kepulangan chin peng: satu perjanjian, dua ketirisan

KEPULANGAN CHIN PENG: SATU PERJANJIAN, DUA KETIRISAN

Merdeka Review | Lim Hong Siang | Dec 08, 2009 05:57:00 pm


Kerajaan Malaysia gagal menunaikan sepenuhnya Perjanjian Damai Haadyai-nya terhadap Parti Komunis Malaya (PKM), apabila menolak pemohonan Chin Peng untuk kembali ke tanahairnya, malah terus menyerang PKM dengan istilah negatif menerusi alat propagandanya.

Lebih-lebih lagi, kerajaan Malaysia tidak menghantar wakil rasminya untuk menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun ke-20 Perjanjian Damai Haadyai, sedangkan kerajaan Thai diwakili oleh Timbalan Menteri Dalam Negerinya.

Demikianlah pandangan penganalisa politik, James Wong Wing On ketika mengulas isu kepulangan Chin Peng dalam satu ceramah yang dianjurkan bersama oleh The Rock News, Malaysiakini dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Ceramah yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor ini penuh sesak dengan kehadiran kira-kira 120 orang.

"Dua Ketirisan"

James Wong memetik kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor yang mengakui bahawa PKM telah menunaikan kesemua perjanjiannya terhadap kerajaan Malaysia. Antaranya termasuklah menamatkan perjuangan bersenjata dan membubarkan pasukan bersenjata PKM.

Sebaliknya, kerajaan Malaysia mengingkari perjanjian untuk membenarkan kepulangan semua "Malaysian Origin" PKM ke tanahair, apabila menolak pemohonan Chin Peng untuk kembali ke Malaysia.

Di samping itu, James Wong menganggap kerajaan Malaysia tidak mengawal alat propagandanya dengan baik, terutamanya apabila Utusan Malaysia masih menggunakan istilah seperti "pengganas" untuk menyifatkan PKM. Menurut pemerhatian beliau, buku yang digunakan pasukan tentera telah menukarkan istilah "pengganas" kepada istilah yang lebih neutral, iaitu "pasukan bersenjata PKM" ketika menyentuh sejarah ini.

"Perjanjian bukan sekadar perkataan dalam bentuk hitam putih, tetapi ada semangat di sebaliknya. Itu (istilah pengganas) adalah propaganda ketika itu. Apabila zaman itu telah berlalu, usahlah guna perkataan sebegitu...," katanya.

James Wong menyeru agar pihak kerajaan Malaysia kembali kepada perjanjian, yang melarang agar ketiga-tiga pihak menyifatkan pihak lawan dengan istilah seperti "pengganas", "anjing penjajah", "tali barut special branch" dan sebagainya.

"Semua (ketiga-tiga pihak) adalah manusia. Zaman berperang telah berlalu, ini zaman untuk berdamai... (kita) perlu ada semangat saling memaafkan, dari hati ke mulut!" kata James Wong.

Setelah perjanjian ditandatangani...

Semalam, James Wong (gambar kiri) menekankan betapa pentingnya apabila perjanjian ditandatangani. Beliau berkata, Rahim Noor pernah memaklumkan bahawa apabila rundingan damai dengan PKM bermula di sekitar tahun 1986 dan 1987, sehinggalah ianya ditandatangani pada tahun 1989, tiada suara bantahan dalam kerajaan sendiri.

Maka, James mempertikaikan mengapa bantahan kini dilontarkan kepada seorang tua yang berumur 85 tahun apabila beliau menyampaikan hasrat untuk pulang ke tanahairnya?

Beliau mengibaratkan keadaannya sedemikian, "Katakanlah saya telah bercinta dengan seorang tukang urut yang juga pelacur. Kemudian saya membuat keputusan untuk berkahwin dengannya."

"Selepas 10 tahun, saya nak bercerai dengannya kerana sebab-sebab tertentu. Saya tak boleh guna alasan bahawa dia seorang pelacur 10 tahun yang lalu. Saya telah menandatangan untuk berkahwin dengannya, secara sedarnya bahawa dia seorang pelacur ketika itu. Saya tak boleh ungkit perkara lama..."

James Wong walaupun bersimpati terhadap mereka yang terkorban semasa zaman perang,namun menganggap bahawa kita perlu melihat ke depan. Untuk berlaku adil kepada PKM, ramai juga yang terkorban ketika perjuangan bersenjata untuk menentang penjajah Inggeris dan Jepun.

