pak sako pejuang yang dilupakan

PAK SAKO PEJUANG YANG DILUPAKAN


Oleh KHAIRIL ABDUL RAHIM


(dipetik dari lanailestari)


Tanggal 14 November yang baru lalu genaplah 100 tahun (jika masih hidup) usia pejuang kemerdekaan yang digeruni penjajah, reformis bangsa yang mendahului zaman dan genius Melayu yang namanya sentiasa meniti di bibir rakyat, Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali dengan nama Pak Sako.

Tokoh besar dalam sejarah tanah air dan cendekiawan Melayu bertaraf negarawan ini mempunyai sejarah perjuangan yang panjang bermula dengan kerelaannya meninggalkan kehidupan elit sebagai pegawai kerajaan Inggeris demi untuk bergelumang dengan perjuangan memerdekakan bangsanya. Pengorbanannya pula terpaksa ditebus dengan harga yang mahal termasuk ditohmah sebagai berhaluan kiri, komunis dan diperap ke penjara sebanyak tiga kali. Namun begitu sejauh manakah jasa patriot bangsa ini dikenang dan dihargai?Apakah pihak berkuasa jujur dengan beberapa fakta melibatkan tokoh-tokoh tertentu seperti Pak Sako dalam sejarah perjalanan negara ini menuju kemerdekaan?


Bagi adik Pak Sako, Khalid Muhammad, 75, intipati serta sepak terajang perjuangan hero rakyat itu perlu diketengahkan supaya dihayati generasi muda terutama pelajar-pelajar pengajian tinggi. Namun begitu beberapa fakta sejarah yang difahami umum selama ini perlu diperbetulkan kembali.“Betulkan balik fakta sejarah. Kerajaan kena jujur dan adil. Selama ini yang diketengahkan memperjuangkan kemerdekaan hanyalah Umno. Tanpa menolak sumbangan Umno, parti itu lebih berperanan dalam tiga aspek iaitu merundingkan kemerdekaan dengan Inggeris, menandatangani perjanjian kemerdekaan dan seterusnya mengisytiharkan kemerdekaan. Sedangkan mereka yang bergelumang dengan perjuangan menuntut kemerdekaan sebenar terus dilupakan dan dimomok-momokkan pula sebagai berhaluan kiri atau komunis”.

“Dari segi anutan politik mungkinlah Pak Sako tidak sealiran dengan parti pemerintah, tetapi fakta sejarah tidak boleh dilencongkan. Bagaimana dengan tulisan-tulisannya yang membangkitkan kesedaran orang Melayu dulu untuk merdeka daripada belenggu penjajahan? Sepatutnya kajian tentang perjuangan beliau dikembangkan lagi,” katanya.


Khalid berkata, Pak Sako tidak dilayan setimpal dengan jasanya. Dalam masa beliau dipuja ramai, sebenarnya beliau ‘pergi’ begitu sahaja tanpa apa-apa penghargaan setimpal daripada kerajaan sebagai negarawan. Ketika ini bandar kelahirannya sendiri di Temerloh, nama pak Sako hanya diabadikan pada jalan yang tidak penting.“Sebagai contoh, dulu ada exco yang berjanji untuk meletakkan tanda nama pada makam Pak Sako untuk memudahkan pelawat berkunjung. Tapi hingga kini janji tetap tinggal janji. Bayangkan jika datang pelancong dari Barat yang membaca sejarah negara ini. Bagaimana pandangan mereka bila melihat sambil lewa dan tiada penghargaan daripada pihak berkuasa terhadap tokoh tempatan?”, keluh Khalid.


Dari pegawai Inggeris ke bidang penulisan dan politik

Pak Sako diputerakan pada 14 November 1909 di Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung. Tengah, Temerloh bermula tahun 1919 dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1924 hingga 1928 dan lulus Sijil Persekolahan Cambridge dalam tahun 1929 di Sekolah Inggeris Raub.Pada tahun 1930 melanjutkan pelajarannya di Maktab Melayu, Kuala Kangsar dan seterusnya memulakan perkhidmatan sebagai pegawai daerah bermula pada tahun 1931.

Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Majistret di Bentong dan Rembau, Negeri Sembilan. Setahun kemudian ditukarkan pula ke Kuala sehinggalah beliau meletakkan jawatan pada tahun 1935 bagi menumpukan usaha menuntut kemerdekaan.Ketika itu negara-negara di rantau Asia sedang bergelut bagi membebaskan diri daripada cengkaman penjajah. Pak Sako mengikutinya dengan penuh minat.

Pada peringkat itu beliau memilih kerjaya kewartawanan bagi merealisasikan cita-citanya dan mula bertugas dengan Warta Malaya, di Singapura sebagai pengarang dan penterjemahan. Dari situ beliau terus meningkatkan kegiatannya dalam bidang penulisan. Pada tahun 1938 beliau menghasilkan novel sulungnya yang berjudul Putera Gunung Tahan.Pak Sako merupakan pengasas penerbitan akhbar Utusan Melayu yang pada waktu itu sangat berpengaruh meniupkan semangat antipenjajah dan berkhidmat bersama Abdul Rahim Kajai dan Yusof Ishak bermula pada tahun 1939 hingga tahun 1941.

Pada tahun tersebut Pak Sako ditangkap penjajah kerana terlibat dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan rakannya Ibrahim Yaakob.Setelah dibebaskan apabila Jepun berjaya menakluk Singapura pada tahun yang sama, beliau menjadi Ketua Pengarang Berita Malai.Setelah tamat Perang Dunia Kedua, pada tahun 1945 Pak Sako mengasaskan penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948 dan PKMM diharamkan, Pak Sako disumbatkan seklai lagi di Penjara Pudu, Kuala Lumpur bersama Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Aziz Ishak. Beliau kemudiannya telah dibebaskan tanpa syarat dalam bulan Mei 1953.Setelah bebas dari tahanan tidak lama kemudian beliau dilantik Ketua Pengarang akhbar Semenanjung di Singapura. Walau bagaimanapun minatnya terhadap politik tanah air tidak pernah malap terutama apabila beliau dilantik mengetuai Parti Buruh Malaya dan Socialist Front.


Dalam pilihan raya umum (PRU) 1959, Ishak bertanding bagi kawasan Bukit Bintang dan pada tahun 1964 bertanding di Temerloh, namun gagal untuk menang.Sewaktu tercetusnya konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia pada tahun 1965, Pak Sako telah ditahan sekali lagi. Selepas dibebaskan pada tahun 1966, beliau kembali menulis dengan Utusan Melayu dan penulis ruangan pojok “Pepatah Petitih” dalam majalah Gila-gila.Seperti kebanyakan pengarang sebelum merdeka, Pak Sako menggunakan novel dan cerpen sebagai saluran untuk mengobarkan semangat orang Melayu dan menyedarkan mereka tentang kedudukan mereka yang mundur dalam politik, ekonomi dan sosial.

Sikapnya yang antipenjajah jelas diluahkannya dalam novel dan cerpennya. Beliau menghasilkan tidak kurang daripada 23 buah cerpen pada waktu sebelum Perang Dunia Kedua. Dua buah daripada 17 novelnya Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila adalah antara novelnya yang mendapat sambutan hangat.Selain Utusan Melayu, Berita Malai dan Warta Malaya beliau juga menulis dalam akhbar Watan, Warta Jenaka, Semangat Asia, Pelita Malaya, dan Suluh Asia.

Antara nama pena yang digunakannya ialah Isako San, Anwar, Hantu Raya, Tok Siak, Pak Pandir Moden dan Nenek Kebayan. Penulisannya menarik minat ramai kerana berbentuk sindiran, kritik, seloroh dan jenaka, bertujuan mengkritik, mengajar dan menghibur masyarakat menarik minat massa.Persoalan yang dimainkan dalam penulisannya mempunyai mesej dan bertujuan membimbing rakyat ke arah suatu kehidupan yang aman damai, bekerjasama, makmur, mewah, berbudi bahasa, berkhidmat dan berbakti. Inilah hasil rasa cintanya terhadap bangsa dan negara yang terlalu besar.

