketuai oleh seorang sarjan yang telah bersara, bernama Pak Mi. Kami bernasib baik kerana Pak Mi benar-benar tak puas hati terhadap penjajah British, yang memaksanya berkhidmat semula dalam polis. Sebelum Darurat, Pak Mi pula pernah campur rapat umum dan kenal dengan saya. Dia memberitahu saya, tugasnya hanya menjaga “kerbau balar” (maksudnya orang putih), bukannya untuk menjaga tahanan. Pak Mi rapat dengan saya. Apabila makan tengah hari, dia dan polis lain makan bersama kami. Dia selalu bawa Utusan Melayu dan meminjamkannya kepada saya.

Di tepi tempat kami bekerja, ada sebuah kedai kopi orang Cina. Juga ada seorang budak Cina berumur 12 tahun menjaga lembu di situ. Melalui budak itu, saya mendapat hubungan dengan pasukan gerila kami di Melaka. Apabila perjanjian dengan kawan-kawan pasukan gerila sudah matang, saya bersama seorang tahanan lain, seorang pemuda bernama Yusuf dari Johor, membuat rancangan untuk melarikan diri semasa bekerja dan masuk hutan. Suatu hari, ketika makan tengah hari, saya dan Yusuf pura-pura sakit perut dan minta izin ke jamban. Kami dibenarkan pergi ke jamban tanpa dikawal. Mengambil kesempatan itu, kami pun terus lari ke hutan di mana bendera merah pasukan gerila, yang merupakan isyarat kami, sedang berkibar-kibar.


Soalan: Bagaimanakah Bapak dapat bergabung dengan pasukan Rejimen ke-10?

Rashid Maidin: Saya melarikan diri pada awal tahun1952 setelah kira-kira tiga setengah tahun dalam penjara. Setelah bergabung dengan pasukan gerila, saya dibawa dari satu tempat ke satu tempat untuk bertemu dengan Jawatankuasa Pusat PKM dan Rejimen ke-10. Perjalanan dari Melaka ke pangkalan Rejimen ke-10 di Pahang memakan masa hampir setahun melalui hutan. Setelah sampai di Kerdau, Pahang, pada akhir tahun1952, barulah saya bertemu semula dengan Abdullah C.D.. Sejak itu, saya terus berjuang di Rejimen ke-10.

Soalan: Apakah peranan Bapak dalam PKM dan Rejimen ke-10?

Rashid Maidin: Dalam PKM, saya menjadi salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat. Di Rejimen Ke-10, saya bersama Abdullah C.D. dan pemimpin lain memimpin pasukan ini melancarkan perjuangan, baik semasa di Malaya, mahupun di sempadan. Saya pernah luka di kaki dalam pertempuran melawan penjajah British.

Soalan: Apakah Bapak pernah bertugas di pasukan lain selain daripada Rejimen ke-10?

Rashid Maidin: Oh ya, untuk satu masa kira-kira selama 10 tahun, saya bersama-sama memimpin Pasukan Kawasan Khas. Kemudian, pada tahun 1972, saya balik semula ke Rejimen ke-10.


Soalan: Apakah pendapat Bapak tentang peranan perjuangan bersenjata serta perjuangan rakyat tanah air kita dewasa ini?

Rashid Maidin: Kebanyakan masalah ini serta dasar-dasar PKM berhubung dengannya sudah pun dijelaskan oleh Pengerusi kami, Abdullah C.D., dalam temu bualnya. Jadi, saya tak akan mengulanginya di sini. Cuma satu perkara saja ingin saya tegaskan, iaitu masalah perang dalam negeri dan perdamaian. Parti Komunis Malaya bukan sebuah parti yang haus perang, bahkan merupakan sebuah parti yang cintakan perdamaian. Rakyat juga cintakan perdamaian. Sebab itulah, kami pergi ke Baling dulu. Kami bersedia menamatkan perang dalam negeri dengan syarat yang adil dan munasabah. Kami bersedia berjuang bersama-sama parti politik lainnya secara damai dan demokratik untuk sama-sama membangun tanahair kita menjadi sebuah negara yang demokratik politiknya, makmur ekonominya, maju kebudayaannya, serta bersatu bangsanya.

