Khamis, 24 Disember 2009

terkena serang hendap askar upahan penjajah

TERKENA SERANG HENDAP ASKAR UPAHAN PENJAJAH

"Setelah selesai urusan musuh membersihkan medan pertempuran, barulah dikeluarkan perintah membakar lalang di rusuk kiri tempat kami bersembunyi itu. Jam pukul 1 lebih sedikit, kepansan terik matahari sudah cukup membakar tubuh kami. Apa lagi ditambah pula dengan kehangatan bahang api lalang itu. Cuma Allah sajalah yang tahu betapa panasnya yang kami tanggungi."


Pada penghujung bulan Februari 1951, Ah Chin (isteri Chen Nan) seorang penanggungjawab Stet Komiti bersama satu pasukan utusan datang ke tempat saya. Oleh kerana utusan yang hendak pergi ke Mentakab itu banyak membawa benda-benda penting sedangkan hendak pergi ke organisasi Area Komiti di Kampung Batu 7 itu harus melalui beberapa tempat penting dan bahaya umpamanya menyeberangi Sungai Semantan, menyusuri Kinoni Estet, menyusuri Sungai Kepung di Al-Al Estet, kemudian menyeberangi jalan raya Mentakab – Bentong barulah masuk ke jalan kampung Tionghua Batu 7. Oleh itu, sebab selok belok jalannya saya mengetahui, lantas merupakan kawasan tempat saya bekerja, lalu Kawan Ah Chin meminta saya pergi bersama utusan, ditugaskan untuk membawa barang-barang penting seperti satu bungkus (beg) wang, satu tin ovaltine barang-barang emas dan sejumlah dokumen penting lainnya.

Dalam perjalanan itu, kira-kira 95 peratus lancar, tetapi bila sampai melangkah ke jalan raya untuk memasuki jalan kampung yang biasanya hari-hari ada massa aktif kita berkawal di situ secara menyamar selaku pembakar arang, tetapi pada waktu itu ia tiada. Bila saja kami masuk ke kampung dan sedang berjalan di sebatang batas bendang menuju ke satu rumah di depan, maka askar yang bersembunyi di pangkal batas bendang dan askar yang menghendap di sekitar sebuah rumah di depan mencurahkan tembakan yang dahsyat. 3 orang kawan yang berjalan di depan terkorban dan seorang kawan di belakang saya juga gugur. Kawan yang paling belakang belum lagi masuk dalam lengkongan hendapan terselamat. Manakala saya dengan seorang siao kui (perajurit kecil tentera tani) yang bersenjatakan shotgan berbaring di atas tanah itu tanpa bergerak kerana terus dihujani tembakan yang dahsyat.

Musuh mengagak kami sudah mati semuanya. Oleh itu 3 orang askar yang datang dari pangkal empangan tidaklah benar-benar bersiap sedia khususnya askar di depan yang berjarak 4-5 meter dari saya. Dia tengok saya meniarap, tapi mata masih celek, lalu dia mengangkat sebelah tangannya suruh saya bangun. Ketika itu juga saya lepaskan tembakan pistol, dia jatuh tersungkur dan mati manakala 2 orang askar di belakang melihat rakannya mati, mereka cepat-cepat lari meniti batas bendang. Askar-askar lain di jurusan depan dan belakang menghujankan tembakan ke atas kami. (Gambar: para perajurit TRM sedang berlatih dengan tekun untuk menghadapi pertempuran terkena
serang hendap tentera upahan penjajah)

Tempat itu benar-benar tempat maut. Di sebelah jalan masuk tadi iaitu di pangkal kampung ada sebuah rumah massa dipenuhi askar musuh, jalan di sebelah hadapan yang berjejeran rumah juga dipenuhi askar musuh, di sebelah rusuk kanan ialah bendang, di sebelah kiri jalan raya Mentakab – Bentong yang cuma dilindungi oleh sebuah anak bukit kecil (tanah tinggi) yang ditumbuhi rumput-rumput, lalang yang setinggi lutut. Di rusuk kiri inilah saya ajak siao kui bergerak secara merayap-rayap menuju setompok lalang yang setinggi atas sedikit pada lutut di dalam hujanan peluru musuh.

Jam pukul 1.00 tengah hari, musuh mulai memberhentikan tembakan untuk membersihkan medan, mengumpul mayat, senjata dan barang-barang rampasan. Ramai askar sibuk ke hulu ke hilir di jalan. Ada askar yang nampak kesan-kesan rumput bekas kami bergerak tadi cuba mengesaninya 4 – 5 langkah, tapi dicegah oleh Kaptannya, “Jangan pergi”, katanya.

