di mana keikhlasannya

DI MANA KEIKHLASANNYA


Sekali sekala ingin juga aku mengetahui perkembangan tanah tumpah darahku yang kini bergelar Malaysia. Remote satellite TV C-Band ditekan, mangkuk satelit berputar ke arah Measat (satelit Malaysia). Terpancul TV 1 RTM. Kehangatanku untuk menonton hilang apabila melihat siaran “keganasan pengganas komunis” dalam dalam masa darurat dulu. Sekali lagi mangkuk satellite aku pusingkan ke arah Thaicom (Satelit Thai) atau Palapa (Satelit Indonesia).


Aku merenung jauh, mengenang kembali detik-detik sejarah merpati putih berterbabangan di angkasa Haadyai pada 2 Disember 1989. Ketiga-tiga pihak PKM, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Diraja Thailand telah menandatangani suatu persetujuan untuk menamatkan persengketaan bersenjata di kawasan sempadan Thai Malaysia dan Malaysia.


Terpancul satu soalan dikepalaku. Mengapa Kerajaan Malaysia nampaknya belum menamatkan permusuhan walaupun sudah hampir 20 tahun perjanjian damai ditandatangani? Propaganda zaman darurat masih diulang tayang, bahkan dibuat lakonan baru pula. Untuk apa itu semua? Apa tujuannya luka lama diguris semula? Di manakah keikhlasan Kerajaan Malaysia yang menandatangani persetujuan damai Haadyai?


Yang lebih menghairankan aku ialah mengapakah menentang penjajah itu dikatakan ganas? Apakah ganas rakyat Palestin menentang penceroboh Israel? Apakah ganas rakyat Irak dan Afghanistan yang menentang penceroboh Amerika? Apakah ganas rakyat Vietnam menentang penceroboh Amerika? Apakah ganas rakyat Indonesia menentang penceroboh Belanda? Sebetulnya lojik apakah yang mereka pakai? Seorang algojo yang menjadi musuh bersama rakyat Malaya dan rakyat Palestin ialah Hunry Gurney. Tangan yang berlumuran darah rakyat Palestin itu juga yang membantai rakyat Malaya. Tetapi di Malaysia Hunry Gurney diberi pengiktirafan yang tinggi. Aku pernah terbaca ada “pejuang kemerdekaan” mahu mendirikan papan tanda bagi memperingati kematian Henry Gurney. Ini berlaku pada tahun 2009.


Aku menarik nafas panjang. Oh Malaysia!! Sehingga kini kau masih lagi menari ikut irama dendangan penjajah. Inilah hakikat tanah air ku.


Di sudut lain, aku nampak suatu hal yang berbeza. Kerajaan Diraja Thailand juga sebuah kerajaan anti-komunis. Tapi tidak pula aku mendengar propaganda lama diulang semula seperti mana RTM. Di sini berbagai peringkat pegawai kerajaan baik awam mahupun tentera datang melawat kampung-kampung perdamaian. General Kitti Rattanacahaya yang menjadi Panglima Ketumbukan Ke-4 ketika lawatannya di Kampung Perdamaian Sukhirin pernah menyebut “saya percaya kalian, kalian bukan orang jahat, kalian adalah orang yang berjuang”. Dua orang puteri Maharaja Thai iaitu Puteri Sirinthon dan Puteri Chulabhorn pernah meredah hutan melawat kampung kami.


Lt.Col. Romklao dari Tentera Thai ketika melawat

Abdullah C.D., Suriani dan Abu Samah.

Di bawah adalah catatannya yang ditinggalkan

untuk kenang-kenangan.

(2549 tahun Buddha sama dengan 2006 tahun Hijrah)


Allahyarham Rashid Maidin pernah mengadakan upacara perasmian tugu peringatan di Kampung Perdamaian Balok, Yala. Tugu peringatan itu didirikan untuk mengenang rakan seperjuangan Rejimen Ke-10 yang gugur dalam perjuangan. Yang menggunting riben tanda perasmian majlis itu ialah seorang Jeneral Tentera Thai. Manakala Gabenor Wilayah Yala juga ikut serta memberikan ucapan dalam majlis tersebut. Sedikitpun tiada caci maki atau apa-apa tuduhan akibat persengketaan di masa lampau.


Jika dikaji dari fakta perang, pertempuran TPNM dengan tentera Thai lebih lama dari angkatan tentera Malaysia. Sepatutnya tentera Thai lebih banyak menyimpan dendam terhadap kami.


Setelah belasan tahun perdamaian Haadyai, Kerajaan Diraja Thailand pernah mengadakan suatu majlis khas yang dihadiri oleh wakil kerajaan Thai, Gen. Chaovalit, YB Mat Nor Mat Ta dan lain-lain, manakala wakil PKM pula Chen Ping, Allahyarham Rashid Maidin, Abdullah C.D., Suriani Abdullah, Allahyarham Abu Samah, Ah Chen dan lain-lain. Mereka membincangkan masalah perlaksanaan persetujuan yang telah ditandatangani. Semua perkara berkaitan dibentangkan di situ, mana yang tak beres telah dibereskan dengan sempurna.


Kembali teringat aku soal RTM. Aku masih ingat suatu peristiwa, tapi lupa pula tanggalnya. Yang pasti menjelang sambutan hari kemerdekaan Malaysia, datanglah satu rombongan dari Majalah TV 3 ke kampung perdamaian Sukhirin. Tiba di sini, mereka menyebut:

“kalianlah pejuang kemerdekaan.”

“Kemerdekaan yang kami kecap hari ini hasil dari perjuangan kalian.”

