Wawancara dengan Suriani Abdullah


Ibu Suriani binti Abdullah adalah salah seorang pejuang wanita yang unggul dalam perjuangan kemerdekaan tanah air kita. Selama setengah abad lebih, beliau melibatkan diri dalam kancah perjuangan untuk membebaskan tanah air daripada belenggu fasis Jepun dan penjajah British serta untuk pembebasan dan kesejahteraan rakyat. Sejak tahun 1955, beliau ikut sama memimpin pasukan Rejimen ke-10 Tentera Rakyat Malaya (dulunya Tentera Pembebasan Nasional Malaya). Beliau telah membuat sumbangan yang besar, melakukan banyak aktiviti dan pekerjaan, namun sejarah peribadi beliau bertautan erat dan berpadu dengan sejarah Rejimen ke-10. Beliau dihormati dan disayangi oleh segenap komander dan perajurit Rejimen ke-10 yang menganggap beliau sekali gus sebagai pimpinan, sahabat dan juga ibu tempat mereka mencurahkan segala kesulitan dan suka duka mereka. Kini, beliau masih aktif dan gigih memimpin.


Soalan: Sejak bila Ibu terlibat dengan Rejimen ke-10?

Suriani: Sejak tahun 1953, ketika Rejimen ke-10 melakukan Perjalanan Jauh dari Pahang Selatan ke Utara Malaya.


Soalan: Ibu begitu fasih berbahasa Melayu, bahkan menulis, membaca, berucap, malah bergaul seperti orang Melayu. Apa sebab Ibu begitu mengambil berat perjuangan orang Melayu?

Suriani: Tanahair kita berbilang kaum. Orang Melayu merupakan pengasas masyarakat bertamadun tanah air kita dan paling lama sejarahnya. Mereka juga melancarkan perjuangan yang gagah berani melawan penjajah dalam masa yang begitu panjang. Oleh itu, orang Melayu patut memainkan peranan pelopor dalam perjuangan di pelbagai medan. Dalam hidup saya pula, misalnya, semasa bersekolah Inggeris, saya bergaul dengan pelajar berbilang kaum, termasuk pelajar Melayu. Selepas Perang Anti-Jepun, saya bernasib baik dapat berdamping erat dengan pemimpin dan massa rakyat Melayu daripada kalangan nasionalis, agama, sosialis mahupun komunis. Juga dengan pejuang dari Indonesia. Saya tak lupakan sumbangsih salah seorang guru saya, Pak Jenain (Sutan Jenain), pejuang veteran dari Indonesia, yang menganggap saya murid dan anaknya.


Soalan: Bolehkah Ibu ceritakan sedikit lagi tentang hubungan Ibu dengan gerakan kemerdekaan di kalangan orang Melayu selepas perang?

Suriani: Selepas perang, mula-mula, saya bertanggungjawab memimpin pasukan propaganda, kemudian sebagai wakil PKM bagi negeri Perak. Pada masa itulah, saya berkenalan dengan tokoh-tokoh Melayu yang masyhur, antaranya Abdullah C.D., Rashid Maidin, Dr. Burhanuddin dan Ahmad Boestamam. Gerakan kemerdekaan di kalangan orang Melayu berkembang pesat, lebih-lebih lagi dengan berdirinya PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya), API (Angkatan Pemuda Insaf) dan AWAS (Angkatan Wanita Sedar). Saya sering berucap bersama Dr. Burhanuddin dalam rapat umum – beliau bagi pihak PKMM dan saya bagi pihak PKM.


Selepas perang, kerana hasutan fasis Jepun dan British, berlaku rusuhan antara orang Melayu dan Cina. Kami berusaha sedaya upaya untuk mendamaikan pergaduhan tersebut dan menyatukan mereka supaya dapat sama-sama berjuang untuk kemerdekaan. Bersama- Ahmad Boestamam, saya pernah menyelesaikan satu peristiwa di Ipoh antara penjual durian Melayu dari Parit dengan orang Cina di sana. Peristiwa ini disentuh oleh Ahmad Boestamam dalam bukunya Dato’ Onn Yang Saya Kenal.


