BERFIKIR MENGIKUT ACUAN PENJAJAH

Isu kepulangan Chin Peng telah mendapat liputan yang meluas di kalangan berbagai lapisan masyarakat negara kita. Satu kesimpulan yang boleh dirumuskan ialah pemikiran generasi sekarang sudah maju, sudah mulai melangkah keluar dari kepompong sempit penjajahan walaupun catatan sejarah yang ada pada hari ini diolah mengikut kaca mata penjajah.

Tulisan yang berjudul CHIN PENG: IKON KEBENCIAN YANG DIREKA yang ditulis oleh Puspawati yang disiarkan Merdeka Review mencerminkan minda yang bebas bagi mereka yang benar-benar ingin meneroka sejarah tanah air tanpa mengikut acuan mana-mana pihak.

Malangnya, tulisan itu mendapat ulasan negative oleh seorang ahli Parlimen, Zulkifli Nordin yang disiarkan dalam blognya dan juga di Merdeka Review dengan tajuk CHIN PENG: KOMUNIS ATAU TERORIS?

Dalam tulisannya bertajuk CHIN PENG: KOMUNIS ATAU TERORIS? Zulkifli menyatakan: “Chin Peng dan konco-konconya mahu memerintah negara, mereka mahu mengambil alih kerajaan dengan cara bersenjata, cara terorisme dan keganasan. Mereka mahu paksa rakyat menerima ideologi dan cara pemerintahan kukubesi mereka. Tidak ada beza antara Chin Peng dan Hitler, Mussolini dan mereka yang sewaktu dengannya. “



Daripada tulisan ini jelas menunjukkan pemikiran Zulkifli Nordin masih terkongkong dibawah tempurung sempit penjajahan. Inilah pemikiran UMNO walaupun beliau berada dalam Parti KeAdilan Rakyat. Sukar untuk membuat kesimpulan sama ada beliau sengaja mahu menghalang kebebasan berfikir generasi sekarang atau benar-benar tidak mengetahui latar belakang sejarah perjuangan kemerdekan tanah air.

Dalam perjuangan kemerdekaan negara kita hanya ada 2 golongan sahaja – satu golongan kiri yang memperjuangkan kemerdekaan dan satu lagi golongan kanan yang menyokong kerajaan penjajah. PKM adalah salah satu kekuatan dari golongan kiri, dan golongan ini pernah membentuk PUTERA-AMCJA – wadah perjuangan terbesar dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air kita. Parti politik yang pertama ditubuhkan dalam sejarah tanah air kita ialah PKM 1930 dan KMM pada tahun 1937. Manakala golongan kanan pula pada umumnya terdiri dari golongan atasan dan pertengahan Melayu. Golongan inilah yang sehidup semati dengan kaum penjajah. Mereka inilah yang membentuk UMNO pada tahun 1946.

Saya kira Zulkifli Nordin juga tidak faham mengapa perang berlangsung antara 1957 – 1989 apabila dia menyebut “Kita sudah merdeka tahun 1957, dan keganasan yang dilakukan oleh Chin Peng adalah pada tahun 1960an sehingga 1980an.“

PKM melancarkan perang ke atas kekuasaan penjajah British untuk kemerdekaan tanah air setelah penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat dan mengharamkan semua pertubuhan kiri. Ini suatu fakta yang terang. Akan tetapi kerana minda yang hanya berputar di dalam tempurung sempit penjajah, perang untuk kemerdekaan ini telah dilihat sebagai perang keganasan untuk menegakkan ideologi komunis.

Sama ada nasionalis, sosialis, agama atau komunis yang akan mengisi corak kemerdekaan itu masih harus ditentukan oleh rakyat semua kaum negara kita melalui proses demokratik. Dalam manifestonya yang dikeluarkan 1 Sepetember 1957, Jawatankuasa Pusat PKM telah menegaskan bahawa:

“Parti Komunis Malaya tidak mahu menyembunyikan kepercayaan dalam cita-cita komunizem, akan tetapi kami sentiasa berpendapat bahawa tugas Malaya dewasa ini bukanlah melaksanakan komunizem dan sosializem, malahan adalah mewujudkan kemerdekaan bangsa, demokrasi, kebebasan, keamanan dan kemakmuran.”

Dr. Burhanuddin dalam ucapannya juga menyatakan bahawa: “Tegasnya lagi, adalah satu impian saja untuk seseorang sosialis mengharapkan bahawa sosialiszem yang menjadi ideologinya itu boleh ditubuhkan dan ditegakkan dalam satu negara yang belum merdeka dan berdaulat dalam politik dan ekonominya"…."Pendeknya, sosializem tidak dapat ditubuhkan dalam taman yang masih semak samun dalam belukar-belukar penjajahan.”

Dari sini jelaslah bahawa, perjuangan tahap itu adalah perjuangan untuk kemerdekaan tanah air, bukan perjuangan untuk menegakkan ideologi.