“Kami akan perkenalkan pejuang kemerdekaan kita kepada dunia”.

Wah … betapa hebatnya kami disanjung. Boleh menyebabkan pengsan kepada sesiapa yang mengidap sakit jantung kerana terharu yang amat sangat.


Kamera pun dikeluarkan, ada yang video, ada yang gambar mati. Abdullah C.D., Rashid Maidin, Abu Samah, Suriani pun diminta berjalan untuk dirakam gambar. Wawancara pun dimulai.


Walau bagaimanapun ada kawanku yang menaruh curiga terhadap rombongan RTM itu. Dengan meninggikan suara agar didengar ramai, kawan itu menyebut dalam loghat tempatan;. “Demo ni, masuk molek, tubik hudoh”.

Sampai tarikh yang ditetapkan, kami pun menghadap kaca TV masing-masing. Tak sabar rasanya ingin melihat bagaimana RTM menyiarkan cerita “pejuang kemerdekaan”.


Tepat masa jadualnya, muncullah juru acara Majalah TV3 di kaca TV. Alamak, isinya lagi-lagi “keganasan komunis” dalam masa darurat. Hilang lenyap segala perasaan yang ingin tahu tadi.


Ini menjadikan kawan-kawanku di kampung itu sangat marah. Seorang kawan melontarkan soalan kepadaku: “Manusia jenis apa mereka itu boleh dengan tenang berdolak dalik sebegitu rupa. Hari ini kata putih, besok kata hitam.”


Inilah sebuah hakikat yang aku saksikan dengan mata kepala sendiri.


9 ulasan

SDR.HATI MERAH, MEDIA ARUS PERDANA MALAYSIA POSITIF DENGAN TUAN NYA (hasil slogan hendaklah berfikiran positif)...!!!

Reply

Saya yang tidak ada kena mengena dengan komunis atau PKM juga turut meluat dengan drama-drama Hari Merdeka di Malaysia.

TV1 dan 3 terutamanya menunjukkan drama-drama menentang PKM sebagai perjuangan menentang penjajah.

Yang menjajah adalah British. Yang berperang dgn penjajah adalah PKM, yang makan gaji dengan British adalah askar dan polis, dan perjuangan askar dan polis yang menentang PKM dianggap perjuangan menentang penjajah.

Bahlul dan bodoh betul mereka itu. Saya bukan komunis dan saya juga tidak setuju dengan ideology komunis, tapi saya menyampah dengan sikap Barisan Nasional yang cuba membohongi sejarah.

Reply

Salam,

Mengikut versi sejarah arus perdana, British dianggap sebagai "penaung" atau "pelindung" orang Melayu -- bukan penjajah.

Sebaliknya PKM dianggap sebagai penjajah, kerana PKM dilihat sebagai kuasa luar yang mahu menjadikan Malaya sebuah negara komunis.

Jadi menentang PKM dianggap sebagai menentang penjajah, dan pada masa yang sama PKM dianggap pula sebagai pengganas.

Versi sejarah arus perdana ini harus ditolak dan "diluruskan".

Reply

kecelakaanlah bagi mereka yang buta tentang sejarah

Reply

kalu setakat buta sejarah versi umno tu takkan celaka nye...yg celaka ialah org yg membutakan sejarah yang sebenarnya!!!

Reply

Siapa yang membutakan sejarah yang sebenar?

Tak lain tak bukan ialah UMNO. Fakta2 sejarah yang dikeluarkan UMNO adalah atas arahan dan kempentingan tuannya.

Siapa tuannya?

Penjajah British.

Sebab tu kita tengok sejarah versi resmi memang pun terbalik.

penjajah dikatakan penaung
pejuang kemerdekaan dikatakan pendurhaka, pengganas

sudah terang lagi bersuluh bahawa Henry Gurney itu algojo, tetapi UMNO tak segan silu menyanjungnya sehingga sekarang.

Reply

Penubuhan UMNO itu sendiri patut dicurigai apakah juga strategi yang diatur rapi oleh penjajah British untuk menyaingi gerakan kemerdekaan golongan kiri. Beberapa fakta boleh diambil kira:
1. Penajanya ialah Datok Onn, pegawai Melayu yang berkhidmat dengan penjajah British.
2. Pucuk pimpinan UMNO tu pulak terdiri dari pegawai2 Melayu yang berkhidmat dengan penjajah British.
3. Slogan UMNO pula hanya HIDUP Melayu (bukan Merdeka)
4. Tindakan2 UMNO sejajar dengan kehendak penjajah British (kecuali perjuangan menentang Malayan Union). Apakah Malayan Union itu juga sandiwara penjajah British bertujuan memberi pengaruh baik kepada UMNO? Agak aneh, UMNO pucuk pimpinannya dipegang oleh penjajah British itu tiba2 berubah menentang British.
5. Tindakan UMNO juga menentang gerakan kemerdekaan yang dipelopori PKMM. Di sinilah lahirnya istilah membuat sebatang jarum pun tak pandai, nak merdeka konon, Hubaya2 Musuh turun dari gung dan lain-lain.
6. Sidang Asia di New Delhi membincangkan masalah kemerdekaan tanah jajahan, UMNO tidak menghantar wakil.

Reply

Komunis??...boleh selesaikan masalah pengangguran tak?..sekadar bertanya...

Reply
Tanpa Nama mod

Tidak timbul masalah inflasi dan pengangguran di dalam sistem sosialis / komunis.

Sila lihat THE CAPITAL - ilmu ekonomi Marxis

Reply

Categories

Pengikut