Dari tempat kami berlindung itu, tak sampai 10 meter dengan jalan, segala perkataan dan gerak geri musuh dapat diperhatikan dengan jelas. Setelah selesai urusan musuh membersihkan medan pertempuran, barulah dikeluarkan perintah membakar lalang di rusuk kiri tempat kami bersembunyi itu. Jam pukul 1 lebih sedikit, kepansan terik matahari sudah cukup membakar tubuh kami. Apa lagi ditambah pula dengan kehangatan bahang api lalang itu. Cuma Allah sajalah yang tahu betapa panasnya yang kami tanggungi.

Allah S.W.T. yang maha pengasih lagi maha penyayang itu telah memberikan limpah kurnia-Nya melindungi kami. Api terus membakar rumpun lalang yang kering itu hingga hangus, bumi menjadi hitam. Tapi setompok lalang tempat kami berlindung itu tidak dirayap api. Beberapa ekor ayam hutan pula cuba merayap-rayap hendak menyusup berlindung ke setompok lalang tempat kami itu, tetapi terkejut dan terketak-ketak terbang lari melihatkan kami berada di situ.

Pukul 2 lebih petang, sekumpulan askar dan petugas yang hendak mengambil mayat untuk dibawa keluar itu sampai. 160 lebih orang musuh yang ada di situ masing-masing bersiap hendak makan tengah hari. Kami berdua tetaplah meniarap di dalam tompokan lalang di tengah-tengah panas terik itu tanpa bergerak sedikitpun dengan siap sedia bertempur hingga habis peluru pistol dan shotgan. Kami juga untuk bersedia berundur bila askar musuh meninggalkan persekitaran itu.

Rupa-rupanya musuh tak keluar pada petang itu. Pukul 4 petang, askar-askar musuh mulai memasang khemah tempat tidurnya. Pukul 5 petang, 2 platun lagi askar Melayu dari kem Batu 5 Mentakab yang tak jauh dari situ sampai sebagai tambahan. Ini menjadikan 200 orang lebih askar berada di sisi kami.

Jam pukul 8 malam, kami mulai merayap-rayap mara menuju ke hujung kampung. Bila sampai ke sebuah caruk di kampung itu di mana khemah-khemah askar berjejeran di sepanjang tepi caruk, ketika itu kami nampak askar-askar ada yang sedang berbaring-baring, ada yang sedang bersembang-sembang 2,3 orang satu kumpulan, ketika itulah secara cepat kami berlari melintasi celah-celah khemah musuh itu, memasuki caruk ke seberang sana mengikuti jalan menuju ke hujung kampung. Beberapa minit setelah kami menyeberangi caruk, barulah kedengaran tembakan hebat diberondongi oleh askar-askar musuh itu. Malam itu kami tidur, cuma sekadar rihat-rihat saja di sebuah rumah massa di hujung kampung.

Esoknya, pagi-pagi lagi kami masuk ke kem Area Komiti. Setiap kawan di situ datang dan masing-masing berpeluk-pelukan dengan perasaan yang amat gembira. Setelah itu, saya menyerahkan bungkusan wang, tin berisi emas dan surat-surat penting yang hendak dihantarkan kepada organisasi parti di Mentakab kepada penanggungjawab Area Komiti serta membuat laporan tentang serangan musuh.

“saya mengetahui jelas”, kata penanggungjawab Area Komiti. “Sebab musuh melakukan serangan hendap ini ialah kerana orang kita di pintu jalan masuk kampung yang menyamar diri sebagai pembakar arang itu berkhianat, menerima wang hadiah daripada seorang jutawan kontra-revolusi di Mentakab lalu membocorkan rahsia bahawa dalam masa 2 hari ini ada sekumpulan utusan akan melalui jalan itu”.
---
Nota: dipetik dari tulisan Abu Samah Mohammad Kassim: SEJARAH DAN PERJUANGAN KEMERDEKAAN, terbitan Nan Dao Publisher, Disember 1996

7 ulasan:

penpusaka berkata...

Salam ziarah,

Sewaktu pendudukkan Jepun, PKM dibantu dan diupah oleh penjajah British menubuhkan MPAJA menentang penjajah Jepun.Jepun kalah dalam perang Dunia ke2 lalu menyerah diri kepada British dan meninggalkan Malaya. Kekosongan beberapa bulan, antara kepergian Jepun dan kedatangan semula British ke Tanah Melayu, PKM telah mengambil kesempatan "mengganas" diTanah Melayu dengan ZALIM, memikirkan mereka akan menegakkan "Kerajaan Komunis" di Tanah Melayu sejajar dengan "arahan" Komunis Antarabangsa berpusat di Tanah Besar Cina.