Satu peristiwa lagi yang saya masih ingat ialah rapat perayaan menyambut kemenangan Perang Anti-Jepun di Ipoh. Almarhum Sultan Perak hadir bersama dalam perayaan itu, yang dihadiri oleh hampir 100,000 orang dari seluruh Perak. Saya dijemput berucap selaku wakil PKM dalam rapat umum yang mencerminkan perpaduan berbilang kaum itu.


Waktu bertugas di ibu pejabat PKM di Kuala Lumpur, saya acap kali bertemu dengan pemimpin AWAS. Ketika bertugas di ibu pejabat parti di Singapura, saya sering bertemu dengan pemimpin buruh Melayu di sana.


Soalan: Benarkah Ibu merupakan satu-satunya wakil PKM wanita pada masa itu?

Suriani: Ya. Di negeri lain, wakil parti terdiri daripada kawan lelaki.


Soalan: Ada orang mengatakan Ibu juga pernah mewakili PKM dalam kerajaan BMA (British Military Administration) selepas perang. Benarkah?

Suriani: Benar. Saya berada dalam kerajaan BMA di Perak selama beberapa bulan. Pada masa itu, penyertaan kaum wanita dalam kerajaan dianggap sesuatu yang luar biasa, tak serupa sekarang.


Soalan: Beralih pula kepada latar belakang Ibu, bolehkah Ibu ceritakan tempat lahir dan keluarga Ibu?

Suriani: Saya lahir di Sitiawan, Perak, pada bulan Januari 1924. Bapa saya seorang kerani di sebuah pertubuhan Cina, ibu seorang suri rumah tangga. Keluarga ada sedikit kebun getah. Saya anak keempat daripada lima beradik – empat lelaki dan saya satu-satunya anak perempuan.


Soalan: Bagaimana pula pendidikan Ibu?

Suriani: Saya masuk sekolah rendah ketika berusia lima tahun, kemudian belajar di peringkat menengah di Nan Hwa High School, Sitiawan. Dari sekolah rendah hingga lulus sekolah menengah, biasanya memakan masa sembilan tahun. Tetapi, kerana kemajuan belajar yang baik, saya lompat darjah dua kali dan lulus dalam masa tujuh tahun. Sekolah Nan Hwa mungkin tercatat dalam sejarah kerana di situ juga Chin Peng belajar. Pada tahun 1937, saya masuk Kelas Normal untuk jadi guru, kemudian menyambung pelajaran di sekolah Inggeris dan lulus Kelas Tujuh. Waktu di sekolah Inggeris, saya mengajar bahasa Cina kepada pelajar-pelajar Cina sebelah petang.


Soalan: Jadi Ibu kenal Chin Peng sejak di bangku sekolah lagi?

Suriani: Ya.


Soalan: Ibu, satu perkara yang menarik perhatian ialah pada masa itu, ramai pelajar, termasuk Ibu sendiri, sudah menyertai perjuangan sejak umur masih remaja lagi. Walaupun umur baru awal belasan tahun, pemikiran sudah matang seperti orang dewasa. Mengapa agaknya? Dan apa pula pengaruh terhadap Ibu dan pelajar-pelajar lain?

Suriani: Mungkin kerana keadaan pada masa itu dan juga kerana kami menerima pengaruh progresif sejak di bangku sekolah lagi.


Keadaan politik dunia dan Asia amat bergolak dalam tahun 1930-an. Perjuangan melawan kuasa penjajah dan fasis sudah berkembang. Fasis Jepun telah menduduki sebahagian daripada negeri China dan mahu bergerak menguasai seluruh Asia. Di seluruh dunia, umat manusia progresif telah mengibarkan panji anti-fasis yang dipimpin oleh Uni Soviet. Malaya juga bergolak dengan perjuangan anti-penjajah dan anti-fasis, lebih-lebih lagi di kalangan kaum buruh dan pelajar. Di kalangan orang Cina, PKM memainkan peranan yang sangat penting. Di kalangan orang Melayu, terdapat Kesatuan Melayu Muda (KMM).


