Wawancara dengan Suriani Abdullah (2)


Daripada seorang wanita muda remaja, Suriani menjadi seorang pemimpin gerakan buruh, kemudian masuk hutan bergerila memanggul senapang. Beliau dilahirkan dalam putaran zaman itu. Beliau menyahut panggilan arus zaman yang raksaksa dan menempuh jalan hidup yang militan. Beliau mengharungi kehidupan perang gerila berpuluh puluh tahun di hutan rimba tropika. - catatan seorang analisis yang pernah beberapa kali berkunjung ke Kampung Perdamian Sukhirin


Soalan: Apakah Ibu sempat berkenalan dengan kawan-kawan dari negeri-negeri lain?

Suriani: Ada juga. Saya masih ingat, selepas Perang Anti-Jepun, banyak rombongan daripada pelbagai parti sekawan datang ke Malaya menemui kami. Ada rombongan dari Uni Soviet, ada juga dari England, Australia, India dan lain-lain. Saya ditugaskan menjadi pengiring dan penterjemah kepada rombongan perwakilan wanita dari Uni Soviet. Mereka menjemput saya melawat negeri mereka, tetapi saya tak dapat pergi.


Soalan: Bagaimanakah keadaan Ibu setelah British mengisytiharkan darurat pada 20 Jun 1948?

Suriani: Kerana penjajah melancarkan perang dan melakukan penangkapan besar-besaran, perjuangan secara damai untuk kemerdekaan terpaksa berubah menjadi perjuangan bersenjata. Mula-mula, saya bertugas dalam Jawatankuasa Negeri di Johor. Tak lama kemudian, saya dipindahkan ke Pahang dan bertanggungjawab atas kerja ketua politik dalam Markas Besar Rejimen ke-6. Ketika Rejimen ke-10 beredar dari Temerloh ke Utara Malaya pada tahun 1953-54, saya ditugaskan membantu Bapak Abdullah C.D. mengurus kerja hubungan dengan penanggungjawab tempatan, menguruskan bekalan, termasuk ubat, membuat kerja terjemahan dan lain-lain sepanjang jalan. Pada akhir 1954 dan 1955, parti menugaskan saya sebagai Pegawai Perhubungan Jawatankuasa Pusat PKM dengan Rejimen ke-10. Kemudian, pada tahun itu juga, saya dilantik menjadi anggota Markas Besar Rejimen ke-10.


Soalan: Bolehkah Ibu ceritakan sedikit pengalaman Ibu dalam Perang Anti-British?

Suriani: Pokoknya serupa dengan kawan-kawan lain juga. Kami bertekad tetap berjuang dan rela mengorbankan diri demi kemerdekaan tanah air. Semasa berpindah dari Johor ke Pahang, saya membawa puluhan kawan wanita menghadapi pemburuan dan halangan tentera British. Saya pernah beberapa kali diserang hendap di Johor, tetapi selamat. Di Mentakab, kapal terbang British mengebom dari pagi sampai petang selama seminggu, tetapi kami berundur ke tepi kampung, meneruskan kerja kami. Walaupun kadang-kadang menghadapi kelaparan, tetapi kami tetap berjuang dengan tabah. Begitu juga semasa Perjalanan Jauh ke sempadan Negeri Thai.


Soalan: Apakah tanggungjawab Ibu dalam PKM?

Suriani: Saya dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat sejak tahun 1975.


Soalan: Ramaikah pemimpin pusat PKM terdiri daripada wanita?

Suriani: (ketawa) Ramai tentulah tidak, tetapi ada beberapa orang. Jumlahnya tak dapat saya sebut buat masa sekarang. Harap maaf, ya.


Soalan: Dalam Rejimen ke-10, apakah terdapat ramai kawan wanita?

Suriani: Ya, ramai juga, hampir separuh. Kalau saudara tengok filem video Rejimen ke-10 Bunga Rampai 8 Mac, saudara boleh saksikan peranan kawan-kawan wanita di sini.


Soalan: Bolehkah ceritakan peranan Ibu di Rejimen ke-10 dan pengaruh Ibu terhadap kawan-kawan pasukan ini?

