tok pawang memberikan sumbangan

TOK PAWANG MEMBERIKAN SUMBANGAN

Setelah terlepas dari kepungan 120 orang askar upahan penjajah British Abu Samah dan Mat Teluk mendapat pertolongan Tok Pawang Haji Mat Taib di Kampung Sungai Nangka, Bolok Hilir, Semantan. Mereka semua adalah zuriat Datok Bahaman yang amat membenci penjajah British dan mencintai kemerdekaan tanah air. Dari sini kita boleh nampak bahawa perjuangan Rejimen Ke-10 mendapat sokongan dari segenap lapisan masyarakat, khasnya di kalangan orang Melayu. Akan tetapi kerana kelicikan penjajah yang mendapat sokongan golongan pertengahan Melayu, perjuangan Rejimen Ke-10 untuk kemerdekaan tanah air telah dipesongkan sebagai “pengganas”, “anti-agama” dan sebagainya. Sehingga hari ini, media kerajaan terutamanya UMNO masih memberikan lebel tersebut kepada Rejimen Ke-10 - lebel yang telah disesuaikan dengan kehendak penjajah British.

Sila ikuti tulisan Abu Samah yang disalin dari buku yang sama:

Abu Samah sebagai seorang anggota Markas Besar
Rejimen Ke-10
selalu menyampaikan kursus-kursus
atau cerita-cerita revolusioner
kepada seluruh pasukan.
Gambar Abu Samah sedang menyampaikan
ucapan
di dalam perhimpunan komander dan perajurit
Kompeni Ke-21
Rejimen Ke-10 pada tahun 1978.


Tok Pawang Haji Mat Taib ialah bapa saudara dua pupu saya dan Mat Teluk. Ia adalah Tok Pawang yang popular dan dihormati di Mukim Semantan. Sebab itulah antara kami berdua walaupun berpecah pada malam itu, tetapi pada pagi-pagi keesokannya kami berdua masing-masing menuju ke rumah Tok Pawang ini. Bila saya sampai dan bertemu Tok Pawang lebih kurang pukul 7.00 pagai dan Mat sampai lewat 10 minit. Sementara itu 5 orang anggota AP (kawalan kampung penjajah British) yang rumahnya berhampiran juga sampai kerana tengah malam tadi telah mendapat perintah semua AP hendaklah berkumpul pada pukul 7.30 pagi untuk ikut serta bersama-sama dengan pasukan askar Melayu mencari dan menjejaki kesan-kesan darah Abu Samah yang luka ataupun mati.

Bila kesemua anggota AP ini datang menghampiri saya, ada yang bercakap secara berseloroh: “Ah tak payahlah pergi mencari secara bersusah payah, Pak Lang (Abu Samah) dan Pak Itam Mat sendiri sudah ada di sini”.

Mendengarkan perkataan yang tak sedap didengar ini, Tok Pawang segera membentak, “demo jangan bercakap begitu, kedua-dua anak ini dalam kesakitan, cakaplah baik-baik, demo segeralah pergi, rahsiakan perkara ini, kedua-dua anak ini hendaklah dijaga baik-baik”. Kelima-lima anggota AP itu terus pergi ke tempat perhimpunan pasukannya.

Rumah Tok Pawang tak sampai 10 meter dengan jalan besar. Orang ramai tak putus-putus ke hulu ke hilir melalui jalan ini. Tok Pawang minta kami duduk bersembunyi di dalam rumahnya, diberi bilik tempat tidurnya sendiri dan disediakan sebuah ketor tempat buang air kecil, manakala hendak buang air besar atau mandi boleh turun ke telaga (perigi) pada waktu malam. Duduk di sekitar rumah atau dangau-dangau tak boleh, bahaya, katanya. Di sinilah kami berehat dan berubat kaki Mat dan jari kelingking saya yang terkena peluru malam itu, manakala pada sebelah malamnya pula Tok Pawang mengurut, membetulkan urat-urat dan jampi serapah arah pinggang saya yang sakit terkena hentakan “bud rifle” musuh. Begitulah seterusnya sampai dua minggu beransur-ansur pulihlah luka-luka kami.

Benarlah pada hari itu 16 Oktober 1951, pukul 12 tengah hari, Tok Pawang sedang menyirat jala di pelantar (jambaran) rumahnya. Satu platun askar Melayu yang dipandu oleh 5 orang AP tadi telah lalu di situ dan berhenti dekat rumah Tok Pawang. Seorang pegawai askar Melayu berpangkat Mejar berasal dari Perak datang menghampiri dan duduk di atas pelantar bercakap-cakap dengan Tok Pawang tentang kepungan dan tembakan malam tadi di rumah Abu Samah.

Mejar itu berkata, “Mujarab betul ilmu yang dipakai Abu Samah, begitu ramai askar yang mengepung dan begitu banyak peluru yang ditembak tetapi dia tak mati dan dapat meluluskan diri, ini betul-betul ajaib”.

