merdeka review: soal jawab dengan chin peng (1)

MERDEKA REVIEW:

SOAL JAWAB DENGAN CHIN PENG (1)


Chin Peng:
Saya diperbodohkan

Lim Hong Siang | Nov 28, 2009 03:37:45 am

Sedutan soal-jawab antara media dengan Chin Peng (Bahagian pertama)


Sudah lama anda meluahkan hasrat untuk pulang ke Malaysia. Namun, ada yang menganggap bahawa Malaysia bukannya negara idaman anda, kerana Malaysia kini tidak mengamalkan sistem komunisme. Mengapa anda masih ingin balik ke Malaysia?


Ini tiada kena-mengena dengan komunisme atau tidak. Saya nak pulang ke Malaysia yang mengamalkan sistem kapitalisme, (kalau) Malaysia yang mengamalkan komunisme, lagi saya ingin pulang. Mengapa? Kerana itu tempat saya berasal... Ibu bapa saya terkubur di sana. Adik beradik saya yang terkubur di situ.


Saya berasa, dalam umur hayat saya, saya nak cuba sedaya-upaya untuk pulang, dan menyembah mereka (ibu bapa dan adik beradik). Saya tak ada tujuan selain itu. Saya bukan nak pulang untuk bertanding, saya hanya nak balik untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai anak dan seorang saudara. Itu sahaja.


Tetapi, kalau orang lain tidak membenarkan saya pulang, itu soal lain.


Jikalau kerajaan Malaysia enggan membenarkan anda pulang ke Malaysia, pada pendapat anda, mengapa kerajaan Mahathir menandatangani Perjanjian Damai Hadyai pada tahun 1989?

Saya menganggap senario ketika itu memaksa kerajaan untuk menandatangani perjanjian dengan kami (PKM). Seandainya kerajaan enggan menandatangani perjanjian dengan kami ketika itu, maka mereka akan rasa terasing di kalangan rakyat jelata. Kami juga berdepan dengan situasi yang sama, seandainya kami menolak untuk berbuat demikian, maka kami juga akan berasa terasing.


Apakah anda rasa tertipu?


Tidak. Kerana kami berbincang bersama. Kami bertoleransi antara satu sama lain. Maka tercapailah muafakat untuk menandatangani perjanjian. Jadi, apa yang berlaku selepas itu (perjanjian itu dibuat), itu persoalan lain.


Mampukah anda membuat kesimpulan, sepanjang 20 tahun selepas Perjanjian Hadyai, selain tidak membenarkan anda pulang, apa lagi yang telah dimeterai dalam perjanjian, tetapi diingkari kemudian?


Saya ingin mengimbas kembali apa yang berlaku pada ketika itu. Saya tidak berani untuk membuat kesimpulan bahawa itu perbuatan sengaja atau tidak. Tetapi, sememangnya saya mengesyakinya dalam hati saya. Pihak kerajaan sengaja mengatur... menemujanji saya untuk berjumpa di suatu tempat. Setelah saya pergi ke tempat itu, kerajaan pula menyuruh saya ke satu lagi tempat yang lain. Saya perlu mengingati secara perlahan kalau nak dihuraikan secara terperinci. Inilah apa yang berlaku. Dari satu tempat ke satu tempat. Setelah saya gagal mencarinya, maka saya kembalilah...


Saya menganggap diri saya telah diperbodohkan. Lihatlah bagaimana pihak kerajaan menjawabnya.


Selain hasrat pertama untuk kembali ke tanahair, apakah hasrat kedua anda?


Pada ketika itu, hasrat pertama adalah pulang ke Malaysia. Pada ketika ini, hasrat pertama juga pulang ke Malaysia. Saya tiada hasrat yang lebih banyak lagi.


Banyak dari lapisan generasi muda tidak mengenali anda, malah tidak tahu kedudukan anda dalam negara dan masyarakat. Apakah anda berasa kesal?


Saya tidak kesal langsung, kerana mereka tidak faham. Saya tidak menyalahkan mereka. Tetapi, selepas mereka mengetahui, saya percaya mereka mereka akan faham.


Menjelang ulang tahun ke-20 Perjanjian Hadyai, sudikah anda berkongsi dengan kami pandangan dan keluhan anda?