Soalan: Bapak adalah seorang pejuang yang besar bagi tanah air dan bangsa kita yang telah bersama-sama memimpin perjuangan selama puluhan tahun ini. Bapak merupakan satu contoh yang patut diteladani, khasnya oleh angkatan baru. Sebagai penutup temu bual ini, apakah pesanan Bapak kepada angkatan baru?

Rashid Maidin: Sebagai orang tua, saya ada satu pesanan dan juga harapan kepada angkatan baru. Kemajuan negara, pembangunan negara dan masyarakat bersandar kepada angkatan baru. Hari depan juga milik angkatan baru. Tapi, sekarang, ada satu kecenderungan yang bahaya di dunia dan di negara kita, baik dalam politik, dalam masyarakat dan lain-lain – satu kecenderungan yang merosakkan angkatan baru. Misalnya, kebudayaan kuning, dadah, teori yang keliru dalam politik, pelbagai gerakan yang menyesatkan, gaya hidup yang individualistik, yang hanya mementingkan diri sendiri, dan sebagainya. Angkatan baru perlu nampak bahaya aliran ini dan harus menentangnya dengan tegas. Mereka patut menceburkan diri dalam gerakan yang sihat, yang berperanan membangunkan negara dan masyarakat, menegakkan demokrasi dan keadilan serta memupuk perpaduan antara kaum.

nota: wawancara ini dibuat oleh wartawan Suluh Rakyat pada tahun 1989


Khamis, 27 Ogos 2009

Siti Norkiah: Ketua Awas Pahang

4 ulasan

sempena menyambut kemerdekaan

Jika bercerita tentang Rejimen Ke-10, tak dapat tidak harus menyebut Sungai Pahang, perjuangan Datok Bahaman, PKMM, API, PETA, AWAS, Barisan Tani Malaya dan Kesatuan Buruh Melayu.

Seorang kader veteran Rejimen Ke-10 yang juga puteri terpuji Sungai Pahang dan zuriat pejuang Datok Bahaman ialah Siti Norkiah, anak Pesuruhjaya PKMM Pahang, Mahmood Baginda. Aki beliau, Baginda pernah menyertai revolusi anti-Belanda di Indonesia, kemudian menyertai perjuangan Datok Bahaman.

Siti Norkiah adalah Ketua Awas Pahang. Di dalam pasukan beliau digelar seb
agai Tun oleh rakan seperjuangan, manakala di kalangan massa rakyat di kawasan sempadan pula beliau di panggil Makcik Saripoh.

Profail Siti Norkiah Mahmood Baginda.