Pada 29 Jun 1973, Universiti Malaya telah menganugerahi beliau Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan dan pada 29 Mei 1976 pula, dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri Malaysia.Pak Sako kembali ke rahmatullah pada 7 November 1991 ketika berusia 82 tahun di rumahnya di Kampung Bukit Raya, Hulu Langat, kerana diserang angin ahmar. Jenazah insan yang banyak berjasa itu diterbangkan dengan helikopter Nuri balik ke kampung asalnya di Buntut Pulau.

Sebagai menghargai jasanya dalam mempelopori bidang kewartawanan, politik dan sastera, beliau dianugerahkan “Tokoh Kewartawanan Negara” pada 24 September 1995.


Pak Sako manusia luar biasa

Seorang pengamal undang-undang, Ahmad Nizam Hamid, 40, kagum dengan pemikiran, perjuangan dan keberanian Pak Sako yang sentiasa mendahului zamannya. Bagi beliau Pak Sako manusia luar biasa yang sanggup meninggalkan kehidupan elit dan terhormat sebagai pegawai daerah dan majistret dalam perkhidmatan kerajaan Inggeris demi menceburi perjuangan membebaskan anak bangsanya yang dibelenggu penjajahan.

Beliau yang pernah membawa Pak Sako berceramah di Asrama Za’ba semasa menuntut di Universiti Malaya pada 1990, Pak Sako mempunyai keperibadian yang tinggi dan idea yang tajam dalam berunding.“Pak Sako seorang hebat, tercatat dalam sejarah selepas Jepun kalah dan Bintang 3 memerintah dengan zalim, beliaulah yang berperanan menjadi pendamai di Temerloh sehingga dapat dielakkan pertumpahan darah dengan orang Melayu tempatan. Ertinya dia berkeperibadian tinggi, pintar dan sangat dikagumi”.

“Pak sako juga tidak memilih establishment di mana beliau tidak menyertai Umno dan sanggup mengorbankan dirinya daripada kesenangan sedangkan beliau boleh memilih untuk kekal hidup mewah seperti pegawai Melayu lain yang berkhidmat dengan kerajaan Inggeris”.“Masyhur ceritanya semasa Pak Sako menjadi majistret di Kuala Pilah, dia bentang tikar untuk rakyat membuat aduan dan melaporkan masalah. Ini bermakna jiwanya sangat dekat dengan rakyat dan tidak pernah memikirkan soal darjat. Itulah Pak Sako yang walaupun berpendidikan Inggeris, tetapi amat kuat berpegang dengan jati diri dan budaya Melayunya”.

Salah seorang rakan rapat semasa hayat Pak Sako, Alang Ahmad Teh, 70, mahukan tokoh politik dan sasterawan terbilang ini dicatat dalam sejarah negara sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan.“Saya masih ingat ketika Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) mencadangkan Sekolah Menengah Seberang Temerloh diberi nama Sekolah Ishak Muhammad, ia mendapat tentangan daripada kalangan penduduk tempatan sendiri,” kata bekas Ketua Biro Utusan Pahang itu.

Menghimbau kenangan bersama Pak Sako apabila ke mana-mana dari Temerloh, ke Kuantan dia akan disambut meriah oleh orang yang dia sendiri tidak mengenalinya. “Apabila Pak Sako pergi ke pekan sari atau masuk kampung beliau selalu dihadiahkan dengan pelbagai barangan. Yang peliknya, semua pemberian orang itu kemudiannya diberikan pula kepada orang lain. Ini membuktikan beliau pemurah, disayangi dan menjadi sanjungan orang ramai”.

Alang juga sempat mengikut Pak Sako berkempen semasa bertanding di Parlimen Temerloh pada PRU tahun 1964 melawan calon Perikatan Yusof Mahmud dia hanya memberikan joran kail. Selepas kalah dalam pilihan raya tersebut seorang penganalisis politik berbangsa Inggeris datang kepadanya melahirkan rasa hairannya dengan mentaliti pengundi Temerloh bagaimana tokoh yang begitu terkenal seluruh dunia hanya dikalahkan oleh calon biasa daripada parti pemerintah.

