Sumbangan Askar Melayu Patriotik dalam Perjuangan Kemerdekaan

SUMBANGAN ASKAR PATRIOTIK
MELAYU
DALAM
PERJUANGAN KEMERDEKAAN




Lt. Ariffin


Pada tahun 1946, saya, Dr. Burhanuddin dan Lt. Ariffin membentuk Persatuan Askar dan Polis Patriotik dalam Kesatuan Buruh di pejabat PKMM di No.2 Batu Road (sekarang Jalan Tunku Abdul Rahman). Ramai askar dan polis yang berjiwa patriotik menyertai persatuan tersebut secara rahasia termasuklah seorang pegawai askar Melayu lulusan Clifford School Kuala Kangsar dan anak Makcik Ani, tuan rumah sewaan kami yang dikenali sebagai Rumah Merdeka.

Pasukan Askar Melayu didirikan pada tahun 1936 atas usulan Raja Chulan, suatu usaha ke arah kemerdekaan. Dalam tahun 1930-an, Raja Chulan pernah mengorganais gerakan penentangan terhadap penjajah British dalam bentuk kongsi gelap yang terdiri dari orang Melayu dan orang Tionghua di kawasan sekitar Sungai Perak. Mereka menyerang pegawai-pegawai Inggeris secara rahasia. Akan tetapi gerakan mereka terbongkar. Orang-orang Melayu dari kumpulan anti-British itu datang menghadap Baginda Sultan Perak dan mendapat pengampunan. Akan tetapi orang-orang Tionghua tidak begitu jelas ceritanya. Mereka dipercayai bergerak secara rahasia di kalangan buruh lombong bijih di Kinta dan tempat-tempat lain.

Anggota askar Melayu yang pertama kebanyakannya pelajar sekolah Inggeris. Mereka juga adalah anggota atau mempunyai hubungan dengan KMM di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob, Mustapha Hussein dan Dr. Burhanuddin.

Lt. Ariffin Hj. Sulaiman adalah seorang anggota pengasas pasukan askar Melayu. Beliau berkahwin dengan ahli keluarga saya di Lambor. Lt. Ariffin adalah anggota KMM dan banyak memberikan pengaruh yang progresif kepada saya.

Dalam masa Perang Dunia Kedua, askar Melayu memberikan sokongan yang kuat kepada rancangan kemerdekaan KMM. Dalam pertempuran mempertahankan Singapura di Bukit Timah, pasukan askar Melayu dengan kerjasama Pasukan Sukarela yang disusun dan dibentuk oleh PKM telah memberikan pukulan yang berat ke atas tentera fasis Jepun. Dan boleh juga dikatakan di sinilah fasis Jepun menerima perlawanan balas yang gagah berani semenjak mereka melancarkan serangan ke atas Malaya.

Nota: dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Kedua: Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10, ms 182 -184

Categories

Pengikut