sikap pkm terhadap perundingan baling

SIKAP PKM TERHADAP PERUNDINGAN BALING





Sejak sekian lama, media awam yang dikuasai UMNO mendakyahkan bahawa PKM haus perang, PKM mahu menumbangkan kerajaan yang sah dengan pemberontakan bersenjata dan banyak lagi. Lebih-lebih lagi ketika hari perayaan kemerdekaan 31 Ogos, media kerajaan secara besar-besaran menyiarkan apa yang dikatakan “keganasan komunis”.

Ini sebenarnya propaganda murahan media massa milik UMNO semata-mata. Propaganda sedemikian sama sahaja dengan apa yang telah dilakukan penjajah British. Kenyataan menunjukkan PKM pernah banyak kali mengemukakan usulan untuk mengadakan perundingan menamatkan perang dengan Tunku Abdul Rahmah. Berlangsungnya perundingan Baling pada tahun 1955 justeru atas inisiatif pihak PKM. Selepas gagalnya perundingan Baling, PKM beberapa kali mengemukakan usulan untuk mengadakan perundingan bagi menamatkan peperangan dan mewujudkan perdamaian dalam negeri. Akan tetapi, Tunku menjawabnya dengan melancarkan kempen kepung basmi secara besar-besaran ke atas pasukan TPNM. Inilah kenyataan sebenarnya.

Dalam perundingan Baling, Tunku jelas tidak mahu perundingan itu mencapai persetujuan. “No. I am not, I never wanted it to be a success”, itulah jawaban Tunku ketika ditanya tentang perundingan tersebut. Nak jelas lagi, sila lihat tulisan Pak Said Zahari MENITI LAUTAN GELORA muka 296 – 304.

Apakah sikap PKM selepas perundingan itu? Untuk menjawab persoalan itu, dipaparkan temu bual ringkas yang dibuat oleh wartawan akhbar Seruan Rakyat dengan Abdullah C.D. pada 10 Disember 1957.


JAWAPAN CIK DAT BIN ANJANG ABDULLAH (ABDULLAH C.D.)
JURUCAKAP JAWATANKUASA PUSAT PARTI KOMUNIS MALAYA
ATAS PERTANYAAN-PERTANYAAN WARTAWAN SERUAN RAKYA
(Tertanggal 10 Disember 1957)

Tanya: Bagaimanakah saranan dan usaha PKM terhadap perundingan Baling?

Jawab: Pada tanggal 22 Disember 1955 parti kami telah mengeluarkan manifesto untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamanan Malaya serta mengemukakan keinginan yang ikhlas bagi menamatkan peperangan di dalam negara kita ini. Di akhir tahun tersebut, perundingan Baling pun diadakanlah. Disebabkan Malaya belum merdeka lagi ketika itu, maka tidaklah tercapai apa-apa persetujuan dalam perundingan itu. Akan tetapi, walaupun demikian, namun rundingan itu telah memberi sebesar-besar dorongan kepada gelombang pasang perjuangan rakyat di negara kita ini untuk kemerdekaan, demokrasi dan keamnan.

Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos tahun ini. Sehari selepas perisytiharan kemerdekaan ibu pertiwi iaitu tanggal 1 September, parti kami telah mengeluarkan lagi manifesto yang menyerukan supaya menamatkan peperangan dan melaksanakan keamanan di dalam negeri; sekali lagi menyatakan bahawa kami mahu memberhentikan perjuangan bersenjata ini, menumpukan taat setia kami terhadap ibu pertiwi kita dan mengambil bahagian di dalam segala rupa gerakan untuk kemerdekaan, demokrasi dan kemakmuran ibu pertiwi kita ini, sebagaimana yang dilakukan oleh warga negara yang lain di dalam negeri kita, bukanlah dengan cara perjuangan bersenjata atau kekerasan malahan dengan cara jalan demokrasi di dalam lingkungan batas-batas perlembagaan.

Tanggal 12 Oktober, Saudara Chen Ping telah mengirim surat kepada Perdana Menteri Persekutuan dalam mana dinyatakan bahawa beliau bersedia berunding semula dengan Tunku Abdul Rahman untuk mencapai persetujuan yang adil dan munsabah bagi menamatkan peperangan. Dalam hal ini agar perundingan itu dapat mencapai persetujuan dengan lunaknya (ayat ini telah disalah terjemahkan oleh kerajaan yang berbunyi: “adalah dijangka pada kali ini persetujuan akan tercapai bagi saling memuaskan”.), maka dicadangkan hendaknya diadakan terlebih dahulu pertemuan pendahuluan di antara wakil-wakil dari kedua-dua pihak.

