merdeka review: soal jawab dengan chin peng (2)

MERDEKA REVIEW:

SOAL JAWAB DENGAN CHIN PENG (2)


Chin Peng: Selamat tinggal

Lim Hong Siang | Nov 28, 2009 04:08:51 am


Sedutan soal-jawab antara media dengan Chin Peng (Bahagian kedua)


Selain melalui saluran sistem kehakiman, adakah anda juga membuat permohonan untuk pulang ke tanahair melalui saluran lain, misalnya pegawai tinggi kerajaan? Sebagaimana yang saya tahu, PM Malaysia Najib Abdul Razak akan datang ke Selatan Thai pada bulan depan. Adakah anda akan mengambil kesempatan ini untuk menyatakan permintaan anda?


Najib nak datang bulan depan? Kalau beliau sudi untuk berjumpa dengan saya, saya sudi memohon di depannya. Kalau tidak, cerita lainlah.


Beberapa puluh tahun yang lalu, komunisme dianggap sebagai racun. Namun, China kini masih diperintah komunis, dan hubungan kerajaan Malaysia dengan China semakin rapat bagaikan adik-beradik. Bagaimana perasaan dan keluhan anda selaku Setiausaha Agung PKM ketika melihat perkembangan ini?


Tak ada apa yang perlu dikeluhkan. Saya menganggap kerjasama kerajaan China dengan kerajaan Malaysia itu selaras dengan kepentingan rakyat China dan rakyat Malaysia. Sebaliknya, kami berharap hubungan kerajaan China dengan Malaysia bertambah rapat, kerana ia memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.


Selain kesan terhadap anda secara individu, apakah halangan terhadap anda untuk kembali ke tanahair oleh kerajaan Malaysia ini memberi makna dari segi politik? Apakah ia suatu kecacatan dalam Perjanjian Hadyai?


Saya menganggap sememangnya ia meninggalkan satu kecacatan (dalam Perjanjian Hadyai).


Apakah anda yakin bahawa anda akan kembali ke tanahair pada akhirnya?


Saya ada keyakinan ini.


Anda membuat beberapa cubaan untuk memperjuangkan hak anda untuk pulang ke Malaysia. Apakah anda akan teruskan sehingga akhir?

Ya, saya akan teruskan.


Apakah asasnya keyakinan anda untuk kembali ke negara ini? Kerajaan Najib, atau kemungkinan peralihan kuasa, atau saluran lain?


Saya akan memohon kepada kerajaan. Saya yakin, jikalau kerajaan berperikemanusiaan, jikalau kerajaan tidak mengira peristiwa yang silam, saya seharusnya ada harapan untuk pulang.


Kalau pertukaran kuasa berlaku di Malaysia, apakah ia akan menambah kemungkinan anda pulang ke Malaysia?


Saya pun tak tahu apa kerajaan yang menukar-ganti. Tapi saya menganggap, tidak kira apakah kerajaan itu perlu mengambil kira permintaan perikemanusiaan.


Kalau masa beredar ke belakang, apakah anda masih kekal dengan komunisme dan perjuangan bersenjata? Dan jikalau dipanjangkan ke depan, apakah kamu masih menganuti komunisme?


Saya tidak pernah goyah dengan anutan komunisme. Sepanjang perjuangan, komunisme semestinya perlu mengharungi pelbagai rintangan. Apa pun gerakan yang membawa perubahan di dunia kini juga perlu berdepan dengan pelbagai rintangan jikalau mahu mara ke depan. Ini tidak pelik.


Apakah anda masih akan memilih jalan ini jikalau masa beredar ke belakang?


Semestinya ya.


Anda mempunyai saudara mara di Setiawan, yang mungkin terganggu kerana anda. Apakah yang ingin anda katakan kepada mereka? Adakah anda ingin meminta maaf?


Kalau saya sempat bertemu dengan mereka, saya ingin tahu apakah pendapat mereka terhadap aktiviti saya. Sekiranya mereka rasa terganggu kerana aktiviti saya, maka secara individu saya akan meminta maaf. Kalau mereka tidak berasa sedemikian, mengapa perlu saya meminta maaf?


Adakah anda berasa pilu kerana masih tidak dibenarkan pulang ke tanah air pada usia 80 tahun lebih?


Pilu? Seolah-olah sedih bunyinya. Tapi saya tidak (sedih). Tapi saya rasa kesal kerana tidak berpeluang untuk kembali bertemu dengan saudara mara saya pada hari-hari terakhir saya. Saya masih berusaha untuk kembali ke tanahair. Sama ada berjaya, saya masih tidak tahu.


Adakah nak balik semata-mata untuk menziarahi saudara mara sahaja? Atau untuk menanti hari-hari yang terakhir...?


Saya akan menilai jika saya telah balik. Kalau kepulangan saya membawa kesulitan kepada saudara mara, jadi saya tak mahu menyusahkan mereka. Kalau saya tidak menyusahkan mereka... Usia saya pun sudah lanjut. Biarlah saya menikmati kegembiraan untuk bersama adik-beradik saya.


Pada pendapat anda, mengapa mereka menghalang anda dari balik ke tanahair?


Saya masih belum membuat permohonan lebih lanjut kepada kerajaan setakat ini, adalah tidak baik dan tidak wajar kalau saya meneka sekarang.