Bila British kembali, CHIN PENG ketua Komunis di Tanah Melayu, dianugerahkan PINGAT oleh British diatas sumbangan PKM menentang Jepun. Bagaimanapun PKM silap bila anak watan Tanah Melayu MENOLAK Komunis, mereka terpaksa masuk kedalam hutan apabila pemerintahan British mengharamkan parti PKM atas sebab kemungkaran mereka bermain politik mengadu-domba untuk menghuru-harakan Tanah Melayu.

British mengisyiharkan darurat pada 1948 dalam usaha mengekang perang gerila oleh PKM. PKM mengatakan didalam artikel ini bahawa mereka diserang hendap oleh "ashkar upahan" sedangkan mereka diserang oleh ASHKAR MELAYU yang berkhidmat dengan pemerintah ketika itu, British untuk mempertahankan Tanah Air mereka daripada "PENJAJAHAN KOMUNIS" PKM yang ingin menjajah Tanah Melayu.

Memang dakyah PKM tak habis-habis mahu menghalalkan kecurangan mereka dan mahu melabelkan anak watan yang berjuang mempertahankan Tanah Air sebagai upahan British.

Kita semua kenali dan tahu British itu penjajah, begitu juga kita tahu dan sedar Jepun juga mahu menjajah dan kita juga tahu dan sedar bahawa PKM juga mahu menjajah. Jadi kita telah bersama-sama British mempertahankan Tanah Jajahan British dari terlepas ketangan KOMUNIS. Dalam masa yang sama NASIONALIS anak watan berpolitik untuk mendapatkan KEMERDEKAAN dari jajahan British yang akhirnya tercapai secara beransur-ansur, bermula dengan pemerintahan British melaksanakan pilihanraya Kerajaan Tempatan pada 1955 yang dimenangi oleh PERIKATAN (UMNO+MCA) lalu Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai KETUA MENTERI KERAJAAN BRITISH diTanah Jajahannya. Bermula dari situ,UMNO+MCA+MIC meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan hingga akhirnya tercapai pada 1957. Dimana PKM sepanjang waktu ini dan selepas kemerdekaan?? Masih didalam hutan dan berperang terus pula dengan KERAJAAN TANAH MELAYU MERDEKA menyebabkan darurat berterusan hingga 1960.

Selepas itu, masih juga meneruskan peperang gerila hingga lah akhirnya, PKM meletakkan senjata dengan perjanjian perdamaian 1989.

Bermakna, PKM berperang dengan anak watan yang menyokong British kerana tidak mahu kepada Komunis, dan selepas merdeka dari British, PKM masih berhajat untuk menjajah Tanah Melayu dari Kerajaan Anak Watan.

Komunis Antarabangsa lebur,PKM nak buat apa duduk lagi dalam hutan, nak keluar takut, diburu Ashkar Melayu, jadi cari jalan hulurkan perdamaian agar dapat keluar cara terhurmat.Mana Chin Peng waktu itu? Sudah selamat dan berbahagia duduk di Tanah Besar Cina sedang kader-kader upahan duduk dalam hutan sempadan mengadu nasib.

Nak tipu siapa???

Anak melayu yang telah terjerat kedalam Regimen 10 PKM, usah mahu menagih simpati agar diiktiraf sebagai sebahagian dari perjuangan Tanah Air. YA! Anda semua telah berjuang!! Tetapi berjuang untuk menegakkan NEGARA KOMUNIS di Tanah Melayu dan anda GAGAL kerana ditentang oleh pejuang tulen Tanahair yang menolak Komunism.

Gunalah pengalaman pahit itu untuk membantu secara positif pembangunan negarabangsa, usah sampai kemati mahu cuba menegak benang basah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna.

Tanpa Nama berkata...

kita sememangnya amat keliru dan hilang pertimbangan apakah kalimah Allah dan agama Islam yang disebut oleh pimpinan Melayu islam dalam PKM TRM atau apa2 saja namanya oleh org spt abdullah cd rashid maidin abu samah dll apakah ianya benar2 diredhai oleh Allah swt sedangkan mereka turut membunuh dan menyuburkan isme komunis yang tidak mengakui wujudnya tuhan !

Tanpa Nama berkata...

kita sememangnya amat keliru dan hilang pertimbangan apakah kalimah Allah dan agama Islam yang diamalkan oleh anak didik penjajah British dalam UMNO itu benar2 diredhai oleh Allah swt sedangkan mereka turut membunuh dan menyuburkan rasuah, kronisme, hukum riba, penyelewengan, pecah amanah, pengkhianatan ke atas tana air dan bangsa dengan bersubahat dengan kaum penjajah walaupun di mulut mengakui wujudnya tuhan!

ahmadnizamhamid berkata...

