hadiah dari seorang pemimpin

HADIAH DARI SEORANG PEMIMPIN


Kini, hampir 20 tahun bekas perajurit Rejimen Ke-10 memberhentikan perjuangan bersenjata. Sebahagian besar mereka tinggal di dua buah kampung perdamaian – Kampung Perdamaian Balok, Yala atau Kampung Chulabhorn Patana 11 dan Kampung Perdamaian Sukhirin atau Kampung Chulabhorn Patana 12. Sebahagian lagi pulang ke Malaysia atau lain-lain negeri.


Bagi mereka yang tinggal di luar kampung, peluang bertemu dengan pimpinan dan rakan seperjuangan agak terbatas. Maklumlah sibuk dengan urusan masing-masing yang utamanya mencari pendapatan untuk menyarai keluarga.


Kali ini aku berkesempatan pulang ke kampung rakan seperjuanganku di Sukhirin. Di samping menziarahi rakan seperjuangan, sudah pasti aku tidak ketinggalan menziarah rumah “ayah” dan “ibu”ku, Abdullah C.D. dan Suriani Abdullah.


Begitu aku memberi salam, Abdullah C.D. bangun dari tempat duduknya menyambut aku. Kami bersalam mesra. Mendengar suaraku, ibu Suriani yang tadinya di dalam biliknya juga keluar menyambut dan bersembang mesra denganku. Aku diberitahu bahawa ibu tidak berapa sihat kebelakangan ini kerana faktor usianya yang sudah mencecah hampir 85 tahun. Sambil berbual mesra, anak wanitanya Karimas keluar dari dapur membawa secawan nescafee panas.


Sambil menghirup nescafee, beliau menanyakan keadaan kehidupanku, anak-anak, pelajaran dan sebagainya. Aku jelaskan satu persatu kepadanya.


Sambil berbual, Abdullah C.D. mengeluarkan sebuah buku dan sebatang pen lalu mencatatkan sesuatu di helaian pertama buku tersebut. Aku memerhatikan tingkah lakunya tanpa berkata apa-apa. Selesai menurunkan tanda tangan, dia menghulurkan buku itu kepada aku sambil berkata: “Nah, ini hadiah untuk awak”. Aku menyambut buku itu dengan penuh hormat sambil mengucapkan terima kasih. Kutatap tajuknya PERJUANGAN DI SEMPADAN DAN PENAMATAN TERHORMAT, Siri memoir beliau bahagian ketiga.


“Cuba buka, di dalam ada awak… satu kemuliaan untuk semua kawan”. Saya mengikuti arahannya. Di helaian pertama tadi rupanya tanda tangan beliau sebagai kenang-kenangan untukku. Aku terus membuka satu persatu. Di dalamnya terdapat gambar semua kawan termasuk aku. Aku berasa amat terharu. Aku seorang perajurit biasa, sumbanganku ibarat sebutir garam dicampakkan ke lautan yang luas tapi tetap saja sumbanganku diiktiraf. Buku itu bukan saja satu catatan sejarah yang aku sendiri terlibat di dalamnya, tetapi satu hadiah istimewa dari seorang pemimpin yang aku hormati.




Abdullah C.D. atau nama sebenarnya Cik Dat memang seorang pemimpin berjiwa besar dan bercorak rakyat. Hidup secara sederhana, tiada rasa bongkak dan sombong dan sentiasa ceria dengan berbagai peringkat perajurit, walaupun seorang yang baru masuk pasukan. Sejak aku kenal beliau, aku tak merasakan yang dia sebagai seorang pegawai tinggi, tetapi seorang pemimpin yang dihormati. Aku tak pernah melihat dia meninggikan suara atau menuding jari kepada perajurit walaupun beliau bukan saja pemimpin tertinggi Rejimen Ke-10 bahkan juga adalah Pengerusi PKM.


Di dalam pasukan, beliau sentiasa memerhatikan kehidupan dan suka duka perajurit. Setiap pagi beliau akan berjalan mengelilingi perkhemahan, melihat parit dan kubu pertahanan, pondok kawalan, menziarahi seksyen-seksyen dalam kompeni, pejabat penerbitan, dapur dan lain-lain. Makan minum dan sakit demam perajurit terutama menjadi perhatiannya. Jika didapati ada kubu atau parit pertahanan yang tidak memuaskan, segera dipanggilnya Markas Pengarah perbaikinya. Begitu juga jika melihat ada kawan yang sakit demam, para doktor akan dijemput berbincang dan melakukan pengubatan yang perlu untuk para perajurit.


Ketika keadaan agak tenang, beliau mengatur berbagai rancangan untuk memperbaiki kehidupan perajurit. Beliau berpendapat setiap perajurit harus berbadan sihat baru dapat menjalankan tugas revolusi. Beliau mengatur petugas logistik memelihara ayam daging, ayam telur, ayam kampung di samping membentuk regu berburu dan memasang jerat binatang. Kijang, rusa, seladang, pelanduk, kambing hutan menjadi makanan biasa para perajurit. Begitu juga ikan sungai menjadi lauk untuk pasukan. Di samping itu, regu produksi dibentuk untuk menanam sayuran, ubi dan macam-macam.



Itulah perwatakan beliau yang menyebabkan aku benar-benar hormat kepadanya.

1 ulasan:

terima kasih sudah mau berkunjung ke gubuk saya. oiya bung bisakah saya mengutip artikel dari blog bung ini untuk dimuat di blog saya dan mungkin akan saya bagi kepada teman-teman di kalimantan timur. salam hangat
kilatista

Reply

Categories

Pengikut