  • Siti Norkiah binti Mahmud Baginda, di pasukan Rejimen Ke-10 lebih dikenali sebagai Tun Minah, dan di kalangan massa rakyat kawasan sempadan dikenali sebagai Makcik Saripoh.
  • Lahir di Bandar Serambik Luar, Raub, Pahang pada tahun 1920-an.
  • Bapa bernama Mahmud bin Baginda, ibu bernama Zaleha binti Mat Yusof, keturunan India Muslim berasal dari Karachi.
  • Belajar secara tidak menetap dibeberapa sekolah kerana mengikut keperluan kerja bapanya dan belajar sendiri di kampung.
  • Bapa (Mahmud bin Baginda) menjadi anggota KMM, rapat dengan Ibrahim Yaakob. Dalam masa aman Mahmud Baginda menjadi Pesuruhjaya PKMM Negeri Pahang. Tokki Siti Norkiah (bapa Mahmud Baginda) bernama Baginda Abdullah Murah berasal dari Sumatera, menyertai revolusi Indonesia menentang Belanda. Setelah revolusi itu gagal, beliau melarikan diri ke Malaya dan menetap di Pahang. Di Pahang beliau menjadi sahabat rapat Datok Bahaman dan menyertai Perang Bahaman.
  • Sejak kecil, ayahnya (Mahmud Baginda) sentiasa menceritakan perihal politik, soal revolusi, sikap datuk neneknya terhadap revolusi dan lain-lain kepada Siti Norkiah dan adik beradiknya yang lain seperti Siti Khadijah (kakak) Zainab dan Osman Abadi (adik). Di bawah pengaruh bapa, mereka menjadi ahli KMM di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob. Ibrahim Yaacob selalau datang ke rumahnya untuk bermesyuarat. Dalam masa yang sama, dengan dorongan bapanya mereka menyertai Sabahat Pena – Sebuah persatuan untuk menjalin persahabatan di kalangan anggota yang berpejabat di Pulau Pinang di bawah pimpinan Seikh Sagof.
  • Dalam masa pendudukan Jepun, ayahnya menyokong perang anti-Jepun secara rahsia. Untuk satu masa pendek setelah Jepun kalah, rumahnya menjadi pejabat pemerintahan sementara Tentera Anti-Jepun.
  • Setelah Jepun kalah, PKMM telah mendirikan AWAS (Angkatan Wanita Sedar) sebagai sayap wanitanya. Dalam satu sidang di Benta, Siti Norkiah dipilih menjadi Ketua Awas Pahang merangkap Ketua Awas bahagian Benta. Sebagai Ketua Awas, saban hari beliau sibuk berkejar ke sana ke mari mengadakan ceramah, rapat umum dan lain-lain untuk menabur semangat kemerdekaan di kalangan orang ramai.
  • Jun 1948, penjajah British isytiharkan undang-undang darurat. Kerana hendak ditangkap, beliau berlindung di rumah-rumah massa, yang pada umumnya adalah anggota atau penyokong AWAS atau API. Dalam masa inilah beliau diterima menjadi anggota PKM di bawah perkenalan Kamarulzaman Teh.
  • Pada penghujung 1949 barulah beliau dapat berhubung dengan pasukan TPNM Cina Rejimen Ke-6 yang berberak di Jerangsang. Tak lama setelah itu beliau dapat berhubung dengan Musa Ahmad dan adiknya Zainab. Kemudian Siti Norkiah menyertai regu Musa Ahmad bergerak di Pahang Utara, bergabung dengan Rejimen Ke-11.
  • Pada penghujung tahun 1953, Pasukan Hang Jebat Rejimen Ke-10 tiba di Rejimen Ke-11 dalam rangka perpindahan strategik mereka ke utara. Siti Norkiah dan regu kawan-kawan Melayu di bawah pimpinan Musa Ahmad bertolak bersama-sama Abdullah C.D. ke kawasan sempadan.
  • Pada tahun 1958, beliau berkahwin dengan Abu Samah Mohd. Kassim. Setelah penandatanganan Haadyai, beliau dan suaminya Abu Samah menetap di Kampung Perdamaian Sukhirin atau Kampung Chulabhorn 12 di Daerah Sukhirin, Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand.


  • Di kawasan sempadan, beliau ditugaskan memimpin regu penyusun massa. Antara kapung-kampung yang pernah disusunnya ialah Jadih di Sukhirin, Kg Perah, Kg. Balik, Kg. Chembir, Kampung Resa di Weang, Kampung Dohik, Kampung Teras, Kampung Pak Chek Teng di Sungai Padi; Kampung Kuala Kail, Kg. Kuala Balai, Kampung Jok di Banang Star, Yala dan lain-lain.
  • Mulai tahun 1969, beliau menyertai pasukan penggempur Rejimen Ke-10 bergerak ke kawasan Ulu Kelantan di bawah pimpinan Abu Samah, menghadapi ujian kekurangan bahan makanan, serangan kempen kepung basmi tentera Kerajaan Kuala Lumpur dan lain-lain.
  • Pada tahun 1980 beliau ditugaskan berkhidmat dalam Kompeni Ke-21 Rejimen Ke-10 iaitu pasukan induk Rejimen Ke-10, menjadi anggota Badan Pimpinan Markas Pengarah Kompeni merangkap memimpin bahagian wanita dan masalah wanita Kompeni Ke-21.
  • Sepanjang perjuangannya, dalam parti beliau pernah dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kawasan (Setiausaha Area Komiti) dan di dalam tentera dilantik sebagai Ketua Kompeni.
  • Pada tahun 1988, Abdullah C.D. sebagai wakil Rejimen Ke-10 dan Ghafar Baba sebagai wakil Kerajaan Malaysia mengadakan perundingan damai tingkat rendah untuk menamatkan persengketaan bersenjata. Siti Norkiah menjadi anggota rombongan Rejimen Ke-10 dalam perundingan pusingan ke-2 yang berlangsung di Pulau Pinang pada bulan Ogos 1988. Seorang adiknya Hj. Mokhtar bin Mahmud Baginda menjadi orang penghubung antara Tun Ghafar Baba dan Abdullah C.D. dalam siri perundingan tersebut.
  • Tahun 1999, beliau bersama suami Abu Samah Mohd. Kassim serta Abudullah C.D. dan Suriani selamat menunaikan fardhu Haji.
  • 7 April 2009, tarikh yang paling sedih dalam hidupnya, rakan seperjuangan dan teman hidupnya Abu Samah kembali ke rahmatullah. Tapi dengan semangatnya yang teguh, beliau dapat hadapi hari-hari yang sedih itu dengan tabah.