Akan tetapi mengapa perang masih berlangsung selepas merdeka? Fakta-fakta menunjukkan bahawa PKM berusaha memberhentikan perang melalui perundingan dengan kerajaan Perseketuan Tanah Melayu dan kemudian Kerajaan Perikatan dan seterusnya Kerajaan Barisan Nasional. Akan tetapi, hasrat PKM itu tak pernah dilayan dengan adil oleh pihak kerajaan. Sehingga tahun 1989, di era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohd, barulah kedua-dua pihak duduk semeja merundingkan perdamaian dan kemuncaknya berlakulah penandatanganan persetujuan damai 3 pihak di Hadyai pada tahun 1989.

Manifesto 1 September, PKM secara terang-terang menyebut: “Harus dijelaskan, bahawa dewasa ini menamatkan peperangan, menamatkan darurat dan mewujudkan keamanan dalam negeri adalah tugas yang paling mendesak bagi rakyat segala bangsa di seluruh negeri ini. Jika peperangan ini tidak ditamatkan dan darurat tidak diakhiri, maka rakyat dari segala bangsa di negeri kita ini tidak akan mungkin dapt hidup bersama dalam damai, dan negara kita akan terus menderita bencana penjajahan, dan cita-cita suci untuk pembangunan ibu pertiwi kita pun akan menjadi hampa layang.”

Zulkifli Nordin menulis berkenaan masalah apa yang disifatkannya sebagai keganasan Chin Peng dengan berkata:

“Tetapi di bawah sana, mayat rakyat pelbagai kaum bergelimpangan dibunuh kejam oleh pengganas teroris pimpinan Chin Peng. Saya melihat sendiri mayat Ketua Polis Perak dan pemandunya, kedua-duanya berbangsa Cina, yang dibunuh kejam di persimpangan Anderson School & Fairpark pada tahun 1970an.”

Perang sifatnya bunuh membunuh. TPNM membunuh kekuatan penjajah manakala penjajah pula membunuh kekuatan TPNM, termasuk orang ramai yang menyokong revolusi bahkan sebahagiannya hanyalah dicap sahaja. Kalau nak bandingkan, kekuatan PKM lah yang paling menderita pembunuhan atau kekejaman perang kerana Kerajaan British menguasai tentera, polis, mahkamah dan disokong oleh golongan pertengahan Melayu. Lagi pula penjajah British mendatangkan angkatan tentera yang amat besar dari negara-negara tanah jajahannya ke Malaya untuk memerangi PKM. Cuba fikirkan jumlah angkatan bersenjata British 400 ribu lebih yang didatangkan ke Malaya adalah satu angka yang besar jika dibandingkan dengan penduduk negara kita yang ketika itu hanya berjumlah 5 juta jiwa sahaja. Selain itu penjajah British mempunyai perlengkapan militer yang begitu canggih, bom yang begitu besar manakala PKM hanyalah senjata kuno sahaja.

Mengapa Zulkifli tak menyebut Manap Jepun, Mat Indera, Nordin dan ramai lagi yang digantung mati oleh penjajah British. Dan tahukan YB bahawa sebelum dibawa ke tiang gantung, mereka ini sudah menghadapi berbagai jenis siksaan yang diluar batas peri kemanusiaan, seperti dicabut kuku, dicharge dengan elektrik dan macam-macam.

Tan Sri Rahim Noor walaupun pernah terlibat langsung dalam "perang menentang komunis", namun masih boleh berfikir secara objektif. Kata-kata yang dituturkan beliau yang disiarkan Malaysiakini adalah fikiran yang rasional dan cara memecahkan masalah secara tepat.

“Bagi saya, perjuangan bersenjata, baik besar-besaran mahupun kecil-kecilan, semua ada sebab musababnya. Kalau tidak itu bukan pemberontakan.” … “Kalau anda kata pihak tentera, polis dan rakyat awam telah amat teraniaya. Sila juga tanya pihak PKM. Mereka tentu berkata: macam mana pula dengan saya dan pihak saya?”

Kesimpulan saya ialah Zulkifli Nordin masih berfikir dalam acuan penjajah dan cuba menyekat minda yang bebas supaya masuk semula ke dalam tempurung sempit bersamanya.

Berdirilah dipuncak tinggi, bukalah minda seluas-luasnya !
---


lihat juga:

7 ulasan

Sdr. Alfian Tahir,

Terima kasih sokongan saudara

Reply

Sdr.Hati Merah,

Harap dapat keterangan mengenai gambar dua kepala yang dipancong dan askar mana yang memegang kepala tersebut

Terima Kasih

Reply

Kalau tak silap aku gambar 2 kepala yang di pancung askar penjajah itu berlaku di batang kali. BATANG KALI MASSACRE

Reply

zulkifli ni dah duduk di puncak tinggi pun mindanya tak terbukak-bukak.

Reply

Zulkifli Nordin tu peguam
kalau dah duduk sebelah pendakwa
sampai kiamat pun pendakwalah
tak boleh nak tukar peguambela...

Reply

Categories

Pengikut