Saya masih ingat, pada masa itu, di sekolah saya, ramai orang adalah aktivis dalam gerakan anti-penjajah dan anti-fasis, termasuk guru-guru saya. Pemimpin-pemimpin penting PKM, seperti Huang Cheng, pernah datang ke Sekolah Nan Hwa membuat ucapan. Dalam keadaan demikian, ramai pelajar, termasuk saya, ikut serta dalam gerakan progresif, melawan penjajah dan melawan fasis. Yang sangat aktif masa itu ialah Chin Peng, yang kemudian menjadi Setiausaha Agung PKM.


Soalan: Apakah ada pengaruh-pengaruh lain lagi terhadap Ibu?

Suriani: Oh ya, sebuah buku bertajuk Red Star Over China, kalau tak silap diterbitkan pada tahun 1937.


Soalan: Buku karangan Edgar Snow, bukan?

Suriani: Ya. Buku tulisan pengarang Amerika itu memberi kesan yang mendalam kepada saya dan pelajar-pelajar lain.


Soalan: Adakah keluarga Ibu bersetuju dengan tindakan Ibu?

Suriani: Masyarakat pada masa itu memang tidak bersetuju anak-anak gadis mencampuri gerakan politik. Dalam keluarga saya, sebanyak tiga generasi tak ada anak perempuan. Jadi, sebagai satu-satunya anak perempuan, saya sangat disayangi oleh orang tua. Saudara boleh bayangkan sikap mereka terhadap saya.


Soalan: Jadi, bagaimana Ibu akhirnya dapat mengatasi masalah keluarga?

Suriani: Tekad dan keberanian. Apabila kita bertekad dan berani, dan perkara yang kita hendak lakukan itu betul, kita dapat lakukannya, sekalipun kita wanita. Siapa tak sayang orang tua dan adik-beradik – tentu sekali sayang. Tapi, kita juga sayangkan tanah air dan rakyat. Maka, kita perlu atasi kongkongan keluarga. Inilah yang saya lakukan. Pada masa itu (tahun 1939), untuk meneruskan perjuangan, saya terpaksa meninggalkan orang tua dan pergi ke Ipoh dengan bantuan kawan-kawan. Masa itu, ramai pemuda pemudi lain turut bertindak begitu. Keluarga saya menjadi gempar. Mereka membuat aduan kepada polis dan saya dicari polis di merata tempat.


Soalan: Bolehkah Ibu ceritakan sedikit perjuangan Ibu menjelang dan sesudah fasis Jepun menduduki Malaya?

Suriani: Pada tahun 1940, di Ipoh, saya diterima menjadi seorang anggota PKM. Ketika itu, saya berusia 16 tahun. Untuk melampas diri dan bersebati dengan massa rakyat, saya dihantar bekerja di kalangan kaum buruh, mula-mula di Taiping, kemudian di Kampar. Pada awal 1941, saya memimpin mogok buruh wanita syarikat rokok di Kampar. Kerana selalu diekori oleh polis, saya pun beralih ke kawasan Pusing dan Teronoh. Di sana, seorang kader wanita kena tangkap. Saya pun diatur mengambil alih tugas beliau memimpin kerja wanita dan meneruskan penerbitan majalah Wanita. Pada bulan Disember 1941, kerana sudah “merah”, PKM mengatur saya berpindah ke Singapura. Ketika menunggu kereta api di Ipoh, tiba-tiba, kapal terbang Jepun datang mengebom, maka rancangan itupun dibatalkan. Saya berundur ke kawasan desa di Chemor. Pada tahun 1942, saya menjadi Setiausaha Jawatankuasa Parti Bandar Ipoh, tetapi kerana ada pengkhianat, tak lama kemudian, saya pun masuk pasukan.


Soalan: Apakah tugas Ibu dalam pasukan?

Suriani: Saya masuk Rejimen ke-5 Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya dan bertugas sebagai Wakil Parti dalam Kompeni Teladan. Ini memberi rangsangan yang kuat kepada kawan-kawan wanita.


Soalan: Kami dapat tahu Ibu pernah ditangkap oleh fasis Jepun dan diseksa. Bagaimana ini berlaku?