(Merenung selama 20 saat) Satu-satunya kekesalan saya adalah, saya menganggap saya telah diperbodohkan. Kerajaan telah menyuruh saya ke satu tempat (untuk membawa saya balik ke Malaysia), dan setelah saya ke tempat tu, orang itu tak ada. Maka saya baliklah.


Apakah kerana itu, anda kehilangan peluang untuk balik ke Malaysia?


Saya menganggap sebegitu.


Bagaimana anda menilai hidup anda, dan bagaimana pula anda berharap sejarah Malaysia menilai anda?


Saya berpendapat, angkuh namanya kalau saya menjawab soalan ini. Seharusnya diserahkan kepada rakyat Malaysia untuk menilai apa yang telah saya lakukan seumur hidup ini, sama ada ia baik atau tidak. Biar rakyat yang menilai saya.


Pada pendapat anda, apakah harga yang anda bayar demi perjuangan ini? Dan apakah mesej terpenting yang ingin anda sampaikan pada hari ini, memandangkan anda jarang menerima untuk diwawancara media?


Umur saya semakin lanjut. Mesej yang ingin saya sampaikan adalah, saya ingin kembali ke tempat di mana saya berasal, menyembah ibu bapa yang telah meninggal dan adik-beradik yang telah meninggal dunia.


Apa pula harga terbesar yang anda bayar sepanjang hidup anda?


Saya menganggap, penyertaan saya dalam perjuangan revolusi ini bersifat sukarela, bukannya dipaksa. Harga ini... sukar dikata apa harga (yang telah saya bayar).


Adakah kerajaan China menghulurkan bantuan kepada anda?


China tidak pernah menghulurkan bantuan kepada saya. Semasa saya tinggal di China, mereka ada membantu saya... perbelanjaan hidup. Setelah saya meninggalkan China, tiada orang lagi yang menghulurkan bantuan.


Apakah yang ingin anda katakan kepada mereka yang terkorban dalam perjuanngan, malah mereka yang mengambil berat terhadap anda sepanjang tahun ini?


Saya ingin ucapkan terima kasih. Terima kasih kerana mengambil berat terhadap saya. Penghargaan ini dari hati saya. Saya tidak dapat kata sesuatu lebih daripada itu.


Bagaimana pula dengan mereka yang menolak kepulangan anda? Apakah yang ingin anda katakan kepada mereka?


Saya berpendapat, dalam politik, kita mempunyai pendirian masing-masing. Orang yang tidak puas hati terhadap saya memang tidak ingin saya kembali. Tetapi kalau dilihat sekarang, sama ada mereka yang berpuas hati atau tidak terhadap saya, saya menganggap, tiada alasan bagi mereka untuk membantah permintaan saya agar kembali dan menyembah ibu bapa dan nenek moyang saya di Setiawan. (Bahagian pertama, bersambung)


Chin Peng: Saya ingin balik ke tanahair saya

Chin Peng: Selamat tinggal


*Wawancara ini diadakan bersama oleh media cetak bahasa Cina dan media internet utama Malaysia, bertempat di J.B Hotel, Hadyai, Thailand.

2 ulasan

YANG MUNGKIR JANJI
NAMANYA MUNAFIK

LIHATLAH DUN DIPERAK
WANG ROYALTI TERENGGANU
WANG ROYALTI KELANTAN

SEMUANYA ANGKARA
SI MUNAFIK

Reply

1. Memang betul UMNO ni munafik. Janji tak dikotakan. Bukan sahaja terhadap Chin Peng (PKM) tetapi juga terhadap rakyat.

2. Umno juga amat zalim dan kejam. Masih terbayang bagaimana jentolak memusnahkan surau/masjid Kampung Berembang.

3. Walaupun dalam keadaan normal, UMNO tetap membunuh orang seperti dalam Peristiwa Memali. Kalau dalam perang bagaimana agaknya?

4. Pembunuhan besar-besaran 13 Mei dicetuskan oleh UMNO dengan mempergunakan di sebalik keadaan ketika itu. Ini lebih kejam dari segala kekejaman. Askar Melayu juga digunakan untuk menembak orang cina.

Dol

Reply

Categories

Pengikut