"Ramai juga antara anggota PKM yang terkorban dan tercedera. Tetapi mereka tidak tampil ke depan mendakwa kaki atau tangan mereka terpatah ketika itu...kerana ia telah berlalu. Kalau asyik nak mengira, sampai bila kita nak mengira?" tanya beliau.

James Wong berpandangan bahawa maruah mereka yang terkorban, sama ada yang mati mahupun cedera perlu dihormati, dengan tidak menonjolkan atau memperbesarkan setelah peristiwa itu berlalu. Untuk James Wong, penonjolan betapa kejamnya seseorang dibunuh hanya akan menjejaskan maruah mangsa.

Asingkan apa yang membezakan...

Malah, James Wong mencadangakan agar perjuangan bersenjata PKM perlu dilihat dalam konteks sejarah. Beliau mengingatkan bahawa parti politik seperti UMNO, MCA, DAP dan sebagainya belum pun wujud pada tahun 1930-an. Maka PKM menjadi pilihan kepada mereka yang ingin menentang penjajah British dan Jepun.

Ketika menjawab soalan nisbah kaum dalam PKM, James Wong menjelaskan bahawa masyarakat kaum masing-masing berbeza pandangan terhadap penjajahan Bristish ketika itu. Beliau berkata, sebahagian masyarakat Melayu cuba "meminjam" kuasa daripada Jepun untuk menghalau penjajah Bristish pada tahun 1941.

Bagaimanapun, serangan Jepun ke China telah mencetus kemarahan masyarakat Cina di Tanah Malaya. James Wong berkata, "Sentimen ini mudah difahami. Lihat apa berlaku sekarang, apabila Amerika Syarikat menyerang Afghanistan, umat Islam di sini turut berkongsi kemarahan. Apatah lagi pada zaman itu, ramai orang Cina di sini masih mempunyai saudara mara di China?"

Keadaan ini menjelaskan mengapa nisbah orang Cina lebih besar dalam PKM, satu parti yang mengambil pendirian yang jelas untuk menentang penjajah Jepun.

James Wong juga mengingatkan agar dibezakan antara serangan "aggressive" dengan "defensive", dan antara "collateral damage" dengan "intentional damage". Maksudnya, serangan untuk menentang penjajahan tidak boleh disamakan dengan serangan untuk menjajah; malah kemusnahan yang disengajakan tidak boleh disamakan dengan kemusnahan yang tidak sengaja.

Beliau bagaimanapun menyanggah tanggapan bahawa hanya komunis yang menggunakan keganasan untuk membunuh mereka yang tidak berdosa, dengan mengambil pembunuhan orang cina oleh British di Batang Kali sebagai contoh, dan Agent Orange yang pertama kali digunakan di Tanah Malaya, sebelum Vietnam.

Apa yang ditunaikan...

Walau bagaimanapun, James Wong tidak menafikan bahawa kerajaan Malaysia telah menunaikan sebahagian tanggungjawabnya yang termaktub dalam perjanjian, seperti membenarkan anggota PKM untuk kembali ke Malaysia dan memulakan kehidupan baru.

Antara anggota PKM yang dibenarkan pulang juga dibenarkan untuk bebas bergerak, menerbitkan memoir dan sebagainya. Justeru itu, dua ketirisan yang tersebut di atas merupakan kecacatan pada pihak kerajaan Malaysia.


*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Melayu.

---------------------------------------------

3 ulasan

salam ziarah, jika mahu mengetahui rahsia nusantara, islam dan kebangkitan akhir zaman sila mengunjungi www.nusanaga.blogspot.com

Reply

Hairan..pelik..bila Chin Peng dan segala PKM yang melayu,cina india dan org asli dinafikan hak utk balik ke tanahair,adakah ada agenda lain? Dan yang hairannya;
1.British/Belanda/Portugis/Jepun-yang menjajah dan menjarah tanah melayu,yang menyedut hasil masyul negara,yang memperhambakan nenek moyang kita, yang dicampur semuanya selama 446 tahun ini TIDAK meninggalkan bekas atau parut atau emosi kepada rakyat atau waris rakyat?
2.Adakah isu PKM ini dimainkan atas nama perkauman??

Reply
ApoNakDiKato mod

sdr.duniaku,

Umno adalah "anak benar" penjajah
Pkm adalah "anak tiri" penjajah.

Sedangkan Bangsawan Melayu mesra pelanggan dengan anak benar penjajah dan tak mesra pelanggan denagan anak tiri penjajah....

Apo Nak DiKato

Reply

Categories

Pengikut