Saya sarankan untuk membaca satu-satunya novel karya Allahyarham Usman Awang @ Tongkat Waran:TULANG-TULANG BERSELERAKAN untuk memahami sentimen'anak watan yang menyokong british kerana tidak mahu kepada komunis...'Sasterawan Negara Usman Awang memperikan apa sebenarnya sentimen askar/polis Melayu ketika itu.
persoalan berikutnya,apakah Maharaja Lela,Siputum,Bahaman,Mat Kilau,Tok Janggut,Abdul Rahman Limbung,Rentap,Rosli Dhoby,dll (sekadar menyebut beberapa nama)yang mahu menghalau british bagi membebaskan tanahair mereka itu apa pula statusnya?bukankan spt di tulis oleh Prof Arunath Gopinath,Inggeris menggunakan 'anak watan yang menyokong British' contoh,perang Bahaman,orang Melayu (anak watanlah) di rekrut oleh British untuk berperang di Pahang?Oh,mungkin saya silap tafsir,'anak watan' tersebut tentunya pahlawan yang disanjung manakala Bahaman dll sesungguhnya pengkhianat dan penderhaka!
sila juga baca beberapa mimeograf terbitan JMBRAS (journal of malaysian branch asiatic society) tentang seputar gerakan nasionalisme tanahair.

penpusaka berkata...

Salam ahmadnizam,

Disinilah dakyah PKM cuba menghasut halus dan mengelirukan pemahaman saudara.Mereka cuba membariskan diri mereka dengan nama pejuang-pejuang yang anda sebutkan itu seperti Tok Bahaman,Mat Kilau dan ramai lagi yang turut berjuang menentang British dan terkorban. Jangan keliru, diantara PKM dan pejuang-pejuang tanahair itu TIADA PERSAMAAN. Ya! mereka terkorban menentang British TETAPI bukan untuk ism komunis atau sepertinya. Mereka pejuang tulen diantara pejuang-pejuang ANAK WATAN yg diburu sebagai "musuh" penjajah.

Ya! begitulah korban perjuangan. Ada yang tewas, ada yang berjaya. Diatas darah yg mengalir itu, perjuangan diteruskan oleh generasi pejuang mengikut zaman dan cara serta gaya berubah mengikut keadaan dan keupayaan.

Ada yg tersasar dan ada yg menyusur akar. AWAS! Jangan terkeliru, dgn cubaan anasir PKM mahu meletakkan diri mereka sebaris dengan pejuangan anak watan untuk membebaskan tanah air.

SemanTan berkata...

PERJANJIAN TIGA PENJURU
PKM - MALAYSIA -THAILAND
SUDAH DITANDA TANGANI
PADA 2HB. DECEMBER 1989

KITA MULA DARI TARIKH ITU
HALATUJU KEHADAPAN
APA YANG PERLU DIBUAT SETERUSNYA
DALAM RUANG DAN MASA

TAK PERLLAHU DIUNGKIT UNGKIT LAGI
PORTUGIS MENAKLUK MELAKA
TEMASIK -SINGAPURA- SINGAPORE
BOM ATOM DIHIROSIMA DAN NAGASAKI

REGMEN KE10 DAN PKM
TELAH DIBUBAR, SENJATA DILUPUSKAN
MEREKA CUMALAH SATU MATA RANTAIAN
DALAM SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA

ahmadnizamhamid berkata...

Sdr penpusaka,
terima kasih diatas tanggapan sdr terhadap komen saya.saya cuma ingin tegaskan bahawa saya terdidik untuk melihat sesuatu isu atau perkara secara ilmiah dan melalui pembacaan serta kajian,bukannnya semberono semata-mata.ertinya allegasi sdr bahawa saya termakan hasutan halus atau pemahaman saya terkeliru,jauh tersasar.tidak perlu mana pihak atau organisasi waima PKM untuk mengelirukan pemikiran saya didalam saya membentuk kesimpulan.malah saya sebaliknya amat curiga sdr sebenarnya yang terkeliru dan termakan dakyah,propaganda UMNO selama ini.saya kira sdr gagal total untuk menilai di luar dari garis dakyah yang dikutbahkan selama ini.
cuma pesan saya,pendekatan ilmiah (atau mungkin juga semi-ilmiah) social science theory-informed history wajar dijadikan panduan dan meninggalkan pendekatan menggali bahan sejarah dengan memberikan masukan mengikut selera sendiri.malah pendekatan atau teori pengkajian sebegini sememangnya popular dikalangan para ilmuan dan sejarahwan mutakhir.dari sini,dengan pemahaman yang mengenepikan propaganda dan dakyah-baik di pihak UMNO mahupun PKM-saya yakin kita dapat mencari kejernihan.terima kasih

REJIMEN KE-10 TRM