Rabu, 26 Ogos 2009

Putera Sungai Pahang Ahmad Taha

1 ulasan


sempena menyambut kemerdekaan



Ahmad Taha atau nama samarannya Remaja/ PWD, dilahirkan pada bulan November 1926 di Kampung Buntut Pulau, Mukim Perak, Daerah Temerloh, Pahang, menerima pelajaran sehingga darjah 6 sekolah Melayu.

Selepas Perang Dunia Kedua, beliau menyertai API, kemudian PETA. Beliau berkhidmat dalam rombongan bangsawan sebagai palakon, mempersembahkan drama, opera dan lain-lain untuk membangkitkan semangat kemerdekaan di bawah pimpinan Kamarulzaman Teh. Beliau pernah ikut serta dalam rombongan mendamaikan pergaduhan bangsa-bangsa di Bentong.

Beliau menjadi perhatian penjajah British kerana menyertai perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Setelah penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat pada bulan Jun 1948, rumahnya diserbu polis, tapi beliau telah berpindah ke hutan belukar. Pada bulan Oktober 1948, barulah beliau dapat berhubung dan menyertai Rejimen Ke-10. 1948 - 1953 pernah bertempur belasan kali dengan askar komanwel British.

Pada tahun 1953 – 1954, beliau ikut serta dalam perpindahan strategik Rejimen Ke-10 ke kawasan sempadan, ditugaskan menyusun massa. Pada tahun 1977 beliau berkhidmat di Kompeni Ke-22 Rejimen Ke-10 dan pada tahun 1984 berkhidmat di Platun Ke-12.

Di kawasan sempadan beliau dilantik sebagai Ketua Platun. Menjalan berbagai tugas perjuangan seperti menyusun massa, kerja dalam Markas Besar Rejimen Ke-10, memimpin unit-unit bersenjata, membuka ladang atau disebut berproduksi dan lain-lain.

Sesuai dengan minatnya sebagai seorang ahli seni, beliau banyak kali berlakon di dalam pasukan seperti dalam Opera Putera Puteri Sungai Pahang, Ujian Revolusi dan lain-lain.


Ahmad Taha berlakun sebagai seorang pengkhianat bangsa
datang ke kampung mengugut orang ramai yang
menyokong perjuangan bersenjata anti British

Selepas penandatanganan perjanjian damai Haadyai, beliau pulang ke kampung halamannya di Buntut Pulau.


Selasa, 25 Ogos 2009

Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam

0 ulasan
Tulisan dari Blog Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam sedang dimuat naik. dalam satu blog baru. Walau bagaimanapun kerana kesuntukan masa prosesnya akan memakan sedikit masa. Kepada sesiapa yang berminat sila klik tajuk Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam di sebelah kanan atau di http://matamin02backup.com.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menonton klip video, sila klik tajuk Kini Dan Silam Video di sebelah kanan atau di http://matamin02video.blogspot.com.

Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakan-rakan bloger yang ikut memberikan bantuan dalam penyempurnaan blok ini.

Isnin, 24 Ogos 2009

Ahmad Boestamam-Tokoh Nasional Patriotik Yang Besar

3 ulasan

sempena menyambut kemerdekaan




Sajak


Perginya Seorang
Pahlawan Bangsa



(mengenangi tokoh nasional
patriotik Ahmad Boestamam)



I

Di zaman kebangkitan yang menggelora ini
kau mengarak tinggi panji
dengan suara yang lantang membakari sukma
dengan pena yang tajam meniupkan semangat merdeka
jiwa kau menyala dengan api yang tetap membara
meskipun belasan tahun malam memanjang
di kurungan penjara negeri
dilingkari kakwat berduri!

