Sumbangan Usman Awang

SUMBANGAN USMAN AWANG
KEPADA PERJUANGAN


Apabila tamat Sekolah Parti Kem Se-Malaya, keadaan sudah menjadi tegang, polis melakukan penangkapan di sana sini. Surat khabar ketika itu juga banyak menyiarkan berita-berita penangkapan. Berdasarkan keadaan itu dan ketetapan dalam Kem Se-Malaya, saya tidak pulang ke Kuala Lumpur, tetapi terus pergi ke Benta.

Saya dan Taharuddin (Baharuddin Tahir) naik bas dari Temerloh menuju Benta. Kerana keadaan sudah panas, saya buat persiapan fikiran mungkin polis akan melakukan penggeledahan dan penangkapan. Saya memberitahu Taha supaya duduk jauh dari saya dan saling buat tak kenal. Jika saya tertangkap, mungkin Taha terlepas, tapi kalau duduk sekali sudah pasti kedua-dua akan disapu.

Apabila bas tiba di Raub, kami nampak polis sedang mengadakan pemeriksaan dan penangkapan. Beberapa orang polis naik ke atas bas memeriksa. 2 orang Tionghua yang berada dalam bas kami ditangkap. Tapi polis-polis itu buat tak kenal saya. Jadi saya dan Taha tiba di Benta dengan selamat.

Apabila kami tiba di Benta, beberapa orang anasir cergas membawa kami singgah di rumah Bendahari Awas, Hajjah Zaharah. Suaminya bernama Ibrahim, anggota PETA. Dia memberitahu kami bahawa polis telah menjalankan penangkapan dan penggeledahan, harus segera masuk hutan untuk mengelakkan dikesan oleh hantu dan perisik. Dia berpaling kepada kawan-kawannya dan berkata "cepat bawa pimpinan ke tempat yang selamat". Ketika itu juga mereka membawa kami ke tepi belukar.

Sedang kami berehat di tepi belukar, datang seorang polis menemui orang ramai di Benta. Dia memberitahu bahawa "Saya telah melepaskan pimpinan di dalam bas tadi. Harap pimpinan sihat dan selamat." Polis itu meminta orang ramai menyampaikan salam kepada pimpinan. Dia memperkenalkan dirinya sebagai orang Melaka.

Polis itu ialah Usman Awang, ahli PKMM Melaka. Dia mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi. Semasa di Kuala Lumpur dia pernah menemui saya dan masuk dalam kesatuan askar patriotik. Usman menyertai Kongres Ke-2 PKMM yang diadakan di Melaka. Ketika itu dia sudah mengasah bakatnya sebagai seorang penulis.

Saya berterima kasih kepada Saudara Usman kerana telah menyelamatkan saya dalam perjalanan tadi. Tanpa bantuannya, saya mungkin telah menjadi banduan. Tindakan Saudara Usman itu telah memberikan bantuan besar kepada perjuangan untuk kemerdekaan tanah air. Dalam perjuangan bersenjata anti-British selepas itu, saya sentiasa ambil perhatian kepada Usman dan mengenang sumbangan yang beliau berikan.

Nota: dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua: Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10, SIRD 2007

1 ulasan:

Saya amat berminat dan menyanjungi saudara Usman Awang kerana sifat kemanusiaannya. Novel beliau Tulang-Tulang Berserakan yang saya pelajari di tingkatan 6 pada tahun 70an memperlihatkan nilai kemanusiaan itu.

Reply

Categories

Pengikut