Suriani: Saya berada dalam Badan Pimpinan Rejimen ke-10 yang diketuai oleh Bapak Abdullah C.D.. Dalam badan pimpinan ini, terdapat juga Bapak Rashid Maidin dan pemimpin lain. Kami melakukan bermacam-macam pekerjaan seperti pendidikan, pembesaran dan pengukuhan pasukan, mengarahkan pertempuran, memimpin kerja bawah tanah, kerja massa dan barisan bersatu.


Yang amat mengharukan saya ialah semangat kepatuhan dan semangat kepahlawanan para komander dan perajurit Rejimen ke-10. Kawan-kawan, baik lelaki mahupun wanita, tak tunduk pada kesukaran, bahaya dan pengorbanan. Mereka telah membuat sumbangan yang amat berharga kepada usaha kemerdekaan tanah air dan kebahagiaan rakyat. Mereka layak digelar sebagai “kesuma bangsa”.


Satu perkara lagi, di Rejimen ke-10, jumlah terbanyak ialah kawan-kawan Melayu, tetapi terdapat juga terdapat kawan-kawan Cina, India, Thai dan Orang Asli. Inilah keistimewaannya – lima kaum erat bersatu bagaikan satu keluarga. Ini memang satu lambang perpaduan kaum masyarakat kita.


Terhadap saya, walaupun saya wanita, keyakinan, kemesraan dan kerjasama yang mereka berikan cukup ikhlas dan amat mengharukan. Pendek kata, ia tak berbelah bahagi, sama seperti terhadap pemimpin yang lain.


Soalan: Pada tahun 1981, Bapak Abdullah C.D. mendirikan PKMRM. Apakah pendapat Ibu tentang PKMRM?

Suriani: Saya rasa kelahiran PKMRM memang kena pada masanya. Ia sesuai dengan perkembangan sejarah dan keperluan perjuangan orang Melayu dewasa ini.


Soalan: Kalau tak melanggar tatasusila dan kesopanan, kami ingin menanyakan satu soal yang ramai orang ingin tahu, iaitu hubungan Ibu dengan Bapak Abdullah C.D..

Suriani: Kami berkenalan pada tahun 1945 di Ipoh. Pada masa yang sama, saya juga berkenalan dengan Pak Rashid Maidin. Perasaan saya amat gembira kerana dapat bersahabat dengan kawan-kawan Melayu dan dapat sama-sama berjuang untuk tanah air.


Soalan: Bilakah Ibu mendirikan rumah tangga dengan Bapak Abdullah C.D.? Bagaimanakah kehidupan Ibu bersama beliau?

Suriani: Kami mendirikan rumah tangga pada awal tahun 1955. Selama puluhan tahun ini, kami berjuang bersama, bertempur bersama, sama suka sama duka, siang malam memerah otak untuk mendewasakan Rejimen ke-10 serta mengembangkan perjuangan yang mulia ini. Kami berazam berjuang bersama-sama sampai ke akhir hayat.


Soalan: Apakah Ibu mendapat cahaya mata?

Suriani: Ya, kami dikurniakan seorang cahaya mata, seorang anak perempuan.


Soalan: Dia ada bersama-sama Ibu, bukan?

Suriani: Ya, sekarang dia sudah dewasa dan sudah berumah tangga.


Soalan: Apakah tanggapan Ibu tentang perjuangan kaum wanita tanah air kita selama puluhan tahun ini?

Suriani: Kata-kata Kartini memang benar: “Tangan yang mengayun buaian itu boleh menggoncang dunia.” Pengalaman perjuangan kaum wanita tanah air kita pun demikian. Dalam sejarah, kita sudah jumpa nama serikandi Tun Fatimah dan Cik Siti Wan Kembang. Dalam abad ini, sebelum pendudukan fasis Jepun, ramai kaum wanita buruh, tani dan pelajar telah disusun dan bangkit berjuang melawan penjajah. Semasa pendudukan Jepun, ramai lagi wanita – baik buruh, tani mahupun pelajar – telah bangkit. Ada yang masuk pasukan gerila, ada yang ditangkap dan dibunuh. Dalam tindakan menyerbu keluar dari Penjara Pudu pada bulan Mei 1943, terdapat juga kawan-kawan wanita. Selepas perang, kaum wanita lebih aktif lagi. Pertubuhan wanita pelbagai kaum tumbuh seperti cendawan pada musim hujan. Di kalangan orang Melayu, terdapat Angkatan Wanita Sedar atau AWAS. Pemimpin dan anggota AWAS yang saya dampingi masa itu sungguh bersemangat. Dalam Rejimen ke-10 sekarang ini, terdapat sejumlah bekas anggota AWAS. Masa aman, PKM telah bergabung dalam barisan bersatu PUTERA-AMCJA untuk memperjuangkan kemerdekaan.


