Mustapha Hussein, Berjuang Untuk Kemerdekaan Tanah Air


sempena menyambut kemerdekaan



Mungkin ada diantara kita menyangka Mustapha Hussein adalah sayap kelima tentera Jepun. Benarkan demikian? Mengapa tokoh-tokoh kemerdekaan yang seangkatan dengannya bekerjasama dengan fasis Jepun?

Ketika berceramah kepada para perajurit tentang gerakan kemerdekaan Malaya, Abdullah C.D. dan Rashid Maidin (Allahyarham) sentiasa menyebut peranan penting yang dimainkan KMM di bawah pimpinan Ibrahim Hj. Yaacob, Mustapha Hussein, Dr. Burhanuddin dan lain-lain.

Dalam memoir edisi pertama, Abdullah C.D. memberikan penilaian sebagai tokoh nasional yang besar kepada Mustapha Hussein. Di sini saya petik tulisan beliau yang diberi tajuk:


Mustapha Hussein – Tokoh Nasional yang Besar


Mustapha Hussein adalah tokoh pejuang kemerdekaan yang besar. Seumur hidup beliau dicurahkan untuk cita-cita yang murni - kemerdekaan nusa, bangsa dan agama. Ketika menganggotai KMM dulu, saya tidak berpeluang bertemu dengannya, hanya mendengar namanya sahaja sebagai Naib Ketua KMM. Setelah Jepun menyerah diri beliau dipenjarakan oleh penjajah British. Saya berpeluang bertemu dengannya apabila dia keluar dari penjara.


Walaupun beliau keluar penjara dengan syarat-syarat yang ketat dikenakan oleh kerajaan penjajah, tetapi semangat memperjuangkan kemerdekaan tetap berkobar-kobar. Sebaik sahaja keluar dari penjara, beliau mendapat pekerjaan dengan sebuah syarikat insurans Amerika. Di samping itu beliau selalu pergi ke pejabat PKMM. Beliau tahu gerakan PKMM sebagai lanjutan daripada KMM yang beliau sendiri ikut serta dan menubuhkannya. Beliau juga menemui kawan-kawan seperjuangan lama seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhamad.


Disebabkan beliau baru sahaja keluar penjara dan di dalam perhatian intelijen British, maka dia tidak dapat bergerak secara bebas. Akan tetapi beliau menawarkan dirinya sebagai penasihat kepada Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan pekerjaan ini dilakukannya dengan baik. Beliau turut memberikan idea-idea yang amat bernilai bagi perjuangan kemerdekaan. Kehadiran Mustapha Hussein bersama PKMM dirahsiakan, hanya beberapa orang sahaja yang mengetahuinya.


Dalam masa ini juga saya bertemu dengan Mustapha Hussein. Walaupun inilah pertama kali saya bertemu dengannya, tetapi kami telah lama bersatu dalam cita-cita sejak dari zaman KMM dulu, walaupun cara kami terdapat perbezaan.


Kedudukan saya sebagai wakil PKM yang terbuka lebih diperhatikan oleh intelijen British. Untuk mengelakkan pertemuan kami diketahui oleh mereka, saya menyediakan satu bilik khas di belakang pejabat PKM untuk bertemu dan berbincang dengan beliau. Ini saya urus sendiri, tidak siapa pun yang mengetahuinya.


Mengambil peluang ini Mustapha Hussein membaca buku sejarah dan buku teori, lebih-lebih teori tentang revolusi antiimperialisme dan kemerdekaan tanah air. Buku-buku yang saya bawa pulang dari India habis dibacanya ditambah pula dengan buku-buku di perpustakaan kami Balai Pustaka. Hasil pembelajarannya amat memuaskan dan kesedaran mengenai revolusi dan kemerdekaan ternyata begitu cepat subur dalam dirinya.


Dia pernah menyatakan pendapatnya tentang melancarkan revolusi untuk kemerdekaan Malaya. Menurutnya, dia akan pergi ke India untuk mendapatkan bantuan dan mencadangkan pula saya cari hubungan dengan Tiongkok untuk tujuan yang sama. Di India dia boleh berhubung dengan kerajaan India dan dengan INA kerana dia mempunyai hubungan rapat dengan tokoh INA. Mustapha Hussein berpendapat menjalin hubungan internasional adalah penting untuk kemenangan revolusi.


Apabila diisytiharkan Undang-undang Darurat, beliau tidak ditangkap oleh penjajah. Dari Rejimen Ke-10 saya menghantar orang bawah tanah menghubungi beliau. Saya mencadangkan supaya beliau menyertai UMNO kerana UMNO juga satu kekuatan untuk perjuangan menuntut kemerdekaan di mana ramai orang yang cintakan kemerdekaan tanah air bergabung di dalamnya. Setelah itu ramai kawan PKMM masuk UMNO, dan wajah UMNO mulai dilanda perubahan mendadak ke arah perjuangan untuk kemerdekaan. Mustapha Hussein pernah bertanding melawan Tunku Abdul Rahman merebut jawatan pucuk pimpinan UMNO untuk menggantikan tempat Dato’ Onn Jaafar, tapi beliau dikalahkan.


Malangnya, hubungan saya dan Mustapha Hussein terputus apabila Rejimen Ke-10 bergerak ke utara ke kawasan sempadan Malaya-Thai pada tahun 1953. Mustapha meninggal dunia pada 15 Januari 1987 ketika berusia 77 tahun.

Mustapha Hussin Tokoh Nasional Yang Memperjuangkan Kemerdekaan Tanah Air


Majalah Suluh Rakyat Bilangan 27, Julai - Ogos 1987 - ihsan Muzium Sejarah, Kampung Perdamaian Sukhirin

4 ulasan

Tahniah kerana memuatkan rencana tentang Almarhum Mustapha Hussein.Catatan ini sangat penting kerana bukan semua,malah saya percaya ramai dari kalangan warga khususnya generasi muda yang tidak tahu siapakah Mustapha Hussein serta sumbangan-bakti Almarhum kepada perjuangan bangsa dan kemerdekaan.
saya sarankan untuk membaca biografi Almarhum yang disusun oleh puterinya Insun Mustapha dan Dr.Jomo K Sundram.banyak fakta-fakta historis seputar gerakan nasionalisme Melayu dari tertubuhnya KMM hinggalah kemutakhir disampinmg pandangan Almarhum terhadap IBHY.

Reply

Salam Pak Amin,

Mustapha Hussein orang pertama menuntut kemerdekaan daripada tentera Jepun. Mustafa menyebut KMM ertinya Kesatuan Malaya Merdeka. Kerana itulah KMM diharamkan.

Reply

Untuk mengenali Mustapha Hussein kita memang wajar membaca buku biografi beliau -- ada 2 buku, kedua-duanya ditulis oleh anak beliau.

Reply

saya pernah menemuramah Pn Inson puteri almarhum di lumut Perak 2007 bersama teman (kini isteri) untuk tesis sarjana muda. banyak fakta dan peristiwa penting negara terlerai. terlibat secara aktif dalam pementasan teater "Memoir Mustapha Hussein" pernah oleh kumpulan ABAD P.Pinang dgn kerjasama DBP Wilayah Utara dan Pusat Pengajian Seni USM di Perak dan USM p.pinang. karya dan arahan SENIBAYAN cukup menyentuh perasaan... wajar dipentaskan semula

Reply

Categories

Pengikut