II

Seumur hayat kau
diabadikan kepada bangsa dan pertiwi yang ternoda
segenap jiwa kau disumbangkan kepada rakyat yang derita -
sekalipun jalannya pahit getir
kau mara gagah
dengan kebulatan tekad
bersatu tak kira bangsa
demi kemerdekaan
demi keadilan
demi kebebasan
demi domokrasi!

III

Kini kau Pergi
di tengah-tengah ratapan sanak saudara
dan rakan-rakan seperjuangan
yang tetap setia
yang pasti mengubah duka cita
menjadi azam yang teguh
meneruskan cita-cita kau sampai selesai!

IV

Ya, sejarah sudah mengabadikan kau
dalam selebarannya -
kau tetap hidup dalam kenangan
sebagai tokoh nasional patriotik yang besar
pejuang kemerdekaan
dan pahlawan bangsa
yang sukar dicari ganti!

Anak Rakyat
1 Feb. 1983



(Suluh Rakyat, Jilid 3, Bilangan 1, Januari - Februari 1983)
- ihsan Muzium Sejarah, Kampung Perdamaian Sukhirin

Ahad, 23 Ogos 2009

Ibu Zaleha - Ketua AWAS Lubuk Kawah

1 ulasan

sempena menyambut kemerdekaan

(disiarkan Kampung Perdamaian Sukhirin -
Kini Dan Silam pada 30 Julai 2009)



Ibu Zaleha Mat Roni adalah serikandi terpuji puteri Sungai Pahang yang rela bergalang tanah demi kemerdekaan tanah air. Dengan mendapat pengaruh patriotisme dari datuknya yang menjadi angkatan perang Datok Bahaman, Ibu Zaleha membenci penjajah British sejak kecil lagi. Begitu gerakan kemerdekaan berkobar di Temerloh selepas kekalahan Jepun, beliau lantas menyertai AWAS (Angkatan Wanita Sedar) - pertubuhan wanita Melayu yang pertama memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Beliau telah diberi kepercayaan memimpin AWAS Cawangan Lubuk Kawah sehinggalah pertubuhan itu diharamkan pada tahun 1948. Berikut adalah profail ringkas Ibu Zaleha Mat Roni.

  • Nama: Zaleha binti Mat Roni (1924 – 2004) atau nama samarannya Rosmah@ Wan, dilahirkan di Kampung Bangau Tanjung, Mukim Bangau, Daerah Temerloh, Negeri Pahang.
  • Pendidikan: Lulus darjah 4 Sekolah Melayu Bangau. Belajar agama dengan guru agama kampung.
  • Datuknya Mat Ali (sebelah ibu) pejuang angkatan perang Bahaman, selalu menceritakan kisah perang tersebut kepadanya. Semangat patriotisme dan bencikan penjajah mula berputik di benaknya sejak dari kecil.
  • 1940, pindah ke Kampung Lubuk Kawah. Pengaruh patriotisme anti penjajah lebih diperdalam lagi dengan gerakan PKMM, PKM, API, AWAS, Barisan Tani Malaya dan lain-lain yang berkembang pesat di Temerloh.
  • Tahun 1946 menjadi anggota AWAS, dipilih menjadi Ketua Cawangan Lubuk Kawah hingga AWAS diharamkan pada tahun 1948. Di sekolah API Lubuk Kawah ada kelas politik yang memperkenalkan imperializem, kapitalizem, sosializem, komunizem dan lain-lain. Guru yang mengajar ialah Kamarulzaman Teh dan Pak Da Hami
  • AWAS Cawangan Lubuk Kawah:

Pembantu Ketua - Mak Ngah Minah (merangkap bahagian propaganda)

Setiausaha- Zaharah Bendahari Zawiah binti Hj Ibrahim

Ahli Jawatankuasa - Siti, Rahmah.