Soalan: Bagaimana setelah meletus darurat?

Suriani: Setelah peristiwa “20 Jun” (tahun 1948), ada kawan-kawan wanita yang ditangkap, ada yang meneruskan perjuangan di bawah tanah, dan tidak sedikit yang masuk hutan mengangkat senjata melawan British. Bersama kawan-kawan lelaki, mereka telah mencurahkan usaha yang luar biasa dan mengorbankan keremajaan mereka demi tanah air. Ramai terkorban sebagai serikandi yang patut menjadi kebanggaan bangsa ibu pertiwi kita. Saudara tentu kenal dengan nama serikandi Maimun, Asiah, Zahurah, Hitam dan lain-lain.


Soalan: Sebagai pejuang wanita unggul tanah air kita, Ibu telah menempuh seribu satu ujian, menghimpun banyak pengalaman dan telah mengukir sejarah yang berkilauan bagi kaum wanita masyarakat kita. Apakah pesanan Ibu kepada kaum wanita generasi sekarang?

Suriani: Dengan izin, ingin saya nyatakan sedikit pesan dan harapan. Kita tahu kaum wanita menyangga separuh langit. Lebih-lebih lagi, bagi kaum wanita hari ini, mereka mempunyai taraf pelajaran yang lebih tinggi dan terbabit dalam banyak lapangan – kilang, pertanian, pendidikan, politik, undang-undang, pentadbiran, kewartawanan, kesusasteraan, kesenian, tentera, polis dan lain-lain. Masyarakat sudah beransur-ansur mengakui peranan penting kaum wanita. Ini tidak sama dengan puluhan tahun dulu. Ini adalah hasil perjuangan wanita sendiri. Kaum wanita mesti perhatikan perkembangan keadaan dalam dan luar negeri, mesti mengambil ambil berat soal tanah air dan masyarakat. Mereka harus mengkaji perubahan dalam masyarakat, harus tekun belajar dan meningkatkan taraf pengetahuan sendiri, termasuk pengetahuan dalam soal agama, dan harus menceburkan diri dalam aktiviti yang maju demi kebaikan masyarakat dan kaum wanita. Jangan semata-mata tumpukan pada diri sendiri dan rumah tangga. Wanita juga mesti hilangkan rasa rendah diri atau inferiority complex di jiwa mereka dan tanam rasa yakin diri.


Soalan: Ibu sudah berusia 80 tahun lebih, tetapi masih sihat dan cergas, bahkan kelihatan jauh lebih muda. Bagaimana Ibu menjaga kesihatan?

Suriani: Sihat itu sihat juga, tetapi kita yang hidup ini tak lepas daripada sakit, dan suatu hari, tentu kita akan tinggalkan dunia ini. Tetapi, masa kita hidup, biarlah badan kita sihat supaya dapat bekerja dan buat sumbangan. Bagi saya, mungkin kegemaran bersukan ada membantu. Sejak di sekolah, saya sangat suka bersukan. Pada masa sekarang, saya tidaklah begitu aktif. tetapi saya masih mengamalkan taichi qigong dan setiap pagi, berjalan setengah jam lebih.


Soalan: Apakah kegemaran Ibu yang lain?

Suriani: Membaca dan juga kesenian.


Soalan: Bercakap tentang seni, apakah pandangan Ibu tentang kesenian dalam masyarakat hari ini? Seni yang macam mana patut dikembangkan?

Suriani: Saya nampak ada dua aliran. Yang satu ialah kesenian yang kebaratan, atau apa yang dipanggil kebudayaan kuning. Nampaknya, kebudayaan inilah yang banyak membanjiri masyarakat kita dan mempengaruhi muda mudi kita. Ini tidak sihat.


