ibnu hajar: penentang chin peng adalah bekas "tentera penjajah"


Penentang Chin Peng ialah bekas "tentera penjajah"
(dipetik dari Jiwa Yang Tenang, 28 November 2009)

Dari laporan akhbar Utusan Malaysia yang selalu membesar-besarkan berita tentang Chin Peng, nampak benar bahawa yang menentang kuat kepulangan Chin Peng ke negara ini ialah bekas tentera Melayu dan orang Melayu.

Hal ini barangkali tidak menghairankan, kerana pada zaman darurat dahulu merekalah yang berada di barisan hadapan untuk menentang Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) atau pasukan bersenjata PKM yang dipimpin oleh Chin Peng.

Sebahagian daripada tentera Melayu itu ada yang terkorban dan ada juga yang cacat seumur hidup kerana terpijak perangkap samar dan sebagainya. Sekarang bekas tentera yang masih hidup inilah yang begitu beria-ia mengutuk Chin Peng sebagai pengganas yang tidak boleh dimaafkan.

Akan tetapi, bekas tentera ini agaknya lupa bahawa pada zaman darurat dahulu mereka sebenarnya bekerja sebagai "askar penjajah", dan sama ada secara langsung atau tidak mereka telah memainkan peranan mempertahankan rejim penjajah dan memanjangkan hayat pemerintahan penjajah.

Sepatutnya pada zaman penjajahan, "orang jahat" yang mesti diperangi dan mesti dihalau dari negara ini ialah pihak penjajah, kerana merekalah yang menindas dan menghisap darah rakyat (walaupun secara halus).

Akan tetapi, pihak tentera Melayu itu telah berjuang di pihak penjajah dan agaknya tidak sedar mereka telah menjadi tali barut penjajah. Dan ini adalah pilihan mereka sendiri.

Oleh kerana mereka berpihak dan berjuang di pihak penjajah, maka tentu tidak dapat dielakkan mereka terpaksa berhadapan dengan TPNM yang berjuang untuk membebaskan Malaya dari cengkaman penjajah.

Jadi kalau dalam pertempuran dengan TPNM ada di antara mereka yang terkorban atau terpijak perangkap samar, mereka sepatutnya tidak menyalahkan TPNM kerana mereka bertempur adalah atas pilihan dan kehendak mereka sendiri.

TPNM ialah pejuang kemerdekaan yang mahu menghalau penjajah dari negara ini. Walaupun mereka berjuang secara bersenjata, itu adalah keperluan dan taktik perjuangan yang memang dijalankan oleh pejuang kemerdekaan di negara- negara terjajah yang lain pada masa itu.

Memang penjajah telah melebalkan mereka sebagai pengganas. Tapi pada asasnya mereka berjuang untuk membebaskan negara ini daripada cengkaman penjajah dan ini adalah hakikat tidak boleh dinafikan.

Isu sama ada mereka pengganas atau bukan pengganas sepatutnya tidak berbangkit.

Perjuangan secara bersenjata untuk menentang penjajah sudah pun dilakukan oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan para pahlawan Melayu yang lain. Adakah mereka itu pengganas?

Jadi sekiranya tentera Melayu berjuang untuk mempertahankan rejim penjajah dan gugur dalam pertempuran dengan TPNM yang berjuang untuk menghalau penjajah, maka kita sepatutnya tahu siapakah yang benar dan siapakah yang salah.

Pihak tentera Melayu tidak perlu menyalahkan pihak PKM dan Chin Peng dan menganggap Chin Peng sebagai pengganas, kerana pada hakikatnya mereka telah berjuang dipihak yang salah!

6 ulasan

maknanya, bapak ku adalah bekas tentera penjajah....baiklah, bapakku tahu bahawa chin peng memang menentang british,...tetapi chin peng juga menangkap sesuka hati dan membunuh orang melayu yang dikatakan tali barut inggeris,...macam mana ya,...mungkin chin peng tersilap tangkap,...~

Reply

Saudara Daud Mili,

saya tidak setuju seperti yang saudara katakan kejam itu. Jika Chen Ping benar-benar membunuh secara rambang, angka korban akan meningkat jutaan orang. Apa lagi angka yang dipaparkan kaum penjajah itu lebih bersifat propaganda.

Kalau mereka mahu membunuh secara rambang, satu hari mereka boleh bunuh puluhan ribu orang kampung dengan senapang mereka.

Tapi kenyataannya mereka hanya membunuh askar dan talibarut orang putih.

Dalam perang, tersalah bunuh tak terelakkan. Ini tak terelakkan dalam perang mana pun. Sebab itu saya bersetuju Chen Ping meminta maaf atas hal ini.

Seperkara lagi saya tidak bersetuju jika perang yang berlarutan ini disalahkan kepada askar atau polis Melayu. Kerana ia berkait rapat dengan kesedaran masyarakat pada masa itu yang merasakan kaum penjajah itu di pihak yang adil, melindungi orang Melayu, membantu orang Melayu memerintah dsb. Tanggungjawab haruslah diletakkan ke atas kaum penjajah dan kerajaan yang mewarisinya.

Dol

Reply

ya, apa yang ngko kata memang betol Dol, macam mane ek,...cuma dalam kes bapak aku nih,kawan2 dia ada yang mati,...so, that why dia ada dendam ckit...then, dia citer kat aku, so aku rasa, ngko faham apa yang fikir,macam kata ngko...

"...Kerana ia berkait rapat dengan kesedaran masyarakat pada masa itu yang merasakan kaum penjajah itu di pihak yang adil,..."

zaman tu berbeza...ramai orang melayu susah, diorang dapat hidup tenang cari rezeki, dapat bagi anak diorang makan cukuplah...

Reply
awang simpul mod

Agaknya beginilah
keadaan diIraq
sekarang ye !
Dalam suasana
rakyat keliru
yang mana kawan
yang mana lawan,
Pihak Amerika
akan mewujudkan
orang Iraq
lawan Orang Iraq
disamping
Iraq lawan Amerika !!!

Reply

yup, itulah hakikatnya,..ketika zaman komunis yang terbabit adala hMalaysian vs Malaysian........

Reply

Di dalam sejarah Tanah Melayu, orang Melayu pernah menjadi tentera bukan sahaja kepada British, tetapi kepada Jepun, Belanda dan Portugis. Jadi tidak hairanlah jika menjadi askar Inggeris. Mat Kilau dan Dato' Bahaman juga berperang dengan tentera British - Melayu. Raja Haji juga melawan tentera Belanda - Melayu. Jadi perkara itu sebenarnya tidak menjadi satu kehairanan. Tetapi fakta siapa benar @ salah? bergantung kepada siapa yang menjajah dan menakluk tanahair.
Perang juga adalah pilihan terakhir bagi pribumi. Di zaman Inggeris, pribumi mengambil langkah terakhir untuk berperang kerana British adalah kuasa besar dunia. Mencapai kemenangan adalah satu perkara yang mustahil. Tetapi atas dasar sifat sayangkan tanah air, ada juga pribumi yang mengambil jalan tersebut. Tahniah untuk mereka, bukannya cacian.
Jika Jepun yang membunuh puluh ribuan orang Melayu boleh dimaafkan, Inggeris, Belanda, dan Portugis boleh dimaafkan, bahkan disanjung dan dipuja. Mengapa Chin Peng tidak boleh dimaafkan? Mungkin ada agenda yang tersembunyi sebenarnya.
Sejarah terus terjadi sepanjang masa, baik dan buruk biarlah generasi seterusnya akan menilai sendiri.

Reply

Categories

Pengikut