  • Semasa AWAS didirikan anggotanya seramai 15 orang saja. Tapi menjelang darurat anggotanya bertambah sampai 100 orang.
  • Oktober 1947, hadir kongres AWAS di Kajang, Selangor. Pahang menghantar 7 orang wakil.
  • Jun 1948 darurat diisytiharkan, beliau ditugaskan menyusun massa dan membantu pasukan gerila di kampung. Walaupun AWAS sudah diharamkan, beliau masih meneruskan perjuangan AWAS dengan menubuhkan cawangan AWAS di kampung-kampung, menerangkan soal kemerdekaan dan membela nasib wanita.
  • 1949 penjajah mahu menangkapnya, beliau menyertai Rejimen Ke-10 bertugas menyusun massa. Lebih 50 anggota AWAS Kampung Lubuk Kawah menyertai perjuangan bersenjata.
  • Disember 1949, pertempuran di Jerangsang antara 300 orang Rejimen Ke-10 dan Kompeni Ke-26 Rejimen Ke-6 dengan 1 batalion askar Gurkha. Beliau ditugaskan mengundurkan barang-barang dengan selamat.
  • 1951 ikut bersama rombongan Abdullah C.D. ke Bentong mesyuarat dengan Chen Ping dan bertemu Rashid Maidin yang baru lepas dari tahanan penjajah.
  • 1953 menyertai pasukan Hang Jebat berpindah ke kawasan sempadan, ditugaskan sebagai Ketua Seksyen Wanita.
  • Di sempadan ditugaskan menyusun massa. Massa sangat menghormati dan menggelarnya Mak Bidan kerana berjaya menyelamatkan ibu yang mendapat masalah ketika bersalin dan perkhidmatan perubatan lain kepada massa.
  • 1960 mendirikan rumah tangga dengan Sukur Ismail.
  • 1968 – 76 ikut serta dalam 3 kali pasukan penggempur Rejimen Ke-10 beroperasi di Ulu Kelantan, bertugas menyusun massa berbagai kaum termasuk massa Orang Asli. Beliau sentiasa memberikan perkhidmatan perubatan percuma kepada Orang Asli.
  • 1977 - 89 – ikut serta memimpin Kompeni Ke-22 Rejimen Ke-10, dilantik sebagai Ketua Kompeni.
  • 25 September 2004 meninggal dunia dalam usia 80 tahun kerana sakit tua. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Kampung Perdamaian Sukhirin.

Dicatat oleh M.A. di Khamis, Julai 30, 2009

Label: alfatihah, pahlawan rakyat, Rejimen Ke-10 TRM, wanita
7 ulasan:

POKTEHZUL berkata...
Begitu banyak sekali srikandi dari sungai pahang yang belum saya kenali. Harap Pak Amin paparkan lebih banyak lagi cerita dan biografi mereka. Mereka benar benar ratu rimba malaya.
2009 Julai 31 10:44

Herman berkata...
Aku kagum dengan keperwiraan pahlawan dan serikandi Rejimen Ke-10 seperti Ibu Zaleha.

Kami generasi baru akan mengenang 31 Ogos sebagai penghormatan jasa-jasa besar para pahlawan dan serikandi rakyat. Begitu besarnya jasa mu demi kemerdekaan tanah air.
2009 Julai 31 16:59

Aman berkata...
Assalamualaikum Pak Amin...

Mungkin Pak Amin dapat kemukakan lebih ramai lagi anggota yng pernah berjuang bersama Pak Amin. Daripada catatan blog nampaknya ramai anak Pahang yang terlibat...
2009 Ogos 1 00:01

Kekacang berkata...
Temerloh, bukannya Bandar Ikan Patin. Tetapi bandar Sejarah Perjuangan Bangsa.
2009 Ogos 1 08:23

Tanpa Nama berkata...
Jasa pejuang sentiasa dikenang

Sungai Pahang bukan saja sungai terbesar di negara kita,
tetapi juga sungai yang mencambahkan benih antipenjajah.

Rejimen Ke-10 yang lahir di Temerloh adalah penyambung perjuangan Datok Bahaman.

Dol
2009 Ogos 1 18:19

Tanpa Nama berkata...
Saya gembira membaca maklumat di atas. Ketika saya membuat kajian di Temerloh pada tahun 1981-82, nama Zaleha hampir tidak disebut oleh penduduk tempatan, mungkin kerana dia telah berpindah ke Thailand dan dilupakan. Sebab itu namanya tidak saya masukkan sebagai pemimpin AWAS Lubuk Kawah dalam buku saya "Paya Jejawi".

el.salleh
2009 Ogos 2 18:11

Tanpa Nama berkata...
TAHUN INI KITA MENYAMBUT KEMERDEKAAN BERSAMA REGMEN KE10...MERDEKA BERSAMA REGMEN KE10...!!!
2009 Ogos 3 20:43

REJIMEN KE-10 TRM