Kemudian Tok Pawang dengan nada bersemangat menjawab: “Itulah dahulupun begitu, Datok Bahaman Orang Kaya Semantan berperang dengan orang putih yang hendak menguasai Negeri Pahang melarang rakyat membayar cukai tanah dan membunuh mata-mata orang putih yang hendak menangkap rakyat membuka tanah itupun beberapa tahun tak dapat ditangkap dan dibunuh, boleh jadi cucu cicitnya yang bangkit melawan orang putih untuk kemerdekaan negeri akan jadi begitu juga”.

Mejar itu mengangguk-anggukkan kepalanya lalu berkata: “ada sekumpulan askar saya yang masuk nun di sebalik bukit ada terjumpa kesan tanah yang baru digali, mungkin mayat Abu Samah ditanamkan orang di situ”.

Tok Pawang mencelah: “Apakah itu kubang babi?”

“Entahlah”, jawab Mejar itu. Mejar memberitahu bahawa, ada dua hari lagi perintah memburu Abu Samah dan pengikut-pengikutnya.

Tok Pawang meminta AP tadi memanjat pokok kelapa dan menjamu Mejar dan askar-askarnya dengan buah kelapa muda. Selesai makan, Mejar mengucapkan terima kasih dan minta izin kepada Tok Pawang untuk beredar.

Dua puluh hari saya berada di rumah Tok Pawang. Petangnya, Tok Pawang memberitahu pada pagi esok dia nak pergi ke Kuala Lipis, ke rumah Menteri Besar Pahang Tengku Mohamed,nak beritahu hal-hal, tidur satu malam di sana. “Anak ada apa nak pesan kat Tengku?”

Saya menjawab “tak ada apa, cuma sampaikan salam takzim, yang lain-lain ikut Pakwa Haji lah, nak cakap apa-apa.”

Bila Tok Pawang sampai ke Kuala Lipis, Menteri Besar minta dia tidur dua malam di sana, di samping urut mengurut, dia hendak mendengar cerita-cerita di Semantan. Dengan Razak (Tun) juga Tok Pawang dapat berjumpa dan bercakap-cakap. Tengku Mohamed beritahu Tok Pawang, jika Abu Samah tak tahan lagi berjuang di dalam hutan, boleh dia hantar kereta bawa balik ke Kuala Lipis duduk di rumahnya; tetapi sekali-kali tak usah menyerah diri. Tengku mengirimkan sebuah jam tangan Rolex manakala Datuk Razak memberikan wang sebanyak 350 ringgit.

Mohamad Sharif, anak Imam Dolah (menantu Tok Pawang) serta anaknya Kaman banyak memberikan bantuan selain berjaga-jaga, mengutip maklumat, mencarikan akhbar dan buku-buku bacaan, mereka juga sentiasa menghubungi emak saya di Pekan Lanchang untuk mengambil barang-barang makanan, ubat-ubatan dan berbagai lagi pertolongan.

peta Mukim Semantan dalam masa perang anti-British dilukis berdasarkan ingatan Abu Samah

3 ulasan

Terima Kasih Pak Amin
Tulislah lagi
Supaya Semangat Dato Bahaman
Kita Tahu Titisnya.

Apa peranan Menteri Besar
Juga Sikap Tun Razak

Apa Politik Orang Umno hari ini
"BERUBAH atau DIUBAH" ?

Reply

sebenarnya kita tak punya masalah dengan umno bila mereka menuduh rejemen ke 10 ni tak percaya agama kerana sekarang ni umno cakap apa pun orangdah tak percaya. walaupun yang di cakap itu benar sekalipun rakyatdah tak percaya. yang paling utama sekarang ialah kita perlu berhadapan dengan golongan agama yang bukan daripada UMNO.

Mereka ini sekarang sudah menjadi penyambung lidah penjajah. Lihat sajalah apa anggapan Tok Guru MB Kelantan. Ini menunjukan Tok Guru sendiri tidak faham dengan isme-isme ini.

Seolah-olah beliau turut mengatakan bekas presiden mereka Dr Burhanudin juga adalah sesatdan menyesatkan. Sedangkang Dr Burhanudin adalah seorang tokoh Nasionalis dan Sosialis Islam yang amat zuhud

Reply

Sdr.Sosialis Hijau,

JAHIL dan JAHAT menjadi anutan
Jahil bab isme,doktrin, falasafah
Jahil membezakan Partai dng Politik
Dan juga Ugama dengan Islam

Tak disedari ada perangai JAHAT
Susah hati lihat orang senang
Senang hati lihat orang susah
Sama sama lah jaga diri sendiri

Buanglah JAHIL dan JAHAT
Gantikan dng BERILMU dan BAIK
Bukannya BERILMU dan JAHAT
Bukan juga BAIK dan JAHIL

Reply

Categories

Pengikut