Tanggal 9 Disember, Saudara Chen Ping telah sekali lagi mengirim surat kepada Perdana Menteri dalam mana dimaklumkan kepada kerajaan bahawa pihak kami bersedia mengutus Saudara Rashid Maidin dan Saudara Chen Tien sebagai wakil pihak kami untuk mengadakan rundingan pendahuluan dengan wakil kerajaan. Dalam surat itu, Saudara Chen Ping menegaskan bahawa perundingan yang hendak kami adakan dengan pihak kerajaan itu langsung tidak kena mengena dengan apa yang disebut penyerahan diri itu, dan menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan pun telah berjanji kepada rakyat hendak menamatkan Darurat, maka Kerajaan Perikatan patutlah ikhlas menamatkan peperangan sebagai mana parti kami, patutlah mencapai persetujuan yang adil dan menasabah dengan pihak kami bersendikan prinsip penghentian perang dengan tidak bersyarat. Mengeluarkan omong-omongan menyerah diri yang langsung tidak berpatutan itu sama sekali tidak beralasan. Ini semata-mata menunjukkan ketidak ikhlasan bagi menamatkan peperangan dan bagi mencapai persetujuan yang adil dan menasabah. Sekiranya pihak kerajaan benar-benar ikhlas mahu menamatkan peperangan serta ingin mencapai persetujuan yang adil dan menasabah dengan pihak kami, maka Saudara Chen Ping meminta kepada Tunku supaya mengatur tempat dan haribulannya supaya wakil pihak kami dapat menghadiri rundingan pendahuluan itu. Demikianlah surat Chen Ping itu.

Dengan demikian ternyatalah bahawa parti kami telah berkali-kali mengemukakan saranan-saranan yang menasabah serta berusaha dengan tidak mengenal lelah untuk memperjuangkan terwujudnya perundingan damai dan tercapainya persetujuan yang adil dan menasabah bagi menamatkan peperangan ini.

Tanya: bagaimanakah sikap PKM terhadap apa yang disebut penyerahan diri yang seperti digembart gemburkan oleh Kerajaan Perikatan?

Jawab: Tujuan perjuangan bersenjata yang dilancarkan oleh parti kami ini adalah untuk mengusir kaum kolonial dan untuk memperjuangkan kemerdekaan ibu pertiwi kita ini. Oleh itu, jelaslah bhawa di antara Kerajaan Perikatan dengan pihak kami langsung tidak terdapat persoalan penyerahan diri.

PKM berserta dengan rakyat revolusioner dari berbagai-bagai kaum selamanya tetap berjuang untuk kemerdekaan tanah air dan telah membayar harga yang mahal dan memberikan sumbangan yang maha besar. Sepatutnya, kerajaan haruslah memberi balasan yang adil dam menasabah. Tetapi sebaliknya, sekarang kerajaan hendakkan parti kami menyerah diri. Ini sama sekali tidak beralasan.

Hendakkan parti komunis menyerah diri adalah juga bertentangan dengan idam-daman rakyat dari berbagai-bagai kaum, golongan, parti, serta sebahagian terbesar ahli-ahli Parti Perikatan. Kehendak yang tidak beralasan inilah yang menyebabkan peperangan tidak dapat ditamatkan dan keamanan tidak dapat dilaksanakan.

Mencuba memaksa PKM menyerah diri adalah sesungguhnya mencuba merampas hak-hak berperlembagaan dari sebahagian warga negara yang telahpun bersusah payah berjuang serta gagah berani berkorban untuk kemerdekaan tanah air. Ini adalah pelanggaran yang hebat sekali terhadap hak demokratik milik rakyat yang telah dikanunkan di dalam perlembagaan negara kita ini. Ini adalah juga pukulan yang hebat sekali kepada kehidupan demokratik bagi rakyat. PKM adalah pasukan yang teguh menentang penjajahan serta memperjuangkan kemerdekaan ibu pertiwi. Berniat memaksa PKM menyerah diri atas dalih menuduh parti komunis menjalankan gerakan-gerakan subversive (penumbangan) tidaklah berbeza dengan omong-omongan anti-komunis yang telah terkenal nama buruknya dari SEATO. Fitnahan-fitnahan yang dilemparkan ke atas parti komunis dan penyingkiran terhadap parti komunis adalah pukulan yang hebat kepada kekuatan kebangsaan dan kekuatan rakyat negara kita. Ianya sudah barang tentu akan menimbulkan perselisihan di antara rakyat berbagai-bagai kaum, dan amat melemahkan perjuangan rakyat seluruh negeri untuk melaksanakan kemerdekaan penuh, kebebasan demokratik, keamanan dan kemakmuran ibu pertiwi. Ianya sangat merosaki usaha kemerdekaan kebangsaan kita.