Anda telah berunding sebanyak dua kali dengan kerajaan Malaysia, pertama pada tahun 1955, iaitu Rundingan Baling; dan keduanya pada tahun 1989, iaitu Perjanjian Hadyai. Seandainya anda memilih untuk menjayakan rundingan itu dengan lebih awal, iaitu pada tahun 1955, apakah mungkin hidup anda lebih baik pada hari ini?


Kegagalan rundingan pada tahun 1955 ada sebabnya. Usia saya kini lanjut, banyak yang tidak dapat saya ingati lagi. Maka, saya tidak mahu menyatakan pandangan saya sewenang-wenangnya.


Kalau kerajaan sudi membenarkan anda untuk balik secara senyap-senyap (atau curi-curi), iaitu pergi dan balik untuk sementara, bukan secara terbuka, apakah anda sanggup menerimanya?


Ini ditentukan kerajaan.


Dengan kata lain, anda tidak kisah kalau kerajaan benarkan balik secara senyap-senyap?


Tidak kisah.


Bagaimana dengan hidup anda sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini? Apa yang dilakukan oleh anda pada masa biasa?


Hidup saya baik. Baca suratkhabar, layari internet. Infomasi saya banyak juga.


Selepas Star menyiarkan temuramah anda bahawa anda telah meminta maaf, TPM Muhyiddin Yassin memberi reaksi pintu telah ditutup, tiada maaf bagimu. Apakah respon anda?


Saya hanya boleh berkata saya kesal dengan kenyataan ini. Kenyataan sedemikian tidak dapat menyelesaikan masalah.


Wujudnya salah faham terhadap anda, khususnya daripada generasi muda Malaysia. Ini mungkin disebabkan buku teks sejarah yang menggambarkan PKM sebagai kumpulan pengganas. Apakah anda terfikir persoalan penilaian sejarah Malaysia terhadap sumbangan PKM dalam proses perjuangan kemerdekaan, semasa anda menandatangani Perjanjian Hadyai pada 1989?


Usia saya telah lanjut. Daya ingatan saya lemah. Saya gagal mengingati kembali peristiwa yang silam itu. Saya perlu menyemak rekod saya.


Bagaimana anda melihat perkembangan sosialisme di tanah air Malaysia? Dalam Pilihan Raya Umum yang lalu, Parti Sosialis Malaysia telah memenangi 1 kerusi parlimen dan 1 kerusi DUN.


Saya tidak melalui dengan sendiri peristiwa yang berlaku di tanahair. Agak sukar untuk saya menilai. Tetapi saya melihat, idealisme sosialis tetap memiliki daya tarikan, tetap ada orang yang mengikut jejak jalan ini.


Sememangnya, dalam keadaan tertentu, ada kalanya perkembangannya lancar, ada kalanya tidak.


Sebagai seorang tokoh yang penting dalam sejarah, apakah harapan anda terhadap lapisan generasi muda Malaysia?


Saya berharap generasi muda mengambil berat terhadap politik. Masing-masing bebas untuk memilih apa pun idealisme politik. Saya tidak mahu berkata, kamu datang ikut saya. Biar buat penilaian dengan otak sendiri, apakah yang baik dan apakah yang tidak baik.


Dari pemerhatian anda, apakah generasi muda kini cukup prihatin atau beridealisme dalam politik?


Kamu yang seharusnya lebih faham daripada saya. Kamu berilah pendapat kepada saya.


Apakah peristiwa yang paling menggembirakan anda dan menyedihkan anda sepanjang hayat anda?


Saya tidak ingat lagi. Kamu bantulah saya untuk mengingatinya...


Sekiranya anda tidak dibenarkan balik ke Malaysia hingga hari terakhir anda, bagaimana anda membuat kesimpulan tentang hubungan anda dengan Malaysia?


Saya perlu fikir dengan baik jika nak buat kesimpulan. Saya tak dapat menjawab anda sekarang.


Bagaimana anda melihat kematian?


Semua orang semestinya akan mati untuk sekali, soal awal dan lewat sahaja.


Adakah anda masih bersetuju dengan merampas kuasa pemerintahan melalui perjuangan bersenjata?


Ianya perlu lihat kepada keadaan pada ketika itu. Kalau kami menganggap tiada jalan selain perjuangan bersenjata untuk dapatkan kuasa, maka kita perlu mengambil jalan ini. Kalau kami menganggap ada jalan yang lain mengikut keadaan ketika itu, maka kami akan memilih jalan yang lain.

Apakah ungkapan bahasa Malaysia yang paling ingin anda katakan kepada orang Malaysia?


Selamat tinggal.


Mengapa?


Berharap semua orang tinggal dengan baik.


Tapi ia juga bermaksud untuk meninggalkan...


Pun boleh kata begitu. (ketawa) Saya tidak tahu berapa lama lagi yang boleh saya hidup.


Tapi anda ingin kembali ke tanah air...


Ya, saya nak balik... Tetapi saya tidak tahu bila saya nak tinggalkan dunia ini. Itu ditentukan Tuhan.


Apakah juga bermaksud jumpa lagi?


Boleh juga... Saya sudah tua. Saya tidak berani untuk berkata bahawa saya pasti akan balik semasa saya hidup. (Bahagian dua, tamat)


Chin Peng: Saya ingin balik ke tanahair saya

Chin Peng: Saya diperbodohkan


*Wawancara ini diadakan bersama oleh media cetak bahasa Cina dan media internet utama Malaysia, bertempat di J.B Hotel, Hadyai, Thailand.

Categories

Pengikut