Seorang lagi pengkagum Pak Sako yang juga pernah membantunya dalam PRU, Suhaimi Said, 65, menganggap beliau sebagai nasionalis tulen yang sanggup berkorban demi masa depan anak bangsanya. Katanya pemikiran Pak sako jauh mendahului zaman dan bersifat global apabila mendokong penyatuan Melayu Raya yang meliputi Indonesia, Malaysia dan Brunei disatukan dalam satu serumpun.Menurut Suhaimi semasa bertanding dalam PRU 1964 di Parlimen Temerloh, Pak Sako tinggal di rumah rakit di Kuala Semantan bersebelahan rakit beliau.

Katanya, perkenalan dengan Pak sako secara tak sengaja apabila semasa tinggal di rumah rakit berhampiran, saya yang semasa itu lebih cenderung kepada Umno selalu membaling batu ke arahnya.“Namun itulah Pak Sako, saya yang pada ketika itu masih berumur lingkungan 14 tahun akhirnya berjaya dilunakkannya dan saya mengambil cuti sekolah selama tiga bulan untuk mengikutnya berkempen.

Pada masa itu kawasan pilihan raya bagi Temerloh luas iaitu dari sempadan Jerantut hingga sempada Kuantan dan Negeri Sembilan dan tempoh berkempen pula selama tiga bulan”. “Saya selalu ikut dia untuk mengangkat bateri untuk pembesar suara. Pada masa itulah saya diperkenalkan dengan barisan pimpinan parti sosialis seperti Lee Siew Choh, Naza Nong, Karam Singh dan lain-lain.

Apabila saya pulang dari menuntut di England, persahabatan kami diteruskan dan saya sering memandu kereta membawanya ke seluruh negara,” katanya yang juga seorang pengamal undang-undang.Suhaimi mencadangkan, pihak yang berautoriti sepatutnya mengambil inisiatif mengkaji pemikiran Pak Sako kerana lazimnya apa sahaja yang diperkatakannya menjadi kenyataan pada masa hadapan.“Saya ambil contoh mudah, satu ketika pada masa kempen dia pernah mengingatkan orang kampung jangan suka menebang pokok jering nanti satu masa harganya melonjak empat biji seringgit. Pada masa itu beliau diketawakan tetapi hakikatnya ingatannya ternyata benar”.“Jadi kalau perkara sekecil inipun boleh diucapkan Pak Sako, maka khazanah pemikirannya sudah tentu lebih banyak lagi hikmah yang terkandaung di dalamnya. Jadi buatlah kajian pemikirannya



artikel asal:

Dari Akhbar SIASAH:Pak Sako Pejuang Yang Dilupakan

Ralat:
Dari Sdr. Ahmadnizam Hamid:

dalam penulisan ini ada satu kesilapan atau ralat,Pak Sako tak pernah belajar di Raub.



6 ulasan

MUDAH MUDAHAN PETIKAN MATAMIN02 BLOG DARI LUAR SEMPADAN MALAYSIA DAPAT MERANGSANG SEMUA PIHAK UNTUK MENAIKKAN PAK SAKO KETEMPAT YANG SEWAJARNYA.AL FATIHAH.

Reply

benar pak sako dilupakan.dia sesungguhnya seorang reformis,tatkala bangsanya sedang lena tidur,dia bangkit berjuang untuk merdeka.cuma apakah yang dikembalikan oleh bangsa ini untuk mengenang dan menghargai jasa dan budi almarhum?

Reply

dalam penulisan ini ada satu kesilapan atau ralat,Pak Sako tak pernah belajar di Raub.

Reply

Sdr.Matamin02,

Saya rasa tajuknya ialah "Pak Sako Pejuang Yang Diingati Semula"

Reply

Mengikut aku, perjuangan Pak Sako belum selesai sepenuhnya. Tugas kita sekarang ialah mendedahkan sejarah ini supaya diwarisi oleh generasi baru kita.

Suatu hari nanti, dikala awan mendung disapu bersih, generasi kita akan memartabatkan pejuang bangsa, akan bawa pulang pusara Datok Bahaman dan lain-lain di Utara Thailand, makamkan pahlawan bangsa di tanah airnya yang tercinta.

Reply

Mungkinkah akan lahir insan sepertinya di masa kini atau akan datang? Adakah mana-mana pemimpin parti politik di Malaysia ini yang bersifat sepertinya?

Reply

Categories

Pengikut