Satu lagi aliran ialah gerakan menghidupkan kesenian asli, mengembangkan yang asli menurut perkembangan atau perubahan zaman di samping mencipta yang baru. Ada pula bentuk-bentuk seni yang mengintegrasikan ciri-ciri berbilang kaum di dalamnya seperti dalam tarian. Saya rasa ini baik dan sihat.


Pada prinsipnya, di masyarakat kita, kita patut membentuk kebudayaan masyarakat dengan kebudayaan Melayu sebagai unsur utama, dan kebudayaan kaum lain sebagai unsur penting yang tidak patut disisihkan. Di atas prinsip ini, seni itu mestilah maju isinya, popular dan bersifat rakyat unsurnya, serta mencerminkan kepusparagaman kesenian pelbagai kaum di Malaysia. Ini mungkin dapat membantu perpaduan kaum dan pembentukan Bangsa Malaysia tanpa paksaan.


Soalan: Akhir sekali, apakah pendapat Ibu tentang usaha memperkuatkan perpaduan kaum?

Suriani: Kita mesti kikis perasaan kebangsaan sempit atau perkauman, mesti berpandangan bahawa semua kaum adalah bersaudara dan sama darjat. Saya rasa setiap warganegara mesti mengambil berat penguasaan bahasa Melayu dan memahami adat resam Melayu dan sejarah tanah air. Usaha-usaha mempelajari bahasa, adat resam dan sejarah kaum lain juga patut digalakkan. Pokoknya, kita mesti berhasrat bersatu padu, mesti saling belajar, saling membantu dan saling melengkapi. Inilah pegangan saya selama ini. Sikap semacam ini patut ditanam dalam diri anak-anak kita sejak kecil lagi, khasnya di rumah dan di bangku sekolah. Ia juga patut disebarkan dalam media massa.


nota: interview ini dibuat oleh wartawan Suluh Rakyat pada tahun 1989, kemudian dibuat sedikit tambahan pada tahun 2005.


6 ulasan

Ceritakan lebih lanjut, srikandi yang terkorban.

Reply

Salam Mat Amin Rejimen 10,

Disini jelas aku nyatakan kepada engkau, perjuangan yang tidak mendapat sokongan penuh rakyat, bukan perjuangan namanya. Itu perjuangan songsang. Perjuangan Bahlol, Dungu dan Bodoh dan Gila. Sangat Salah bawak .

Bentuk perjuang yang memaksa, mengugut dan menindas rakyat macam inikah yang kau dan PKM kata perjuangan. Perjuangan apa?

Bahlol punya PKM menyiksa bangsa dan rakyat.

Semasa zaman dharurat- pemerintahan PKM 14 hari di Malaya, datuk saya pergi mencari ubi dan keladinya di kebun Kg Spg Enam, Rengit, Batu Pahat untuk memberi isteri, bapa dan keluarganya makan. Dia telah ditangkap PKM bersama anak saudaranya (tetapi anak saudaranya dilepaskan kerana masih budak lagi) tetapi datuk saya dibawa masuk ke hutan dan dibunuh.

Cuba kau bayangkan seorang isteri, anak dan keluarganya yang menunggu untuk makan tetapi suami tak pulang dan telah mati dibunuh komunis apa perasan kau sebagai manusia. Tapi aku tahu komunis tu binatang mana ada akal fikiranya..

Hey.... Mat Amin KOMUMIS dan PKM ENGAKU GILA LAH..BUAT-BUAT BERTAUBAT KEPADA MEREKA DAN KETURUNAN YANG PERNAH KAU SIKSA...

Reply

1. Saya sangat faham tentang objektif Pak Mat Amin mewujudkan Blog berkenaan. Saya telah membaca hampir semua artikel yang dipaparkan dalam blog belian dan juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah di atas keupayaan dan usaha yang dicurahkan demi membetulkan sejarah sebuah negara bangsa yang sebenenarnya telah dibina dan dimerdekakan oleh pemberani seperti ramai kawan-kawan kita

2. Arnold Toynbee seorang Historian Phylosophy Inggeris telah menklasifikasikan orang Melayu sebagai soft nation (bangsa yang lembut) dan orang Vietnam, Korea, Jepun, China, di Asia Pasifik sebagai dinamik nation atau (bangsa yang maju dan keras). Dalam satu segi klasifikasi ini mungkin benar tetapi disebabkan oleh sejarah sebenar yang telah dibenamkan maka orang mungkin dapat mengenali orang Melayu mengikut apa yang dihidangkan kepada mereka. Berdasarkan analisis inilah British masuk menjelajah dan menjajah.

