lanai lestari: laungan azan di kampung komunis


LANAI LESTARI: LAUNGAN AZAN DI KAMPUNG KOMUNIS


Sesampai kami ke Kampung Perdamaian Sukhirin Chulaborn Patana 12,penempatan bekas anggota Rejimen Ke-10 Tentera Rakyat Malaya,perkara pertama yang menambat mata saya ialah sebuah bangunan yang begitu sederhana berkubah kuning.Dihadapan bangunan berkubah kuning itu kelihatan 3-4 orang lelaki sedang duduk berehat dan berbual.

Ya,setelah melalui jalan bertar dari muka kampung menuju ke rumah tetamu,kita akan bertemu dengan bangunan Masjid Kampung Perdamaian yang terletak berhampiran Rumah Tetamu dan saya kira lebihkurang 200 meter daripada rumah Abdullah CD.Bangunan Masjid ini begitu sederhana malah,belum siap sepenuhnya terletak di tebing anak sungai yakni di bahagian belakang masjid tersebut.Masjid di tebing kali dan sungai yang mengalir deras serta jernih dan dingin serta deruan air yang mengalir itu tentunya mencipta suatu pemandangan yang bertaut dan tentunya menjadi begitu kontras dengan propaganda songsang lagi jelek terhadap para pejuang Rejimen Ke-10.





(Foto)Rumah Tetamu yang selesa dan bersih




Sejak sekian lama konotasi yang diberikan kepada Rejimen Ke-10 ialah mereka orang Komunis yang tidak percayakan Tuhan dan tidak beragama.Propaganda songsang dan jelek ini dilabelkan terhadap mereka bertujuan untuk mengdiskredits kreadibiliti dan sekali gus guna untuk mengolah persetujuan bahawa mereka ini sememangnya golongan yang memusuhi agama.





Memang benar Karl Marx menyebut agama adalah candu yang mengkhayalkan rakyat.Hipotesis Marx ini seharusnya tidak dibaca atau di interpretasikan secara harfiah semata-mata tetapi perlu dilihat dari keseluruhan suasana yang membentuk pandangan Marx pada ketika itu vis-a-vis realiti hari ini.Jika saya boleh membawa pandangan Almarhum Pramoedya Ananta Toer,yang mengkritik golongan agama yang disifatkannya lebih berpihak kepada mereka yang kaya dan menindas sedangkan golongan yang miskin dan terpinggir sekadar dianjurkan untuk mengucapkan syukur diatas nikmat yang dianugerahi dan berserah semata-semata kerana demikianlah ketentuan dari Tuhan.Rakyat jembel atau 'wong cilik',menurut Pramoedya,sekadar saban waktu diminta bersyukur sedangkan mereka yang kaya berterusan menindas dan memperlakukan rakyat yang terpinggir itu.

Kritikan Pramoedya mahupun Marx,kepada saya harus dilihat dari sisi sedemikian.Memang Marx melihat letusan Revolusi Industri di Britain menyebabkan ujudnya jurang kelas antara masyarakat yang luas-antara peasants dan landlord,antara serfs dan lords/barons,antara buruh yang tertindas dan kaum pemodal yang mengekploitasi dan menjadi lintah darat menghisap keringat-yang oleh pengarang tersohor,Charles Dickens menggambarkan suasana tersebut didalam karyanya yang terkenal,Oliver Twist.Ketika itu gereja dilihat memihak kepada golongan bangsawan dan kapitalis.Dan hari ini apakah situasi seumpama ini tidak berlaku lagi?






(Foto) Dihadapan pintu Masjid.Kelihatan Pak Hasan Hj Salleh dan Pak Awang Yaakob,kedua-duanya berasal dari Temerloh.





Berbalik kepada Masjid di Kampung Perdamaian,azan dilaungkan 5 kali sehari,menyeru umatnya untuk mengerjakan solat.Penduduk kampung-para Komunis yang kononnya tidak beragama dan tidak percayakan Tuhan-berbondong menuju ke Masjid ini.Semua ini jelas membuktikan betapa tidak benarnya propaganda songsang pemerintah selama ini (seorang teman yang turut serta ziarah kesana menyebut,tidak perlu untuk menjadi komunis untuk tidak percayakan Tuhan!).

Daripada maklumbalas yang saya terima,Masjid ini dijadikan prioriti pembinaannya setelah Perjanjian Damai 1989 di meterai.Abdullah CD dan Ibrahim Chik antara yang mengambil inisiatif mengusahakan pembinaan masjid tersebut termasuk mendapatkan kelulusan dari pihak Jabatan Agama setempat.Dari cerita yang saya perolehi Ibrahim Chik menjadi Tok Khatib pertama setelah Perjanjian Damai sebelum beliau mengambil keputusan kembali ke Temerloh.





(Foto)Keadaan lantai dewan solat yang masih belum siap




Rata-rata bekas anggota Rejimen Ke-10 TRM,yang saya sempat jumpa,khususnya mereka yang berasal dari Temerloh,mendapat pendidikan agama yang mendalam.Mereka ini merupakan bekas pelajar pondok samaada di Lubuk Kawah/Temerloh mahupun pernah belajar di Kelantan.Ertinya mereka yang berjuang melawan British bukanlah yang dangkal ilmu agama tetapi pernah mendapat pendidikan agama walaupun secara pondok.Mereka ini,seperti Pak Awang umpamanya,berkemampuan membaca dan mentelaah kitab-kitab kuning dimana graduan Timur Tengah pun belum tentu berkemampuan untuk membacanya.





(Foto)Keadaan dalam Masjid yang belum siap sepenuhnya.Lantai masih simen kasar.




Masjid di Kampung tersebut belum siap sepenuhnya.Masih banyak yang perlu disiapkan dan di perbaikki.Lantai ruang solat,hanya separuh sempurna sedangkan bahagian lantai lain masih berupa simen kasar sahaja.Manakala pintu dan tingkap juga masih belum berpasang.Atap juga tiris,jika hujan lebat ada kebocoran berlaku.Dinding Masjid juga tidak berucap dan sudah mula pudar serta berlumut.

Dan di subuh hari itu,laungan azan kembali bergema di perkampungan yang damai itu.Kami segera menuju ke Masjid untuk sama-sama dengan 'orang-orang Komunis' mengerjakan solat subuh,sama-sama sujud menyembah Tuhan Yang Esa.

Sesungguhnya segala propaganda songsang dan fitnah terhadap mereka terungkai jua akhirnya.Bukankah perkara pertama yang di buat Junjungan Besar Nabi Muhamad SAW ketika hijrah dan tiba di Madinah ialah membina Masjid?

2 ulasan

YA ALLAH BERILAH AKU KELAPANGAN DAN KEKUATAN UNTUK AKU SAMPAI DI SANA... SESUNGGUHNYA AKU AMAT MERINDUI SAUDARA2 KU DI SANA

Reply

Propaganda Dalam Ugama
Kena Kepada Siapa Saja
Melainkan Ugama Orang Umno

Macam pada tahun 1948
Semua Partai Politik Diharamkan
Pemimpin nya
Di REWARD sekian ribu ringgit
Melainkan Partai Umno

Reply

Categories

Pengikut