ulangtahun ke-20 - pencabulan perjanjian hatyai

ULANGTAHUN KE 20 – PENCABULAN PERJANJIAN HATYAI 2 DISEMBER 1989

(Kenyataan Akhbar Parti Sosialis Malaysia: 28 Oktober 2009)


2 Disember 1989 adalah ulangtahun ke 20, Perjanjian Hatyai yang ditandatangani oleh Parti Komunis Malaya(PKM), Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand. Seluruh dunia menyaksikan upacara menandatangani pendamaian ini dan sejak perdamaian tersebut, memang tidak ada persengketaan bersenjata antara dua puak ini.

Namun demikian, sehingga hari ini, para pejuang dari Parti Komunis Malaya dilarang menjejakkan kaki ketanahair mereka, iaitu tempat mereka bertempur dengan penjajah Jepun dan British sehingga akhirnya kemerdekaan diberikan pada 31 Ogos 1957. Ahli sejarawan, ahli akademik dan pemerintah Malaysia sendiri telah mengakui bahawa PKM telah memainkan peranan penting dan sumbangan dalam mempercepatkan kemerdekaan negara kita.

Persoalan timbul mengapa PKM tidak mengundurkan senjata setelah Malaya merdeka pada tahun 1957 tetapi hakikat adalah perjanjian Baling 1955 gagal kerana Tengku Abdul Rahman dibawah arahan British mahu semua ahli PKM serah diri dan ditahan dan dibuat pemulihan akhlak. PKM tidak setuju tetapi tuntutan yang sama dari PKM dipersetujui pada tahun 1989 semasa Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri menyebabkan perang saudara ini tamat.

Kini 20 tahun, ulang tahun Perjanjian ini, namun anggota-anggota PKM yang kini dalam usia tua termasuk Chin Peng tidak dibenarkan pulang. Pelbagai alasan diberikan. Antaranya adalah Chin Peng bukan warganegara Malaysia dan PKM tidak didaftar dibawah ROS. Antara tuduhan yang lagi liar adalah kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan Abdul Latiff bin Ahmad, ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 11 November 2009 berkata, "...Chin Peng dia tidak meletak senjata sebab itu kita tidak terima Chin Peng, PKM letak senjata, tetapi Chin Peng tidak letak, itu saya kena betulkan."

PSM meminta Perdana Menteri 1Malaysia Najib Razak untuk menutup episode sejarah ini dan membenarkan Chin Peng dan bekas anggota PKM pulang ke negara mereka. Apakah yang ditakutkan? Mungkinkan Kerajaan BN takut bahawa kepulangan Chin Peng akan menyebabkan ratusan ribu rakyat Malaysia menyambut kepulangan beliau?

Mengapa Diskriminasi Chin Peng ?

Parti Sosialis Malaysia dalam Kongres PSM ke 11 membuat kenyataan terbuka dan berani meminta Kerajaan Malaysia menunaikan perjanjian damai Haadyai dan membenarkan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) pulang ke tanahair.
PSM ingin sekali lagi ingin menegaskan dan mempersoalkan :.

1. Bila Penjajah Jepun dan British yang telah mengakibatkan banyak kesengaraan di Negara ini boleh diterima masuk kedalam negara selepas perang, mengapa pula anggota PKM yang membantu mempercepatkan kemerdekaan Malaysia tidak dibenarkan pulang.

2. Mengapa media asyik menfokus Chin Peng dan mengujudkan satu persoalan perkauman padahal pemimpin PKM seperti Pengerusinya Abdullah CD, Rashid Mahidin, Samsiah Fakeh dan Abu Samah dibenarkan pulang dan mereka juga telah diberi penghormatan mengadap Yang Dipertuan Agung Sultan Azlan Shah semasa beliau menjadi Agung.

3. Jika Maharajalela, Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Bahaman dan lain-lain pembesar yang menentang Penjajah British boleh diistiharkan sebagai wira, mengapa pula Ahli PKM yang menentang Penjajah British dilabel sebagai penganas, iaitu label yang diberikan oleh Penjajah.

4. Apakah perbezaan perjanjian Haadyai 1989 dengan perjanjian Baling 1955? Syarat yang diterima pada tahun 1989 sebenarnya adalah syarat yang hampir sama yang dikemukan semasa perjanjian Baling 1955.Perang saudara antara Komunis dan kerajaan Malaysia berlanjutan kerana Tengku atas arahan British tidak mahu membenarkan PKM meletak senjata, malah mahukan mereka ditahan dalam kem tahanan.

Baru-baru ini Chin Peng dalam wawancara bersama Star yang disiarkan pada 22 November 2009 dilaporkan memohon maaf, setelah mengakui bahawa PKM mungkin tersalah bunuh mereka yang tidak berdosa ketika dalam zaman perang. Malah, beliau sanggup bertangunggjawab ke atas segala tindakan rakan seperjuangannya. Namun reaksi Timbalan Perdana Menteria adalah memutuskan untuk tidak bersedia menerima walaupun dia memohon maaf.

PSM meminta agar anggota-anggota PKM dibenarkan pulang dan sumbangan mereka diiktiraf dalam penulisan semula sejarah Malaysia. Sejarah Malaysia hanya menceritakan sebahagian sahaja perjuangan kemerdekaan iaitu perjuangan yang dijalankan oleh UMNO. UMNO diberi layanan istimewa oleh British kerana UMNO sedia bekerjasama dengan British manakala parti-parti dalam gabungan PUTERA-AMCJA dan PKM hanya diberi layanan dalam penjara atau disingkir dari negara.

Ulangtahun ke 20 Perjanjian Hadyai tidak bermakna dan tiada signifikan jika perjanjian itu tidak dikotakan. PKM sudah mematuhi perjanjian ini dengan meletak senjata dan kini tanggungjawab Kerajaan Malaysia pula untuk menunaikan tanggungjawabnya…walaupun sudah 20 tahun lambat.

Dikeluarkan Oleh:

S.Arutchelvan
Setiausaha Agung PSM

--
visit our website at
http://parti-sosialis.org

Categories

Pengikut