3. Orang Melayu hidup dibawah tekanan kejumudan kaum ulama' yang mencengkam psikologi minda mereka. 500 tahun mereka tidak dapat menghakimi pertikaian dan persoalan antara Jebat dan Tuah. Feodalis silam dengan adat lapok turut membelenggu sehingga mereka menjadi orang yang rela dipijak dan tidak melawan. Tidak ada cahaya di dalam masyarakat untuk membolehkan mereka dapat melihat dan membezakan. Mereka telah menghukum para pejuang seperti Dato Bahaman, Tok Janggut, Tok Gajah, Mat Kilau mengikut pandangan orang luar - kuasa Imperialis dengan hukuman sebagai pendurhaka.

4. Hari ini cengkaman kaum ulama' masih berleluasa; di masjid seorang guru membuka kitab dan berceramah, didengar oleh 20-30 orang tanpa menawar ruang untuk berbincang dan bertanya persis, seperti apa yang berlaku ketika Eropah Zaman Kegelapan abad 14-5 di mana seorang padri membaca dan orang lain mendengar dan bahan bacaan itu pula ditulis di dalam bahasa Hebrew. Eropah hanya bangkit setelah mereka menterjemah kitab Bible ke dalam bahasa Inggeris lalu mereka dapat memahaminya... dan mereka telah memulai ini semua dalam tema "dare to think" berani untuk berfikir. Orang Melayu hari ini untuk berfikirpun mereka tidak punya keberanian, lalu bagaimana mereka dapat menganalisis secara kritis. Kediktatoran ulama' adalah warisan kaum padri masyarakat Eropah hari ini terus menjadi belenggu yang kini memasung minda masyarakat kita.


6. Tentangan terhadap Marxism adalah tentangan dari kaum padri dan teologi klasik dunia "Isle" (istilah Nik Aziz) muncul sesudah konspirasi teologi Eropah - falsfafah Barat. Hari ini faham Isle ini telah mencengkam psikolgi Melayu-Islam lebih 500 tahun selepas zaman kegelapan Eropah. Al-Quran telah terbenam di bawah lapisan-lapisan zaman kongkongan ulama' lebih 1200 tahun. Hingga hari ini sekiranya kita membacakan maksud ayat-ayat (ajaran Al-Quran) orang akan memandang serong kepada kita. Al-Quran sebenarnya juga disebut al-Furqan (surah 25) yakni "Pembeza" yang boleh digunakan sebagai kayu pengukur untuk menilai sesuatu yang ada dikeliling kita termasuk fundamental marxis yang mendukung international-humanism.

7. Orang Melayu sendiri tidak dapat lihat tentang Demokrasi-parlimen yang boleh membatalkan hukum al-Quran tidak pula dikatakan sebagai sesuatu yang bercanggah dengan Islam dan merosak akidah. Moscow telah menguatkuasa pengharaman perjudian untuk 1000 kilometer jejari dari bandar itu sedangkan judi 4 ekor, Magnum dsbnya adalah sumber kewangan ahli-ahli politik BN. Kutipan yang beribu juta itu telah digunakan oleh parti sebagai gula-gula untuk rakyat semasa pilihanraya dan urusan-urusan parti. Cukai judi bernilai 90% dari kutipan telah dikutip secara langsung oleh Kementerian Kewangan dan digunakankan dibawah kuasa eksekutif PM. Sebab itu, PM boleh senang-senang keluarkan berbilion ringgit untuk operasi yang memerlukan gula-gula sebagai ubat. Perkara ini terbongkar ketika Tunlah...


