teks ucapan indradjaya sempena 20 tahun perjanjian damai

TEKS UCAPAN INDRADJAJA ABDULLAH DALAM MAJLIS MEMPERINGATI 20 TAHUN PENANDATANGANAN DAMAI HADYAI
Melaksanakan persetujuan yang dicapai itu pula menguji kesungguhan, keikhlasan dan amanat ketiga-tiga pihak yang berkenaan. Kami merayu semua pihak yang berkenaan sungguh-sungguh dan konsekwen melaksanakan semua terma dan kewajiban yang termaktub dalam Perjanjian Damai Hadyai tahun l989.



Indradjaja Abdullah

Salam mualaikum warahmatulahi wabarahkatuh


Kawan Chin Ping, yang dihormati dan dikasihi,


Tuan Thaworn yang dihormati,


Para tetamu kehormat, tuan-tuan dan puan-puan, para sahabat dan kawan-kawan yang dihormati,


Hari ini, kita dengan gembira berhimpun di sini memperingati ulang tahun ke-20 Perjanjian Damai Hadyai yang ditandatangani oleh 3 pihak iaitu Kerajaan Di Raja Thailand, Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya. Berpegang pada keikhlasan dan keazaman yang seikhlas-ikhlas, berdasarkan prinsip sama rata, saling menghormati dan sama-sama menang, dan melalui perundingan peringkat rendah dan peringkat tinggi yang susah-payah selama 1 tahun setengah, 20 tahun yang lampau, iaitu pada 2 Disember tahun 1989, di Hotel Lee Garden yang sama ini, Kerajaan Di Raja Thailand, Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya akhirnya telah menandatangani Perjanjian Damai Hadyai dan menamatkan konflik bersenjata di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, dengan demikian telah memberikan sumbangan penting kepada perdamaian dan kemakmuran di wilayah sempadan ini.


Indradjaja Abdullah, 52, ketika menyampaikan ucapan


20 tahun telah berlalu, kami dengan bangga mengumumkan bahawa pihak Parti Komunis Malaya telah melaksanakan semua janji dan kewajiban yang ditentukan oleh Perjanjian Damai Hadyai. Mengambil peluang ini, kami juga ingin menyatakan hormat dan terima kasih kami kepada Kerajaan Di Raja Thailand yang telah melaksanakan janji dan kewajiban mereka. Selain itu, kami secara khusus ingin menyatakan terima kasih kami kepada Raja dan Kerabat Di Raja Thailand atas perhatian dan simpati mereka selama ini. Mereka telah memasukkan kami ke dalam Projek Kampung Puteri Chulabhorn dan menerima kami menjadi warganegara Thailand.


Perundingan damai memerlukan usaha dan keazaman yang berpanjangan, bersungguh-sungguh dan gigih. Dan ia akhirnya tercapai kerana semua pihak betul-betul ingin menyelesaikan masalah dan berpegang pada prinsip ikhlas, sama rata, saling menghormati dan sama-sama menang. Melaksanakan persetujuan yang dicapai itu pula menguji kesungguhan, keikhlasan dan amanat ketiga-tiga pihak yang berkenaan. Kami merayu semua pihak yang berkenaan sungguh-sungguh dan konsekwen melaksanakan semua terma dan kewajiban yang termaktub dalam Perjanjian Damai Hadyai tahun l989.


Disebabkan oleh berbagai kekurangan baik di segi pengalaman, kemampuan, mahupun ruangan perhimpunan serta persiapan yang agak tergesa-gesa, perhimpunan ini mungkin terdapat berbagai kelemahan. Mengambil peluang ini, kami memohon kepada para hadirin memaafkan kesemua itu. Bagaimanapun, kekurangan dan kelemahan tersebut patut ditanggung oleh komiti persiapan perhimpunan ini khususnya saya. Kami bersedia menerima kritikan dan tunjuk ajar dengan hati terbuka.


Sekian


Wassalam

2 ulasan

Tahniah atas perayaan ulangtahun ke-20 perjanjian 3 penjuru.
20 tahun telah berlalu..moga-moga terbukalah 'pintu hati' kerajaan Malaysia dan media-medianya.Harapnya saudaraku disana tetap teguh dalam kesabaran.Insyaallah,suatu hari nanti akan adanya sinar.

Reply

malaysia punya wakil tiada
tidak pentingkah bagi malaysia?

Chin Peng sain perjanjian
Chin Peng tak boleh balik

apa macam???

Reply

Categories

Pengikut