Suriani: Saya berada dalam Tentera Anti-Jepun untuk satu masa. Kerana keperluan kerja, saya ditukar daripada tentera untuk memimpin Jawatankuasa Daerah, mula-mula di Chemor dan Sungai Siput, kemudian di Tanjung Tualang, dan Batu Gajah dan lain-lain. Sambutan orang ramai, termasuk lapisan atas, terhadap perjuangan anti-Jepun sungguh baik. Tapi, perjuangan memang sangat kencang masa itu. Askar-askar Jepun selalu menyerbu dan menggeledah, kami sentiasa dalam bahaya. Suatu hari, kerana kerja berat, saya jatuh sakit dan tak dapat balik ke pangkalan di tepi hutan. Kami bermalam di sebuah rumah di tepi kampung. Rupanya, askar Jepun datang menggeledah dari rumah ke rumah dan melakukan penangkapan. Saya masih ingat peristiwa itu berlaku pada 28 Januari tahun 1945. Anasir cergas yang yang berjaga sewaktu kami tidur tidak sedar ketika askar fasis Jepun mengepung rumah. Saya terjaga mendengar tembakan pengawal saya yang bertempur dengan musuh. Malangnya, dia terkorban dalam peristiwa itu. Saya mencabut pistol menembak dua kali, tetapi sayangnya, kedua-duanya tak meletup. Saya pun ditangkap oleh askar Jepun dan dibawa ke pejabat Kempeitai (polis tentera Jepun) di Ipoh. Dalam tahanan, apabila ada kesempatan, saya berucap kepada tahanan lain dan mengajak mereka bernyanyi. Apabila disoal siasat, saya berbahas dengan algojo-algojo (fasis Jepun) itu, yang mengenakan bermacam-macam seksaan terhadap saya.


Soalan: Bilakah Ibu dibebaskan?

Suriani: Saya dibebaskan setelah Jepun menyerah diri pada 15 Ogos tahun 1945.


Soalan: Kami mendapat tahu Ibu pernah mendapat gelaran “Serikandi anti-Jepun” dalam satu sidang antarabangsa di Beijing. Bolehkah Ibu ceritakan sedikit tentang gelaran ini?

Suriani: Kemuliaan ini bukan untuk saya peribadi, tetapi sebagai penghargaan sumbangan kaum wanita tanah air kita dalam perjuangan anti-fasis. Dalam sidang itu, kisah tiga kawan wanita dari Malaya, termasuk saya, telah diperkenalkan, dan kami dianggap sebagai “Serikandi Anti-Jepun”. tetapi hal ini sudah begitu lama dahulu, dan saya sendiri tidak hadir dalam sidang itu. Saya tidak begitu ingat apakah sidang itu Sidang Perwakilan Wanita-Wanita Asia dan Australia pada tahun 1949, ataupun Sidang Perwakilan Serantau Asia-Pasifik pada tahun 1952, yang kedua-duanya berlangsung di Beijing.


Soalan: Ibu pernah ke Indonesia selepas perang?

Suriani: Ya, saya melawat Indonesia pada tahun 1947 dengan tujuan melawat sambil belajar serta memperkenalkan pengalaman Perang Anti-Jepun di Malaya. Saya dijemput berucap di Universiti Madiun dan tempat-tempat lain. Saya juga membantu Siauw Giok Tjan, Menteri Urusan Minoriti, untuk memberi penerangan dan pendidikan kepada penduduk Tionghua supaya mendukung Republik Indonesia. Setiap hari, saya menulis rencana bahasa Cina di bawah arahan Tan Ling Che (pimpinan tertinggi Parti Komunis Indonesia), dan setiap malam pula, saya sendiri membaca rencana tersebut di Radio Republik Indonesia di Jogjakarta. Ketika itu, dalam kabinet Sukarno, terdapat empat orang anggota pimpinan PKI menjadi menteri. Saya diundang bertemu dengan Syarifuddin, yang menjadi Menteri Pertahanan. Saya mendapat sambutan hangat daripada kawan-kawan Indonesia yang sangat mengambil berat, lebih-lebih lagi kerana saya seorang wanita. Saya juga sempat menghadiri perayaan ulang tahun kemerdekaan Indonesia di Istana Presiden dan bertemu dengan Sukarno. Saya kembali ke Singapura berseorangan pada awal tahun 1948.


bersambung

Categories

Pengikut