Sekian dan salam;

Reply

Kepada Tanpa nama (di urutan Kedua)

1. Memang bodoh dan penakut pun. Komen anti-komunis pun takut nak pakai nama sebenar… Apa tidak, orang2 macam inilah yang menyanjung ISA
2. Benar, betapa sedihnya anak2 kehilangan ayah, isteri kehilangan suami. Tak percata? Pergi tanya balu Allahyarham Ibrahim Libya dan para syuhada yang sekali dengannya.
3. Patut sedarlah Mat Amin. Dah la tak nak kasi komisyen pembelian kapal selam, badannya dihancurkan dengan C4 pulak. Yang teraniaya ialah mereka yang dikambinghitamkan. (komunis tu pakai senapang kuno je)
4. Aku berharap Pak Amin bongkarkan lebih banyak lagi fakta sejarah perjuangan melawan penjajah British.
5. Tanpa perjuangan golongan kiri – sejak dari KMM sehinggalah Rejimen Ke-10, jangan harap penjajah British mahu memberi kemerdekaan begitu mudah kepada tanah air kita.
6. Sesungguhnya Encik Tuan Tanpa nama menyanjung perompak:
a. merompak hasil perjuangan golongan kiri
b. merompak lagu Indonesia dan Hawai di jadikan lagu “kebangsaan”. Tak percaya, lihat ini: http://www.youtube.com/watch?v=4YRkR4T5WEw&feature=related http://www.youtube.com/watch?v=bbrcdpUGGEI
c. merompak bendera orang

Reply

Meminjam ulasan d iblog Gunung Tebu
(http://puteragunungtebu.blogspot.com/2009/07/nik-aziz-kena-minta-maaf.html)

1) Kerajaan Yahudi Israel tidak merobohkan rumah ibadat orang yahudi. Mereka hanya merobohkan masjid umat Islam. Kerajaan umno yang mengaku Islam merobohkan masjid orang Islam sendiri di Kampung Bujal, Kemaman, Terengganu. Siapa lebih jahat antara umno dan Israel?

2) Nazi di Jerman tidak membunuh orang yang sebangsa dengannya, sebaliknya mereka dilaporkan membunuh orang yahudi dalam peristiwa holacoust. Sebaliknya kerajaan Umno membunuh orang yang sebangsa dan seagama dengan mereka dalam peristiwa Memali, sehinga 14 orang melayu muslim gugur menyembah bumi. Meninggalkan anak dan isteri yang terus menangisi pemergian orang tersayang sepanjang hayat. Siapa lebih jahat antara Umno dan Nazi?

3) Tentera Amerika sering mengepung, menceroboh dan menembak umat Islam yang berkampung dalam masjid di Iraq. Mereka tidak mengepung rakyat mereka dalam mana-mana rumah ibadat di Amerika. Kerajaan Umno mengepung, melontar bom asap, melontar gas pemedih mata ke dalam masjid al-Taqwa di Batu 6, Kuala Terengganu. Menembak meriam air kimia dan gas pemedih mata ke dalam masjid semasa protes PPSMI. Siapa lebih jahat antara Umno dan Amerika.

4) Tentera Serbia menembak dan membunuh orang Islam Bosnia dalam peristiwa penghapusan etnik di negara Balkan tersebut. Mereka tidak menembak rakyat mereka sendiri. Kerajaan Umno menembak orang yang sama bangsa dan agama mereka sendiri di Batu Buruk, Kuala Terengganu hanya supaya orang tidak pergi dengar ceramah. Siapa lebih jahat antara Umno dan Serbia?

5) Saya tidak pernah dengar komunis, sosialis, israel, serbia, yahudi dan Amerika meruntuhkan institusi pendidikan mereka. Namun kerajaan Umno dengan angkuh dan sombong meruntuh dan merobohkan Institut Berakan di Jalan Hiliran Kuala Terengganu, Terengganu. Masih ternampak di retina mata ini al-Quran bersepah-sepah selepas jentolak merobohkan institut tersebut. Siapa lebih jahat antara Umno dan semua yang saya sebutkan itu.

Reply

sejarah ditulis oleh org yg menang!!! sudah pasti sejarah yg benar sukar utk d peroleh...syabas matamin..teruskan usaha...mmg org sering ceritakan keburukan komunis..bermakna britsh bjaya menyebarkan oengaruh or propagandanye utk org d t.melayu benci komunis...tp jgn lupe komunis turut bjuang...cume xpernah disingkap pahit getir pjuangan mereka....

Reply

Categories

Pengikut