Umum mengetahui bahawa peperangan ini ialah dipaksakan oleh penjajah British ke atas rakyat segala bangsa di negeri kita serta ke atas PKM. Memujuk serta memaksa PKM supaya menyerah diri pada mulanya dulu adalah dasar pemerintahan penjajahan British. Kalaulah sebahagian orang-orang atasan yang tertentu dari Perikatan sekarang masih tetap berpegang kepada dasar menyerah diri yang tidak beralasan itu, maka jelaslah ini adalah dalih mereka nak melanjutkan peperangan. Perbuatan demikian sesungguhnya tidak sedikitpun berlainan dengan dasar pemerintah penjajah British yang melaga-lagakan orang Malaya berlawan sesama sendiri. Ini hanya berfaedah kepada si penjajah yang sangat-sangat suka merintangi kemerdekaan, demokrasi, bebasan, keamanan dan kemakmuran Malaya.

Kalau Kerajaan Perikatan benar-benar ikhlas tentang perundingan damai itu, maka sekali-kali jangan bersifat talam dua muka dan lain niat lain yang disebut, sekali-kali jangan mengugut-ugut dengan memberi kata dua, sekali-kali jangan meneruskan dasar-dasar perang penjajah British dengan menggunakan tuntutan menyerah diri sebagai dalih.

Sebarang syarat memaksa parti kami menyerah diri sekali-kali tak akan parti kami terima. PKM akan terus-menerus berjuang untuk melaksanakan penghentian perang bersendikan syarat yang adil dan menasabah.

Tanya: Jikalau peperangan ini berlanjutan, apakah akibatnya kepada usaha kemerdekaan bangsa kita?

Telah diterangkan di dalam manifesto parti kami pada tanggal 1 September itu bahawa lahirnya kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ini hanyalah langkah yang pertama dari kemenangan dalam usaha kemerdekaan negara kita; warisan penjajahan masih mendalam lagi di lapangan politik, iktisad, ketenteraan dan kebudayaan negara ktia. Tugas besar dan berat yang bersifat jangka panjang masih terbentang di hadapan kita iaitu terus berjuang utnuk mewujudkan Malaya baru yang merdeka penuh, bebas dan demokratik serta aman dan makmur.

Bagi melaksanakan tugas yang besar dan berat yang bersifat jangka panjang ini, maka hendaknya peperangan dihentikan dan darurat ditamatkan terlebih dahulu. Cuma begini sajalah rakyat negara kita baru dapat memperkukuh perpaduan antara berbagai-bagai kaum, dapat memajukan kebebasan demokratik, dapat memperkuat serta memelihara kedudukan kemerdekaan negara kita, dapat membangun Malaya baru yang aman dan makmur.

Kalau membiarkan si penjajah melaga-lagakan berbagai-bagai kaum, meneruskan peperangan dan Darurat, menyekat kebebadan rakyat, maka akibatnya terus memelihara hak-hak istimewa si penjajah di dalam negara kita dan Malaya akan tetap diperhambakan dan tidak akan dapat memelihara kemerdekaan serta hak kedaulatan dalam hal ehwal luar negari dan di dalam negeri pula Malaya akan berada di dalam keadaan berbunuh-bunuhan, kemiskinan dan kemunduran. Dengan perkataan yang lain bahawa negara kita akan terus menderita bencana penjajahan, dan tak akan dapat memperkukuh dan menyelamatkan dudukan kemerdekaan, dan cita-cita suci untuk membangun ibu pertiwi kita pun akan menjadi hampa layang.

Kami berpendapat bahawa asal saja Kerajaan Perikatan dapat membuang tuntutan menyerah diri yang tidak berpatutan itu serta ingin mencari persetujuan yang adil dan menasabah dengan pihak kami bersendikan prinsip penghentian perang dengan tidak bersyarat, maka dapatlah perundingan damai diadakan dengan cepat, dapatlah peperangan ditamatkan tepat pada waktunya atas persetujuan yang adil dan menasabah.

Categories

Pengikut